HomeBMLesen Memandu Tamat Tempoh? Cara Renew Lesen Memandu Online 2021

Lesen Memandu Tamat Tempoh? Cara Renew Lesen Memandu Online 2021

Jika dahulu kita perlu menghabiskan lebih banyak masa dan perlu berurusan di kaunter untuk renew lesen memandu atau hidupkan lesen memandu, kini segala urusan berkaitan pembaharuan lesen memandu kini boleh dilakukan di hujung jari secara online. Ini kerana, pelbagai perkhidmatan dalam negara terutamanya melibatkan agensi kerajaan kini beralih daripada amalan tradisional kepada sistem aplikasi dalam talian selari dengan amalan norma baharu.

Alternatif seperti ini sememangnya membantu menggalakkan masyarakat untuk kekal duduk di keluar rumah disaat kita masih belum menang menghadapi pandemik Covid-19 ini. CARSOME menyenaraikan panduan dan cara renew lesen memandu online untuk rujukan dan panduan anda.

Renew Lesen Online 2021: Panduan Pembaharuan Lesen Memandu dan Tips Sambung Lesen Online

Menurut siaran media yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, pembaharuan lesen memandu atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal boleh dilakukan secara dalam talian melalui sistem MyEG bermula 9 Oktober 2020 yang lalu. Bagi Lesen Memandu Kompeten (CDL) pula, pembaharuan lesen memandu secara online boleh dilakukan bermula 16 Oktober 2020. Perkhidmatan pembaharuan lesen memandu secara dalam talian ini tersedia untuk urusan pembaharuan LKM kenderaan persendirian sahaja buat masa ini.

renew lesen memandu secara online

Namun begitu, pembaharuan secara dalam talian tidak boleh dilakukan bagi kelas lesen berikut, dan pemegang lesen ini perlu hadir sendiri ke JPJ berhampiran untuk memperbaharui lesen mereka:

  • Lesen Belajar Memandu atau Learner Driving License (LDL);
  • Lesen Memandu Percubaan atau Probationary Driving License (PDL).

Dalam kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pelaksanaan sistem pembaharuan lesen secara dalam talian ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam mendigitalisasikan perkhidmatan sedia ada, sekali gus membolehkan pembaharuan lesen tidak lagi perlu dilakukan di kaunter JPJ secara bersemuka.

Cara Renew Lesen Online 2021

CARSOME menyenaraikan cara perbaharui lesen memandu online untuk anda yang pertama kali ingin menggunakan aplikasi ini:

      1. Layari laman web rasmi MyEG. Jika anda belum mempunyai akaun dengan MyEG, anda perlu mendaftarkan akaun anda terlebih dahulu.  Tekan butang “Daftar Sekarang” (Register Now) dan isi maklumat yang diperlukan.
      2. Tekan butang “Daftar Masuk” (Login), kemudian pilih kawasan JPJ yang berdekatan dengan kediaman anda.
      3. Klik butang “Baharui Lesen Memandu” (Driving License Renewal).
      4. Kemudian, isi maklumat yang diperlukan dan pilih cara pembayaran anda. Sebelum mengesahkan pembayaran anda, pastikan segala maklumat yang diisi adalah betul dan tepat.
      5. Setelah selesai, simpan resit sebagai bukti jika perlu.
      6. Pihak MyEG akan menghantar lesen yang telah diperbaharui berdasarkan alamat yang diberikan.
      7. Caj RM5 dikenakan bagi penghantaran di sekitar Lembah Klang, RM6 bagi kawasan semenanjung Malaysia dan RM10 bagi Sabah dan Sarawak.

renew lesen online

Tempat Renew Lesen Memandu: Lokasi Hidupkan Lesen Memandu Secara Offline di Malaysia

Selain pembaharuan lesen memandu online, anda juga boleh memperbaharui lesen memandu di mana-mana Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri atau Cawangan, Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kaunter 1JPJ, kiosk eKhidmat dan rangkaian Pejabat Pos Malaysia Berhad.

Renew Lesen di Pejabat Pos (Pos Malaysia)

Selain perkhidmatan penghantaran, kewangan dan pembayaran bil, anda juga boleh perbaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan di Pejabat Pos (Pos Malaysia). Anda boleh sambung lesen kereta atau motosikal (renew lesen kereta) anda di kaunter Pejabat Pos di seluruh Malaysia. Biasanya, urusan pembaharuan lesen memandu dengan menggunakan perkhidmatan Pejabat Pos tertakluk pada caj perkhidmatan sebanyak RM2.

Cara Renew Lesen Kereta di Pejabat Pos

Berikut merupakan cara memperbaharui atau renew lesen memandu di Pejabat Pos:

        1. Hadir ke mana-mana rangkaian Pejabat Pos Malaysia berhampiran anda di seluruh Malaysia. Hadir awal untuk mengelakkan anda terpaksa menunggu lama;
        2. Ambil nombor giliran atau beratur;
        3. Serahkan dokumen yang diperlukan (kad pengenalan, lesen asal dan slip lesen – untuk pembaharuan kali pertama) kepada petugas di kaunter;
        4. Lakukan pembayaran dan tunggu pengesahan;
        5. Terima lesen baharu.

Renew Lesen di JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan)

Selain itu, urusan pembaharuan lesen memandu juga boleh dilakukan di mana-mana cawangan atau ibu pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan berdekatan anda. Kebiasaannya, proses memperbaharui lesen memandu memakan masa kurang daripada sejam bergantung pada jumlah pengunjung yang ada.

Cara Renew Lesen Kereta di JPJ

Berikut merupakan cara memperbaharui atau renew lesen memandu di JPJ:

        1. Hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan cawangan atau negeri berhampiran anda. Hadir awal untuk mengelakkan anda terpaksa menunggu lama;
        2. Ambil nombor giliran atau beratur;
        3. Serahkan dokumen yang diperlukan (kad pengenalan, lesen asal dan slip lesen – untuk pembaharuan kali pertama) kepada pegawai bertugas;
        4. Lakukan pembayaran dan tunggu pengesahan;
        5. Terima lesen baharu.

Renew Lesen di UTC (Pusat Transformasi Bandar)

Pusat Transformasi Bandar (UTC) merupakan salah satu inisiatif kerajaan Malaysia untuk memudahkan akses rakyat terhadap jaringan perkhidmatan agensi kerajaan dan sektor swasta. Antara agensi kerajaan yang tersedia di UTC ialah klinik, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pos Malaysia dan banyak lagi. Berikut merupakan senarai lokasi UTC renew lesen untuk anda memperbaharui lesen memandu anda.

        1. UTC Pahang, Pahang
        2. UTC Terengganu, Terengganu
        3. Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, Perak
        4. UTC KL, Kuala Lumpur
        5. Mini UTC Keramat, Kuala Lumpur
        6. Mini UTC Sentul, Kuala Lumpur
        7. UTC Melaka, Melaka
        8. UTC Johor, Johor
        9. Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah, Kedah
        10. Mini UTC Sungai Petani, Kedah
        11. Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching, Sarawak
        12. UTC Sibu, Sarawak
        13. UTC Miri, Sarawak
        14. Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah, Sabah
        15. UTC Tawau, Sabah

UTC renew lesen

Prosedur Renew Lesen Memandu: Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Secara amnya, pemilik kenderaan perlu memperbaharui lesen memandu dan memiliki cukai jalan yang sah untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan seperti saman trafik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). CARSOME menyenaraikan soalan paling popular yang sering ditanyakan oleh pemilik kenderaan berkenaan prosedur renew lesen memandu untuk rujukan dan panduan anda:

1. Lesen Memandu

Secara amnya, pemilik kenderaan boleh memperbaharui lesen memandu mereka dalam tempoh minimum satu (1) tahun hingga maksimum lima (5) tahun sahaja. Sekiranya lesen memandu tidak diperbaharui dalam tempoh tiga (3) tahun, pemilik kenderaan perlu menduduki semula ujian untuk mendapatkan lesen memandu.

Lesen Memandu Tamat Tempoh

Lesen CDL boleh diperbaharui semula dengan syarat tidak tamat tempoh melebihi tiga (3) tahun. Namun begitu, jika lesen memandu tamat tempoh melebihi tiga (3) tahun, anda perlu melakukan prosedur berikut:

  • Buat rayuan kepada Ketua Pengarah JPJ dengan menyatakan sebab-sebab lesen tamat tempoh.
  • Jika permohonan diluluskan, anda akan dikecualikan daripada menghadiri kursus KPP 1, ujian undang-undang, KPP 2 dan QTI.
  • Namun begitu, anda perlu menjalani ujian praktikal JPJ bahagian 2 (mendaki bukit, parking selari dan pusingan tiga penjuru) dan 3 (ujian jalan raya).
  • Jika permohonan tidak berjaya, anda perlu mengulangi semula prosedur untuk mendapatkan lesen memandu dari awal hingga akhir.

Tukar Lesen P ke Full

Mengikut prosedur yang ditetapkan, permohonan tukar lesen PDL ke CDL hanya dibenarkan dalam masa tujuh (7) hari sebelum tamat tempoh. Anda boleh tukar lesen P ke Full di pejabat-pejabat JPJ dan Urban Transformation Centre (UTC). Dengan prosedur yang mudah, anda boleh mendapatkan lesen CDL dalam masa hanya beberapa minit.

  • Pergi ke pejabat JPJ atau UTC berdekatan;
  • Isi borang JPJ L1;
  • Ambil nombor dan tunggu giliran;
  • Nyatakan kepada pegawai bertugas anda ingin tukar lesen P ke Full;
  • Serahkan kad pengenalan dan lesen P anda. Nyatakan juga tempoh pembaharuan lesen anda (antara satu hingga lima tahun);
  • Jika anda ingin tukar gambar di lesen, bawa bersama gambar dengan latar belakang berwarna putih berukuran 25 mm x 32 mm.

Renew Lesen P ke CDL Online (MyEG) atau di Pejabat Pos

Tidak. Proses renew lesen P ke CDL tidak boleh dilakukan secara online atau di Pejabat Pos. Selain itu, lesen GDL (Goods Driving License/Lesen Kenderaan Barangan) juga tidak boleh dilakukan secara online dan perlu diperbaharui di Pejabat JPJ. Namun begitu, lesen L dan lesen CDL tamat tempoh boleh diperbaharui di mana-mana cawangan pejabat pos, UTC atau secara online.

Tempoh Lesen P dan Lesen P Tamat Tempoh

Tempoh sah lesen bagi Lesen P atau Lesen Memandu Percubaan (PDL) adalah setahun. Anda boleh renew lesen P tamat tempoh dalam tempoh setahun dari tarikh tamat tempoh terakhir. Jika tamat tempoh lebih dari setahun, anda boleh mengemukakan rayuan kepada Ketua Pengarah JPJ.

Tempoh Lesen L dan Lesen L Tamat Tempoh

Lesen L perlu diperbaharui setiap tiga (3) atau enam (6) bulan jika dalam tempoh latihan. Namun begitu, ia tidak boleh melepasi agregat dua (2) tahun daripada tarikh lesen L dikeluarkan. Sekiranya melepasi tempoh tersebut, calon perlu mengulangi semula semua elemen latihan dan ujian bagi mendapatkan lesen L.

2. Harga Renew Lesen Memandu

Berikut merupakan kadar bayaran harga renew lesen memandu berdasarkan laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ):

Harga Renew Lesen CDL

Senarai harga renew lesen CDL adalah seperti berikut:

  • Bagi pemilik lesen kelas A/A1, kadar bayaran sebanyak RM2/setahun.
  • Manakala, bagi pemilik lesen kelas B2, B dan C, harga renew lesen memandu adalah sebanyak RM20/setahun.
  • Harga renew lesen kereta (kelas D dan ke atas–warganegara) adalah sebanyak RM30/setahun. Anda juga boleh merujuk jadual harga berikut:
Tempoh Harga Renew Lesen Kereta
1 Tahun RM30
2 Tahun RM60
3 Tahun RM90
4 Tahun RM120
5 Tahun RM150
  • Bagi bukan warganegara pula, kadar bayaran sebanyak RM120/setahun akan dikenakan untuk semua kelas kenderaan – B2, B, C, D, DA, F, G, H dan I.

Harga Renew Lesen L

Senarai harga renew lesen L adalah seperti berikut:

  • Bagi lesen L kelas A, bayaran sebanyak RM2 akan dikenakan.
  • Bagi kelas B2 pula, kadar bayaran adalah sebanyak RM2 atau RM4 bergantung pada tempoh pembaharuan lesen memandu (tiga atau enam bulan).
  • Kelas B dan C, kadar bayaran adalah sebanyak RM20 untuk tiga (3) bulan dan RM40 untuk enam (6) bulan.
  • Untuk kelas D dan ke atas, kadar harga renew lesen L adalah sebanyak RM30 (tiga bulan) dan RM60 (enam bulan).

Harga Renew Lesen P

Senarai harga renew lesen P adalah seperti berikut:

  • Bagi pemilik lesen P kelas A/A1, bayaran sebanyak RM2 untuk tempoh dua (2) tahun akan dikenakan.
  • Bagi kelas B2 pula, kadar bayaran adalah sebanyak RM2 akan dikenakan untuk tempoh dua (2) tahun.
  • Kelas B dan C, kadar bayaran adalah sebanyak RM40 untuk dua (2) tahun.
  • Untuk kelas D dan ke atas, kadar harga renew lesen P adalah sebanyak RM60 (dua tahun).

3. Temujanji JPJ Renew Lesen Memandu Online

Jabatan Pengangkutan Jalan melaksanakan sistem temujanji bagi pelanggan yang ingin berurusan. Pelanggan perlu membuat temujanji (booking JPJ renew lesen) terlebih dahulu sebelum hadir ke pejabat sama ada untuk urusan pembaharuan lesen memandu, pembaharuan cukai jalan, tukar hak milik kenderaan dan urusan-urusan lain yang berkaitan. Ini bermaksud, pihak JPJ tidak akan menerima kehadiran pelanggan secara walk-in ke pejabat.

Cara Membuat Temujanji Renew Lesen Memandu

Berikut merupakan cara membuat temujanji untuk urusan pembaharuan lesen memandu secara online:

  • Layari laman web JPJ di pautan https://temujanji.jpj.gov.my/home
  • Kemudian pilih Tempahan Temujanji Baru dan pilih Negeri.
  • Anda akan diberikan tarikh yang tersedia untuk anda membuat temu janji.
  • Untuk membuat semakan status tempahan temu janji anda, klik Semakan Tempahan Temujanji.

4. Syarat Renew Lesen Memandu

Berikut merupakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pemegang lesen untuk perbaharui lesen memandu di Malaysia:

  • Tempoh pembaharuan dibenarkan adalah untuk tempoh satu, dua, tiga, empat dan lima tahun sahaja;
  • Pemegang lesen tidak disenaraihitamkan.

5. Dokumen untuk Renew Lesen Memandu

Untuk urusan pembaharuan lesen memandu, anda hanya perlu membawa dan menyediakan dokumen-dokumen berikut untuk memudahkan urusan anda:

  • Kad Pengenalan (MyKad)/Pasport asal atau salinan MyKad/Pasport pemohon sekiranya urusan dilakukan oleh wakil;
  • Dokumen pengenalan diri asal wakil;
  • Lesen asal/salinan;
  • Pemegang pasport yang masih berkuat kuasa (warga asing).

Semoga perkongsian cara renew lesen memandu online ini boleh membantu memudahkan urusan anda. Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk menjual kereta lama anda dan berminat untuk membeli kereta terpakai, layari laman web CARSOME untuk maklumat lanjut.

CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan tawaran harga terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular