HomeBMLebuhraya Karak & Jalan Raya yang ‘Keras’ di Malaysia

Lebuhraya Karak & Jalan Raya yang ‘Keras’ di Malaysia

Macam mana nak jadikan perjalanan anda lebih seronok? Selain memainkan lagu popular dan jiwang sepanjang perjalanan, anda boleh tambah elemen misteri dalam pengembaraan anda dengan melalui jalan-jalan berhantu seperti lebuhraya Karak untuk mengalami sendiri kejadian seram yang biasa anda dengar mengenai tempat tersebut.

Malaysia kaya dengan pelbagai lokasi yang dikatakan ‘keras’, berpenunggu, dan dipenuhi dengan elemen-elemen mistik yang pasti menarik minat mereka yang mahu menguji keberanian diri. Walaupun kita tak sepatutnya bermain dengan perkara-perkara yang tak dapat dilihat dengan mata kasar, namun ini tidak menjadi penghalang bagi para pemburu alam mistik yang sentiasa mencuba untuk mengintai apa yang ada di sebalik hijab.

Di sini kami senaraikan lokasi jalan-jalan angker yang ada di Malaysia agar anda boleh mengalaminya sendiri, dengan berhati-hati. Tapi, kalau anda seorang yang lemah semangat, inilah masanya untuk anda beralih ke artikel lain yang lebih bermanfaat untuk anda, seperti kuiz penumpang balik kampung kami ini.

1. Lebuhraya Karak

Dibuka kepada orang awam pada tahun 1977, Lebuhraya Karak, juga dikenali sebagai Terowong Karak, menghubungkan Kuala Lumpur dengan Genting Highlands melalui jalan raya sepanjang 60 kilometer yang berliku-liku. Terdapat banyak kemalangan ngeri yang pernah berlaku di situ dan ini menjadikannya terkenal di seluruh dunia sebagai jalan raya yang paling berhantu!

Berikut adalah beberapa cerita seram yang menghantui lebuhraya Karak.

Misteri Volkswagen Kuning di Highway Karak

Semua orang pasti pernah mendengar seseorang menyebut tentang Volkswagen kuning yang berhantu apabila bercerita tentang highway Karak. Kereta berhantu ini biasanya akan muncul di belakang kereta anda dan akan memaksa anda memberi laluan agar ia dapat memotong. Selepas anda berbuat demikian, ia akan muncul semula di belakang kereta anda secara tiba-tiba!

Ramai yang mengatakan bahawa jika anda cuba melihat kelibat pemandunya, anda akan mendapati tiada sesiapa yang berada di dalam kereta tersebut!

Hantu Budak Sekolah di Highway Karak

Satu lagi kisah seram yang terkenal dalam kalangan orang ramai adalah penampakan kelibat seorang budak sekolah yang merayau-rayau mencari ibunya di tepi jalan sekitar highway Karak pada waktu malam. Jangan sekali-kali berhenti jika anda ternampak kelibat ini!

Menurut cerita orang tempatan, pernah terjadi sebuah kemalangan di kawasan itu yang mengorbankan seorang budak lelaki yang memakai baju sekolah dan juga ibunya yang sedang memandu. Dalam kemalangan itu, ibunya telah tercampak keluar daripada kereta manakala budak lelaki itu pula terperangkap di dalam kereta dengan matanya tertusuk kaca daripada cermin hadapan! Sehingga hari ini, ramai yang berkata dia masih menghantui lebuhraya itu dan menunggu untuk bersatu kembali dengan ibunya.

2. Jalan Kulai – Kota Tinggi

Jalan yang menghubungkan bandar Kulai dan Kota tinggi ini dikelilingi oleh deretan pokok kelapa sawit dan ia juga melalui sebuah tanah perkuburan yang dikenali sebagai Nirvana Memorial Park. Jika anda menggunakan jalan ini pada waktu malam, keadaannya memang sangat gelap disebabkan ketiadaan lampu jalan. Biasanya, selepas jam satu atau dua pagi tiada lagi kereta yang lalu lalang menggunakan jalan ini. Jadi kami sarankan agar anda berhati-hati apabila melalui jalan ini.

Ada banyak kisah dan gangguan mistik yang dialami oleh para pemandu di jalan ini dan salah satunya adalah penampakan kelibat seakan-akan pontianak di tengah jalan yang boleh anda saksikan di video di bawah.

3. Jalan Kuala Klawang – Genting Peras

Laluan ini merupakan laluan wajib bagi peserta Le Tour de Langkawi disebabkan ia sebuah laluan berbukit dan mempunyai lebih 240 selekoh yang menjadikannya sangat mencabar! Selain itu, jalan lama yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Jelebu ini juga amat digemari para penunggang motosikal yang mahukan cabaran dalam perjalanan mereka.

Disebabkan laluan ini berada di kawasan berbukit, keadaannya pada waktu malam memang sangat gelap dan sunyi. Banyak buah mulut daripada para penunggang motor dan pemandu yang menggunakan jalan tersebut pada waktu malam yang menyatakan kewujudan makhluk-makhluk halus seperti pontianak dan langsuir yang kerap mengganggu mereka, seperti sorotan kisah daripada halaman Facebook ini.

4. Jalan Gombak Lama

Ini adalah jalan yang popular dalam kalangan mereka yang suka berbasikal dan juga berjoging. Kawasannya yang berhutan menjadikannya pilihan terbaik bagi orang yang mahu beriadah dengan bertemankan keindahan alam semulajadi dan suasana pagi yang hening. Tetapi, tahukah anda yang laluan ini sebenarnya pernah popular sebagai tempat pembuangan mayat sekitar tahun 2016 dan 2017?

Mungkin disebabkan oleh kejadian-kejadian ini,  lokasi ini mempunyai pelbagai kejadian dan kisah angker yang menakutkan dan menjadi kegemaran para pemburu kejadian mistik. Lihat sahaja video di bawah ini yang dirakam semasa usaha menarik kereta mangsa kemalangan yang terjatuh ke dalam gaung di jalan ini. Di saat-saat akhir video, kelihatan kelibat makhluk berjari panjang yang mengeluarkan sesuatu daripada kereta tersebut. Memang menyeramkan!

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

Amalkan Tips Pemanduan Ini untuk Mengelak Daripada Diganggu atau Disampuk

Tak kiralah jika anda mempercayai dunia mistik ataupun seorang yang was-was mengenainya, kami pasti cerita-cerita mengenai lokasi ini akan membangkitkan rasa seram dalam diri anda. Jika anda seorang yang lemah semangat, memandu secara bersendirian di tempat yang gelap dan sunyi adalah sesuatu yang patut dielakkan sama sekali.

lebuhraya karak, empty highway

Oleh itu, untuk menjamin keselamatan dan ketenangan jiwa anda, kami cadangkan agar anda memandu pada waktu pagi atau tengah hari apabila matahari masih terang. Lagipun, perkara-perkara paranormal ini cuma akan berlaku pada waktu malam sahaja.

Selain itu, jika anda tidak mahu terkandas di jalan raya yang sunyi dan sepi seorang diri, periksa kereta anda terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Berikut adalah senarai bahagian yang perlu diperiksa:

  • Tambah atau tukar minyak enjin kereta
  • Pastikan cecair di dalam enjin mencukupi
  • Pastikan bateri kereta berfungsi dengan baik
  • Semak tekanan angin tayar dan keadaan bunga tayar
  • Semua lampu pada kereta anda haruslah berfungsi

Jika anda sedang mencari kereta pramilik berkualiti untuk perjalanan anda, layari carsome.my atau muat turun aplikasi kami untuk melihat sehingga 30 jenama kereta yang telah dibaik pulih secara profesional untuk memastikan ia selamat, selesa, dan mempunyai estetik yang telah dibaik pulih. Anda juga boleh menjual kereta anda dengan CARSOME untuk dapatkan tawaran harga yang tinggi dan pembayaran pantas tanpa sebarang kertas kerja yang rumit!

Usah biarkan pemanduan anda diselubungi misteri dan jangan sampai anda hilang semasa pergi healing pula!

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular