HomeBMBoleh Ke Kereta Persendirian Pasang Siren?

Boleh Ke Kereta Persendirian Pasang Siren?

Pernah terjadi tak? Kita dalam perjalanan dan tiba-tiba kita terdengar bunyi siren daripada belakang. Kita pun bersedialah nak bagi laluan. Tunggu punya tunggu, rupa-rupanya itu kereta biasa yang bukan kereta anggota penguatkuasa pun. Tak pasal-pasal kena scam kat situ! 

Sebelum kita pergi lagi jauh, lampu berpusing-pusing berwarna biru atau merah atau jingga yang anda nampak di atas kenderaan penguatkuasa itu bukanlah siren tapi lampu mata arah atau beacon. Bunyi kuat yang keluar daripada kenderaan semasa lampu mata arah terpasang itulah yang dipanggil siren.

Kebiasaannya siren dan lampu pandu arah ini dipasang pada kenderaan agensi penguatkuasa seperti polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, JPJ, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain. Kenderaan seperti ambulans juga ada dipasang siren dan lampu pandu arah ini. 

Artikel Berkaitan: Jangan Elak Bayar Tol Kalau Anda Tak Nak Menyesal

Lampu pandu arah pula ada dua bentuk iaitu memanjang dan dipasang secara kekal dan bentuk bulat silinder yang boleh dipasang sementara menggunakan magnet di atas kenderaan. Biasanya untuk kenderaan penguatkuasa, lampunya berwarna biru dan merah. 

Apa tujuannya? Menurut JPJ, “Penggunaan lampu ini adalah untuk memberitahu pengguna-pengguna jalan raya yang lain bahawa mereka perlu memperlahankan kenderaan, berhati-hati dan berwaspada semasa berada di kawasan tersebut.”  

Lagi-lagi agensi penguatkuasa atau agensi kesihatan yang sedang mengerjakan urusan kecemasan, lampu mata arah dan siren ini sangat-sangat membantu memastikan mereka tiba di lokasi kejadian dengan lebih cepat. 

Nak Senang Sampai Menyusahkan Orang

Baru-baru ini telah tular beberapa video menunjukkan kereta peribadi yang menggunakan siren dan lampu mata arah ini untuk kegunaan peribadi semasa jalan sesak. Ini telah menimbulkan kemarahan netizen sekalian yang menyifatkan tindakan itu tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. 

Ada juga yang keliru kerana menyangka bunyi siren yang didengari itu datang daripada kereta penguatkuasa atau ambulans dan memberi laluan tanpa sebarang kecurigaan. Rupa-rupanya ia hanya kereta biasa yang mungkin memasang siren secara haram. 

Seperti video di bawah ini: 

https://www.youtube.com/watch?v=jqiNyr9yFFg

Sudahlah memasang siren yang boleh mengelirukan orang ramai, berhenti pula di tepi jalan sehingga mengganggu lalu lintas yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain. Mereka ini merasakan lebih hebat daripada undang-undang itu sendiri. 

Dan juga seperti video ini: 

https://www.youtube.com/watch?v=wnwef42zCxw

 

Ini cumalah sebahagian daripada puluhan video yang memaparkan segelintir pengguna jalan raya yang mementingkan diri sendiri. Atau dalam bahasa kasarnya, ‘seperti jalan tu ayah dia yang punya’. 

Kalau anda nak tahu lagi, siren dan lampu pandu arah ini sangat mudah untuk didapati dan dibeli. Ia ada dijual di kedai aksesori kereta. Harganya juga tidak mahal dan boleh pasang terus pada kereta. Mungkin disebabkan inilah ramai yang memasang siren dan lampu pandu arah pada kereta masing-masing tanpa kebenaran pihak berkuasa. 

Tapi adakah siren dan lampu mata arah ini hanya boleh digunakan oleh penguatkuasa dan ambulans sahaja? Anda tahu tak sebenarnya ada banyak lagi kenderaan lain yang dibenarkan untuk menggunakan siren dan juga lampu pandu arah ini. 

Artikel Berkaitan: Ubah Suai Kereta Haram Di Malaysia

Boleh Nak Pasang Lampu Mata Arah Tapi…

Antara lampu mata arah dan siren, hanya lampu mata arah saja yang boleh dipasang pada kenderaan lain selain daripada kenderaan penguatkuasa. Siren pula TAK BOLEH LANGSUNG dipasang pada kenderaan selain daripada kenderaan penguatkuasa. 

Kenderaan apa yang boleh dipasang lampu mata arah? Menurut Panduan Permohonan Lampu Mata Arah (kemas kini Ogos 2022), ini syarat yang telah ditetapkan oleh JPJ: 

  1. Kenderaan berkenaan telah didaftarkan sebagai kenderaan kegunaan syarikat. 
  2. Hanya pemilik atau setiausaha syarikat sahaja yang berhak membuat permohonan ini. 
  3. Kenderaan kegunaan persendirian tidak dibenarkan memasang dan menggunakan alat tersebut.

Ini pula jenis kenderaan yang dibenarkan untuk memasang lampu mata arah ini: 

1. Kenderaan Melebihi Ukuran 

a.Treler melebihi 16m panjang dan lebar melebihi 2.5m. 

b.Kenderaan rigid melebihi panjang 12.2m dan lebar 2.5m.

2. Kenderaan Membawa Muatan Lebih Dan Terkeluar Dari Badan. 

Lori kargo, treler dan low loader membawa muatan lebih terkeluar dari badan.

3. Kenderaan Bergerak Perlahan 

Jentera bergerak ‘shovel’, ‘backhoe’, ‘grader’, ‘scraper’, ‘agriculture tractor’, ‘road roller’, ‘paver’, ‘roadsweeper’ dan lain-lain kenderaan bergerak perlahan di atas jalan raya.

4. Kenderaan Bekerja di Bahu Jalan 

Jentera bergerak ‘sky lift’, kenderaan tunda, ‘emergency attending vehicle’, ‘road sweeper’, ‘garbage truck’, ‘watering tanker’, ‘road roller’, ‘paver’, ‘digger’ dan lain-lain kenderaan yang bekerja di bahu jalan

5. Lain-lain Kenderaan 

Kereta konvoi (pilot car), kenderaan membawa barang-barang merbahaya, kenderaan yang diluluskan pemasangan lampu ‘beacon’ melalui pelan dan kenderaan yang diluluskan pemasangan lampu ‘beacon’ oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia. Contoh, kereta jenazah. 

Sumber: Utusan Malaysia

Mana-mana perniagaan yang ingin memasang lampu mata arah boleh memohon kebenaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kebenaran ini hanya sah untuk dua tahun sahaja sebelum ia perlu diperbaharui. 

Permohonan Pemasangan Lampu Mata Arah boleh dibuat melalui atas talian atau dengan menghantar surat permohonan rasmi ke Bahagian Kejuruteraan Automotif Ibu Pejabat / Negeri Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia dan surat tersebut hendaklah mengandungi perkara yang berikut: 

a) Permohonan Baharu:

i. Surat Rasmi daripada pemilik/Syarikat 
  • Tujuan Pemasangan 
  • Jenis Alat Yang Digunakan 
  • Email / No. Telefon Pejabat & Bimbit

ii. Salinan Sijil Pendaftaran Kenderaan (SSM) 

iii. Salinan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) dan Senarai Kenderaan 

b) Permohonan Pembaharuan:

i. Surat Rasmi daripada pemilik/Syarikat 
  • Tujuan Pemasangan 
  • Jenis Alat Yang Digunakan 
  • Email / No. Telefon Pejabat & Bimbit
ii. Salinan Kelulusan JPJ Terdahulu

Kenderaan yang telah dipasang dengan lampu mata arah ini hanya boleh menggunakan lampu ini ketika tugas rasmi sahaja. Lampu ini tidak boleh digunakan sesuka hati kerana ia boleh mengganggu aliran lalu lintas. 

Menurut Polis Diraja Malaysia, lampu mata arah dan siren TIDAK BOLEH dipasang pada kenderaan persendirian. Kesalahan memasang dan menggunakan lampu mata arah dan siren boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 138, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. 

Diharapkan dengan info ini, anda lebih peka dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh JPJ dan juga polis trafik. Kalau anda ada ternampak mana-mana kenderaan yang pasang siren, cepat-cepat rakam dan laporkan terus pada pihak berkuasa. 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular