HomeBMSignal Abang Lori Yang Patut Anda Ambil Tahu!

Signal Abang Lori Yang Patut Anda Ambil Tahu!

Pernah tak, ketika memandu di atas lebuh raya terutama sekali jika anda memandu berhampiran lori yang besar, pemandu lori akan menghidupkan lampu isyarat lori. Kadang-kadang lampu isyarat kanan dihidupkan. Kemudian, tiba-tiba lampu isyarat sebelah kiri pula dihidupkan. 

Mesti ada yang fikir, “Abang lori ni suka betul main lampu signal eh?”. 

Sebenarnya, pemandu lori bukanlah sengaja pasang lampu isyarat lori sesuka hati. Dah nama pun lampu isyarat kan? Mestilah ia digunakan untuk mengisyaratkan sesuatu. Tapi apa yang cuba diisyaratkan oleh pemandu lori ini? 

Sebelum diterangkan dengan lebih lanjut, kebanyakan pemandu dan pengguna jalan raya (termasuklah penulis sendiri) akan berasa gerun apabila memandu atau menunggang berhampiran lori terutama lori bersendi yang besar. Kalau boleh, kita nak cepat-cepat pandu atau tunggang melepasi lori yang di hadapan ataupun sebelah kita. 

Banyak berita kemalangan maut yang melibatkan lori. Ini belum masuk cerita tentang tabiat sebahagian pemandu lori yang suka memandu laju dengan muatan berat. Seperti kes kemalangan lori di selekoh ini. Gara-gara lori dipandu laju, muatan yang dibawa terjatuh dan menimpa kereta lain dan menyebabkan kecederaan serius kepada pemandu kereta.

Artikel berkaitan: Perkara Yang Anda Perlu Lakukan Sekiranya Kereta Terjunam Ke Dalam Air

Tetapi, sebahagian besar pemandu lori merupakan pemandu lori profesional. Mereka ini merupakan pemandu terlatih dan kebanyakannya berpengalaman mengendalikan lori membawa pelbagai jenis muatan. Kebanyakan mereka bekerja untuk syarikat logistik atau syarikat besar seperti syarikat petroleum. 

3 Isyarat Wajib Anda Tahu Daripada Abang Lori 

Ketika anda sedang memandu, tak kiralah di lebuh raya atau jalan raya dan anda bertemu dengan lori yang sedang dipandu, naluri pertama anda adalah, ‘kena potong lori ni!’. Kebanyakan lori terutama lori yang sarat dengan muatan berat akan dipandu perlahan. Sangat perlahan. Kalau anda berada di belakang mereka, anda akan tersangkut lama di situ.

Betul dah apa yang anda nak buat itu. Tak salah pun kalau nak potong laluan. Tiada masalah. Sebelum anda nak memotong, anda kena pastikan laluan di hadapan lori selamat untuk anda. Tapi macam mana nak lihat kalau ada lori besar menghalang pandangan anda? 

Ha! Inilah sebabnya pemandu lori ini pasang lampu isyarat mereka. Pemandu lori nampak segalanya daripada kokpit lori kerana kedudukan mereka lebih tinggi. Bergantung kepada lampu isyarat yang dipasang, ia boleh menunjukkan keadaan tertentu di sekitar lori. 

Ini 3 lampu isyarat yang sering digunakan oleh pemandu lori untuk berkomunikasi dengan pengguna jalan raya lain semasa memandu: 

1. Isyarat Sebelah Kanan Dipasang 

Kalau anda memandu menghampiri lori dengan isyarat sebelah kanan terpasang, anda mungkin kena berhati-hati pada ketika ini. 

Lampu isyarat sebelah kanan yang dipasang bermakna jalan di hadapan lori tidak selamat untuk dilalui. Mungkin ada halangan yang boleh menghalang kereta di sekeliling untuk melepasi lori. Ataupun mungkin ada lori atau kenderaan lain di hadapan lori tersebut. 

Isyarat sebelah kanan juga dipasang untuk memberitahu kenderaan di belakang bahawa ada kenderaan di laluan bertentangan jika jalan/lebuh raya yang dilalui hanya ada dua lorong sahaja. Jadi, jangan sesuka hati memotong jika anda ternampak isyarat kanan lori dipasang. 

2. Isyarat Sebelah Kiri Dipasang 

Kalau lampu isyarat sebelah kanan dimatikan dan lampu isyarat sebelah kiri pula dihidupkan, ini bermakna jalan di hadapan lori telah selamat untuk dilalui. Selain itu, ia juga bermakna tiada kenderaan di laluan bertentangan. Keadaan dah selamat untuk memotong. 

Semasa anda memotong, tak salah jika anda menunjukkan penghargaan kepada pemandu lori yang dah membantu anda. Hon satu kali untuk ucapkan terima kasih!

3. Isyarat Berganda Dipasang 

Lain pula kalau lampu kecemasan dipasang. Ia dipasang kebiasaannya ketika lori mendaki jalan berbukit. Selalunya, lori dengan muatan yang sarat dan berat akan memandu dengan lampu kecemasan dipasang. 

Kenapa lampu isyarat kecemasan dipasang? Ia untuk memberitahu kenderaan di belakang dan di keliling bahawa tidak selamat untuk berada di belakang lori. Jadi, adalah lebih baik untuk anda jarakkan sedikit daripada lori ini. Jika anda nak memotong, memotong dengan berhati-hati. 

BONUS! Tips Memandu Berhampiran Lori. 

Ini ialah tips bonus untuk anda. Terutama jika anda memandu di laluan yang sering dilalui oleh lori. 

1. Jangan pandu terlalu dekat! 

Pernah dengar cerita tentang tayar lori meletup ketika dipandu? Ataupun tayar lori tercabut semasa dipandu? Ya, ia boleh terjadi secara tiba-tiba. Sudah ada beberapa kes kemalangan yang terjadi melibatkan tayar lori meletup. Ada yang melibatkan kehilangan nyawa! Seperti kes kemalangan ini

Jika tayar lori tiba-tiba meletup. serpihan tayar boleh terkena pada kenderaan anda jika anda memandu atau menunggang terlalu dengan dengan lori. Disebabkan itulah, jangan pandu atau tunggang terlalu dekat dengan lori. Anda tak nak masuk dalam statistik kemalangan untuk tahun tersebut. Atau habiskan masa beberapa bulan dalam hospital. 

Artikel berkaitan: Terlibat dalam Kemalangan? Ini Perkara yang Anda Perlu Lakukan!

2. Jangan Memotong Di Sebelah Kiri Lori

Pemandu lori memandu di sebelah kanan. Oleh itu, titik buta sebelah kiri untuk lori adalah lebih besar di sebelah kiri berbanding di sebelah kanan. Disebabkan itulah, kalau anda nak memotong lori, jangan potong di sebelah kiri lori. 

Ada kemungkinan besar pemandu lori tidak akan nampak yang kenderaan anda sedang memotong di sebelah kiri jalan. Lagipun, memotong di sebelah kiri jalan adalah menyalahi undang-undang, tak kiralah apa kenderaan yang anda potong laluannya. 

3. Jangan Brek Ketika Memotong Lori 

Jika anda nak memotong lori, tak kiralah anda pemandu kereta atau penunggang motosikal, pastikan anda memecut laju semasa memotong. Paling penting, jangan membrek setelah anda memotong dan berhenti terus di hadapan lori! 

Lori terutama yang sarat dengan muatan memerlukan jarak berhenti yang panjang dan masa yang lama untuk memberhentikan lori. Jika anda membrek di hadapan mereka, mereka tidak akan sempat berhenti, dan anda? Berkemungkinan besar tidak selamat dan/atau tidak lagi bernyawa. 

Tidak Semua Abang Lori Tak Beretika 

Bukan semua pemandu lori itu suka memandu dengan laju dan melulu. Kebanyakan mereka merupakan pemegang lesen GDL. Ada di antara mereka merupakan pemandu profesional yang telah memandu jentera berat selama bertahun-tahun. 

Jadi, jika anda terjumpa lori yang memasang lampu isyarat seperti di atas, anda dah tahu apa yang perlu dibuat untuk memastikan anda boleh memandu dengan selamat! 

Juga, amalkan langkah-langkah selamat jika anda memandu berhampiran lori. Kadang-kadang, anda terpaksa mengalah kerana mereka lebih besar daripada kereta anda dan memerlukan ruang yang lebih untuk dipandu. 

Untuk itu, hati-hati memandu dan jaga diri! 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular