HomeBMOri atau Palsu? Macam Mana Nak Bezakan Alat Ganti Kereta yang Anda...

Ori atau Palsu? Macam Mana Nak Bezakan Alat Ganti Kereta yang Anda Beli?

Sama ada dalam dunia fesyen atau teknologi, anda pasti boleh dapatkan barangan palsu yang mirip dengan barangan asli yang telah dikeluarkan. Perkara yang sama juga berlaku dalam dunia automotif di mana anda boleh dapatkan alat ganti kereta palsu yang dijual secara terbuka dengan sangat mudah.

Fake Spare Parts

Berbanding dengan Pengilang Peralatan Tulen (OEM) dan alat ganti aftermarket yang bereputasi, alat ganti palsu mungkin lebih cepat rosak atau gagal berfungsi langsung kerana ia jarang melalui ujian jaminan keselamatan dan kualiti yang diwajibkan untuk alat ganti OEM.

Jadi, macam mana kita nak bezakan yang palsu daripada yang asli?

Perbezaan Antara Alat Ganti Tulen, OEM & Aftermarket

Sebelum kita membincangkan macam mana nak bezakan alat ganti palsu dengan alat ganti tulen, kita harus terlebih dahulu memahami pelbagai jenis pengeluar alat ganti yang sah dalam pasaran.

Alat Ganti Tulen

Alat ganti tulen, juga dikenali sebagai Peralatan Tulen (OE), ialah alat ganti kereta yang asalnya dipasang pada kenderaan semasa proses pembuatannya. Alat ganti ini biasanya merupakan pilihan paling selamat kerana ia dicipta khusus untuk model kereta tersebut dan disertakan dengan jaminan daripada pengeluar. Satu-satunya kelemahan alat ganti ini adalah harganya yang biasanya agak mahal.

Alat Ganti OEM

OEM merujuk kepada Pengilang Peralatan Tulen dan ia biasanya dikeluarkan oleh pengilang luar. Perkara yang membezakan antara alat ganti OEM dengan alat ganti tulen adalah ia dikeluarkan oleh pihak lain dan didatangkan di dalam bungkusan yang memaparkan nama pengeluar barangan OEM tersebut. Harga alat ganti OEM juga lebih murah daripada alat ganti tulen dan kadang kala, anda boleh menggunakannya tanpa membatalkan waranti kereta anda.

Alat Ganti Aftermarket

Alat ganti aftermarket merujuk kepada alat ganti kereta alternatif yang dijual pada harga yang lebih berpatutan berbanding alat ganti tulen. Syarikat atau pengilang alat ganti aftermarket biasanya akan membeli hak untuk mengeluarkan alat ganti menggunakan templat daripada pengeluar asal. Kualitinya juga berbeza berdasarkan syarikat yang mengeluarkan alat ganti aftermarket tersebut.

Apa Sebenarnya Alat Ganti Palsu?

Pengilang Peralatan Tulen (OEM) dan syarikat alat ganti aftermarket membuat alat ganti untuk kereta mengikut piawaian keselamatan dan kualiti industri automotif. Alat ganti palsu pula mungkin kelihatan dan terasa seperti yang tulen, tapi komposisi bahan yang digunakan untuk membuat alat ganti ini jauh bezanya daripada alat ganti tulen.

Memandangkan kebanyakan alat ganti seperti ini boleh didapati pada harga jauh lebih murah daripada yang tulen, ia tidak mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh industri untuk mengurangkan kos pengeluaran dan boleh mendatangkan bahaya kepada lebih ramai pemandu yang menggunakannya.

Artikel berkaitan: Kereta Rosak? Kos Alat Ganti atau Spare Part Kereta yang Perlu Anda Tahu

Jadi, Apa yang Bahaya Mengenai Alat Ganti Palsu?

Memandangkan alat ganti palsu tidak memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti industri automotif, menggunakan alat ganti ini di dalam kereta anda boleh menyebabkan kerosakan, kegagalan enjin, dan juga mengakibatkan kemalangan.

Berikut adalah beberapa sebab mengapa menggunakan alat ganti palsu boleh mendatangkan bahaya kepada anda.

Fake Engine Filter

Kegagalan Enjin atau Kebakaran

Komponen seperti palam pencucuh, tali pemacu (serpentine belt), injap, dan penapis minyak adalah antara komponen-komponen penting yang memastikan enjin dan pemacu berfungsi dengan baik.

Menggunakan alat ganti palsu yang mungkin tidak sesuai dengan enjin anda bukan sahaja akan mengakibatkan kegagalan enjin tetapi juga boleh menyebabkan litar pintas dan kebakaran.

Kecederaan Akibat Cermin Depan

Cermin depan yang disyorkan oleh OEM telah dihasilkan mengikut piawaian keselamatan tertentu seperti kapasiti menggalas beban. Kapasiti menggalas beban ialah keupayaan maksimum material (dalam kes ini cermin depan) untuk menahan muatan sebelum ia gagal berfungsi.

Cermin depan tiruan yang tidak mengikut piawaian keselamatan ini mungkin akan terus retak atau pecah apabila terdedah kepada beban dan boleh membahayakan penumpang di dalam kereta. Pengelap cermin depan palsu juga tidak akan berfungsi dengan baik seperti yang tulen semasa hujan lebat kerana banyak pengelap cermin depan palsu tidak direka dengan lengkung dan bentuk yang sesuai untuk cermin depan anda.

Kegagalan Brek

Pad brek adalah antara bahagian paling penting dalam sistem brek dalam kereta. Jika anda menggunakan pad brek palsu, ia mungkin akan haus dengan tidak sekata dan agak cepat berbanding dengan pad brek yang tulen.

Anda mungkin menganggap yang ia cuma perbelanjaan tambahan yang anda perlu bayar untuk perkhidmatan servis yang seterusnya, tetapi sesetengah pad brek palsu yang diperbuat daripada bahan berkualiti rendah akan menyebabkan brek kereta anda menghasilkan bunyi bising.

Pad brek akan menghasilkan habuk apabila digunakan. Jika habuk ini dibiarkan terkumpul ia boleh menyebabkan getaran dan bunyi nyaring yang kuat apabila brek digunakan atau dilepaskan. Ini boleh membawa kepada kegagalan brek yang boleh menjadi sangat berbahaya.

Integriti Struktur Tergugat

Panel badan palsu biasanya tidak sejajar atau sepadan dengan baik pada zon renyuk dan tiang kereta. Sekiranya berlaku perlanggaran, panel badan yang tidak berada dalam kedudukan baik boleh membahayakan penumpang di dalam kereta apabila ia kemek dengan teruk.

Ketegangan Tayar Dikurangkan

Tayar adalah salah satu komponen kereta yang paling penting kerana ia menanggung berat kereta dan merupakan satu-satunya komponen yang menghubungkan kereta anda dengan jalan raya.

tires

Tayar celup atau tayar palsu cenderung kehilangan keteguhan terutamanya apabila menanggung beban yang tinggi dan mempunyai bunga tayar yang tidak baik yang boleh menjadi sangat berbahaya terutamanya pada kelajuan tinggi.

Apabila menggunakan tayar palsu, anda perlu berhati-hati kerana ia boleh meletup secara tiba-tiba dan serpihannya boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Dengan begitu banyak risiko yang ada dengan penggunaan alat ganti palsu, macam mana anda nak pastikan alat ganti anda adalah tulen? Kami ada caranya!

6 Cara untuk Kenal Pasti Alat Ganti Palsu

Memandangkan alat ganti kereta palsu berada di mana-mana sahaja, berikut adalah beberapa tanda-tanda yang boleh bantu anda kenal pasti alat ganti palsu.

 

1. Bungkusan

Alat ganti palsu biasanya dibungkus di dalam bungkusan yang murah dan nipis berbanding dengan alat ganti tulen yang dibungkus di dalam bungkusan yang berkualiti tinggi dan dihantar dengan berhati-hati. Untuk kenal pasti bungkusan yang palsu, bandingkan pembungkusan dan kaji perincian kecil seperti kualiti cetakan, material kotak, ketebalan, dan sebagainya.

2. Nombor Siri atau Hologram

Semua pengilang OEM mengeluarkan alat ganti dengan nombor siri atau hologram khusus mereka sendiri yang boleh digunakan untuk mengesan pengeluar asal. Sesetengah nombor siri OEM mungkin dicetak terus pada kotak atau pada alat ganti itu sendiri manakala untuk alat ganti palsu ia akan dicetak pada pelekat.

3. Kesilapan Ejaan

Lihat dengan teliti pada cetakan pada bungkusan dan arahan yang disertakan. Jika terdapat kesilapan ejaan atau tatabahasa, periksa alat ganti tersebut dengan teliti. Ia mungkin alat ganti tiruan.

4. Arahan yang Tidak Lengkap

Apabila anda membaca manual arahan alat ganti, pastikan ia masuk akal. Alat ganti palsu biasanya mempunyai arahan yang tidak lengkap, ayat yang mengelirukan, dan gambar rajah yang hilang atau salah.

5. Bahagian yang Tidak Sepadan

Bandingkan alat ganti yang anda beli dengan alat ganti lama dan perhatikan jika terdapat perbezaan warna, berat, dimensi, dan sebagainya. Perbezaan mudah seperti pengetat yang tidak sepadan menunjukkan yang anda mungkin telah membeli alat ganti yang palsu.

6. Harga Lebih Murah

Alat ganti tulen biasanya lebih mahal kerana kualitinya. Oleh itu, jika anda membeli alat ganti pada harga yang sangat murah, kemungkinan bahawa ianya palsu adalah sangat tinggi. Kebanyakan alat ganti tulen juga disertakan dengan pakej waranti, jadi dapatkan butiran waranti apabila anda membeli alat ganti.

Elakkan Alat Ganti Palsu & Pilih Pengilang yang Dipercayai

Memandangkan alat ganti palsu direka bentuk dengan meniru alat ganti tulen, memang susah nak bezakan yang palsu daripada yang asli. Ditambah dengan harganya yang murah, anda mungkin fikir yang anda boleh menjimatkan kos apabila menggunakannya.

Hakikatnya, anda mungkin akan membelanjakan lebih banyak wang untuk pembaikan dan penggantian yang kerap disebabkan oleh kualiti alat ganti yang tidak terjamin, dan ia juga mungkin akan membahayakan keselamatan anda. 

Inilah sebabnya anda digalakkan untuk menggunakan alat ganti tulen atau OEM walaupun harganya mungkin sedikit mahal. Apa salahnya jika berbelanja lebih sedikit untuk mendapatkan alat ganti yang dihasilkan mengikut piawaian kualiti dan keselamatan industri automotif demi menjamin keselamatan dan keselesaan pemanduan anda. Bak kata peribahasa, “alah membeli, menang memakai.”.

Artikel berkaitan: 15 Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian Semasa Servis Kereta Anda

Servis Kereta Anda Di Pusat Servis CARSOME Untuk Jaminan Alat Ganti Berkualiti

Kereta anda perlu diservis dan anda tak pasti nak hantar ke mana? Hantar kereta anda ke Pusat Servis CARSOME untuk diservis dan dibaiki oleh mekanik kami yang bertauliah menggunakan alat ganti yang dijamin berkualiti dengan pengebilan harga yang telus.

Selain itu, mekanik kami yang terlatih juga akan memeriksa kereta anda secara menyeluruh untuk membantu anda mengenal pasti pakej servis dan alat ganti yang kereta anda perlukan melalui pemeriksaan 20-titik percuma kami.

Semak lokasi Pusat Servis CARSOME di sini sebelum menghantar kereta anda atau klik sini untuk tempah sesi servis kereta secara dalam talian. Jumpa anda di sana!

Artikel berkaitan: Inilah Pusat Servis Kereta Yang Menjadi Idaman Rakyat Malaysia!

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular