*Ini merupakan ulasan tulisan Zi Xuan Hong setelah beliau menggunakan Toyota Vios Dugong 2008 selama enam tahun. Jom kita tengok apa yang dia kata tentang Vios Dugong ini ini.
Ini sebab kenapa anda kena pertimbangkan Vios Dugong kalau nak beli kereta Jepun?
Kenapa saya memilih model Vios Dugong ini? Sebenarnya kereta ini dimiliki oleh isteri saya yang dibeli secara terpakai pada Februari 2015. Sebab utama kami memilih kereta ini adalah kerana isteri saya tidak memiliki keretanya sendiri dan hanya memandu Toyota Corolla KE20 milik keluarganya.
Walaupun Toyota Corolla KE20 itu masih boleh dipandu dengan baik (disebabkan keunggulan jentera pada zaman tersebut), memandangkan dia harus memandu dengan kerap keliling Pulau Pinang, maka kami memutuskan untuk mendapatkan kereta yang lebih terkini untuk tujuan ini. Tambahan lagi, kesukaran mendapatkan alat ganti bagi KE20 juga antara sebab mengapa kami ingin menukar tidak lagi menggunakan KE20 dan ia akan disimpan di rumah.
Artikel berkaitan: Betul Ke Kereta Toyota Tahan Lama? Berbaloi Ke Kalau Nak Beli?
Kenapa Kami Memilih Toyota Vios Ini?
Semasa kami sedang memilih kereta mana untuk dibeli, ibu saudara isteri saya mahu membeli kereta lain dan dia ingin menjual kereta lamanya, Vios. Ia ada rekod servis yang baik memandangkan ibu saudara isteri saya masih lagi menghantarkan kereta tersebut ke pusat servis Toyota walaupun kereta tersebut telah memasuki tujuh tahun pada ketika itu. Disebabkan itu, kami membuat keputusan untuk membeli kereta tersebut daripada dia.
Memandangkan ada ahli keluarga isteri saya yang turut memiliki beberapa kereta Toyota seperti Toyota KE20 yang ada disebutkan di atas, juga sebuah Toyota Corolla AE101, kami percaya akan ketahanan kereta buatan Toyota.
Kos Servis Toyota Vios Dugong
Lagi satu, saya ada juga merisik sedikit maklumat tentang kos penyelenggaraan Vios memandangkan kami ingin membeli sebuah Vios terpakai dengan perbatuan sejauh 158,000 km pada ketika itu. Dengan perbatuan sebanyak itu, beberapa alat ganti kereta ini yang telah haus dan lusuh dijangkakan akan perlu ditukar serta servis biasa juga diperlukan. Harga servis adalah berpatutan dan tidak terlalu mahal untuk sebuah kereta sedan Jepun segmen B.
Kecekapan Minyak Toyota Vios Dugong
Selain itu, kecekapan penggunaan minyak Vios juga antara faktor lain kenapa kami membelinya. Memandangkan isteri saya akan banyak bergerak sekitar Pulau Pinang, penggunaan minyak memainkan peranan penting dalam kos pemilikan.
Walaupun dipasangkan pada enjin empat silinder 1.5 L 1NZ-FE dengan transmisi automatik empat kelajuan – yang merupakan enjin yang sama daripada model Vios NCP42 sebelum ini, ia tetap mempunyai kecekapan penggunaan minyak yang bagus walaupun dipandu dalam bandar.
Kedudukan Tempat Duduk Toyota Vios
Tempat duduk belakang dan ruang kaki merupakan antara sebab mengapa kami memilih Vios. Ia mempunyai ruang kaki yang cukup walaupun merupakan kereta segmen B dengan saiz kompak. Ia mempunyai posisi duduk yang sedikit tinggi berbanding kereta keluaran terkini yang mempunyai posisi duduk yang rendah untuk pemanduan yang selesa dan kedudukan pusat graviti yang lebih baik.
Kedudukan yang tinggi dan ruang kaki yang mencukupi menjadikan Vios NCP93 merupakan kereta kegunaan keluarga yang bagus terutama untuk membawa warga emas seperti ibu dan ayah. Ia sangat ergonomik memudahkan warga emas untuk masuk dan keluar dari kereta.
Setahu saya, Vios ini mempunyai ruang kaki yang cukup selesa dan posisi duduk yang bagus untuk membawa ibu dan ayah berbanding sedan segmen C milik saya. Ayah saya pernah mengadu bahawa kereta saya terlalu rendah dan susah untuk beliau keluar dari dan masuk ke dalam kereta.
Pengalaman Memandu Toyota Vios
Saya telah menggunakan sehingga 141,000 km. Purata penggunaan minyak adalah sebanyak 7 L/100 km.
Apabila kami mendapat kereta ini, perkara yang saya tidak biasa ialah himpunan peralatan di tengah kereta. Ia agak unik sebenarnya apabila Vios generasi pertama dilancarkan dan ia mengikut rekaan dalaman Vios generasi kedua. Ruang dalamannya merangkumi campuran warna kelabu gelap dan kuning air, yang sejujurnya saya suka. Walau bagaimanapun, warna kuning air pada tempat duduk akan membuatkan apa saja kotoran padanya kelihatan sangat jelas dan disebabkan itu, sedikit penjagaan adalah diperlukan.
Disebabkan kereta ini kebanyakan masanya dipandu oleh isteri saya dan saya cuma memandunya kadang kala saja, saya akan kongsikan sedikit apa yang saya rasa tentang kereta ini. Setelah kereta ini kami beli, kesemua penyerap hentakan ditukar kerana ia agak haus dan salah satunya sudah ada tanda kebocoran. Saya memilih penyerap hentakan asli Toyota Vios untuk digantikan dan tidak memilih yang berjenama after market kerana kereta ini akan digunakan hari-hari dan saya mahu kekalkan pemanduan yang selesa. Kesemua penyerap hentakan bertahan sejauh 140,000 km perjalananan atau lebih enam tahun sehinggalah salah satu daripadanya bocor kerana terlanggar lubang jalan. Kemudiannya, penyerap hentakan hadapan digantikan dengan yang baharu.
Keseluruhannya, saya boleh katakan Vios NCP93 merupakan kereta pemanduan harian yang bagus. Perjalanan di dalamnya selesa dan lembut walaupun ampaiannya lebih lunak yang tidak berapa bagus untuk selekoh tajam. Lagipun, kereta ini direka sebagai sedan keluarga dan bukannya untuk pemanduan pecut.
Di samping itu, disebabkan saya mempunyai pelbagai pilihan tayar untuk prestasi yang lebih bagus, saya telah menggantikan tayar yang telah haus dengan tayar bersaiz 195/55 R15 berbanding tayar bersaiz 185/60 R15. Tayar yang lebih lebar membolehkan ia lebih mencengkam ketika dipandu atau mengambil selekoh.
Transmisi & Prestasi Enjin Toyota Vios
Enjin 1NZ-FE yang boleh dipercayai dengan transmisi automatik empat kelajuan yang dipasangkan pada kereta ini menjalankan fungsinya dengan bagus. Walaupun kombinasi ini merupakan versi lama tetapi ia masih lagi memberikan respons dan prestasi yang baik kepada kereta. Respons pendikit enjin ini masih lagi bagus walaupun perbatuannya dah tinggi terutamanya sekali pada pecutan awal. Ia sedikit bising apabila bacaan pada takometer mencatatkan lebih 4,000 rpm, tetapi ianya akan surut sedikit apabila dipandu seperti biasa.
Transmisinya boleh direndahkan ketika pacu lebih (overdrive) apabila ingin memotong semasa di atas jalan raya. Gabungan ini membolehkan ia mencapai penggunaan minyak sebanyak 7 L/100 km ketika dipandu di Pulau Pinang dan sekitar 6 L/100 km ketika dipandu di atas jalan raya dengan mengikut had laju.
Ruang Dalaman Toyota Vios
Soal ruang dalamannya pula, Vios NPC93 mempunyai ruang kaki yang lebih daripada cukup, posisi duduk pada kerusi belakang yang selesa yang bagus untuk perjalanan panjang. Tempat duduk ini diletakkan sedikit tinggi berbanding kereta lain. Seperti yang saya sebutkan tadi, ergonomik tempat duduknya sangat bagus kerana nak keluar masuk pun mudah terutama untuk warga emas.
Walau bagaimanapun, tempat duduk pemandunya agak tinggi bagi saya. Saya berketinggian 175 cm dan walaupun telah direndahkan, ia masih agak tinggi bagi saya, kaki saya agak rapat dengan stereng jika kerusi pemandu saya tidak laraskan ke belakang. Saya tidak dapat duduk dengan selesa apabila saya yang memandu. Pada ketika itu, saya berharap sangat stereng ini mempunyai fungsi teleskopik atau boleh didongakkan ke atas lebih lagi.
Kerosakan & Pembaikan Toyota Vios
Sepanjang enam tahun pemilikan, Vios ini tak pernah rosak teruk. Yang paling teruk adalah apabila motor kipas radiator tiba-tiba rosak pada tahun ketiga pemilikan. Amaran suhu tinggi telah muncul dan kami berjaya menghentikan kereta tepat pada masanya. Setelah diperiksa oleh mekanik yang juga rakan baik saya, tidak ada kerosakan pada enjin.
Saya membuat keputusan untuk membuat penyelenggaraan pencegahan bagi sistem penyejukan dengan menggantikan radiator lama yang berada dalam keadaan yang tidak baik, hos radiator yang makin reput , termostat, dan juga pam air.
Selain ini, antara yang ditukar sepanjang tempoh pemilikan ialah komponen haus dan lusuh daripada ampaian dan brek. Sehingga dua minggu lalu (ketika ini ditulis), teras penyejat telah digantikan dan servis pendingin hawa yang menyeluruh telah dibuat pada masa yang sama. Walaupun telah mencecah perbatuan sebanyak 300,000 km, pemampat (compressor) pendingin hawa masih lagi berfungsi dengan baik dan boleh menyejukkan ruang dalam kereta dengan baik.
Isu lain berkenaan Vios ini adalah penggunaan minyak enjin. Saya perasan isu ini setelah kami membeli kereta ini dan saya tak terkejut pun memandangkan perbatuan kereta ini telah mencecah 160,000 km pada ketika itu.
Antara info yang sempat saya cari dalam talian menunjukkan bahawa isu ini sangat biasa bagi enjin 1NZ-FE pada perbatuan yang lebih tinggi, barang kali disebabkan oleh gelang omboh (piston ring) yang tersangkut. Walaupun begitu, saya masih lagi menggunakan minyak enjin sintetik penuh bagi perlindungan dan kebersihan. Minyak enjin ditukar setiap 10,000 km atau enam bulan sekali. Sementara itu, minyak transmisi automatik digantikan setiap 30,000 atau satu setengah tahun sekali.
Kelebihan & Kekurangan Honda Vios 2008
Kelebihan | Kekurangan |
1. Ruang dalaman yang mencukupi 2. Ruang but yang luas
3. Penggunaan minyak yang cekap untuk rantaian kuasa yang dah berusia 4. Penyelenggaraan yang berpatutan 5. Boleh diharapkan 6. Walaupun merupakan sedan segmen B, ia senang dipandu di kawasan bandar 7. Kuasa yang cukup daripada pacuan rantaian kuasa untuk kegunaan harian 8. Struktur yang lebih mekanika dan kurang elektrikal berbanding kereta moden terkini 9. Tiada penyelarasan teleskopik untuk stereng |
1. Kedudukan kerusi pemandu yang tinggi 2. Pengendapan bunyi angin dan bising yang makin lapuk disebabkan usia
3. Kereta terasa ‘melayang’ jika memandu lebih 120 km/j, mungkin disebabkan titik tengah graviti yang lebih tinggi 4. Stereng yang kurang responsif 5. Kurang ciri keselamatan berbanding kereta baharu |
Rating Vios 2008
Skor keseluruhan: 4
Prestasi: 4
Kualiti dan ciri: 4
Ruang: 5
Keselesaan pemanduan: 4
Kecekapan minyak: 5
Harga dan kos: 4
Kesimpulan
Secara keseluruhan, Vios NCP93 merupakan kereta bagus yang boleh diharapkan dengan kos pemilikan yang berpatutan. Ruang dalaman yang mencukupi bagi segmennya, membolehkan keluarga seramai empat orang boleh berjalan selesa di dalamnya walaupun untuk perjalanan jarak jauh.
Pemanduannya selesa sepanjang perjalanan disebabkan talaan ampaian (suspension tuning) yang membolehkannya menyerap gegaran akibat jalan tak rata di Malaysia dengan baik. Walaupun dengan gabungan rantaian kuasa yang berusia setakat hari ini, kereta ini juga masih cekap daripada segi kecekapan minyak berbanding kereta baharu terkini.
Kekurangan ciri keselamatan berbanding kereta baharu mungkin akan menyebabkan orang tidak mahu akan kereta ini. Lagipun, ini merupakan kereta yang berusia 13 tahun. Tidak dapat dinafikan, ia akan jadi kereta yang hebat jika dilengkapi dengan lebih banyak ciri keselamatan, tak kisah sama ada yang pasif atau aktif. Walau bagaimanapun, cara pemanduan yang berdisiplin dan bertamadun adalah kunci utama untuk memastikan keselamatan di atas jalan.
Artikel berkaitan: Ciri Keselamatan Mana Paling Bagus, Honda City atau Toyota Vios?
Tips Mudah Jika Anda Nak Jimatkan Duit Servis Kereta Vios Dugong
Disebabkan kereta Vios ini kereta terpakai, maka perlu ada beberapa kerja penyelenggaraan yang perlu dibuat. Disebabkan saya tertarik dengan penyelenggaraan pencegahan, rakan mekanik saya mengajar beberapa tips dan DIY yang saya boleh buat sendiri di rumah.
Apabila perbatuan Vios saya ini telah mencecah 240,000 km, rakan mekanik saya ada membuat pencucian badan pendikit (throttle body) keseluruhan di rumah, tanpa perlu menanggalkan badan pendikit, dan menasihatkan saya untuk melakukannya setiap 10,000-20,000 km kalau boleh. Ini boleh membantu mengekalkan kebersihan badan pendikit, sebelum pencucian seterusnya diperlukan.
Tambahan lagi, saya juga ada menggantikan penapis aliran udara apabila saya sedar ia telah kotor, kadang-kadang sebelum saya mengantarkan kereta saya untuk penyelenggaraan rutin disebabkan kualiti udara di kawasan bandar.
Jika anda ingin membeli kereta Vios di CARSOME, sekaranglah masa terbaik untuk melakukannya! Layari carsome.my atau muat turun aplikasi kami untuk dapatkan kereta idaman anda.
*Artikel ini merupakan terjemahan dan olahan semula daripada artikel yang diterbitkan di Wapcar iaitu “Owner Review: Trusted and reliable daily travelling partner – 2008 Toyota Vios 1.5 G (NCP93)”