HomeBMCara 'Renew' Roadtax atau Pembaharuan Cukai Jalan & Insurans Secara Online

Cara ‘Renew’ Roadtax atau Pembaharuan Cukai Jalan & Insurans Secara Online

Pembaharuan cukai jalan atau renew roadtax dan insurans kereta merupakan aktiviti tahunan yang perlu dilakukan terutamanya jika anda memiliki kenderaan sendiri. Sesuai dengan saranan kerajaan dan amalan norma baharu, pelbagai perkhidmatan dalam negara seperti pembaharuan cukai jalan dan insurans kenderaan kini boleh diakses dan dilakukan secara online.

Pembaharuan Cukai Jalan atau Renew Roadtax & Insurans Kereta Secara Online

Apa itu Roadtax atau Cukai Jalan?

Cukai jalan atau roadtax kenderaan merupakan sejenis cukai yang dikenakan ke atas pemilik kenderaan bermotor sebelum kenderaan tersebut dibenarkan untuk dipandu di jalan raya secara sah.

Kadar cukai jalan adalah tetap dan tidak berubah, ia hanya dibezakan oleh nilai insurans kenderaan anda sahaja. Tempoh pembaharuan cukai jalan boleh dibuat untuk tempoh 6 bulan atau 12 bulan bergantung pada pilihan anda.

Artikel berkaitan: Cara Kira Kadar Cukai Jalan Di Malaysia

Apa itu Insurans Kereta?

Insuran kereta merujuk kepada perlindungan yang dibeli oleh pemilik kereta. Ia bertujuan untuk melindungi pengguna dan membantu mengurangkan kos yang berkaitan sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan kereta.

Di Malaysia, terdapat tiga (3) jenis insurans kereta yang boleh dipilih yang menawarkan perlindungan kepada pelbagai jenis risiko.

Artikel Berkaitan: Jenis, Harga dan Perbandingan Polisi Insurans Kereta di Malaysia

Senarai Semak Sebelum Anda Perbaharui Cukai Jalan & Insurans Kereta

Selain itu, anda juga perlu mempertimbangkan perkara-perkara berikut sebelum anda memperbaharui cukai jalan dan insurans kereta anda:

Periksa tarikh tamat tempoh insurans dan cukai jalan anda;

Pastikan anda bawa bersama dokumen diperlukan seperti geran kenderaan, salinan cover note insurans tahun sebelumnya untuk rujukan dan memudahkan urusan;

Pastikan kenderaan anda bebas saman. Anda tidak akan dibenarkan untuk memperbaharui cukai jalan sekiranya anda mempunyai tunggakan saman yang belum dilunaskan. Anda boleh melakukan semakan saman trafik, JPJ dan AES secara online;

Kenal pasti nilai semasa atau harga pasaran semasa kenderaan anda;

Tentukan jenis insurans yang ingin dipilih, perlindungan tambahan (jika perlu) dan bandingkan polisi insurans di Malaysia untuk mendapatkan polisi perlindungan yang terbaik.

Artikel Berkaitan: Tips Beli Insurans Kereta di Malaysia

cara renew roadtax kereta | cara perbaharui cukai jalan kenderaan

Cara Renew Roadtax & Insurans Kereta Secara Online dalam Masa Kurang 5 Minit

Secara amnya, anda perlu memperbaharui insurans kenderaan anda terlebih dahulu sebelum anda boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan anda. Berikut merupakan cara perbaharui insurans dan cukai jalan kenderaan secara online untuk panduan anda:

Cara Renew Insurans Secara Online

CARSOME menyenaraikan cara untuk perbaharui insurans kereta secara dalam talian untuk anda yang pertama kali ingin menggunakan aplikasi ini:

    1. Layari laman web MyEG – jika anda merupakan pengguna baharu, anda perlu mendaftarkan akaun anda terlebih dahulu dengan menekan butang “Daftar Sekarang” atau Register Now;
    2. Isi maklumat yang diperlukan. Selain memperbaharui cukai jalan kenderaan anda, MyEG juga turut menyediakan perkhidmatan pembaharuan atau renew lesen memandu secara online;
    3. Setelah selesai mendaftar, klik butang “Daftar Masuk” atau Login;
    4. Klik pada menu “Perkhidmatan” di bahagian atas laman web;
    5. Kemudian, klik ikon Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ);
    6. Seterusnya, klik butang “Perbaharui Auto Insuran”;
    7. Skrin akan memaparkan senarai syarikat yang menawarkan perkhidmatan insurans atau takaful menerusi MyEG;
    8. Klik pada ikon syarikat insurans atau takaful pilihan – AIG, Zurich Takaful, eTIQA Takaful, RHB Insurance, Berjaya Sompo Insurance Berhad dan Takaful Malaysia;
    9. Kemudian, masukkan nombor kad pengenalan dan isi maklumat yang diminta;
    10. Kelayakan NCD anda akan dipaparkan setelah anda memasukkan nombor kad pengenalan;
    11. Anda boleh menetapkan amaun yang ingin dilindungi. Namun begitu, ia tertakluk pada harga pasaran semasa kereta anda;
    12. Masukkan maklumat pemandu kedua (jika ada). Anda juga boleh memilih manfaat perlindungan tambahan seperti perlindungan cermin (windscreen, window dan sunroof), perlindungan bencana seperti banjir, perlindungan aksesori kereta dan lain-lain;
    13. Setelah mengisi semua maklumat yang diperlukan, sebut harga penuh termasuk caj yang dikenakan akan dipaparkan. Anda boleh meneruskan transaksi dengan melakukan pembayaran jika anda bersetuju dengan harga yang dipaparkan;
    14. Pastikan segala maklumat yang diisi adalah betul dan tepat. Kaedah pembayaran boleh dilakukan sama ada menggunakan kad kredit/kad debit atau melalui perbankan dalam talian seperti Maybank2U, RHB Online, Public Bank Online dan sebagainya;
    15. Setelah pembayaran dibuat, anda boleh memuat turun resit bayaran dan sijil perlindungan (cover note) sebagai rujukan anda.

renew insurans kereta

Cara Renew Roadtax atau Cukai Jalan Secara Online

Setelah selesai memperbaharui insurans kereta anda, anda boleh meneruskan proses pembaharuan cukai jalan anda menggunakan MyEG. Walaupun anda menggunakan perkhidmatan ejen insurans dan tidak menggunakan platform MyEG untuk memperbaharui insurans kereta anda, anda masih boleh menggunakan platform ini untuk memperbaharui cukai jalan kereta anda.

    1. Log masuk ke dalam laman web MyEG dan klik pada ikon Jabatan Pengangkutan Jalan;
    2. Klik pada butang “Perbaharui Cukai Jalan” atau Road Tax Renewal;
    3. Kemudian, lengkapkan segala maklumat yang diminta seperti nombor kad pengenalan, nama, nombor telefon, alamat e-mel, nombor pendaftaran kereta dan tempoh pembaharuan cukai jalan;
    4. Anda boleh memilih pilihan penghantaran cukai jalan kereta anda – ambil sendiri di Pejabat MyEG berdekatan atau penghantaran terus melalui kurier ke alamat pilihan. Namun begitu, penghantaran ke alamat pilihan (rumah atau pejabat) tertakluk pada caj penghantaran;
    5. Caj RM6 dikenakan bagi penghantaran di sekitar Lembah Klang (dalam tempoh 2 hari bekerja), RM8 bagi kawasan semenanjung Malaysia (antara 2-5 hari bekerja bergantung pada lokasi) dan RM10 bagi Sabah dan Sarawak (dalam tempoh 5 hari bekerja);
    6. Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan penghantaran ekspres untuk penghantaran yang lebih cepat (penghantaran dalam tempoh 6 jam dengan caj RM20). Namun begitu, perkhidmatan ekspres ini hanya tersedia di sekitar Lembah Klang sahaja buat masa ini;
    7. Pastikan segala maklumat yang diisi adalah tepat. Sebut harga dan caj yang dikenakan akan dipaparkan pada skrin. Jika anda bersetuju dengan sebut harga tersebut, tekan butang Confirm & Pay;
    8. Anda boleh melakukan pembayaran menggunakan kad kredit/kad debit atau melalui perbankan dalam talian yang disediakan untuk melengkapkan transaksi;
    9. Muat turun resit pembayaran dan simpan sebagai rujukan;
    10. Tunggu sehingga cukai jalan dihantar ke rumah anda berdasarkan alamat yang diberikan. Jika perlu ke mana-mana dalam masa terdekat, cetak slip sementara sebagai bukti bahawa anda sudah memperbaharui cukai jalan dan insurans kereta anda.

renew roadtax kereta online

Selain menggunakan portal MyEG, anda juga boleh memperbaharui cukai jalan anda di laman JPJ iaitu MySikap. Sebelum anda boleh memperbaharui roadtax di portal MySikap, anda perlulah mendaftar terlebih dahulu. Panduan mendaftar pengguna MySikap JPJ anda boleh baca DI SINI.

Setelah anda mendaftar sebagai pengguna di laman MySikap, anda boleh ikuti langkah-langkah ini untuk memperbaharui cukai jalan anda:

    1. Layari lama web rasmi MySikap JPJ di pautan ini: https://public.jpj.gov.my/public/login.zul
    2. Halaman ‘Log Masuk’, pilih kategori sama ada Individu atau Syarikat
    3. Jika anda pilih Individu, sila masukkan ID Pengguna anda
    4. Masukkan Kata Laluan anda
    5. Isi Kod Sekuriti yang diberikan
    6. Tekan ‘Log Masuk’
    7. Pilih ‘Menu Kenderaan’
    8. Sila pilih ‘Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor’
    9. Isi Butiran Maklumat Pembaharuan Lesen anda
    10. Pastikan anda membuat Semakan terlebih dahulu
    11. Buat Pengesahan
    12. Seterusnya, buat Pembayaran jika anda sudah berpuas hati
    13. Cetak Resit Pembayaran anda untuk tujuan rujukan

Cara Renew Roadtax Kereta Secara Offline di Pejabat Pos, JPJ

Selain pembaharuan cukai jalan (roadtax) dan insurans kereta secara online, pembaharuan cukai jalan dan insurans kereta juga boleh dilakukan di mana-mana Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri atau Cawangan, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan rangkaian Pejabat Pos Malaysia Berhad.

Cara Renew Roadtax di Pejabat Pos (Kereta & Motor)

CARSOME berkongsi cara untuk perbaharui cukai jalan di Pejabat Pos seperti berikut untuk panduan anda:

      1. Sediakan dokumen yang diperlukan (sijil pemilikan kenderaan (VOC), salinan cover note insurans sedia ada;
      2. Hadir ke mana-mana Pejabat Pos berhampiran anda. Senarai penuh lokasi Pejabat Pos yang boleh memperbaharui (renew) roadtax boleh dirujuk di sini;
      3. Ambil nombor dan tunggu sehingga nombor giliran anda dipanggil;
      4. Serahkan dokumen diperlukan kepada kakitangan bertugas;
      5. Tunggu sehingga selesai.

Cara Renew Roadtax di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)/Pusat Transformasi Bandar (UTC) (Kereta & Motor)

CARSOME berkongsi cara untuk perbaharui cukai jalan di di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) seperti berikut untuk panduan anda:

      1. Sediakan dokumen yang diperlukan (sijil pemilikan kenderaan (VOC), salinan cover note insurans sedia ada;
      2. Hadir ke mana-mana Pejabat Pos berhampiran anda. Senarai penuh Pejabat JPJ dan lokasi UTC di seluruh Malaysia boleh dirujuk di sini;
      3. Ambil nombor dan tunggu sehingga nombor giliran anda dipanggil;
      4. Serahkan dokumen diperlukan kepada pegawai bertugas;
      5. Tunggu sehingga selesai.

Semoga perkongsian mengenai cara renew roadtax kereta secara online ini dapat membantu memudahkan urusan pembaharuan cukai jalan anda tanpa perlu keluar rumah. Ia juga membantu mengelakkan anda daripada disaman atau kenderaan anda disita disebabkan oleh cukai jalan yang telah tamat tempoh terutamanya semasa melalui sekatan jalan raya.

Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk menjual kereta lama anda dan berminat untuk membeli kereta terpakai baharu, layari laman web CARSOME atau muat turun aplikasi kami untuk dapatkan pengalaman membeli dan menjual kereta yang mudah, pantas, dan selamat.

Semua kereta CARSOME Certified telah lulus pemeriksaan yang teliti dan dibaik pulih secara profesional untuk menjamin keselamatan melebihi taraf, keselesaan sepenuhnya, dan estetik yang telah dibaik pulih.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular