Kalau anda ada kereta, kami yakin ada seorang dua kawan anda yang suka sembang tentang ‘barang’ dan aksesori kereta yang katanya bukan setakat boleh tingkatkan kuasa, tapi boleh jimatkan minyak sekali. Ramai yang bagi testimoni kononnya inilah produk terbaik di Malaysia.
Kali ini, kami akan tengok sama ada ‘barang-barang’ atau aksesori yang kononnya hebat ini (macam kad jimat minyak yang banyak dijual dalam talian) adakah sehebat yang dikatakan ataupun cuma ‘sembang kencang’ dan langsung tak berguna (atau lagi teruk, boleh jahanamkan kereta anda).
1) Minyak Enjin yang Meragukan
Wapcar pernah keluarkan artikel tentang perbuatan mencampurkan minyak enjin dan juga membeli minyak enjin dari pasar raya, tapi yang ini mungkin paling teruk sekali. Ia adalah membeli minyak enjin yang meragukan dan mendakwa macam-macam tapi sebenarnya boleh merosakkan enjin kereta anda.
Ada satu jenama minyak enjin ini yang mendakwa minyak enjin keluarannya boleh meningkatkan kuasa enjin sebanyak 35% dan menambah baik penggunaan minyak sebanyak 35%.
Rasanya tak perlu lagi nak cakap berbelit-belit kerana syarikat minyak terkemuka pun tak pernah buat dakwaan macam ini. Kenapa? Sebab ia langsung tak logik!
Nak dijadikan cerita lagi, ada pengguna minyak enjin jenama ini yang merana kerana enjin kenderaan mereka rosak. Sekali lagi kami tekankan, jangan berkira kalau nak beli minyak enjin. Kalau tak pasti, beli saja jenama yang terkenal atau beli daripada stesen minyak.
2) Alat ‘Tune’ Enjin Harga RM30 Je?!
Dengar nama pun macam tak logik, bukan? Anda beli aksesori ini pada harga RM30, cucuk pada kereta dan ia boleh jimatkan penggunaan minyak sebanyak 15% dan tingkatkan kuasa enjin sebanyak 35%. Macam mana itu? Alat ini akan mengarahkan ECU (otak kereta anda) untuk ubah fungsi pancitan minyak. Mula-mula sekali, ia ialah idea yang tak masuk akal.
Beginilah, anda dinasihatkan untuk tidak memasang apa-apa alat elektronik yang akan mengganggu fungsi enjin kereta anda. Lagipun, takkanlah anda boleh percaya alat yang berharga RM30 boleh ubah fungsi enjin kereta anda yang jauh lagi mahal?
Anda kena ingat, pembuat kereta dah melaburkan banyak masa untuk menala kereta keluaran mereka untuk mencapai tahap penggunaan minyak yang kuasa yang betul, untuk memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai. Takkanlah mereka tak mampu nak ‘tune’ enjin kereta keluaran mereka sendiri.
Paling tidak pun, alat ini tidak berfungsi. Paling teruk? Fungsi enjin anda betul-betul berubah dan enjin terus rosak.
3) Kad Jimat Minyak
Macam tak logik kan tapi ya, produk macam ini memang wujud. Kad sebesar kad kredit biasa ini menjanjikan pengurangan penggunaan minyak sebanyak 30% dan ia dijual pada harga cekik darah sebanyak RM130. Macam mana ia berfungsi?
Menurut buah mulut penjual, “Petrol ini cecair mudah terbakar dengan atom aktif yang boleh menyebabkan kebocoran dan pembaziran dengan kerap apabila penutup tangki minyak dibuka. LA Genius Saver berfungsi mengawal pembaziran melalui gelombang yang dihasilkan daripada kad ini. Gelombang ini mengawal wap petrol yang keluar daripada penutup tangki dan memberikan penjimatan sebanyak 30%.”
Tambahan lagi, menurut video di bawah, kad jimat minyak ini boleh memecahkan molekul petrol daripada mikron kepada nano-mikron untuk mencegah pengewapan. Nanti dulu! Apa benda ni?
Kami nak tegaskan di sini: pembuat kereta dah habiskan bajet jutaan ringgit menyempurnakan enjin pembakaran dalaman, menjadikan ia bukan sahaja berkuasa tetapi juga jimat minyak. Sama juga bagi syarikat minyak yang melaburkan banyak duit untuk menjadikan formulasi minyak mereka betul untuk menjimatkan penggunaan minyak.
Dah pasti kalau syarikat ni tahu tentang teknologi untuk menjimatkan penggunaan minyak, seperti kad jimat minyak ini, mesti mereka dah guna, bukan? Kalau tidak, kenapa mereka tak hebahkan teknologi ini? Itu bermakna kad jimat minyak ini sebenarnya tak berguna.
4) Tiub Penambah Kuasa
Turut dikenali sebagai ‘surbo’ atau ‘turbo mini’, tiub ini didakwa boleh:
- Meningkatkan prestasi enjin
- Menambah baik pecutan
- Penggunaan minyak yang lebih baik
Semua ini hanya dengan memasang tiub biasa pada saluran servo vakum brek kereta anda (amaran #1), melalui pancarongga pengambilan atau intake manifold (amaran #2), pada harga kurang daripada RM80. Apa yang tiub ini buat cumalah tingkatkan aliran udara ke dalam kebuk pembakaran.
Sekali lagi, soalan panas yang sepatutnya ditanyakan, kenapa jurutera langsung tak fikirkan solusi untuk tingkatkan aliran udara? Takkanlah mereka tak tahu benda ini semasa belajar?
Sementara itu, ada orang lain yang cukup pandai untuk cipta tiub ini dan jual pada harga yang lebih murah. Takkan mereka ini baik sangat?
Anda tak sepatutnya memasang atau mencabut saluran servo brek kereta (tak perlu nak diterangkan kot sebab ada perkataan ‘brek’ di situ), apa lagi nak usik pancarongga pengambilan (intake manifold)? Ada benda yang anda tak sepatutnya usik dalam bahagian enjin dan sistem brek merupakan antara yang anda tak patut usik.
5) Aksesori Cucuk & Pasang untuk Kurangkan Asap
Yang terakhir sekali ialah aksesori kecil tapi bergaya yang anda boleh pasangkan pada pangkal 12V kereta anda. Manfaatnya? Macam biasa, boleh jimatkan minyak dan beri lebih kuasa tapi bukan setakat itu saja.
Penjual mendakwa alat ini ‘membantu kereta keluarkan asap yang lebih bersih dan mengurangkan pelepasan karsinogenik yang menyebabkan perubahan cuaca global. Hasilnya kurang pencemaran dan udara yang lebih bersih.’
Anda nak tahu tak betapa terseksanya pengeluar kereta nak patuhi peraturan pengeluaran asap? Kenapa pengeluar kereta tak gunakan teknologi ini, dalam alat yang berharga cuma RM8? Mungkin sebab…, ia langsung tak berguna untuk kurangkan asap kereta.
Kalau benda ini betul-betul berfungsi, tak perlulah Volkswegen didenda sebanyak 31.3 bilion Euro (kurang lebih RM155 bilion) kerana skandal penipuan pelepasan asap kereta mereka.
Kesimpulan
Untuk kali entah ke berapa, kami tetap nak ulang lagi benda ini. Kalau ada produk yang nampak saja bagus, belum tentu ia betul-betul bagus. Juga, enjin pembakaran dalaman dah lama wujud dan disempurnakan dari masa ke semasa.
“Bang, macam silap minyak je tu?”
Menggunakan atau menambahkan ‘barang’ yang disenaraikan ini tidak akan menambahkan kuasa sebanyak 30% atau menjimatkan minyak secara tiba-tiba. Pembuat kereta dan syarikat minyak takkan mampu buat benda macam ini sebabnya ia mustahil untuk dicapai.
Anda pula macam mana? Pernah tak cuba produk-produk macam ini? Berkesan tak? Kami nak tahu pengalaman anda.
Artikel ini merupakan terjemahan daripada artikel “Useless car accessories that do nothing but waste your money” yang diterbitkan di laman Wapcar.
Artikel ini telah diterbitkan pada 14/02/2023. Ia telah dikemas kini pada 02/05/2024 dengan fakta yang lebih menarik dan tepat.