HomeBMMeninggal Dalam Kereta: Ini Sebab Kenapa Anda Tak Patut Tidur Dalam Kereta

Meninggal Dalam Kereta: Ini Sebab Kenapa Anda Tak Patut Tidur Dalam Kereta

“3 mati kerana tidur dalam kereta…” 

“2 remaja ditemui mati dalam kereta disyaki meninggal dunia semasa tidur…” 

Setiap tahun, pasti akan ada kes kematian seperti ini. Kematian yang disebabkan tidur dalam kereta yang sedang hidup dengan pendingin hawa yang terpasang. Sudah banyak kes ini terjadi dan dilaporkan tetapi masih ada lagi segelintir orang kita yang masih lagi melakukan amalan ini. 

Sumber: Kosmo

Punca Kematian Semasa Tidur dalam Kereta 

Apa sebenarnya punca utama kematian semasa tidur dalam kereta? Pendingin hawa ke? Bukan! 

Punca biasa kematian semasa tidur dalam kereta ialah kebocoran gas karbon monoksida (CO) yang masuk ke dalam ruang dalaman kereta. Tapi, dari mana pula datangnya gas karbon monoksida ini? 

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pembakaran enjin kereta akan melepaskan beberapa gas karbon seperti karbon dioksida dan juga karbon monoksida. Sepatutnya, kedua-dua gas ini akan disalurkan keluar melalui ekzos kereta

Tetapi boleh juga terjadi apabila adanya kerosakan yang menghasilkan lubang pada mana-mana bahagian bawah badan kereta atau sistem ekzos menyebabkan gas karbon ini yang sepatutnya disalurkan keluar masuk ke dalam ruang kereta. 

Gas karbon monoksida ini tidak menyebabkan bahaya yang jelas jika dihidu dalam persekitaran terbuka. Menurut Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Persatuan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSHA), dos selamat gas karbon monoksida ini untuk manusia cumalah 9ppm (bahagian per juta). 

Bahaya sangat ke gas karbon monoksida ini? Ia sangat-sangat berbahaya! Terutama sekali jika anda terhidu untuk jangka masa yang lama dalam ruang yang tertutup. 

Berapakah dos yang bahaya untuk manusia? 200ppm cukup untuk berbahaya jika terdedah untuk beberapa jam manakala pendedahan kepada 800ppm dos karbon monoksida selama beberapa minit sahaja sudah cukup membawa maut!  

Yang paling menakutkan ialah, keracunan karbon monoksida ini tiada simptom yang jelas kerana gas itu sendiri yang tidak berbau dan tidak berwarna. Tahu-tahu, dah …. Kami pun tak sanggup nak habiskan ayat ini.

“Kalau macam tu, kita buka sikit tingkap kereta masa tidur. Mesti selamat kan macam tu?” 

tingkap kereta

Sebenarnya, jika anda buka tingkap sedikit semasa enjin kereta sedang dihidupkan pun tidak menjamin keselamatan anda. Sekalipun tingkap dibuka sedikit, gas karbon monoksida tetap ada kerana ia sentiasa masuk ke dalam kereta melalui lubang selagi mana enjin masih lagi hidup.

Cara Nak Elakkan Kebocoran Gas Karbon Monoksida 

Sekalipun anda tidak tidur dalam kereta pun, kebocoran karbon monoksida dalam kereta tetap berbahaya kepada pemandu dan penumpang. Anda kena ingat yang tiada simptom kesihatan yang jelas jika anda mengalami keracunan gas karbon monoksida ini! 

Simpton keracunan karbon monoksida

Ini merupakan antara tanda-tanda awal yang anda boleh kenal pasti jika anda terkena keracunan gas karbon monoksida: 

  • Sakit kepala 
  • Mual 
  • Susah bernafas
  • Serangan jantung
  • Sawan 

Ini kami kongsikan beberapa cara yang anda boleh amalkan untuk mengelakkan terjadinya kebocoran gas karbon monoksida ini: 

1. Beli dan Letakkan Pengesan Gas Karbon Monoksida 

Anda sebenarnya boleh beli pengesan gas karbon monoksida ini dan letakkannya di dalam kereta anda. Ia mudah dibeli di platform seperti Lazada seperti model di bawah: 

Kalau anda nak beli pengesan seperti ini, ia ada dijual DI SINI.

Ada pelbagai jenis pengesan gas ini dijual. Ada yang murah dan ada juga yang agak mahal sedikit. Anda boleh beli mana-mana sesuai dengan keperluan dan bajet anda. 

2. Lepas Accident, Terus Repair

Antara punca gas karbon dioksida boleh bocor ke dalam ruang kereta adalah adanya lubang pada bahagian kereta terutamanya pada bawah kereta. Lubang yang kecil saja sudah mencukupi untuk membolehkan gas karbon monoksida ini masuk ke dalam kereta. 

An unserviced car increases chances for an accident in Genting Highlands

Salah satu punca wujudnya lubang ini adalah kemalangan terutamanya pada bahagian bawah kereta. Jadi, jika terjadinya kemalangan yang menyebabkan kerosakan terutama pada bahagian bawah kereta, anda perlu baikinya dengan cepat! 

Artikel berkaitan: Ori atau Palsu? Macam Mana Nak Bezakan Alat Ganti Kereta yang Anda Beli?

Kewujudan lubang kecil itu mungkin akan diabaikan kerana adanya kerosakan yang tidak dibaiki dengan betul. 

3. Periksa Sistem Ekzos dengan Kerap 

Ramai yang ambil ringan tentang sistem ekzos terutama jika kereta lama. Ekzos yang lama boleh berkarat dan menjadi nipis. Besi sistem ekzos yang nipis boleh menjurus kepada kebocoran sistem ekzos lalu menyebabkan ada gas karbon monoksida yang boleh masuk ke dalam kereta. 

Jadi, periksa sistem ekzos anda secara berkala terutamanya jika anda memiliki kereta lama ataupun kereta anda pernah mengalami kemalangan sebelum ini. Jika ada apa-apa bahagian yang perlu dibaiki, anda boleh terus tukar untuk mengelakkan bencana seperti ini berlaku kepada anda dan juga keluarga anda. 

Rancang Perjalanan Anda

Untuk mengelakkan anda kena tidur semasa dalam perjalanan yang panjang, seeloknya rancanglah perjalanan anda. Elakkan memulakan perjalanan panjang pada waktu malam. Pastikan badan anda mendapat rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Periksa juga kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan untuk mengelakkan kecelakaan terjadi. 

Artikel berkaitan: Jalan Sesak Boleh Sebab Masalah Kesihatan Mental Yang Teruk!

Namun, jika anda terpaksa juga untuk tidur semasa dalam perjalanan, ini apa yang boleh kami sarankan: 

1. Tidur di Tempat yang Selamat 

Anda boleh berehat dan tidur di mana-mana hentian rehat dan rawat (RnR) sepanjang perjalanan anda. Tetapi, anda tidak digalakkan untuk tidur di dalam kereta. Bagi yang beragama Islam, anda mungkin boleh tidur di dalam surau. Pastikan anda tidak mengganggu jemaah lain untuk solat di situ. Bahagian penjuru yang jauh daripada mimbar merupakan antara lokasi terbaik. 

Sumber: Sharing is Power

Jika tiada, anda boleh pilih untuk tidur di kawasan terbuka seperti di pondok rehat yang ada banyak dibina di kawasan RnR. Tak perlu malu dan segan keran anda bukannya melakukan kesalahan. Pastikan di kawasan tersebut ada ramai orang. 

Jika anda ingin tidur di tempat-tempat ini, jangan bawa dompet anda. Cukup sekadar bawa kad pengenalan, kunci kereta, serta sedikit tunai jika perlu. 

2. Tidur di Hotel 

Jika anda ada sedikit lebihan wang dan masa, apa salahnya untuk anda tidur di hotel. Tak perlu hotel yang mahal-mahal. Menginap di hotel bajet pun dah mencukupi. Anda boleh datang terus ke hotel berdekatan anda atau buat tempahan melalui apa-apa aplikasi hotel yang ada. 

Sumber: Booking.com

Apalah sangat duit yang anda bayar untuk bilik hotel jika nak dibandingkan dengan jaminan keselamatan yang anda akan dapat. Selesa pun selesa! 

Boleh Ke Tidur Dalam Kereta yang Tak Dihidupkan? 

Sebenarnya, tidur dalam kereta yang tidak dihidupkan juga boleh. Tetapi cara ini kami tidak galakkan atas sebab keselamatan dan juga keselesaan. 

Anda boleh tidur dalam kereta yang enjinnya dimatikan dan tingkap ditutup. Pada waktu malam mungkin boleh dibuat tetapi sanggupkah anda buat begini pada waktu tengah hari atau petang dengan suhu persekitaran yang sangat panas? Suhu dalam kereta boleh menjadi lebih panas daripada luar kereta yang boleh menyebabkan anda boleh terkena dehidrasi! 

Sekalipun anda buka tingkap pun, persekitaran dan suhu kereta yang panas akan menyebabkan ketidakselesaan. Melainkan anda sanggup untuk berpanas dan berpeluh dalam kereta, maka itu terpulanglah kepada anda. 

Daripada segi keselamatan pula, membuka tingkap samalah memberi peluang kepada penjenayah dan orang yang berniat jahat mengambil kesempatan terhadap anda. Terutama sekali jika anda tidur di kawasan yang sunyi meskipun di kawasan RnR. 

Disebabkan itulah, kami tidak menggalakkan anda untuk tidur dalam kereta walaupun enjin tidak dihidupkan. 

Dengan tips dan perkongsian daripada kami ini, diharapkan anda boleh sentiasa berhati-hati terutama jika anda ingin memandu untuk perjalanan jauh. Semoga anda sentiasa selamat sepanjang perjalanan anda!  

1 COMMENT

  1. link shopee alat pengesan gas monoksida dah expired boleh letak link baru? saya tak jumpa bila cari dalam shopee

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular