HomeBMHentian Rehat Dan Rawat (R&R) Yang Wajib Anda Singgah Kalau Anda Balik...

Hentian Rehat Dan Rawat (R&R) Yang Wajib Anda Singgah Kalau Anda Balik Kampung Nanti!

Balik kampung ho ho ho~

Balik kampung ho ho ho~

Balik kampung~

Hati girang~~~

Haa…! Raya pun tak lama lagi jadi mesti ramai yang yang sedang merancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta. Perjalanan yang panjang ditemani pemandangan yang indah mengasyikkan pastinya akan menggamit memori semasa kecil pulang ke kampung, kan? 

Perjalanan pulang ke kampung takkan lengkap rasanya tanpa singgah ke hentian rehat dan rawat (R&R) yang ada di sepanjang lebuh raya rentas negeri seluruh Malaysia. Di R&R inilah anda singgah untuk solat, makan, membersihkan diri serta menyegarkan badan selepas beberapa jam memandu melalui jalan yang panjang. 

Artikel berkaitan: Ada Aksesori Kereta Ni, Travel Dengan Anak Kecil Jadi Mudah!

Ada beberapa hentian R&R di Malaysia bukan hanya menyediakan ruang untuk pemandu berehat, malah ia menjadi satu tarikan pelancongan yang tersendiri! Sebenarnya ada banyak hentian rehat dan rawat yang menarik untuk disinggahi jika anda memandu jauh merentasi negeri. 

Jadi, jika anda inginkan sedikit kelainan ketika pulang ke kampung, ini merupakan antara hentian rehat dan rawat yang wajib anda singgah jika ada kesempatan nanti! 

1. Mesin ‘Gedegang’ Telekung di Hentian R&R Seremban Arah Utara 

Mesin layan diri atau mesin ‘gedegang’ biasanya menjual makanan sedia dimakan tapi pernah tak anda jumpa mesin layan diri yang menjual telekung? 

Mesin ini wujud dan ia terletak di Hentian R&R Seremban arah utara. Ia diletakkan oleh jenama telekung terkenal Malaysia, Siti Khadijah. Tindakan ini telah berjaya menarik perhatian ramai kerana tidak banyak mesin layan diri yang menjual pakaian terdapat di Malaysia. 

Sumber: The Vocket

Menurut pengasas Siti Khadijah, mesin itu diletakkan untuk memudahkan urusan pengguna jalan raya dan juga pemandu wanita untuk menunaikan ibadah solat ketika berhenti di situ. Pada ketika itu, telekung tidak disediakan sebagai langkah mengurangkan penyebaran wabak COVID-19. 

Jika anda hendak pulang ke kampung daripada arah selatan ke utara, bolehlah singgah di hentian ini untuk mendapatkan tekelung melalui mesin ‘gedegang’ ini, sama ada untuk beribadah ataupun untuk dijadikan hadiah kepada mereka yang tersayang. 

Untuk lokasi, anda boleh klik DI SINI.

2. “Mini Shopping Mall” di Hentian R&R Rawang Arah Utara 

Jika anda sedang memandu ke arah utara dan melalui Rawang, hentian Rawang ini antara persinggahan yang boleh anda singgah untuk menyegarkan badan. 

Kalau anda biasa singgah di hentian R&R, gerai yang biasanya ada untuk pilihan makan-makan cumalah gerai nasi campur, nasi ayam, mi sup, atau masakan panas. Tetapi anda bukan hanya akan jumpa gerai-gerai begitu di hentian ini. 

Sumber: Foursquare

Di sini ada pelbagai gerai dan restoran yang menawarkan menu makan yang pelbagai. Anda sebut saja nak makan apa, mungkin ada gerainya di situ. 

Nak makan dim sum? Di sini ada gerai Muhammad Chan. Nak makanan segera? Ada A&W di sini. Anda tiba-tiba teringin nak makan susyi? Jangan risau sebab di sini ada cawangan Sushi King! 

Ya, hentian ini sudah seperti gedung beli belah mini dengan pelbagai restoran terkenal di bawah satu bumbung. Percayalah, anda akan puas dengan pilihan makan di sini! 

Untuk lokasi, anda boleh klik DI SINI.

3. Mi Kuah Tersedap di Hentian Gua Musang 

Jika anda ‘ore kelate’, maka hentian Gua Musang ini tak perlu lagi diperkenalkan. Di Gua Musang, ada dua hentian R&R. Yang hendak ditampilkan di sini ialah hentian baharu Gua Musang. 

Sumber: Kosmo

Hentian ini menawarkan pelbagai gerai yang menyajikan makanan melayu di samping makanan moden seperti piza, capati dan Tealive (di tengah kampung). Yang wajib dicuba di sini? Semestinya gerai mi kuah yang menyajikan pelbagai pilihan mi dan kuah yang akan mengisi perut anda sebelum meneruskan perjalanan. 

Untuk lokasi, anda boleh klik DI SINI.

4. Beli Lemang Tepi Highway?

Apabila masuk musim Aidilfitri, laluan ini cukup-cukup terkenal. Kenapa ia begitu terkenal? Kerana ia menjadi tumpuan warga kota untuk membeli lemang. Beli lemang di lebuh raya? Apa salahnya! 

Ya, artikel ini tentang hentian R&R tapi tarikan berbaloi untuk diletakkan dalam senarai ini kerana keunikannya. 

Sumber: MUDA Gombak

Di sepanjang MRR2 di Hulu Kelang (Zoo Negara hinggalah ke Gombak), ada banyak gerai yang menjual lemang. Ada antaranya sudah menjual lemang selama puluhan tahun di sini. 

Antara lemang yang terkenal di sini? Lemang Pak Ali. Lemang lagenda yang menjadi buruan warga kota apabila hari raya akan tiba. Jadi, ada kalanya jalan sesak di sini bukan hanya disebabkan mereka yang ingin pulang ke kampung tetapi juga bercampur dengan mereka yang ingin membeli lemang! 

Selain itu, anda juga boleh singgah membeli lemang di beberapa gerai lain yang kurang sesak. Paling menarik, ada gerai di sini yang menjual lemang sepanjang tahun. SEPANJANG TAHUN TAU! Kalau ada yang tiba-tiba mengidam lemang, anda boleh cari dan beli di sini. 

Untuk lokasi, anda boleh klik DI SINI.

5. Hentian Juru Arah Selatan 

Hentian yang terletak berhampiran Pusat Perniagaan Setia Sentral ini tidak seperti hentian yang lain. 

Mengapa begitu? Ini kerana restoran yang ada di sini mempunyai bangunannya yang tersendiri. Ini akan memudahkan pengguna jalan raya yang singgah terus menuju ke premis yang ingin mereka pergi. 

Hentian ini juga agak baharu jadi kemudahan yang ada masih lagi selesa untuk digunakan. 

Jadi, apa yang menariknya di sini? Kita ada restoran makanan segera seperti KFC, Mcdonald’s, Starbucks, dan Chicking (jarang dengar restoran ini). Restoran-restoran ini disusun berdekatan jadi tak susah untuk anda pergi dan singgah ke mana-mana premis yang anda nak. 

Untuk lokasi, anda boleh klik DI SINI.

6. R&R Terbesar Di Malaysia, Hentian Perasing 

Jika anda melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), anda boleh singgah di hentian R&R Perasing yang merupakan hentian R&R yang terbesar di Malaysia! 

Selain daripada boleh menyegarkan diri dan merehatkan badan, anda boleh menikmati pemandangan  hutan Terengganu yang sungguh cantik. 

Tapak permainan untuk kanak-kanak saja sudah cukup luas dan anda tak perlu risaukan tentang parkir kerana jumlah parkir di sini cukup banyak kerana kawasannya yang sangat luas! 

Untuk lokasi, anda boleh klik DI SINI.

7. Restoran Jejantas Di Hentian Sungai Buloh Arah Utara

Tak lengkap rasanya senarai ini tanpa restoran jejantas yang cukup ‘lejen’ di Malaysia iaitu Restoran Jejantas Sungai Buloh di Hentian Sungai Buloh arah utara.

Mungkin antara jejantas yang paling popular di Malaysia, ia mempunyai beberapa restoran makanan segera terkenal seperti KFC. 

Sumber: Picture Push

Yang menariknya, anda boleh menikmati sambil ‘terapung’ di atas Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Ini kerana anda boleh makan di meja dengan pemandangan menghadap PLUS. Menarik tapi seram. Tapi kalau gayat, anda tak payahlah cuba ya. 

Untuk lokasi, anda boleh klik DI SINI.

8. Hentian Titiwangsa, Hentian R&R Tertinggi Di Malaysia 

Hentian R&R di banjaran Titiwangsa? Tak ramai yang tahu tentang kewujudan sebuah hentian R&R di atas banjaran bukit. 

Hentian R&R Titiwangsa ini terletak di Lebuhraya Timur-Barat di Grik, Perak. Disebabkan ia terletak di atas banjaran bukit, hentian ini menjadi tumpuan kerana pemandangan penuh kehijauan yang disajikan kepada pengguna jalan raya yang datang singgah. 

Bagaimana nak sampai ke sini? Jika anda berada di Grik, cari dulu Tasik Temenggor dan kemudian anda boleh memulakan perjalanan memandu mendaki jalan berbukit untuk sampai ke situ. Perjalanan mendaki akan mengambil masa kira-kira 30 minit jadi ia bukanlah perjalanan yang pendek. 

Kalau susah sangat, anda boleh saja gunakan Google Maps atau mana-mana aplikasi peta yang ada. 

Artikel berkaitan: Signal Abang Lori Yang Patut Anda Ambil Tahu!

Perjalanan yang panjang itu berbaloi apabila anda disajikan dengan pemandangan yang indah merentasi Banjaran Titiwangsa yang juga menjangkau sehingga ke Hutan Simpan Belum. 

Untuk lokasi, anda boleh klik DI SINI

Singgah Untuk Segarkan Mata dan Badan

Jika anda berkesempatan, anda bolehlah singgah di mana-mana hentian yang telah disenaraikan jika ia berdekatan dengan laluan anda. 

Kenapa anda wajib berhenti rehat di hentian? Memandu untuk tempoh yang lama sangat tidak digalakkan dan anda harus berhenti berehat setiap empat jam setelah anda memandu. 

Berhenti rehat sebentar membolehkan anda membetulkan kembali kedudukan tubuh serta menyegarkan badan dan memulihkan kembali tenaga dengan makanan yang boleh dibeli di hentian. 

Untuk anda yang akan memulakan perjalanan pulang ke kampung tahun ini, diharapkan anda boleh merancang perjalanan anda dan pandulah dengan selamat. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin daripada kami di CARSOME! 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular