HomeBMUjian Memandu: Syarat Asas, Cara Daftar, Kelas dan Ujian Lesen Memandu Malaysia

Ujian Memandu: Syarat Asas, Cara Daftar, Kelas dan Ujian Lesen Memandu Malaysia

Lesen memandu merupakan dokumen rasmi yang membolehkan seseorang individu mengendalikan sesebuah kenderaan bermotor tidak kira sama ada kereta, motosikal, lori atau bas. Kebiasaannya, peraturan berkaitan lesen memandu adalah berbeza mengikut negara. Di Malaysia misalnya, pemandu yang ingin menggunakan kenderaan bermotor di atas jalan raya diwajibkan untuk lulus ujian memandu sebelum lesen memandu boleh dikeluarkan.

Untuk anda yang masih belum memiliki lesen memandu dan sedang berkira-kira untuk menjalani ujian memandu, Carsome menyenaraikan harga lesen kereta dan motor terkini, langkah pendaftaran yang perlu dilakukan untuk mendapatkan lesen memandu dan maklumat-maklumat lain yang berkaitan untuk panduan anda.

latihan di litar sekolah memandu

Syarat Asas untuk Mendapatkan Lesen Memandu Malaysia

Ujian memandu di Malaysia boleh dilakukan dengan syarat seseorang individu melepasi keperluan-keperluan asas yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ):

  1. Kelayakan umur;
  2. Tahap kesihatan bakal pemandu – sihat tubuh badan, boleh melihat dengan baik sehingga jarak sekurang-kurangnya 23 meter dan tidak buta warna;
  3. Mampu memahami peraturan dan undang-undang jalan raya di Malaysia.

Bagi aspek kelayakan umur, seseorang individu yang ingin menjalani ujian memandu perlu melepasi kriteria umum minimum yang ditetapkan bergantung pada jenis lesen dan kenderaan yang ingin dipandu seperti berikut:

  1.  16 tahun dan ke atas – Lesen memandu (motosikal) kelas A, B2, B penuh atau C;
  2. 17 tahun dan ke atas – Lesen memandu (kereta) kelas D atau DA;
  3. 21 tahun dan ke atas – Lesen memandu kelas E hingga kelas I (memiliki lesen CDL yang sah).

Bagi calon OKU pula, calon perlu mendapatkan borang pemeriksaan kesihatan daripada mana-mana cawangan-cawangan JPJ berdekatan. Calon juga perlu mendapatkan pengesahan layak memandu atau menunggang daripada Pegawai Perubatan di mana-mana klinik atau hospital kesihatan kerajaan. Bagi pemohon bukan warganegara atau penduduk tetap, calon perlu memiliki pasport dan visa pelawat yang sah bagi tempoh sekurang-kurangnya 1 bulan untuk melayakkan diri untuk mendapatkan lesen kereta atau motor di Malaysia.

Jenis dan Kelas Lesen Memandu di Malaysia

Jenis dan kelas lesen memandu di Malaysia ditetapkan berdasarkan tahap kelayakan pemandu serta jenis kegunaan kenderaan. Carsome menyenaraikan lima jenis lesen memandu berdasarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia seperti berikut untuk panduan anda:

1. Learner Driving License (LDL) atau Lesen Belajar Memandu

    • Lesen L ini membolehkan seseorang individu belajar memandu mengikut kelas yang ditetapkan seperti B, B2, D dan E di bawah pengawasan jurulatih berpengalaman Institut Memandu.
    • Lesen perlu diperbaharui setiap 3 bulan atau 6 bulan jika masih belum mengambil atau masih belum lulus ujian JPJ.
    • Tempoh sah lesen L ialah selama 2 tahun bermula tarikh ia dikeluarkan. Jika lesen L telah tamat tempoh 2 tahun, anda perlu mengulangi semula proses daripada awal untuk mendapatkan lesen memandu.

2. Probationary Driving License (PDL) atau Lesen Memandu Percubaan

    • Lesen P diberikan kepada pemandu baharu yang telah lulus ujian dan prosedur pembelajaran Institut Memandu.
    • Lesen ini sah untuk tempoh dua tahun.

3. Competent Driving License (CDL) atau Lesen Memandu Kompeten

    • Ia merujuk pada lesen memandu penuh yang sah yang diberikan kepada pemandu setelah tamat tempoh percubaan selama dua tahun.

4. Vocational Driving License (VDL) atau Commercial Driving License atau Lesen Memandu Vokasional

    • Ia merupakan lesen memandu khas untuk pemandu kenderaan komersial seperti lori dan bas.
    • Lesen ini dikeluarkan secara bersama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

5. International Driving Permit (IDP) atau Permit Memandu Antarabangsa

    • Lesen ini membolehkan warganegara Malaysia memandu kenderaan di luar negara.
    • Permohonan Permit Memandu Antarabangsa boleh dibuat di mana-mana pejabat JPJ Negeri atau Cawangan atau di pejabat Persatuan Automobil Malaysia (AAM).

Selain itu, kelas lesen memandu pula ditetapkan berdasarkan jenis dan kapasiti kenderaan. Carsome menyenaraikan senarai lengkap kelas lesen memandu seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia seperti berikut:

A Kenderaan Orang Cacat (Motosikal) dengan berat tanpa muatan tidak melebihi 450kg
A1 Kenderaan Orang Cacat (Motokar) dengan berat tanpa muatan tidak melebihi 3500kg
B Motosikal (Perseorangan) – melebihi 500cc
B1 Motosikal (Perseorangan) – tidak melebihi 500cc
B2 Motosikal tidak melebihi 250cc
C Motosikal Tiga Roda
D Motokar – berat tanpa muatan tidak melebihi 3500kg
DA Motor Tanpa Pedal Klac – berat tanpa muatan tidak melebihi 3500kg
E Motokar Berat – berat tanpa muatan melebihi 7500kg
E1 Motokar Berat – berat tanpa muatan tidak melebihi 7500kg
E2 Motokar Berat – berat tanpa muatan tidak melebihi 5000kg
F Traktor/Jentera Bergerak Ringan (Beroda) – berat tanpa muatan tidak melebihi 5000kg
G Traktor/Jentera Bergerak Ringan (Berantai) – berat tanpa muatan tidak melebihi 5000kg
H Traktor/Jentera Bergerak Berat (Beroda) – berat tanpa muatan melebihi 5000kg
I Traktor/Jentera Bergerak Berat (Berantai) – berat tanpa muatan melebihi 5000kg
M Hukuman Mahkamah

sekolah memandu/institut memandu di Malaysia

Peraturan Ujian Memandu Baharu 2021

Berdasarkan peraturan baharu ujian memandu 2021, setiap institut memandu wajib memaparkan kadar bayaran harga baharu bagi lesen memandu motosikal atau kereta. Selain itu, setiap kenderaan yang digunakan turut akan dilengkapi dengan kamera untuk mengelakkan penguji mengambil kesempatan termasuk mengagalkan ujian tanpa sebab dan alasan yang kukuh. Ujian tanpa penguji akan turut dilaksanakan dan tiada lagi ujian praktikal bersama kakitangan JPJ akan dilakukan. Malah, ujian komputer juga akan dipantau sepenuhnya melalui sistem video dalam bilik ujian.

Ujian Memandu: Cara Daftar Lesen Memandu

Untuk anda yang ingin mendapatkan lesen kereta atau lesen motosikal buat pertama kali, Carsome menyenaraikan langkah-langkah di bawah untuk membantu memudahkan urusan mendapatkan lesen memandu pertama anda:

1. Daftar Lesen Memandu

Anda boleh hubungi Institut Memandu pilihan anda. Pegawai Pemasaran di Institut Memandu pilihan akan membantu menjawab segala persoalan dan menguruskan pendaftaran kursus untuk mendapatkan lesen memandu anda.

2. Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01)

Kursus KPP01 akan diadakan selama 6 jam dan biasanya dilakukan pada hujung minggu. Calon disarankan untuk berpakaian kemas dan sopan semasa mengikuti kursus ini.

3. Ujian Komputer Lesen Memandu

Setelah menghadiri kursus KPP01, calon perlu menduduki ujian Teori Undang-undang Komputer selama 45 minit. Markah lulus minimum untuk ujian ini ialah sebanyak 42/50. Jika gagal, calon perlu menduduki ujian ulangan. Anda boleh melihat contoh soalan ujian komputer lesen memandu di sini.

4. Lesen L

Calon akan diberikan Lesen L (Learner Driving License) dalam tempoh seminggu selepas lulus ujian komputer.

5. Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP02)

Kursus ini merujuk kepada latihan praktikal di dalam litar selama lapan jam. Bagi mendapatkan lesen motosikal, calon akan menjalani latihan praktikal seperti membuat pusingan 8, laluan titi, halangan kon, dan brek kecemasan. Bagi lesen kereta pula, calon perlu menjalani latihan praktikal seperti menaiki bukit, side parking dan ujian tiga penjuru.

6. Kursus Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP03)

Setelah selesai latihan memandu di dalam litar, calon akan menjalani Kursus KPP03. Ia merujuk pada latihan memandu di jalan raya di bawah pengawasan jurulatih berpengalaman Institut Memandu selama lapan jam. Borang belajar memandu (SM4) akan dikeluarkan setelah calon tamat menjalani latihan KPP.

7. Ujian QTI

Calon perlu menduduki Praujian sebelum menjalani Ujian Praktikal JPJ. Ujian ini akan dikendalikan oleh jurulatih bertauliah di Institut Memandu. Jika lulus, calon akan dibenarkan untuk menduduki Ujian Praktikal JPJ.

8. Ujian Praktikal JPJ

Calon yang lulus Ujian QTI akan menduduki Ujian Praktikal JPJ pada hari yang ditetapkan mengikut kekosongan Institut Memandu. Calon yang lulus Ujian Praktikal JPJ atau Ujian Memandu JPJ akan layak mendapat lesen memandu P. Manakala, calon yang gagal perlu menduduki semula ujian ulangan.

Senarai Institut Memandu di Seluruh Malaysia

Carsome turut menyenaraikan senarai penuh Institut Memandu yang berdaftar di seluruh Malaysia mengikut negeri sebagai rujukan anda:

Kuala Lumpur  Terengganu  Pulau Pinang  Negeri Sembilan  Kelantan
Perlis  Johor  Sabah  Selangor 
Pahang  Kedah  Melaka  Perak  Sarawak 

harga lesen kereta dan lesen motor malaysia terkini

Ujian Memandu: Harga Lesen Memandu (Motosikal dan Kereta) 2021

Harga dan kos bagi mendapatkan lesen memandu adalah berbeza mengikut negeri dan lokasi Institut Memandu. Namun begitu, Jawatankuasa Pelesenan Institut Memandu (JKPIM) di bawah pengurusan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah menetapkan harga siling bagi yuran pembelajaran dan latihan pemanduan di Institut Memandu. Penetapan harga siling ini secara tidak langsung memastikan kadar harga yang sama di setiap negeri dan turut membantu pengguna menikmati perkhidmatan dengan harga yang berpatutan.

Kelas Harga
Harga Lesen Motor B2 RM350 hingga RM450
B RM900 hingga RM1,100
Harga Lesen Kereta Manual D RM1,150 hingga RM1,300
Harga Lesen Kereta Automatik DA RM1,250 hingga RM1,500

Nota: Kadar harga lesen kereta dan motor ini adalah anggaran sahaja dan perubahan harga adalah tertakluk pada perkhidmatan tambahan lain yang ditawarkan oleh Institut Memandu.

Jika anda telah berjaya mendapatkan lesen dan mungkin mempertimbangkan untuk mendapatkan kereta terpakai baharu, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan tawaran harga terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular