HomeBMCara Menggunakan First Aid Kit Yang Ramai Tak Tahu!

Cara Menggunakan First Aid Kit Yang Ramai Tak Tahu!

Ketika anda dah dapat kereta baharu anda, apa yang anda akan periksa dulu? Tayar ganti? Cermin depan? Nombor plat? Apa yang anda periksa tu sebenarnya dah betul, tetapi sebenarnya anda dah tertinggal nak periksa satu lagi benda paling penting yang boleh menyelamatkan nyawa anda iaitu first aid kit ataupun peti kecemasan. 

Kalau anda beli kereta baharu, peti kecemasan (1si aid kit) ini kebiasaan akan didatangkan sekali beserta aksesori lain. Kalau anda membeli kereta pramilik, berkemungkinan peti kecemasan ini tidak ada sekali dan anda harus membelinya sendiri. 

Jangan anda abaikan peti kecemasan ini! Peti kecemasan ini boleh menyelamatkan nyawa seseorang jika anda tahu menggunakannya dengan betul. 

Tapi macam mana nak gunakan peti kecemasan dengan betul? Dahlah dalam itu ada banyak sangat peralatan, balutan, dan ubatan yang anda sendiri tak tahu. Tak mengapa, kali ini kami bantu anda untuk kenal peti kecemasan serta peralatan yang ada di dalamnya. 

Apa Yang Ada Dalam first aid kit/Peti Kecemasan? 

1. Sarung Tangan Getah 

Kalau anda merawat luka yang berdarah, adalah lebih baik untuk anda memakai sarung tangan getah perubatan. Ini antara sebabnya: 

  • Mengelakkan jangkitan daripada tangan anda. Tangan anda bukannya sentiasa bersih jadi penggunaan sarung tangan getah boleh mengurangkan jangkitan silang daripada bakteria pada tangan anda kepada luka yang sedang anda rawat. 
  • Mengelakkan jangkitan daripada mangsa. Mungkin anda akan merawat mangsa yang anda tidak kenal. Anda tak tahu apa penyakit yang mangsa ada. Mungkin penyakit berjangkit yang boleh berpindah kepada anda jika anda tak ambil langkah-langkah keselamatan. 

2. Plaster Luka 

Luka kecil ialah kemalangan yang paling biasa dan kerap berlaku. Apabila luka terjadi disebabkan apa-apa kemalangan, anda tak digalakkan untuk membiarkan luka tersebut terdedah. Lebih elok kalau anda tampalkan luka tersebut menggunakan plaster luka yang ada di dalam peti kecemasan.

Cara nak guna pun mudah, pastikan kawasan luka tersebut telah dibersihkan dengan sapuan alkohol. Kemudian bolehlah lekatkan plaster luka dengan bahagian yang berkain ditekapkan terus pada kawasan luka. 

Plaster luka ini ada pelbagai saiz. Jadi pilihlah saiz yang bersesuaian dengan luka yang ada. Pastikan juga plaster ini ditukar selang beberapa jam. 

3. Kain Kasa (Gauze) 

Kadang-kadang berlaku juga luka yang agak besar dan plaster luka saja tak mencukupi untuk menutup luka yang ada. Untuk itu, anda memerlukan kain kasa ataupun gauze. Kain kasa ini didapati dalam dua bentuk iaitu yang sudah dipotong segi empat ataupun dalam bentuk gulungan. 

Selain digunakan untuk menutup kawasan luka, kain kasa ini juga boleh digunakan untuk menghentikan pendarah teruk. Caranya mudah. Ambil kain kasa dan pastikan anda ambil bilangan yang cukup. Kemudian anda boleh terus tekan pada luka pendarahan. 

Teknik ini dinamakan ‘direct pressure’ atau tekanan terus. Jika dibuat dengan betul, ia boleh menyelamatkan nyawa mereka yang cedera teruk. 

Kain kasa juga boleh digunakan untuk mengelap darah, menyapu cecair alkohol pada luka atau menyapu larutan ubat kuning pada luka. 

4. Anduh 

Anduh merupakan kain berbentuk segi tiga. Ia adalah satu peralatan yang paling versatil dan boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Kain anduh kebiasaan digunakan untuk menyokong anggota badan yang cedera. 

Biasanya kain anduh digunakan untuk menggantungkan tangan yang cedera pada bahu. Pastikan puncak kain anduh dihalakan pada siku tangan yang cedera manakala kedua hujung kain diikat pada bahu mangsa. Tangan pula diletakkan di dalam gelungan kain yang terbentuk.

https://www.youtube.com/watch?v=Gktf2RMGmlo

Ia juga boleh digunakan untuk mengikat splin pada anggota yang tercedera seperti kaki atau pergelangan tangan. Selain, ia juga boleh digunakan untuk membalut luka menggantikan kain kasa. 

5. Pita Pembedahan (Surgical Tape)

Pita pembedahan (surgical tape) merupakan sejenis pelekat yang tidak menyebabkan kerengsaan kepada kulit. Pita pembedahan digunakan untuk melekatkan kain kasa pada luka yang tidak serius. 

Anda jangan pula lekatkan pita ini terus pada luka kerana ia boleh menyebabkan luka bertambah teruk! Jadi, gunakannya dengan betul untuk memberi kelegaan kepada mangsa. 

6. Sapuan Alkohol/Cecair Alkohol 

Alkohol dalam peti kecemasan boleh ditemukan dalam dua bentuk. Pertama dalam bentuk sapuan yang siap dipaketkan. Keduanya adalah dalam bentuk botol kecil. Alkohol ini fungsinya untuk membersihkan dan mensanitasikan luka daripada kekotoran. 

Selepas dibersihkan dengan alkohol, luka tersebut boleh dibalut dengan kain kasa atau balutan crepe

7. Krim Panas 

Krim panas atau analgesik ini boleh digunakan untuk meredakan kesakitan otot dan sendi. Andai kata anda terpaksa memandu jauh dan bahu anda terasa lenguh, anda boleh sapukan krim ini pada bahu atau anggota badan yang terasa lenguh. 

Jangan gunakan krim ini pada mereka yang terseliuh kerana ia boleh menyebabkan kecederaan menjadi lebih teruk dan kesakitan teruk kepada mangsa. Selain itu, jangan gunakan krim ini pada luka. Anda tak nak menahan sakit luka dan juga panas pada masa yang sama!

8. Losyen@Krim Kalamin (Calamine)

Losyen atau krim kalamin (calamine) ini biasanya digunakan untuk merawat masalah kegatalan yang disebabkan oleh pelbagai punca. Antaranya seperti ruam panas, gigitan serangga, ataupun melecet. 

Sapukan saja pada anggota yang gatal dan biarkan ia kering. Pastikan permukaan kulit bersih sebelum losyen ini disapu. 

9. Paracetamol (Panadol, Uphamol, dan Lain-lain Jenama)

Ini ialah ubat penahan sakit yang paling biasa dan paling selamat. Ia juga boleh didapati dengan mudah dan murah di kedai farmasi. Ia boleh digunakan untuk merawat demam, sakit kepala, pening kepala, dan juga migrain. 

Sumber: Kosmo Digital

Tetapi, ubat ini haruslah diambil dengan dos yang betul. Paracetamol boleh diambil dua biji (1000mg) sekali makan. Ia boleh diambil selang empat hingga enam jam. Pengambilannya tidak boleh melebihi lapan biji dalam tempoh 24 jam. Ini adalah dos untuk dewasa. 

10. Ubat Tahan Sakit (Painkiller)

Selain paracetamol, peti kecemasan anda juga boleh dilengkapi dengan ubat penahan sakit yang lain seperti asid mefenamik (mefenamic acid) atau lebih kita kenali sebagai Ponstan (jenama). Ia biasanya digunakan untuk sakit yang teruk seperti sakit gigi ataupun untuk senggugut. 

 

Kalau ada mangsa yang terseliuh, ubat ini juga boleh diberikan untuk mengurangkan sakit akibat kecederaan. Ubat ini tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak dan juga kepada mereka yang mempunyai masalah gastrik yang teruk. 

11. Gunting 

Gunting digunakan untuk memotong kain kasa, pita micropore, pembalut, pakaian mangsa, atau apa saja yang diperlukan untuk dipotong. Gunting di dalam peti kecemasan tidak seperti gunting biasa. Kalau anda nak tahu, beginilah rupa gunting untuk peti pertolongan cemas: 

Gunting ini direka begini supaya ia tidak mencederakan pengguna serta mangsa yang dirawat. Ia mempunyai mata yang tidak tajam serta boleh digunakan pada pelbagai sudut. Matanya gunting ini tidak tajam dan boleh digunakan memotong pakaian atau balutan tanpa perlu risau ia boleh mencederakan kulit mangsa yang dirawat. 

12. Penyepit Kecil 

Penyepit kecil ini boleh digunakan untuk beberapa tujuan. Antaranya seperti membersihkan anggota yang terkena batu atau pasir. Penyepit ini juga boleh digunakan untuk mengeluarkan sesuatu daripada rongga seperti hidung atau telinga. 

Anda juga boleh menggunakan penyepit ini untuk memegang kapas atau kain kasa semasa membersihkan luka. Jadi, anda tak perlu memakai sarung tangan getah untuk merawat seseorang. 

13. Bebola Kapas 

Bebola kapas berguna untuk membersihkan luka, anggota yang tercedera, serta menyerap darah daripada luka. Kalau tiada kain kasa, bebola kapas juga boleh digunakan untuk menyapu alkohol atau ubat luka. 

Sumber: Healthline

Pastikan bebola kapas yang telah digunakan ini dibuang dengan betul untuk mengelakkan pencemaran serta jangkitan silang kepada orang lain. 

14. Ubat Kuning  

Ubat kuning atau acriflavine lotion ini digunakan untuk mensanitasi dan membersihkan luka. Ia juga digunakan untuk membasmi kuman pada kawasan luka sebelum dibalut. 

Anda perlu berhati-hati dalam menggunakan larutan ini kerana ia sangat mudah mencemarkan pakaian dengan warna kuning yang sangat susah untuk ditanggalkan. 

Bukan Kereta Saja Yang Wajib Servis! 

Betul! Bukan saja kereta ataupun komponen lain yang anda kena servis. Peti kecemasan dalam kenderaan anda juga WAJIB anda servis. Ikuti langkah ini untuk anda servis peti kecemasan anda.

1. Periksa Ubat Yang Ada

Keluarkan semua ubat yang ada di dalamnya. Periksa tarikh luput setiap ubat. Anda JANGAN buang ubat yang telah tamat tarikh luput merata atau dibuang ke dalam tong sampah biasa. Ia boleh merosakkan alam sekitar! Ubat yang telah tamat tarikh luput anda boleh serahkan kepada klinik swasta atau kerajaan terdekat untuk dilupuskan dengan betul. 

Gantikan dengan ubat baharu. Pastikan ubat dalam keadaan baik dan tiada kebocoran pada bungkusan ubat. 

2. Periksa Alatan 

Kemudian, anda keluarkan pula alatan yang ada. Gunting, kain kasa, kapas, anduh, dan lain-lain. Pastikan semua peralatan dalam keadaan baik, tidak berkarat atau rosak. Kalau perlu, sila gantikan dengan peralatan yang baharu. 

Mana-mana kain kasa dan kapas yang habis bolehlah ditambah kembali. Pastikan kain kasa, kapas, serta pembalut disimpan dalam bekas first aid kit yang bersih. 

3. Bersihkan Bekas First Aid Kit

Sebelum anda isikan kembali peralatan dan ubatan, pastikan anda bersihkan dahulu bekas peti kecemasan anda. Pastikan peti kecemasan ditutup dengan kemas supaya tiada barangan yang terkeluar semasa kereta bergerak. 

Letakkan kembali peti kecemasan di tempat yang boleh dicapai dengan mudah dan jauh daripada cahaya matahari seperti di dalam but. 

Barang Wajib Ada Dalam Setiap Kereta 

Peti kecemasan ini merupakan antara peralatan yang wajib ada bagi semua pemilik kereta. Ia bukan sahaja boleh menyelamatkan nyawa anda, malah boleh menyelamatkan nyawa orang lain. 

Artikel berkaitan: Tukul Cermin, ‘Dashcam’ serta Aksesori Kereta Lain Yang Perlu Ada dalam Kereta

Tak susah pun nak gunakan peralatan dan ubat yang ada di dalam peti kecemasan ini. Kami dah pun senaraikan kepada anda tentang fungsi setiap peralatan dan ubatan kepada anda. 

Kalau dalam kereta anda belum ada peti kecemasan, kami nasihatkan anda untuk segera dapatkannya. Simpan elok-elok kerana kita tak tahu bila masanya kita akan memerlukannya. 

Dengan ini kami mengharapkan anda sentiasa selamat sepanjang pemanduan anda. 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular