Malaysia sememangnya terkenal sebagai sebuah negara yang beridentitikan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya. Masyarakat di Malaysia hidup dengan mengamalkan kehidupan bermasyarakat yang harmoni berasaskan persefahaman, tolak ansur dan hormat-menghormati. Apabila ditanyakan tentang keunikan Malaysia, rata-rata mungkin berpendapat makanan di Malaysia menggambarkan Malaysia secara tepat. Setiap kaum dan negeri di Malaysia mempunyai makanan tradisi popular yang tersendiri. Namun sebenarnya, selain makanan, terdapat perkara lain yang sangat unik dan menarik yang melambangkan identiti Malaysia – tabiat pemandu Malaysia di jalan raya!
Tabiat Unik Rakyat Malaysia Semasa Memandu di Jalan Raya
Secara amnya, rakyat Malaysia kebanyakannya mengamalkan sikap baik, beradab, penuh sopan santun dan berbudi bahasa. Senyuman dan ucapan seperti “Tolong”, “Terima kasih” dan sebagainya tidak lekang daripada bibir dalam kehidupan seharian. Namun begitu, sikap dan budaya ketimuran ini tidak lagi dirasakan atau ditolak ke tepi terutamanya semasa memandu di jalan raya sehinggakan ada segelintir masyarakat yang berpendapat “Rakyat Malaysia memang bersopan-santun, tapi tidak di jalan raya”. Betul ke? Sempena sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64, CARSOME kongsikan 8 tabiat unik pemandu kereta di Malaysia.
1. Dah Lah Double Park, Tak Letak Nombor Pulak Tu
Situasi double park ini merupakan situasi yang biasa berlaku di Malaysia lebih-lebih lagi di kawasan tumpuan ramai seperti restoran famous dan sebagainya. Anda akan mendapati banyak kereta diletakkan di bahu kiri dan kanan jalan sehingga menimbulkan kesesakan. Malah lebih menjengkelkan, sudahlah double park nombor telefon pula tidak ditinggalkan sehinggakan terpaksa membazirkan masa menunggu pemilik kenderaan selesai urusan.
Malah, ada juga sesetengah pemandu kenderaan yang mengambil kesempatan dan menyalahgunakan tempat letak kereta OKU dan kawasan laluan pejalan kaki. Situasi sebegini bukanlah situasi yang asing. Anda sendiri juga mungkin pernah melihat sendiri gelagat sesetengah pemilik kenderaan yang pentingkan diri seperti ini. Ini belum lagi termasuk sesetengah pemandu yang meletakkan kereta secara senget sehinggakan dua kotak parking yang boleh memuatkan dua buah kereta hanya untuk keretanya seorang. Macam-macam ragam!
2. Kemalangan Lane Kiri, Kenapa Lane Kanan yang Jammed?
Ini merupakan tabiat pelik yang sering dilakukan oleh rakyat Malaysia semasa memandu di jalan raya. Sikap terlebih peduli, busy body dan makcik bawang sesetengah pengguna di Malaysia menyebabkan kesesakan jalan raya berlaku. Di Malaysia, salah satu penyebab utama kesesakan jalan raya bukanlah kemalangan, tetapi disebabkan oleh pengguna lain yang ingin melihat kemalangan tersebut. Kebanyakan pemandu kereta di Malaysia gemar memperlahankan kenderaan semata-mata untuk menyaksikan kejadian kemalangan tersebut.
Lebih menghairankan, kemalangan berlaku di laluan kanan, tetapi ketiga-tiga lorong di laluan kiri yang sesak teruk. Malah yang lebih memburukkan keadaan, ada sesetengah pemandu yang sanggup memberhentikan kenderaan di bahu jalan semata-mata untuk melihat sendiri kemalangan yang berlaku dari jarak yang lebih dekat.
3. Guna Lorong Kanan, Tapi Pandu Perlahan
Memandu dengan perlahan di lorong laju bukan sahaja boleh membahayakan pengguna lain, malah boleh menyebabkan kesesakan dan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya. Ini kerana, kemalangan boleh berlaku sekiranya kenderaan yang memandu laju di lorong kanan terpaksa menekan brek secara mengejut ketika menghampiri kenderaan yang dipandu perlahan. “Biar lambat asal selamat” – anda mungkin pernah mendengar peribahasa ini, namun dalam kes ini memandu lambat di lorong paling kanan bukanlah suatu tindakan yang bijak. Anda disarankan untuk bertukar ke lorong kiri jika anda ingin pandu perlahan bagi memberi laluan kepada kenderaan lain.
Lorong kanan dikhususkan untuk memotong dan pemanduan laju, patuhi papan tanda “Ikut Kiri Jika Tidak Memotong”. Sikap tidak prihatin dengan memandu perlahan di lorong kanan bukan sahaja menyumbang kepada kesesakan, malah boleh membangkitkan kemarahan dan jelingan tajam pemandu lain terutamanya pada waktu puncak. Selain itu, ada juga sesetengah pemandu yang gemar memotong di lorong kecemasan terutamanya semasa kesesakan lalu lintas. Perbuatan sebegini bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah ia juga boleh membahayakan nyawa orang lain terutamanya penunggang motosikal. Lebih mengundang kemarahan, sudahlah memotong di laluan kecemasan, nak masuk lorong pun tak gunakan signal!
4. Tak Guna Signal Kereta, Tapi Guna Niat
Secara amnya, signal kereta digunakan untuk memberi amaran kepada pemandu lain bahawa anda ingin membelok, memotong atau menukar lorong. Meskipun begitu, kebanyakan pemandu di Malaysia jarang menggunakan signal dan beranggapan bahawa pemandu lain boleh membaca niat mereka untuk membelok. Anda mungkin pernah berdepan situasi menunggu kenderaan yang datang dari arah kanan untuk melepasi anda terlebih dahulu sebelum keluar simpang. Namun secara tiba-tiba, kenderaan tersebut memasuki simpang tanpa memberikan sebarang signal.
Bagi anda yang mungkin pernah melalui situasi sebegini, tiada perkataan yang boleh menggambarkan kemarahan dan kegeraman pada ketika itu. Perbuatan sebegini bukan sahaja membuang masa pemandu lain, malah dalam kes tertentu ia boleh mengundang bahaya dan mengakibatkan kemalangan.
5. Lampu Isyarat Baru Tukar Hijau, Orang Belakang Dah Hon
Kebanyakan daripada anda mungkin pernah berdepan dengan situasi pemandu yang kurang sabar dan gemar “mencucuk” daripada belakang. Kesabaran anda mungkin teruji sekiranya anda berdepan dengan pemandu sebegini. Meskipun anda ingin cepat sampai ke lokasi, sentiasa amalkan pemanduan yang selamat dan bertimbang rasa sepanjang pemanduan. Perbuatan “mencucuk” atau mengekori kenderaan lain terlalu rapat bukan sahaja boleh membahayakan nyawa anda, ia juga boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan atau pertelingkahan sekiranya kemalangan.
Selain “mencucuk” kereta, antara perangai unik lain pemandu kereta di Malaysia ialah menekan hon setelah satu saat traffic light bertukar hijau. Anda mungkin pernah berdepan dengan situasi sebegini dan tidak dinafikan ia sudah seperti menjadi tabiat pemandu di Malaysia terutamanya di kawasan bandar-bandar besar. Ramai yang berpendapat orang Malaysia tidak penyabar, mungkin ini salah satu buktinya?
6. Ada Roadblock? Highbeam Lampu
Secara amnya, lampu depan kereta atau lampu tinggi digunakan untuk meningkatkan jarak penglihatan terutamanya semasa pemanduan pada waktu malam atau semasa cuaca buruk. Namun begitu, lampu tinggi juga digunakan sebagai “kod rahsia” dalam kalangan pemilik kereta semasa berada di jalan raya. Oleh sebab masyarakat Malaysia terkenal dengan keprihatinan yang tinggi, lampu tinggi akan dinaikkan untuk memberi amaran kepada pemandu lain. Ia biasanya digunakan untuk memaklumkan pemandu di laluan bertentangan bahawa terdapat speed trap atau roadblock di hadapan.
Meskipun begitu, anda tidak digalakkan untuk berbuat sedemikian. Ini kerana, perbuatan menaikkan lampu tinggi untuk memberi amaran kepada pengguna lain tentang speed trap atau roadblock adalah salah di sisi undang-undang. Anda boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati bersalah. Jangan kerana nak tolong orang, diri sendiri pula yang dikenakan saman.
7. Selain Keselamatan, Steering Lock Ada Fungsi Lain
Steering lock atau kunci stereng merujuk pada rod logam berat yang digunakan untuk mengunci stereng. Ia merupakan perlindungan tambahan yang digunakan untuk mengelakkan stereng daripada bergerak sekali gus mengurangkan risiko kecurian. Secara amnya, terdapat banyak pilihan steering lock yang dijual di pasaran. Steering lock seperti bat besbol merupakan salah satu jenis kunci stereng yang biasa digunakan oleh kebanyakan pemilik kenderaan di Malaysia.
Selain tujuan keselamatan, rakyat Malaysia juga menggunakan steering lock sebagai alat untuk mempertahankan diri sekiranya berlaku road rage atau buli jalanan. Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang wanita menghentak sebuah kereta Toyota Camry dengan steering lock selepas pemandu Toyota terbabit dikatakan melanggar kereta Volvo miliknya dan menolak bapanya. Meskipun begitu, anda disarankan untuk sentiasa bersabar, bertimbang rasa dan tidak menggunakan kekerasan semasa di jalan raya untuk mengelakkan situasi menjadi lebih buruk.
8. Hanya di Malaysia: The Power of Hand
Jika anda masih ingat semasa ingin mendapatkan lesen memandu, anda diajar untuk menggunakan tangan secara manual bagi menandakan isyarat berhenti, ke kiri atau kanan dan bertukar lorong sekiranya signal kereta tidak berfungsi. Namun di Malaysia, isyarat tangan juga digunakan untuk mengucapkan terima kasih kepada pemandu lain sekiranya mereka memberi keutamaan laluan kepada kenderaan anda terutamanya semasa trafik sesak. Malah lebih menarik, isyarat tangan juga turut digunakan oleh pejalan kaki. Isyarat tangan akan dinaikkan untuk memberi isyarat kepada pemandu kereta untuk memperlahankan kenderaan bagi memberi laluan kepada mereka untuk melintas. Jangan main-main dengan the power of hand ya!
Sentiasa aplikasikan tips pemanduan yang selamat dan amalkan sikap tolerasi terutamanya semasa berada di jalan raya. Tabiat pemanduan sebegini meskipun perlu dielakkan, ia secara tidak langsung mewarnai kehidupan masyarakat di Malaysia hari ini.
Sekiranya anda ingin membeli kereta second hand atau menjual kereta terpakai anda, layari laman web CARSOME atau muat turun aplikasi mudah alih kami dan kami akan membantu anda! CARSOME adalah platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan perkhidmatan jual beli kereta terpakai yang selamat dan mudah dengan pembayaran pantas dan tawaran harga terbaik.