HomeBMKereta Mahal Punca Golongan Muda Jadi Muflis?

Kereta Mahal Punca Golongan Muda Jadi Muflis?

Ini mungkin realiti yang paling sukar untuk diterima terutamanya jika anda kaki kereta (tak kisah apa tahap pun): adakah kereta yang anda beli menjadi punca kewangan anda menjadi tidak sihat dan menjadikan rakyat Malaysia sentiasa boros? 

Celik kewangan mengambil masa untuk dipelajari, itupun hasil daripada pengalaman bertahun-tahun yang membantu mengelakkan kesilapan sebelum ini. Lagipun, kita semua tidak diajar tentang ini di sekolah. 

 

Contoh kesilapan? Perkara seperti berbelanja mewah melebihi kemampuan sama ada membeli-belah sampai tak ingat dunia atau terjebak dalam komitmen kewangan jangka panjang. 

Beringat Sebelum Berbelanja

Semestinya, selain daripada pemilikan rumah, kereta juga berada dalam senarai utama komitmen kewangan yang mahal kita ambil dalam kehidupan, lebih-lebih lagi memandangkan kita cenderung untuk membuat membuat pinjaman bagi mendapatkannya. 

 

Sebenarnya, kalau kita tengok pada komitmen sedia ada, kita cenderung untuk menukar kereta lebih kerap berbanding rumah, bertukar sewa beli*. Tak peliklah kalau ada ‘pakar’ kewangan (yang syok sendiri) menganggapnya sebagai amalan yang kurang bahaya (kepada kewangan kita). 

Artikel berkaitan: Cara Mudah Nak Jual Kereta Yang Masih Ada Baki Pinjaman

Walau bagaimanapun, selain daripada keperluan berkenderaan dalam kehidupan seharian, kita sebagai manusia biasa tetap ada keinginan dan kemahuan sendiri. Apabila kita terlihat kereta yang kita suka dan terdetik (atau teracun) untuk nak membelinya walaupun kita sendiri sudah memiliki kereta yang sudah memenuhi keperluan, namun percayalah, kita akan terasa ‘gatal tangan’ nak tandatangan perjanjian sewa beli baharu. 

Hati anda kena kuat untuk tak termakan hasutan untuk membeli Proton X50 versi Andalan (Flagship) yang anda sebenarnya mampu dan sebaliknya terus memilih PERODUA Axia E (MT) yang cukup untuk bawa anda daripada titik A ke titik B. 

Antara tahun 2013 dan 2017 sahaja, lebih 100,000 warga Malaysia telah diisytiharkan muflis dan 60% daripada mereka berumur antara 18 dan 44 tahun, menurut Buku Maklumat Perangkaan Malaysia 2018. 

Ketika itu, jualan kereta di Malaysia ada turun naiknya tetapi tetap konsisten pada antara 550,000 dan 600,000 kenderaan baharu dijual. Kalau diselidiki lebih lagi mendedahkan peningkatan permintaan (dan juga jualan) untuk kereta yang lebih mahal daripada jenama berkelas tinggi seperti Mercedes-Benz, BMW, Audi, dan Porsche untuk model baharu dan juga versi terpakai. 

Biar Papa Asal Bergaya 

Dalam tempoh ini juga, Mazda juga boleh dikatakan sangat berjaya dalam pasaran apabila mereka memasarkan kereta yang memenuhi kehendak pasaran massa dengan cita rasa tinggi. Kenapa warga Malaysia berumur bawah 50 tahun lebih cenderung membelanjakan duit mereka pada kereta yang mereka tak perlu dan tak semestinya mampu? 

Artikel berkaitan: AWAS! Hati-hati Dengan Kos Tersembunyi Ini Kalau Anda Nak Beli Kereta Terpakai!

Menyokong dakwaan ini ialah laporan daripada Jabatan Insolvensi Negara (MDI) yang menyatakan bahawa menjelang Disember 2018, ada 303,415 kes muflis yang sedang diuruskan secara keseluruhannya. Antara punca utama yang diberitahu oleh Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Anas Ahmad Zakie, pinjaman sewa beli untuk membeli kenderaan berada di tempat kedua pada 24.73 peratus di belakang pinjaman peribadi pada 27.76 peratus kadar muflis. 

Di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak pada tahun 2016, sebagai tambahan kepada penggubalan semula Akta Insolvensi, kerajaan telah mengenakan kriteria yang lebih ketat untuk kelulusan pinjaman sewa beli untuk menangani mereka yang ingkar membayar pinjaman yang semakin meningkat. 

Tetapi, langkah tersebut dilihat tidak berjaya menangani masalah ini dengan baik menyebabkan Menteri Kewangan pada masa itu, Lim Guan Eng mengetengahkan di peringkat awam tentang kadar celik kewangan yang rendah dalam kalangan belia Malaysia. 

Pada tahun 2019, panduan Belanjawanku yang dikritik hebat telah dikeluarkan oleh Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), yang dilihat memberikan pencerahan kepada rakyat untuk merancang kewangan dalam kehidupan melalui merancang dengan cermat segala perbelanjaan bulanan dan masih lagi boleh menyimpan wang untuk waktu kecemasan dan juga simpanan jangka masa panjang. 

Tanpa membincangkan maklumat lain untuk kekal relevan, ia meletakkan 17% daripada perbelanjaan bulanan untuk ‘Pengangkutan’ yang termasuk pengangkutan awam dan juga kenderaan sendiri (termasuk petrol). 

Artikel berkaitan: Mana Lagi Jimat: Pandu Sendiri Atau Naik Pengangkutan Awam?

Jangkaan Tak Logik 

KWSP meletakkan pendapatan median untuk individu dewasa bujang secara kasarnya pada RM2,500 hingga RM3,000, bermakna mereka hanya ada antara RM561 hingga RM770 untuk dibelanjakan bagi membeli kereta jika mereka betul-betul memerlukannya beserta kos petrol, penyelenggaraan dan juga tol. Ini pun sebenarnya tak banyak memandangkan pendapatan median pada enam tahun lepas untuk mereka yang tinggal di Lembah Kelang hanyalah RM3,313 seperti yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. 

Kini, di tahun 2022 (ketika artikel ini ditulis), tak banyak pun perubahan yang berlaku dengan Malaysia masih lagi menunjukkan peningkatan gaji yang (sangat) sedikit, tak selari dengan kadar inflasi. Kereta menjadi lebih mahal dan model yang besar menjadi lebih popular yang  juga dijual dengan harga yang lebih mahal. 

Tak percaya? Perhatikan saja Proton dan PERODUA, dua model paling popular keluaran mereka ada yang berharga lebih RM90,000 dan model terkini yang diperkenalkan oleh PERODUA – Ativa, merupakan kenderaan terbesar yang dikeluarkan PERODUA dijual pada harga yang lebih mahal berbanding model sebelumnya. 

Kita pun sebenarnya patut dipersalahkan juga. Kita sendiri nak ciri canggih yang lagi ‘berbaloi’ dan mengeluh apabila pengeluar kereta tak memasukkan ciri keselamatan (aktif) yang canggih tetapi kita pula mahukan pelbagai pilihan ketersambungan, telekomunikasi maklumat jarak jauh, pengemudian satelit, pengecasan nirwayar, pembesar suara mewah, dan juga keutamaan memasang bumbung matahari yang mungkin tidak akan digunakan langsung. 

Berita baik (kononnya), Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) telah melaporkan bahawa ada penurunan jumlah kes muflis sejak 2019 disebabkan pelbagai langkah yang dikuatkuasakan oleh kerajaan biarpun dijejaskan oleh wabak COVID-19. 

Pada tahun 2021, hanya 6,554 kes yang telah diisytiharkan berbanding 12,051 kes pada 2019. Sekali baca macam bagus, kan? 

Takkan Tak Nampak Kot? 

Namun, kesudahan seperti ini tidak akan kekal lama melihatkan bagaimana biarpun ketika musim pandemik ini, Jabatan Insolvensi Malaysia telah menaikkan kadar nilai ambang untuk permohonan muflis kepada RM100,000, dua kali ganda daripada nilai RM50,000 yang telah ditetapkan selepas 2017. Sebelum itu, ianya cuma RM30,000. 

‘Langkah sementara’ ini masih berkuatkuasa sehingga 31 Ogos 2021 tetapi ia hampir dikuatkuasakan sebagai dasar jangka masa panjang melalui penggubalan semula Akta Insolvensi 1967. Had untuk memohon muflis kerap kali dinaikkan, ini bermakna seseorang perlu mempunyai tiga kali ganda nilai hutang untuk layak memohon status muflis bermula tahun 2020 dan seterusnya berbanding pada tahun 2016. Ini ialah satu kegilaan yang tak masuk akal. 

Walau bagaimanapun, dalam pembentangan Bajet 2023, nilai ambang untuk memohon muflis ini akan diturunkan kepada RM50,000 sahaja apabila Akta Insolvensi 1967 ini akan digubal semula pada tahun 2023.

Patutlah jumlah kes muflis yang direkodkan oleh Jabatan Insolvensi makin menurun walaupun telah berlakunya kemelesetan ekonomi pada 2020, kadar penggangguran yang makin tinggi, peningkatan kos sara hidup, dan peningkatan kuasa beli rakyat Malaysia yang sedikit.

Moratorium pinjaman, pelbagai skema pengeluaran duit KWSP dan pelbagai lagi bantuan kewangan daripada kerajaan telah membantu mengurangkan kesan buruk akibat musim pandemik tetapi mungkin langkah paling tak bijak dan melulu yang boleh dibuat ketika musim penjimatan ini ialah dengan membeli kereta baharu untuk beraya setelah sekian lama Aidilfitri tidak disambut selama dua tahun. 

Apa agaknya yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia pada tahun 2022 atau adakah semuanya akan disembunyikan oleh pemesongan lain dan akan menaikkan nilai ambang bagi permohonan muflis lagi. 

*Artikel ini merupakan terjemahan semula daripada artikel “Are Pricier Cars Leading To A Bankruptcy Bubble Among Young Malaysians” yang diterbitkan di Carlist.my. Artikel ini turut diolah semua bersesuaian dengan fakta terkini supaya ia kekal relevan pada tahun ini. 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular