HomeBMKereta Dah Habis Bayar? Prosedur e-Batal JPJ untuk Keluarkan Nama Bank pada...

Kereta Dah Habis Bayar? Prosedur e-Batal JPJ untuk Keluarkan Nama Bank pada Geran Kereta

Bebas daripada komitmen ansurans bulanan kereta merupakan salah satu berita gembira yang paling dinanti-nantikan oleh kebanyakan pemilik kenderaan. Namun begitu, masih ramai yang belum mengetahui ada perkara yang perlu dilakukan setelah loan kereta habis bayar. Jika anda sudah melangsaikan baki pinjaman kereta, anda disarankan untuk melakukan prosedur e-Batal JPJ. Prosedur e-Batal JPJ merujuk pada proses menukar nama pemilik kereta atau mengeluarkan nama bank daripada geran kereta asal kepada nama anda.

e-batal JPJ
Kredit: Facebook

Secara amnya, kenderaan yang masih terikat dengan bayaran ansurans bulanan masih lagi menjadi hak milik bank atau institusi kewangan. Dalam erti kata lain, kereta yang dibeli bukanlah hak milik anda sepenuhnya selagi hutang pinjaman anda belum dilangsaikan sepenuhnya. Oleh sebab itu, anda perlu menukar status hak milik kenderaan kepada nama anda setelah loan kereta anda berjaya diselesaikan. Geran kereta perlu mendapat pengesahan “Batal Melalui Sistem” bagi membolehkannya menjadi hak milik anda sepenuhnya.

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Setelah Loan Kereta Habis Bayar?

Sekiranya anda membeli kereta melalui pinjaman bank, frasa “Hak Milik Dituntut oleh: XXXX” biasanya tertulis pada geran kereta anda. Ini bermaksud, kereta anda adalah hak milik bank atau institusi kewangan selagi anda belum melangsaikan hutang pinjaman anda. Oleh sebab itu, anda perlu mengeluarkan status hak milik bank daripada geran kereta anda dengan melakukan proses e-Batal JPJ.

Syarat Utama Prosedur e-Batal JPJ

Secara amnya, anda perlu menjelaskan baki hutang pinjaman kereta anda terlebih dahulu sebelum melakukan proses e-Batal JPJ. Jika baki hutang pinjaman kereta masih ada, anda disarankan untuk menjelaskannya sebelum anda boleh memindahkan hak milik dari pihak bank kepada nama anda.

e-Batal Maybank dan e-Batal CIMB: Tukar Hak Milik Loan Kereta Habis Bayar

Sekiranya anda telah menyelesaikan atau sudah menjelaskan baki bayaran pinjaman kereta, anda boleh merujuk proses e-Batal JPJ seperti berikut:

1. Selesaikan Baki Bayaran, Terima Geran Kereta Asal

Biasanya, setelah anda menjelaskan bayaran terakhir, anda akan menerima geran asal daripada syarikat pengeluar kenderaan yang anda berurusan.

2. Dapatkan Surat Pelepasan daripada Bank

Hubungi pihak bank dan tanyakan sama ada surat pelepasan telah dikeluarkan oleh pihak bank atau institusi kewangan bagi meneruskan prosedur pembatalan. Surat pelepasan ini menandakan pihak bank telah melepaskan tuntutan terhadap kereta anda. Biasanya, pihak bank akan menghantar terus surat pelepasan ini kepada pihak JPJ.

3. Hadir ke Mana-mana Cawangan JPJ

Jika surat pelepasan sudah dikeluarkan, hadir ke mana-mana cawangan JPJ berhampiran anda untuk mematikan, mengeluarkan dan/atau membatalkan hak milik bank peminjam daripada geran asal kenderaan. Nyatakan kepada pegawai bertugas anda ingin melakukan pembatalan pada geran kereta yang sudah habis bayar. Ambil nombor giliran dan tunggu sehingga giliran anda dipanggil. Prosedur ini biasanya tidak memakan masa yang lama – kurang daripada lima minit atau mungkin lebih bergantung pada situasi dan keadaan semasa.

4. Proses Selesai

Pastikan terdapat cop e-Batal pada geran kereta mengikut prosedur yang ditetapkan oleh JPJ. Sekiranya anda menerima cop ini, ia bermaksud kereta anda telah menjadi hak milik anda sepenuhnya.

proses e-batal boleh dilakukan di mana-mana cawangan jabatan pengangkutan jalan

Proses e-Batal JPJ merupakan salah satu prosedur yang mudah dan penting untuk dilakukan. Namun begitu, masih ramai dalam kalangan pemilik kereta yang tidak menyedari bahawa prosedur ini perlu dilakukan setelah pinjaman atau loan kereta habis bayar. Bagi anda yang masih belum batalkan hak milik kereta, semoga perkongsian ini membantu memudahkan urusan anda. Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan rangkaian pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan harga yang berpatutan.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular