HomeBMKepentingan Tekanan Angin Tayar Kereta untuk Keselamatan Anda

Kepentingan Tekanan Angin Tayar Kereta untuk Keselamatan Anda

Tayar kereta yang berada dalam keadaan baik boleh mengurangkan risiko kemalangan dan menjamin keselamatan anda sepanjang pemanduan. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk menyelenggara tayar dan memastikan tekanan angin tayar kereta berada pada paras selamat sepanjang masa untuk mengelakkan situasi yang tidak diingini daripada berlaku.

Selain itu, anda juga perlu memastikan tayar kereta berada dalam keadaan yang baik. Ini kerana, tayar yang tidak elok bukan sahaja boleh boleh memberi kesan kepada prestasi pemanduan, malah boleh menjejaskan pengendalian kereta anda.

Isi Kandungan

Adakah Tekanan Angin Tayar Kereta Memainkan Peranan Penting?

Secara umumnya, tekanan angin tayar kereta yang sesuai mempengaruhi keselesaan dan keselamatan anda sepanjang pemanduan. Tekanan angin tayar kereta yang tidak ideal – sama ada terlalu keras atau terlalu kempis boleh menjejaskan prestasi kereta dan meningkatkan risiko kemalangan.

Cara Mudah Periksa Tekanan Angin Tayar Kereta Anda

Sebelum periksa tekanan angin tayar kereta, pastikan yang tayar anda berada dalam keadaan sejuk. Tekanan angin tayar kereta yang disyorkan untuk kereta anda biasanya boleh didapati dalam manual pemilik kereta atau pada label yang berada di pintu bahagian pemandu.

check tire, tekanan angin tayar kereta

Untuk memeriksa tekanan, gunakan tolok tekanan tayar dan bandingkan dengan tekanan angin tayar kereta yang disyorkan. Jika tekanan terlalu tinggi, anda boleh melaraskannya dengan melepaskan udara daripada tayar. Jika terlalu rendah pula, gunakan pam angin sama ada jenis pam tangan atau pam tayar kereta yang ada di stesen minyak untuk menambah tekanan angin yang diperlukan.

Tonton video TikTok kami yang berikut untuk ketahui dengan lebih jelas cara untuk periksa tekanan angin tayar kereta anda.

@carsomemy Tak sure macam mana nak periksa tekanan tayar? Jangan risau, pakar kami akan tunjukkan cara-caranya! #CARSOMEMY #CarTips #FYP #CheckTayar ♬ original sound – CARSOMEMY

Bacaan Tayar Kereta yang Sesuai Untuk Kereta Anda

Berikut merupakan maklumat bacaan tayar kereta yang disyorkan untuk rujukan dan panduan anda:

Kenderaan Model Tekanan Angin Tayar Kereta (PSI Tayar Kereta)
Komersial Toyota Hiace 30 – 35
Hacbek Honda Jazz, Toyota Yaris, Perodua Axia, Perodua Myvi 29 – 32
Sedan Honda Civic, Toyota Corolla, Toyota Vios 28 – 31
SUV Toyota Fortuner, Mitsubishi Pajero 35 – 40
MPV Toyota Avanza, Proton Ertiga, Perodua Alza 30 – 33

Bilakah Masa Terbaik untuk Isi Angin Tayar Kereta Anda?

Secara amnya, tekanan angin tayar kereta bergantung pada saiz, jenis kereta dan tayar yang digunakan. Anda boleh memeriksa Maklumat Tekanan Tayar atau Tire and Loading Information yang tersedia di bahagian tepi sebelah tempat duduk pemandu.

Selain itu, anda juga disarankan untuk memeriksa dan mengisi angin tayar kereta anda sekurang-kurangnya sebulan sekali atau sekali setiap dua minggu. Tekanan angin tayar kereta yang sesuai dapat membantu meningkatkan kualiti pemanduan dan tahap cengkaman tayar yang lebih baik.

Kesan Tayar Kurang Angin Terhadap Pemanduan Anda

Tekanan angin tayar kereta yang terlalu rendah boleh meningkatkan penggunaan bahan api, menjejaskan prestasi pemanduan serta pengendalian kenderaan terutamanya di jalan raya yang berselekoh.

Manakala, tekanan angin tayar kereta yang terlalu tinggi boleh mengurangkan cengkaman tayar dan mengakibatkan tayar bengkak atau pecah. Anda disarankan untuk mengisi angin tayar kereta atau pam angin tayar kereta dengan betul bagi mengoptimumkan prestasi dan jangka hayat tayar.

5 Langkah Mudah Pam Tayar Kereta

tekanan angin tayar kereta, a man trying to pump car tire

Berikut merupakan panduan ringkas macam mana nak isi angin tayar kereta atau cara pam angin tayar kereta untuk rujukan anda:

  1. Kenal pasti tekanan angin tayar atau PSI tayar kereta yang sesuai untuk kereta anda. Anda boleh mengetahui tekanan angin tayar (PSI) yang sesuai dengan merujuk pada Maklumat Tekanan Tayar di bahagian tepi sebelah tempat duduk pemandu atau manual pemilik.
  2. Tetapkan tekanan angin tayar yang diperlukan dengan menekan butang + atau – pada meter pam angin.
  3. Sambungkan hos pada tayar dan pam angin tayar kereta anda sehingga bunyi bip kedengaran.
  4. Ulang langkah 3 bagi setiap tayar.
  5. Selesai.

Read more: Tayar Makan Dalam, Tayar Botak atau Bunga Tayar Haus? Punca Kerosakan Tayar yang Perlu Anda Tahu

Cara Kenal Pasti Masa Terbaik Tukar Tayar Kereta

car with flat tire, tayar kereta pancit

Ramai dalam kalangan pemilik kereta yang tidak mengambil serius kepentingan keadaan tayar dan memandang mudah aspek penjagaan tayar kereta. Secara amnya, anda disarankan untuk ganti atau tukar tayar kereta sekiranya ia menunjukkan tanda-tanda dan simptom kerosakan seperti berikut:

1. Bunga Tayar Haus

Tayar kereta biasanya dilengkapi dengan indikator yang menunjukkan tahap kehausan bunga tayar atau tread-wear indicator (TWI). Penunjuk yang biasanya terletak di antara bunga tayar ini membolehkan anda mengenal pasti tahap kehausan bunga tayar kereta anda.

Jika penunjuk ini berada selari atau searas dengan bunga tayar, ia menandakan tayar kereta anda perlu digantikan dengan segera. Tayar kereta yang haus tidak selamat untuk digunakan terutamanya semasa pemanduan dalam hujan.

TIPS: PENUNJUK TWI BOLEH DIKENAL PASTI MELALUI SIMBOL ANAK PANAH, LOGO ATAU PERKATAAN TWI PADA BAHAGIAN TEPI DINDING TAYAR.

2. Tayar Kereta Merekah

Keadaan dan prestasi tayar secara lazimnya akan merosot bergantung pada kekerapan penggunaan dan tabiat pemanduan. Biasanya, tayar kereta akan merekah di bahagian tepi disebabkan oleh faktor persekitaran seperti cuaca dan faktor luaran lain seperti tekanan angin tayar kereta yang berlebihan atau tidak mencukupi. Jika anda mendapati terdapat rekahan pada bunga tayar dan dinding tayar – tukar tayar kereta anda secepat mungkin.

3. Tayar Lama

Di Malaysia umumnya, semua tayar yang sah dan selamat untuk digunakan di jalan raya mestilah mempunyai kod tayar kereta yang memaparkan maklumat seperti jenis, saiz, tahap bebanan, kelajuan maksimum serta minggu dan tahun pembuatan.

Seperti dinyatakan di atas, prestasi tayar akan merosot dari semasa ke semasa meskipun kereta anda jarang digunakan. Kebanyakan pakar berpendapat tayar kereta perlu digantikan setiap dua hingga tiga tahun bergantung pada penggunaan anda.

Artikel berkaitan: Selamat Ke Tayar Buatan Tahun 2019? Bila Tayar Lama Ni Akan Luput?

4. Tayar Kurang Mencengkam

Jika anda mendapati keadaan tayar masih baik (kedalaman bunga tayar, usia tayar dan sebagainya masih selamat) namun kualiti cengkaman tayar kereta anda tidak begitu baik terutamanya semasa membrek, ini merupakan petanda bahawa anda perlu menggantikan tayar lama anda kepada tayar baharu.

5. Tayar Bengkak

Jika kereta anda mengalami gegaran yang luar biasa pada bahagian stereng semasa pemanduan pada kelajuan tinggi, ia mungkin disebabkan oleh masalah jajaran (alignment) atau penyeimbangan (balancing) pada bahagian tayar kereta.

Namun begitu, jika anda mendapati gegaran berlaku semasa pemanduan pada kelajuan rendah, ia mungkin berpunca daripada tayar bengkak, atau shifted belt yang berlaku pada tayar.

Secara amnya, punca tayar bengkak boleh disebabkan masalah dalam proses pembuatan atau akibat pelanggaran dengan objek asing di atas jalan seperti batu, besi, paku atau keadaan jalan yang berlubang dan berbonggol.

6. Tayar Rosak

Dalam sesetengah situasi, tayar kereta bocor atau pancit tidak lagi boleh ditampal untuk digunakan semula dan perlu digantikan dengan tayar baharu. Biasanya, tayar yang rosak teruk perlu dilupuskan demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

Berikut merupakan tanda-tanda kerosakan pada tayar yang tidak selamat untuk ditampal untuk panduan anda:

  1. Dinding tayar rosak teruk kerana memandu semasa tayar tiada angin atau bocor.
  2. Lubang kebocoran terlalu besar – kebocoran yang disebabkan oleh paku atau skru biasanya terutamanya di bahagian bunga tayar masih boleh diselamatkan.
  3. Kebocoran berlaku di bahagian dinding tayar–lokasi sensitif dan tidak digalakkan untuk ditampal disebabkan oleh tekanan yang tinggi.
  4. Kekerapan kebocoran turut memainkan peranan, sesetengah syarikat tayar tidak membenarkan tampalan dilakukan lebih daripada dua kali dengan jarak minimum 16 inci antara satu-satu lokasi tampalan.

Jika anda pertimbangkan untuk tukar tayar kereta anda disebabkan tanda-tanda yang disenaraikan di atas, berikut merupakan tips dan panduan memilih jenis tayar dan saiz tayar terbaik untuk kereta anda.

Tip Memilih Jenis, Saiz Tayar Kereta Terbaik

Jenis dan saiz tayar kereta yang sesuai dan terbaik untuk kereta anda bergantung sepenuhnya pada model kereta dan tabiat pemanduan anda. Sekiranya anda menggunakan kereta untuk pemanduan jarak dekat seperti menghantar anak ke sekolah atau ke pasar untuk membeli barangan keperluan – tayar jenis ekonomi dan kos rendah mungkin boleh dipertimbangkan.

tekanan angin tayar kereta, man changing tires on car

Namun begitu, jika anda lebih banyak menghabiskan masa dengan memandu di jalan raya atau lebuh raya, tayar dengan faktor keselesaan yang tinggi dan kadar penggunaan bahan api yang rendah mungkin lebih sesuai untuk anda.

Bagi pemandu kereta mewah atau kereta sport, anda mungkin boleh mempertimbangkan faktor-faktor lain seperti kecekapan pengendalian, cengkaman dan kelancaran pemanduan sebelum memilih tayar kereta yang terbaik untuk anda.

Jenis Tayar Kereta Terbaik

Pemilihan jenis tayar kereta yang terbaik mungkin boleh memeningkan anda lebih-lebih lagi jika ia merupakan pembelian pertama anda. Oleh itu, CARSOME menyenaraikan tiga jenis bunga tayar kereta yang biasa digunakan di Malaysia untuk pertimbangan anda:

1. Bunga Tayar Directional

Kelebihan tayar dengan bunga tayar jenis ini adalah seperti berikut:

  • Tayar jenis ini hanya boleh digunakan berpandukan arah yang disyorkan. Rujuk bahagian sisi tayar untuk kepastian. Lazimnya, tayar depan di bahagian kiri hanya boleh ditukarkan (rotate) dengan tayar belakang di bahagian kiri sahaja.
  • Ia didatangkan dengan reka bentuk V–sesuai untuk permukaan jalan yang basah kerana rekaan ini akan mengalirkan air keluar melalui bahagian bawah tayar.
  • Tayar jenis ini biasanya mengeluarkan bunyi yang agak bising.

2. Bunga Tayar Symmetrical

Kelebihan tayar dengan bunga tayar jenis ini adalah seperti berikut:

  • Tayar jenis ini menampilkan corak bunga tayar yang hampir sama di keseluruhan tayar.
  • Ia merupakan jenis bunga tayar yang biasa digunakan dalam kalangan pemilik kereta kerana tayar jenis ini dikatakan lebih senyap, tahap lama dan lebih menjimatkan.
  • Tayar jenis ini boleh ditukarkan dengan tayar dari kesemua arah – kiri, kanan, belakang, depan.
  • Meskipun begitu, prestasi tayar jenis ini pada permukaan yang basah tidak sebaik tayar directional.

3. Bunga Tayar Asymmetrical

Kelebihan tayar dengan bunga tayar jenis ini adalah seperti berikut:

  • Tayar jenis ini biasa digunakan dalam kalangan pemilik kereta sport atau kereta mewah.
  • Ia menampilkan kombinasi bunga tayar yang berbeza di bahagian dalam dan luar tayar.
  • Tayar jenis ini mempunyai kadar cengkaman yang kuat dan baik pada semua permukaan–kering atau basah.
  • Ia juga menjadikan pemanduan lebih stabil terutamanya di kawasan selekoh
  • Namun begitu, kos untuk tayar ini dikatakan lebih mahal berbanding tayar-tayar jenis lain.

Saiz Rim Dan Tayar Kereta Terbaik

Secara amnya, saiz tayar kereta yang sesuai adalah bergantung pada spesifikasi kereta anda. Anda boleh merujuk manual kereta anda untuk lebih kepastian. Namun begitu, saiz rim dan tayar kereta yang lebih besar daripada saiz standard biasanya boleh digunakan untuk kereta anda.

Sebagai contoh, dengan saiz standard 15 inci, anda boleh menukar rim kereta kepada rim bersaiz 16 atau 17 inci. Anda tidak digalakkan untuk menggunakan rim kereta yang terlalu besar kerana ia boleh bergesel terutamanya semasa melalui jalan yang tidak sekata atau berbonggol.

Selain itu, pastikan saiz tayar bersesuaian dengan saiz rim. Ambil kira diameter dalaman dan lebar tayar sebelum membeli tayar yang sesuai. Jika tayar terlalu lebar atau terlalu kecil untuk rim kereta, ia boleh meningkatkan risiko kerosakan pada tayar. Malah, saiz rim kereta yang besar juga mengurangkan kuasa pecutan dan meningkatkan kos penggunaan bahan api.

Langkah Mudah Periksa Tayar Kereta untuk Keselamatan Andatekanan angin tayar kereta, close up of car tire on road

Meskipun pemeriksaan tayar sebelum memulakan perjalanan boleh dianggap sebagai suatu perbuatan yang remeh, namun sebenarnya ia mampu menyelamatkan nyawa anda sekiranya berlaku situasi kecemasan. Anda disarankan untuk mengamalkan langkah-langkah keselamatan mudah seperti berikut:

1. Periksa Kerosakan Tayar

Jalan raya boleh diibaratkan seperti medan perang untuk tayar kereta anda. Ia mengandungi pelbagai jenis barangan berbahaya seperti skru, serpihan logam, kaca dan batu tajam yang menunggu masa untuk melekat pada tayar kereta anda. Oleh itu, pastikan anda memeriksa tayar kereta anda secara berkala dan kenal pasti sebarang tanda-tanda kerosakan atau koyakan pada tayar kereta yang boleh menyebabkan kebocoran.

Tayar kereta dilengkapi dengan indikator yang menunjukkan tahap kehausan bunga tayar. Ia sekali gus membolehkan anda memeriksa dan mengetahui keadaan semasa bunga tayar kereta anda. Selain itu, dalam sesetengah keadaan, bunga tayar botak atau tayar kereta haus menandakan masalah-masalah tertentu pada bahagian kereta yang memerlukan pemeriksaan serius daripada anda.

2. Periksa Bacaan AnginTayar Kereta

Periksa bacaan angin tayar kereta anda. Tekanan angin tayar kereta yang ideal dapat membantu menjimatkan kos dan mengurangkan risiko kemalangan sepanjang pemanduan. Tekanan angin tayar yang bersesuaian juga dapat:

  • Meningkatkan jangka hayat dan ketahanan tayar kereta dengan lebih lama;
  • Melancarkan dan memberi keselesaan sepanjang perjalanan;
  • Menjimatkan bahan api dan menjamin lebih kilometer untuk kereta anda;
  • Menguatkan cengkaman tayar di atas jalan;
  • Mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke udara.

Semoga perkongsian ini dapat memberi anda lebih informasi mengenai tekanan angin tayar kereta dan tips memilih tayar kereta yang terbaik untuk kereta anda. Memastikan tayar kereta sentiasa dalam keadaan yang baik dan tekanan angin tayar berada pada tahap yang betul adalah sangat penting untuk menjamin keselamatan anda dan juga penjimatan kos pemilikan kereta untuk jangka masa panjang.

Jika anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta lama anda, boleh layari carsome.my atau muat turun aplikasi mudah alih kami untuk dapatkan kereta pramilik berkualiti yang telah dibaik pulih secara profesional!

Setiap kereta CARSOME Certified dijual pada harga tetap tanpa sebarang bayaran tersembunyi dan didatangkan dengan waranti lanjutan selama satu tahun bersama jaminan pulangan wang dalam lima hari untuk memastikan ketenangan minda anda.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular