HomeBMMana Lagi Jimat: Pandu Sendiri Atau Naik Pengangkutan Awam?

Mana Lagi Jimat: Pandu Sendiri Atau Naik Pengangkutan Awam?

Baru masuk tahun 2023, tapi sudah beberapa kali perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) mengalami kelewatan disebabkan pelbagai kerosakan. Hujung bulan Januari, RapidKL ada mengumumkan perubahan jadual LRT aliran Ampang-Sri Petaling yang terkesan akibat kerosakan pada tiang utama.

Paling serius, bulan November tahun lalu laluan LRT aliran Kelana Jaya terpaksa ditutup selama seminggu disebabkan oleh komponen elektronik sistem kawalan tren automatik yang tidak berfungsi dengan baik.

Lebih menyedihkan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bahawa gangguan perkhidmatan LRT ini akan terus berlaku sehingga suku ketiga 2023 sementara pihak Prasarana berusaha untuk memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.

Rasanya ramai di luar sana yang dah buat keputusan untuk mula memandu sendiri tahun ini disebabkan pengalaman buruk dengan LRT tapi saya yakin ada yang masih lagi ragu-ragu kerana tak mahu buat perubahan drastik dalam perbelanjaan harian mereka.

Jadi di sini, saya kongsikan pengalaman saya sendiri dalam merancang perbelanjaan perjalanan harian saya sebagai panduan anda.

Naik Pengangkutan Awam Lagi Murah?

Saya sekarang tinggal di Shah Alam dan bekerja di Mutiara Damansara. Dengar saja Shah Alam, pasti ramai yang boleh bayangkan kesesakan teruk yang perlu saya tempuh di Lebuhraya Persekutuan untuk pergi dan balik dari kerja.

Inilah sebabnya saya lebih suka menaiki LRT. Walaupun terpaksa berhimpit dengan penumpang lain, tapi saya tak perlu menghadapi tekanan kesesakan jalan raya dan kerenah pemandu lain yang menyakitkan hati.

Dengan pengangkutan awam, saya mengambil masa lebih kurang dua jam untuk pergi ke tempat kerja. Perjalanan saya setiap hari bermula dengan memandu ke stesen LRT CGC Glenmarie kerana itulah stesen LRT yang paling hampir dengan rumah saya.  Dalam sebulan saya sediakan RM200 untuk isi minyak kereta bagi memandu ke situ. 

Untuk kadar bayaran tempat letak kereta pula, ianya tak terlalu mahal, kerana saya gunakan fasiliti Park N’ Ride yang diuruskan oleh pihak MyRapid. Harganya cuma RM4 sahaja sekali masuk, jadi untuk sebulan saya perlu bayar dalam RM100 (RM4 x 25 hari).

Kalau saya pilih untuk menaiki bas pula, saya perlu menggunakan bas pengantara T774 yang boleh dinaiki di stesen bas berhampiran Giant Hypermarket Seksyen 13. Stesen ini paling sesuai untuk saya kerana saya boleh meletakkan kereta secara percuma di kawasan letak kereta yang disediakan di situ. Bayaran yang dikenakan untuk menaiki pas pengantara cuma RM1 sahaja dan tempoh perjalanan pula biasanya dalam 25 ke 35 minit semasa waktu puncak. Jadual kekerapan bas juga agak baik pada waktu puncak, dengan satu bas setiap 15 ke 25 minit.

Dengan menaiki bas, kos perjalanan saya selama sebulan cuma RM25 – RM1 x 25 hari, ditambah pula dengan duit minyak berjumlah RM200 untuk sebulan. Keseluruhannya, saya cuma perlu berbelanja RM225 sahaja. Tetapi, masa yang saya perlukan untuk pergi ke tempat kerja boleh mencecah sehingga dua ke tiga jam!

Lain pula ceritanya kalau saya tiada kereta atau bas mengalami kerosakan – saya perlu gunakan perkhidmatan e-panggilan Grab. Pada waktu puncak saya perlu membayar sehingga RM25 – bergantung kepada kadar yang ditetapkan oleh Grab, untuk pergi ke stesen LRT dari rumah saya. Balik ke rumah juga memerlukan bayaran yang sama. Untuk seminggu saya perlu membelanjakan RM250 dan untuk sebulan pula boleh mencecah sehingga RM1,000!

Selepas menaiki LRT, saya perlu bertukar ke MRT pula untuk pergi ke Mutiara Damansara dari KL Sentral. Dengan Pas Perjalanan My50, saya hanya perlu membayar RM50 sebulan untuk menggunakan semua perkhidmatan LRT, MRT, Monorel, dan BRT selama 30 hari tanpa had.

Ini adalah jadual pecahan perbelanjaan bulanan saya jika menaiki LRT:

Kos Perbelanjaan Bulanan

Memandu ke LRT

Grab

Menaiki Bas

Perjalanan RM200 RM1,000 RM225
Tempat Letak Kereta RM100
Pas Perjalanan LRT RM50 RM50 RM50
Jumlah Keseluruhan RM350 RM1,050 RM275

Melihat kepada jadual di atas, kos perjalanan harian saya jika menggunakan Grab dan LRT sangat tinggi, mencecah sehingga RM1,000! Sebab ini saya elakkan terlalu bergantung kepada perkhidmatan Grab.

Dengan memandu sendiri sambil menggunakan LRT, dalam sebulan saya cuma perlu belanja RM350 untuk kos pergi dan balik kerja. Tapi jika LRT mengalami masalah dan saya perlu cari alternatif lain, perbelanjaan pengangkutan saya akan naik mendadak. Contohnya semasa LRT aliran Kelana Jaya ditutup selama seminggu pada bulan Disember tahun lepas, kos perjalanan saya naik sehingga RM500 pada bulan itu!

Mahal ke Kalau Memandu Sendiri?

Sebelum naik LRT ke tempat kerja, saya memandu untuk beberapa bulan untuk biasakan diri dengan perjalanan yang perlu saya hadapi. Ini adalah pecahan perbelanjaan bulanan saya apabila memandu sendiri ke tempat kerja.

Perjalanan dari rumah saya ke tempat kerja memakan masa satu jam 30 minit dan sebulan saya perlu sediakan lebih kurang RM200 untuk isi minyak kereta. Saya gunakan Lebuhraya Persekutuan jadi saya boleh jimatkan sedikit perbelanjaan tol kerana tiada bayaran tol diperlukan.

mitos kereta

Satu perbelanjaan penting yang perlu diambil kira apabila memandu ke tempat kerja adalah bayaran tempat letak kereta dan ini akan menelan belanja paling banyak. Saya perlu bayar RM8 sehari dan untuk sebulan saya perlu sediakan dalam RM200.

Keseluruhannya, saya membelanjakan dalam RM400 sebulan jika saya memandu sendiri ke tempat kerja. Dan saya tidak tidak pernah membelanjakan lebih daripada jumlah ini untuk kos perjalanan saya. Walaupun perbezaannya tidaklah terlalu banyak berbanding dengan menaiki LRT – dalam RM50, tapi saya boleh katakan yang kedua-duanya ada kelebihan tersendiri.

Kelebihan Menaiki Pengangkutan Awam & Memandu Sendiri

Apabila menaiki pengangkutan awam saya tak perlu menghadapi tekanan fizikal dan mental semasa menempuh kesesakan di jalan raya. Ia juga menjadikan saya lebih sihat kerana saya banyak berjalan untuk pergi ke stesen LRT dan tempat kerja. Purata kiraan langkah harian saya boleh mencecah sehingga 10,000 langkah! Kawasan tempat kerja yang dilengkapi dengan laluan berbumbung juga memudahkan perjalanan saya.

Dengan memandu sendiri, saya tak perlu risau tentang jadual perjalanan yang perlu diikuti – saya bebas menentukan masa untuk pergi dan balik dari kerja. Saya juga selesa di dalam kereta saya sendiri, tanpa perlu bersesak di dalam tren yang terlalu penuh jika berlaku kelewatan atau kerosakan. 

Pilihan di Tangan Anda

Sebelum pilih yang mana satu paling sesuai untuk anda, bandingkan kos, kelebihan, dan kekurangan yang anda perlu hadapi terlebih dahulu. Dalam sesetengah keadaan, mungkin lebih senang untuk memandu sendiri tapi dalam situasi lain, menaiki pengangkutan awam mungkin boleh membantu anda menjimatkan wang dalam jangka masa panjang – semuanya bergantung kepada keperluan anda.

Kesimpulannya, hanya anda yang boleh memutuskan pilihan mana yang paling sesuai untuk gaya hidup anda, jadi kami harap anda boleh gunakan maklumat ini untuk buat keputusan yang paling sesuai untuk anda.

Kalau anda sedang cari kereta terpakai berkualiti untuk kegunaan harian, buat pilihan bijak dan dapatkan kereta CARSOME Certified yang telah diperiksa dengan teliti dan dibaik pulih secara profesional.

Kereta terpakai adalah pilihan terbaik untuk kurangkan kos pengangkutan kalau anda merancang untuk memandu sendiri. Harganya lebih murah dan bayaran ansuran bulanan juga lebih rendah. Tambahan pula, kereta CARSOME Certified dijual pada harga tetap tanpa sebarang bayaran tersembunyi jadi anda tak perlu risau tentang sebarang kos tambahan apabila membeli kereta.

Layari carsome.my atau muat turun aplikasi kami hari ini untuk cari kereta idaman anda!

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular