Figura seorang ayah atau bapa merupakan insan penting dan memainkan impak yang cukup besar dalam kehidupan seorang anak. Peranan yang digalas seorang insan yang bergelar bapa ini bukanlah suatu tanggungjawab dan tugas yang mudah. Tidak dinafikan, ramai dalam kalangan kita mempelajari pengetahuan berkaitan kehidupan daripada seorang insan yang bergelar ayah ini. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakan daripada kita turut mempelajari ilmu tentang kereta atau automotif daripada seorang ayah.
Apakah Nasihat Terbaik Tentang Kereta yang Anda Pelajari daripada Ayah Anda?
Sempena hari ayah atau bapa ini, Carsome menyenaraikan 10 nasihat terbaik berkaitan kenderaan yang dipelajari daripada seorang ayah yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian anda:
1. Lakukan Servis atau Penyelenggaraan Kereta Mengikut Jadual
Penyelenggaraan kereta mengikut jadual adalah penting untuk memastikan kenderaan yang dimiliki berada dalam keadaan baik dan selamat. Jika aspek penyelenggaraan diabaikan, kenderaan berpotensi untuk rosak dan dalam kes tertentu, boleh menyebabkan kecederaan atau kemalangan. Aspek penyelenggaraan secara berkala seperti menukar minyak hitam, pemeriksaan tayar dan komponen penting lain seperti brek, bateri dan sebagainya penting untuk mengelakkan kos pembaikan yang lebih besar sekiranya diabaikan.
Anda disarankan untuk melakukan penyelenggaraan sekurang-kurangnya setiap tiga hingga enam bulan bagi menjamin keselamatan kenderaan dan pengguna lain terutamanya semasa berada di jalan raya.
2. Sentiasa Basuh, Cuci dan Kemas Kereta Anda
Pembersihan, polish dan wax kereta serta aspek penjagaan bahagian luaran kereta penting dan perlu dijadikan rutin penyelenggaraan yang tidak boleh diabaikan. Anda disarankan untuk memberi perhatian yang khusus terutamanya pada bahagian badan dan luaran kenderaan— basuh atau wax kereta sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan kereta berada dalam keadaan baik. Bahagian luaran kereta yang calar, berkarat atau kemik boleh mempengaruhi nilai jualan semula kereta anda. Meskipun karat, calar atau kemik pada bahagian luar kereta tidak mempengaruhi prestasi enjin, ia boleh mempengaruhi nilai estetika sesebuah kereta sekali gus menjadikannya kurang menarik.
Malah jika dibiarkan, kesan calar ini boleh menjadi lebih teruk dan meningkatkan kos pembaikan dan penyelenggaraan yang perlu ditanggung sekiranya dibiarkan.
“Ayah saya menasihati saya supaya mematikan enjin kereta jika kereta tidak bergerak. Jika enjin dibiarkan hidup semasa kereta tidak bergerak, ia meningkatkan penggunaan bahan api dan memudaratkan alam sekitar”– Danny Chin, Carsome Chief Expansion Officer.
3. Selenggara Enjin Kereta Secara Berkala
Enjin kereta juga turut memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan anda semasa memandu. Justeru itu, penyelenggaraan enjin kereta tidak boleh dipandang remeh bagi memastikan kereta anda berada dalam keadaan baik. Pastikan enjin kereta diperiksa dan diselenggara secara berkala. Jika anda memiliki beberapa buah kereta dan ia jarang digunakan dalam tempoh masa yang lama, anda disarankan untuk memanaskan enjin kereta sekurang-kurangnya sekali seminggu selama 10 hingga 20 minit bagi memastikan komponen enjin terjaga dan berfungsi dengan baik.
4. Pastikan Tayar Kereta dalam Keadaan Baik
Selain enjin kereta, tayar kereta juga merupakan komponen penting bagi sesebuah kenderaan. Tayar kereta yang tidak berada dalam keadaan baik atau diperiksa secara berkala boleh mengakibatkan kemalangan yang bukan sahaja boleh mengancam nyawa pemandu, malah penumpang dan pengguna jalan raya yang lain. Oleh itu, pastikan bunga tayar kereta tidak haus atau botak, tekanan tayar berada dalam keadaan baik dan alignment atau balancing kereta berada dalam keadaan sempurna untuk mengelakkan masalah-masalah lain sepanjang pemanduan.
5. Bersihkan Bahagian Dalaman Kereta untuk Pemanduan yang Lebih Selesa
Penjagaan bahagian dalaman kereta perlu diberi perhatian yang khusu untuk memberi keselesaan sepanjang pemanduan. Lakukan pembersihan sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk mengelakkan bahagian dalaman terdedah kepada kotoran dan kuman. Malah, bahagian dalaman yang bersih boleh mengelakkan kehadiran serangga perosak seperti semut atau lipas. Beri tumpuan kepada bahagian yang sering disentuh seperti kusyen, door trim, signal, skrin sentuh, tali pinggang keledar dan lain-lain. Anda disarankan untuk menggunakan kain lembut atau mikrofiber untuk mengelakkan permukaan ini daripada rosak.
6. Pilih Alat Ganti yang Tulen dan Selamat
Penggunaan alat ganti yang tulen sangat penting dalam menjamin keselamatan dan prestasi kereta berada pada tahap yang optimum. Meskipun alat ganti tulen dijual pada harga yang lebih mahal berbanding alat ganti tiruan, ia setidak-tidaknya memberi anda keyakinan bahawa alat ganti yang dibeli adalah berkualiti, tahan lama dan selamat. Malah, penggunaan alat ganti tulen juga biasanya tahan lebih lama berbanding alat ganti tiruan.
7. Beri Tumpuan pada Brek dan Pad Brek
Pad brek berfungsi untuk mengawal, memperlahankan dan memberhentikan kenderaan semasa berada di atas jalan raya. Pad brek yang berada dalam keadaan baik mampu menyelamatkan nyawa pemandu dan penumpang selain mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan atau perlanggaran dengan kenderaan lain. Secara umumnya, jangka masa untuk sesebuah pad brek bertahan bergantung pada cara dan jarak pemanduan. Namun secara purata, pad brek boleh bertahan sehingga 80,000 kilometer. Kebiasaannya, tanda-tanda seperti bunyi yang kuat terhasil semasa membrek, kenderaan mengambil masa lebih lama untuk berhenti sepenuhnya merupakan antara tanda-tanda pad brek telah haus dan perlu ditukar dan digantikan dengan segera.
8. Lampu Amaran Kereta Bukan Sekadar Hiasan
Lampu amaran yang menyala di dalam kereta bukan sekadar peringatan biasa. Ia menandakan kereta yang anda naiki sedang mengalami masalah tertentu yang memerlukan pemerhatian segera. Secara amnya, setiap lampu amaran memainkan fungsi yang tersendiri yang secara tidak langsung ‘berkomunikasi’ dengan pemilik mengenai masalah yang sedang dihadapi. Oleh itu, biasakan diri anda dengan simbol lampu amaran kereta dan fungsinya. Kebiasaannya, lampu amaran akan menyala sekiranya terdapat masalah pada bahagian enjin, bateri, minyak kereta dan sebagainya.
“Ada masanya kami tidak menghidupkan penyaman udara semasa dalam perjalanan jauh ke kampung halaman pada waktu malam. Kami akan mengeluarkan kepala ke luar tingkap sambil menikmati udara malam. Ayah saya menggunakan alasan ini untuk tidak menghidupkan penyaman udara untuk menjimatkan penggunaan bahan api” — Derek Tan, Carsome Chief Brand Officer.
9. Maksimumkan Penjimatan Bahan Api
Cara paling mudah dan terbaik untuk memaksimumkan penjimatan bahan api adalah dengan mengubah tabiat pemanduan. Untuk menjimatkan dan meningkatkan kecekapan penggunaan petrol, anda disarankan untuk memandu pada kelajuan sederhana dan tidak memecut laju. Elakkan daripada memandu dalam kelajuan tinggi dan menekan brek secara mendadak. Perbuatan sebegini boleh mengurangkan kecekapan bahan api kereta anda. Selain itu, anda juga boleh merancang untuk memulakan perjalanan pada waktu malam. Cuaca malam yang sejuk boleh mengurangkan penggunaan penyaman udara sekali gus menjimatkan penggunaan petrol anda.
Malah, anda juga boleh menikmati udara malam yang segar sepanjang pemanduan. Namun begitu, pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan.
10. Beli Kereta Terpakai
Kereta terpakai merupakan alternatif pemilikan kenderaan yang baik yang boleh dipertimbangkan. Selain kos pemilikan yang lebih murah, pembelian kereta terpakai juga membolehkan anda terikat dengan tempoh hutang yang lebih pendek berbanding memiliki kereta baharu. Selain itu, kadar susut nilai kereta terpakai juga dikatakan lebih perlahan berbanding kereta baharu. Secara amnya, kereta baharu susut nilai dengan lebih cepat dalam tempoh lima tahun pertama milikan dan boleh mencecah sehingga 50 peratus setelah memasuki tahun kelima dan ke atas.
Tidak kiralah apa jua panggilan—ayah, bapa, daddy, papa atau abah, jasa dan pengorbanan seorang ayah tidak ternilai dan tiada gantinya. Apa jua yang anda pelajari daripada seorang insan yang bergelar ayah tidak kiralah ilmu pertukangan asas, pembaikan dan penyelenggaraan, ia memberi suatu pengalaman dan pengajaran dalam hidup yang menjadikan diri anda hari ini. Segala pengorbanan, kasih sayang dan penat lelah tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit. Selamat hari bapa daripada kami di Carsome.
Selain itu, jika anda berminat untuk mendapatkan kereta terpakai baharu untuk ayah anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menyediakan pelbagai pilihan kereta terpakai terbaik dan berkualiti dengan tawaran harga yang menarik dan berpatutan.