HomeBMElakkan Kereta Anda Berbau Busuk Dengan 8 Tips Mudah Gila Ini!

Elakkan Kereta Anda Berbau Busuk Dengan 8 Tips Mudah Gila Ini!

Baru saja masuk kereta, hidung anda dah kembang kempis. Anda mula cari punca yang buatkan hidung anda berasa tak selesa hari itu, bau busuk. Bau busuk dalam kereta ini jangan dibuat main, ia boleh rosakkan mood seseorang pada hari itu! 

Puas dah anda cari – bawah kerusi, celah kerusi, atas lantai, dalam but kereta. Tapi anda langsung tak jumpa. Kadang-kadang bau itu bukanlah bau bangkai tapi bau hapak yang tidak menyenangkan. 

Sebenarnya ada banyak punca yang menyebabkan kereta anda berbau busuk. Puncanya mungkin datang daripada punca yang paling anda takkan sangka! Oleh itu, kami akan berkongsi tips dan cara untuk elakkan bau busuk dalam kereta. 

1. Bersihkan Atau Tukar Karpet Kereta 

Mungkin antara punca kereta anda berbau busuk dan tidak menyenangkan adalah berpunca daripada karpet kereta anda. Tanya diri anda sendiri. Bila kali terakhir anda cuci kereta anda? Lagi sekali, sambil pandang karpet kereta anda – bila kali terakhir anda tukar karpet anda? 

Karpet yang jarang dicuci boleh mengumpulkan kekotoran daripada kaki mereka yang memasuki kereta anda. Termasuklah anda sendiri! Juga, apabila anda makan, sisa makanan akan terjatuh ke atas karpet. Kalau tidak dicuci, sisa makanan tersebut boleh menyebabkan bau busuk. 

Sangat-sangat disarankan untuk anda mencuci karpet kereta anda sekurang-kurangnya seminggu sekali. Keluarkan daripada kereta anda, kibas-kibaskan untuk buang segala kekotoran yang ada dan basuh dengan air yang bersih. Jemur hingga kering dan karpet anda boleh digunakan kembali. Atau anda boleh pergi ke mana-mana pusat cucian kereta untuk cuci karpet kereta anda. 

Untuk penukaran karpet pula, anda boleh tukar karpet kereta setiap tiga hingga lima tahun. 

2. Servis Penyaman Udara Mengikut Jadual

Kadang-kadang kereta berbau busuk ini terjadi apabila anda pasang penyaman udara anda. Bau yang keluar daripada saluran udara tu, fuh! Pastinya perjalanan anda tidak akan selesa dengan bau sebegitu. 

Oleh sebab itulah, servis penyaman udara adalah perkara yang anda jangan lupa untuk buat. Setahun sekali saja dan jadual servis juga telah ditetapkan oleh pengeluar kereta. 

Kenapa kena servis penyaman udara? Dalam saluran penyaman udara, ada bermacam unsur dan benda kotor yang terkumpul kerana ia menyedut udara daripada luar. Unsur seperti spora kulat, habuk, dan bendasing lain boleh menyebabkan kereta anda berbau busuk. 

Tetapi kalau kereta anda berbau busuk jika penyaman udara dipasang, adalah lebih baik untuk anda terus ke pusat servis untuk diperiksa. Takut lama-lama kalau dibiarkan, bau itu akan diresapi oleh kerusi kereta anda. 

3. Pasang Perangkap Lipas

Tipulah kalau anda kata anda tak pernah makan dan minum di dalam kereta anda. Lagi-lagi dalam perjalanan yang panjang, snek itu wajib. Tak salah kalau anda nak makan dalam kereta tetapi anda kena berhati-hati. 

Kalau dah makan, mestilah akan meninggalkan sisa. Walaupun satu habuk, ia akan terbiar lama sebelum dibersihkan. Sisa makanan ini sebenarnya boleh menarik perhatian serangga untuk masuk ke dalam kereta. Serangga apa? Lipas. 

Lipas ini serangga yang cukup licik. Ia akan bersembunyi dalam ceruk yang anda takkan boleh jumpa atau capai. Kadang-kadang anda dah puas cari tapi tetap tak jumpa. Paling teruk tentang lipas selain daripada apabila ia terbang? Ia boleh mengeluarkan bau yang busuk apabila ia membiak di dalam kereta anda. 

Cara mudah? Anda boleh beli perangkap lipas. Anda cuma perlu pasang dan biarkan di dalam kereta untuk semalaman hingga beberapa hari. Buat untuk beberapa kali hingga semua lipas telah berjaya dihapuskan. 

Anda boleh dapatkan atau beli perangkap lipas di mana-mana pasar raya ataupun klik saja DI SINI.

4. Jangan Merokok 

Tabiat yang biasa dilihat dalam kalangan pemandu Malaysia, tanpa mengira kaum dan jantina adalah merokok di dalam kereta. Merokok boleh meninggalkan kesan buruk, bukan sahaja kepada badan anda tetapi juga kepada kereta anda. Bau rokok yang kuat boleh meresap ke dalam fabrik kerusi kereta anda. 

Artikel berkaitan: Tabiat Unik Rakyat Malaysia Semasa Memandu di Jalan Raya

Tak cukup dengan itu, asap rokok juga boleh menyebabkan bahagian dalaman kereta anda menjadi kotor. Kalau anda nak merokok sekali pun, berhenti dahulu di mana-mana untuk merokok di luar kereta anda.

5. Jangan Simpan Kereta Lama-lama 

Ada di antara anda yang memiliki lebih daripada dua buah kereta dan anda simpan kereta anda di dalam garaj atau tempat letak kereta. Awas, apabila anda masuk semula ke dalam kereta ini, bau busuk hapak dan kurang menyenangkan akan menyapa anda dahulu! 

Oleh sebab itu, tidak digalakkan untuk anda menyimpan kereta anda dalam tempoh masa yang lama. Lagi-lagi kereta tersebut tidak dibersihkan dengan betul sebelum disimpan. Segala sampah dan sisa di dalam kereta tersebut akan membusuk sepanjang ia disimpan. 

Sesekali, keluarkan kereta anda untuk dibersihkan sekalipun tiada sampah yang ada di dalam kereta anda. 

Kalau anda ada kereta yang tak lagi digunakan lagi-lagi kalau kereta moden, jual saja kepada CARSOME. CARSOME menawarkan nilai tertinggi bergantung kepada keadaan dan perbatuan kereta anda. Daripada dibiarkan tidak digunakan, lebih baik dijual. Anda juga yang untung mendapat hasil! Klik DI SINI untuk mula menjual kereta anda. 

Artikel berkaitan: 10 Barang Penting yang WAJIB Beli untuk Kereta Baharu Anda

Tips Bonus Untuk Hilangkan Bau Busuk Kereta! 

Ada beberapa cara mudah yang anda boleh gunakan untuk hilangkan bau busuk daripada dalam kereta ini. Antaranya: 

1. Daun Pandan 

Mudah. Murah. Mesra alam. Daun pandan ini adalah pewangi semula jadi yang bukan hanya boleh digunakan untuk membuat pencuci mulut dan kuih, tetapi juga boleh dijadikan sebagai pewangi kereta. 

Cuma perlu beli daripada kedai runcit atau minta (bukan curi ya!) daripada mana-mana jiran yang menanam tumbuhan ini. Ikat kemas-kemas dan letak di dalam kereta – seperti di dalam but, celah kerusi atau di dalam laci papan pemuka dan lain-lain tempat.

Oh ya, jangan lupa untuk buang daun pandan tersebut jika ia telah kering dan gantikan dengan daun baharu. 

2. Soda Bikarbonat 

Bau busuk dan hapak dalam kereta ini berpunca daripada kerusi kereta yang telah menyerap bau. Jadi, antara tips yang mudah dan murah anda boleh gunakan adalah menggunakan soda bikarbonat. 

Caranya? Taburkan saja soda bikarbonat di atas kerusi kereta anda. Biarkan seketika dan bersihkan soda yang telah ditabur. Anda boleh gunakan penyedut hampagas untuk membersihkan soda bikarbonat.  

3. Cuci Perinci atau Detailing  

Untuk sesiapa yang tidak tahu apa itu cuci perinci atau detailing ini, ia adalah satu proses mencuci kereta tetapi proses mencucinya lebih terperinci. Setiap ceruk kereta anda akan dicuci dengan teliti oleh pakar. 

Setiap habuk akan dipastikan tidak wujud lagi selepas proses cuci perinci ini. Kereta anda kelihatan seperti baharu! Tetapi cuci perinci ini kebanyakannya agak mahal. Bergantung kepada jenis kereta dan pencucian yang macam mana anda mahukan, harganya lebih kurang RM200 hingga RM900. Tapi jangan risau, sekali setahun anda cuci perinci kereta anda pun dah cukup. 

Artikel berkaitan: Jangan Simpan Barang Ini Dalam Kereta!

Cuci perinci ini adalah cara terakhir kalau anda dah tak tahan sangat dengan bau busuk dalam kereta anda dan anda dah cuba semua tips yang anda tahu. 

Pastikan Kereta Anda Bersih, Luar Dan Dalam! 

Antara punca utama kereta berbau busuk adalah kerana kebersihan kereta tidak dijaga dengan baik. Ada sesetengah orang cuma mengambil berat tentang penampilan luaran kereta tetapi mengabaikan kebersihan kereta. 

Ubah tabiat anda supaya kereta anda kekal bersih dan berbau harum! 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular