HomeBMJalan Sesak Boleh Sebab Masalah Kesihatan Mental Yang Teruk!

Jalan Sesak Boleh Sebab Masalah Kesihatan Mental Yang Teruk!

Tersangkut dalam kesesakan jalan raya setiap hari boleh menjejaskan kesihatan mental anda, tapi sampai ke tahap mana? 

Tak pelik pun kalau ramai antara kita yang banyak kali pernah tersangkut dalam kesesakan jalan raya sampai tak boleh bergerak sepanjang hidup kita. Tapi kalau terpaksa hadap kesesakan yang sama hampir setiap hari, ia boleh memberikan kesan buruk bukan hanya kepada badan, tetapi juga kepada minda. 

Kemurungan dan Kegelisahan Itu Wujud 

Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, pakar psikiatri di Universiti Malaya berkata bahawa isu kesihatan mental seperti kemurungan dan kegelisahan boleh berlaku jika anda selalu terperangkap di dalam kesesakan trafik. 

Seperti yang dilaporkan oleh The Star, Dr. Muhammad berkata,”Tekanan akan makin bertambah jika seseorang itu sering lambat untuk ke tempat kerja dan diberikan teguran atau amaran oleh majikan yang boleh memberi kesan kepada emosi dan produktiviti kerja.” 

Jika anda ambil tahu lagi tentang isu kesihatan mental ini, anda juga akan tahu bahawa ia boleh menjejaskan kesihatan fizikal juga. Masalah seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung, kencing manis, kabur penglihatan, dan pelbagai lagi masalah kesihatan boleh muncul jika ia tidak diberikan perhatian. 

Waktu Pejabat Kena Kembali Anjal 

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebabkan oleh COVID-19, banyak syarikat telah menjadi lebih anjal dalam penetapan tempat dan masa kerja. Waktu kerja normal di pejabat telah diolah semula supaya anda dan rakan sekerja anda yang lain kekal selamat dan dilindungi. 

Ini menyebabkan beberapa perkara. Pertama sekali, walaupun pekerja tidak berada di pejabat seperti kebiasaannya tak bermakna kerja tidak disiapkan. Sebenarnya, ada perusahaan yang lebih berkembang walaupun dengan penetapan kerja yang anjal dari segi masa dan tempat. 

Untuk sebahagian orang, ianya satu kemudahan apabila tak perlu bangun awal pagi dan keluar rumah sebelum matahari terbit. Hanya semata-mata supaya mereka dapat sampai ke pejabat di Kuala Lumpur sebelum jam 9:00 pagi. Kalau tak, mereka dianggap lambat oleh majikan mereka. 

Artikel berkaitan: Mana Lagi Jimat: Pandu Sendiri Atau Naik Pengangkutan Awam?

Keluar Awal Atau Sangkut (Lama) Atas Jalan 

Saya sendiri tinggal di Bangi dan pejabat saya terletak di Mid Valley (bukan di tengah Lumpur pun) dan saya perlu keluar rumah seawal 6:30 pagi hanya semata-mata untuk elak tersangkut dalam kesesakan teruk selepas plaza tol Sungai Besi.

Ramai orang bergantung kepada jalan ini untuk ke tempat kerja dan kesesakan menjadi bertambah teruk selepas perintah kawalan pergerakan ditamatkan oleh kerajaan Malaysia untuk memasuki fasa endemik. 

Sekarang, banyak syarikat telah kembali kepada masa kerja normal yang bermakna ramai orang yang nak elak tersangkut dalam kesesakan jalan yang semakin teruk kini terpaksa keluar sebelum matahari terbit dan pulang ke rumah apabila hari dah gelap. Ini sangat menyedihkan untuk mereka yang dah berkeluarga,  dan itu akan memburukkan lagi keadaan kesihatan mental. 

Apa Yang Boleh Dibuat? 
Tak nak tersangkut dalam kesesakan jalan memerlukan pengurusan masa yang mantap. Bangun awal, siapkan semuanya lebih awal seperti menyediakan sarapan dan menghantarkan anak ke sekolah, dan keluar bekerja sebelum jalan mula sesak adalah penting. 

Syarikat dan perusahaan pula boleh dan sepatutnya meneruskan dengan waktu kerja anjal yang diamalkan seperti mana sebelum memasuki fasa endemik. Strategi yang sama yang digunakan syarikat konsesi lebuh raya yang menyarankan waktu terbaik untuk keluar pada musim perayaan. 

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim mengatakan bahawa pekerja di Malaysia boleh memohon untuk Aturan Kerja Fleksibel daripada majikan masing-masing bermula 1 September 2022 tetapi ia telah ditangguh ke tahun 2023. 

Selain daripada waktu kerja yang anjal, sistem giliran juga boleh digunakan tetapi ia perlu dipertimbangkan dan disesuaikan dengan operasi perniagaan syarikat. Ia boleh dilaksanakan dengan perancangan dan kira-kira yang betul. 

Kita dah pernah buat sebelum ini, kenapa kita tak boleh ulang kembali atau cuma teruskan dengan aturan anjal ini? 

“Kesihatan mental anda ialah segalanya – dahulukan ia. Luangkan masa seperti nyawa anda bergantung kepadanya, kerana anda memang bergantung kepadanya.” (Mel Robbins) 

Penafian: Artikel ini merupakan terjemahan daripada artikel “Traffic Jam Can Cause Mental Health Issue” yang diterbitkan di Wapcar.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular