HomeAutomotiveNak Beli Kereta Baharu? Ini Kereta yang Bakal Dilancarkan Tahun 2024!

Nak Beli Kereta Baharu? Ini Kereta yang Bakal Dilancarkan Tahun 2024!

Tahun lepas, industri automotif Malaysia telah dimeriahkan dengan kehadiran beberapa model-model kereta yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia seperti BYD Atto 3, Perodua Axia, Proton S70, Honda WR-V, Ford Ranger Raptor, dan banyak lagi!

Tapi macam mana pula dengan tahun 2024? Agaknya apa model baharu yang akan diperkenalkan di pasaran tempatan kali ini? Adakah semua kereta baharu ini akan didatangkan dengan teknologi yang lebih canggih?

Jom sama-sama kita lihat senarai kereta-kereta baharu tahun 2024 yang akan tiba di pasaran Malaysia!

Senarai Kereta Baharu Tahun 2024

Mazda CX-3 2024

Naik taraf terbaru Mazda CX-3 untuk tahun 2024 ini tidak mempunyai sebarang perubahan yang ketara berbanding model sebelumnya. Ia masih lagi merupakan model CBU yang didatangkan daripada Thailand dan dilengkapi dengan enjin petrol 1.5L dan 2.0L yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Tetapi, ia kini mempunyai enam beg udara, lampu LED dengan Daytime Running Lights (DRL), dan sistem keselamatan i-Activsense Mazda. Ia juga didatangkan dengan rim aloi 18 inci dengan rekaan baharu.

Mazda 2 2024

Satu lagi naik taraf baharu daripada Mazda yang akan tiba pada tahun 2024 ini adalah untuk kereta hacbek Mazda 2. Ia masih lagi menggunakan enjin empat silinder 1.5L dengan transmisi automatik enam kelajuan yang sama, tetapi dengan naik taraf visual seperti grill hadapan baharu, bampar belakang baharu, dan juga rim aloi 16 inci dengan rekaan baharu.

Manakala pada bahagian dalamannya pula masih lagi mengekalkan penggunaan kerusi kulit berwarna hitam tetapi ia kini mempunyai kemasan jahitan berwarna merah agar nampak lebih garang. Selain itu, ia juga didatangkan dengan beberapa ciri tambahan seperti lampu hadapn automatik, sistem infotainmen tujuh inci (dengan Apple CarPlay dan Android Auto), serta kamera belakang dengan garis panduan.

Honda CR-V 2024

Honda CR-V generasi keenam ini telah dilancarkan pada bulan Disember tahun lalu. Kereta SUV Honda yang baharu ini nampak lebih sporty dengan rekaan baharu untuk grill hadapan dan juga rim aloi.

Ia didatangkan dalam tiga varian iaitu Honda CR-V 1.5L S, Honda CR-V 1.5L E, dan Honda CR-V 1.5L V AWD dan mempunyai enjin VTEC turbo 1.5L yang sama. Setiap varian juga kini dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan lanjutan Honda Sensing dan juga Honda Connect. Honda juga menjangkakan yang mereka akan mengumumkan harga jualan untuk varian separa hybrid kereta ini – Honda CR-V 2.0L e:HEV RS, yang dikuasakan oleh sistem Intelligent Multi Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti pada Honda Civic e:HEV RS.

Proton X50 2024

Geely Binyue Cool – inspirasi naik taraf untuk Proton X50.

Sempena sambutan ulang tahun ketiga pelancaran Proton X50 di Malaysia tahun lepas, Proton telah melancarkan Proton X50 R3 edisi terhad yang hanya mempunyai 200 unit sahaja. Tahun ini pula, banyak ura-ura mengatakan yang Proton bakal melancarkan model naik taraf Proton X50 untuk tahun 2024 yang dikatakan diinspirasikan daripada Geely Binyue Cool.

Memandangkan naik taraf untuk Proton X50 sudah ada dalam perancangan, adakah Proton X70 juga bakal menerima naik taraf untuk tahun 2024 ini? Macam mana pula dengan model-model Proton yang lain seperti Proton Persona, Proton Iriz, dan Proton Saga?

Perodua Nexis/D66B

Beberapa tahun kebelakangan ini, Perodua telah melancarkan beberapa model kereta yang berjaya mendapat sambutan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia seperti Perodua Ativa dan Perodua Axia.

Tahun ini pula, ramai yang menjangkakan bahawa Perodua akan melancarkan SUV baharu mereka, iaitu Perodua Nexis/D66B. Kereta SUV ini dikatakan akan menjadi pesaing kepada Proton X50 dan direka berdasarkan Toyota Yaris Cross.

Senarai Kereta Elektrik Baharu Tahun 2024

BYD Seal

Ada banyak kereta elektrik yang dijangkakan akan dilancarkan pada tahun 2024 ini! Salah satu daripadanya adalah BYD Seal, sebuah kereta sedan elektrik daripada jenama BYD. Ia bakal bersaing dengan kereta elektrik lain dalam segmen yang sama seperti BMW i4 dan Tesla Model 3.

BYD bakal menawarkan Seal dalam tiga varian iaitu – Dynamic Standard Range yang didatangkan dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang dan bateri Blade 61.4 kWh, Premium Extended Range dengan motor sama dan bateri Blade 82.5 kWh, serta Performance AWD, varian paling atas yang mempunyai sistem penggerak dwi motor dengan pacuan semua roda (AWD) dan bateri yang sama seperti varian Premium Extended Range.

Neta U

Selepas melancarkan Neta V secara rasmi di Malaysia, Intro Synergy Sdn Bhd yang juga mewakili Neta Auto telah mengumumkan yang akan membawa masuk Neta U, kereta SUV elektrik daripada jenama Neta, ke pasaran Malaysia pada tahun ini.

Terdapat dua varian bagi Neta U – varian asas yang dilengkapi dengan motor elektrik tunggal yang mampu menjana sehingga 161 kuasa kuda dan juga varian Pro yang dilengkapi dengan motor elektrik yang lebih berkuasa yang mampu menjana sehingga 201 kuasa kuda. Ia dijangkakan akan dilancarkan di Malaysia secara rasmi menjelang suku kedua tahun 2024.

Chery Omoda E5

Chery Omoda E5 telah dipratontonkan kepada orang ramai pada bulan November tahun lepas oleh Chery Malaysia. Kereta SUV elektrik terbaru daripada Chery ini akan dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan dua roda yang mampu menghasilkan sehingga 201 kuasa kuda dengan anggaran jarak perjalanan sehingga 430 km.

Pelancaran rasmi Chery Omoda E5 dijangkakan akan dilakukan pada suku pertama tahun 2024.

Tesla Cybertruck

kereta baru tahun 2024, tesla cybertruck front
Gambar oleh Stephen Leonardi.

Di Amerika Syarikat, penghantaran trak pikap elektrik Tesla Cybertruck telah pun dimulakan pada tahun 2023, empat tahun selepas ia mula-mula diperkenalkan oleh Elon Musk. Trak pikap ini didatangkan dengan panel badan unik yang diperbuat daripada aloi keluli tahan karat dan juga mempunyai kapasiti menunda sehingga 4,990 kg!

Walaupun masih belum ada pengesahan rasmi daripada pihak Tesla Malaysia jika mereka akan melancarkan Tesla Cybertruck di Malaysia, tetapi anda boleh melihat ia disenaraikan di laman web rasmi mereka untuk Malaysia di sini. Mungkin akan ada pengumuman rasmi mengenainya pada tahun 2024? Sama-sama kita nantikan!

Artikel berkaitan: Betul ke Dah Boleh Jual Kereta Elektrik di CARSOME?

Berbelanjalah Ikut Kemampuan!

Nampaknya, kebanyakan model yang akan dilancarkan pada tahun 2024 ini terdiri daripada segmen SUV. Semua kereta baharu ini juga dijangka mempunyai rekaan luaran yang lebih moden dan menarik serta dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini untuk memberi anda pengalaman memandu yang lebih baik.

Tak kisahlah apa tujuan anda membeli kereta baharu pada tahun ini – sama ada untuk menaik taraf ataupun menambah koleksi yang sedia ada, berbelanjalah mengikut kemampuan anda. Kami harap senarai kereta baru tahun 2024 ini boleh membantu anda membuat pilihan yang lebih baik dalam usaha anda mendapatkan kereta idaman anda.

Jual kereta lama anda dan beli kereta terpakai berkualiti di CARSOME sekarang! Semua kereta kami telah diperiksa dengan teliti untuk memastikan ia bebas daripada kerosakan akibat kemalangan teruk, kebakaran, dan banjir. Kami juga memastikan yang tiada sebarang perubahan dilakukan pada milej kereta. Layari carsome.my atau muat turun aplikasi CARSOME hari ini!

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular