HomeBMApa itu Kereta Klon? Bagaimana Cara Elakkan Jadi Mangsa Penipuan Kereta Klon?

Apa itu Kereta Klon? Bagaimana Cara Elakkan Jadi Mangsa Penipuan Kereta Klon?

Penggunaan kereta klon dalam kalangan pengguna di Malaysia boleh memberi kesan kepada pemandu atau penumpang sekiranya berlaku kemalangan. Ini kerana, kenderaan klon tidak dilindungi oleh insurans dan secara tidak langsung boleh menyebabkan pemilik menanggung kerugian yang tinggi. Kereta klon mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran kereta terpakai kerana harganya dikatakan jauh lebih murah berbanding harga sebenar kereta dalam pasaran. Ia sekali gus menarik minat pembeli untuk memilikinya.

Model kereta mewah seperti Mercedes Benz, Volkswagon, Honda, Toyota, Mini Cooper, Subaru dan Volvo adalah antara model kenderaan klon yang paling diminati serta mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran. Baru-baru ini tular di media sosial seorang pemilik Mazda yang kerap menerima saman atas kesalahan memandu melebihi had laju dan saman-saman lain di lokasi yang tidak pernah dikunjungi sekali gus menimbulkan kegusaran. Setelah disiasat, beliau mendapati ada individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan yang sama dengan kereta miliknya.

Apa itu Kereta Klon?

Kereta klon merujuk pada kenderaan bermotor yang digunakan di jalan raya yang menyerupai kenderaan yang telah didaftarkan di Malaysia. Ia biasanya menggunakan nombor plat atau nombor pendaftaran kenderaan yang sama yang diambil daripada model serupa yang didaftarkan secara sah. Dalam erti kata lain, identiti kenderaan anda dicuri oleh penjenayah dan digunakan pada kenderaan lain untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Kereta klon biasanya dibawa masuk melalui pelabuhan atau sempadan sama ada dari Thailand atau Singapura oleh sindiket.

Sindiket ini menyeludup masuk kereta daripada negara lain dan memalsukan dokumen, nombor casis serta nombor enjin sebelum dijual kepada pihak orang lain. Sindiket atau penjual kereta klon ini biasanya menjanjikan pelbagai keistimewaan untuk menarik minat pembeli antaranya menguruskan proses tukar nama kenderaan dan menjual kereta mewah terpakai pada harga yang murah. Setelah selesai proses jual beli kereta, sindiket ini akan menghilangkan diri sekali gus menyebabkan pembeli terpaksa menanggung sebarang kerugian yang timbul sekiranya tertangkap.

  1. Dokumen dan Nombor Pendaftaran Palsu
    Kereta klon diberikan identiti baharu termasuk dokumen berkaitan cukai jalan dan geran kenderaan setelah urusan jual beli selesai. Pemalsuan biasanya melibatkan kereta sedia ada dengan model dan warna yang sama.
  2. Nombor Casis
    Nombor casis yang diberikan merupakan nombor casis palsu. Ia biasanya diambil daripada kereta yang mengalami kerosakan penuh (total lost) akibat kemalangan.

Memiliki kereta klon boleh dikenakan tindakan undang-undang

Apa yang Berlaku Jika Anda Membeli Kereta Klon?

Secara amnya, individu atau pemilik yang disyaki memiliki kenderaan klon boleh didakwa atas kesalahan memiliki kenderaan yang tidak didaftarkan. Jika anda telah tersilap membeli kereta klon, anda berkemungkinan akan mengalami dua kali ganda kerugian – kereta yang dimiliki dan wang yang dibelanjakan untuk membayar kenderaan tersebut. Oleh itu, sebelum membeli kereta terpakai, pastikan anda membuat semakan lanjut untuk mengelakkan anda daripada ditipu oleh sindiket yang tidak bertanggungjawab.

Pemilik kereta klon boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM2,000. Selain itu, jika didapati mempamerkan maklumat nombor pendaftaran palsu, pemilik berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 103(3)(f) yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000, atau penjara tidak kurang dan tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan.

Pemilik kereta klon yang tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah juga boleh didakwa mengikut Seksyen 90(1) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Cara Elakkan Diri daripada Menjadi Mangsa Penipuan Kereta Klon

Ramai dalam kalangan pemilik yang tidak menyedari dan tidak mengetahui bahawa mereka sebenarnya telah terbeli kereta klon. Untuk mengelakkan anda daripada menjadi mangsa penipuan, CARSOME menyenaraikan tips berikut untuk mengelakkan diri daripada tertipu:

  • Ambil tahu kadar pasaran semasa kereta yang ingin dibeli. Lakukan tinjauan secara dalam talian melalui platform jual beli kereta terpakai yang tersedia seperti CARSOME dan sebagainya.
  • Elakkan berurus niaga sekiranya kereta ditawarkan pada harga yang lebih murah atau lebih rendah berbanding harga pasaran semasa. Kebiasaannya kereta klon dijual pada harga 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
  • Periksa Nombor Pengenalan Kenderaan atau Vehicle Identification Number (VIN). Pastikan nombor yang tercatat dalam dokumen adalah sama dengan nombor yang tertera pada kereta anda. Kebiasaannya, nombor VIN boleh didapati di bahagian bonet kereta, cermin hadapan dan bahagian tempat duduk pemandu.
  • Elakkan melakukan transaksi secara tunai. Kaedah pembayaran secara tunai boleh menyukarkan pihak polis untuk menyiasat dan mengesan sindiket kereta ini.
  • Elakkan daripada membayar sejumlah besar bayaran pendahuluan secara tunai.
  • Jika anda membeli kereta daripada pihak persendirian, pastikan transaksi dijalankan di alamat penjual yang berdaftar. Elakkan berurus niaga di kawasan awam seperti kawasan tempat letak kereta atau stesen minyak.
  • Luangkan masa dengan meneliti setiap dokumen yang diberikan. Jika anda meragui kesahihan status kenderaan, bawa dokumen tersebut ke Jabatan Pengangkutan Jalan untuk semakan dan pemeriksaan lanjut.
  • Sebelum beli, tanyakan kepada penjual nombor pendaftaran, tahun buatan dan model kereta yang ingin dibeli. Lakukan semakan lanjut untuk kepastian.
  • Beli kereta terpakai daripada pengedar kereta terpakai yang sah atau melalui platform jual beli kereta online yang dipercayai seperti CARSOME.

pemalsuan identiti kereta

Apa yang Perlu Anda Lakukan Sekiranya Identiti Kereta Anda Dicuri?

Jika nombor plat kereta anda dicuri dan digunakan oleh pihak lain, laporkan kepada pihak polis dengan segera. Dalam kes tertentu, anda mungkin tidak menyedari bahawa identiti kereta anda telah digunakan oleh pihak lain sehinggalah anda menerima saman trafik atau saman-saman lain di lokasi-lokasi yang tidak pernah anda kunjungi.

  • Hubungi pihak yang berkaitan untuk penjelasan lanjut;
  • Kemukakan bukti sokongan yang menyatakan saman atau kompaun yang diterima bukan disebabkan oleh anda;
  • Buat laporan polis untuk siasatan dan semakan lanjut.

Selain itu, jika anda berminat untuk memiliki kereta pramilik yang berkualiti dengan keselamatan melebihi standard, keselesaan sepenuhya, dan esterik yang dibaik pulih, layari laman web CARSOME untuk maklumat lanjut. CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan tawaran harga terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular