HomeBMTukar Kereta Baru? Cara Transfer NCD Kereta Lama ke Kereta Baru yang...

Tukar Kereta Baru? Cara Transfer NCD Kereta Lama ke Kereta Baru yang Perlu Anda Tahu

No Claim Discount (atau NCD kereta) biasanya ditawarkan kepada pemilik kenderaan sekiranya tiada sebarang tuntutan insurans dilakukan dalam tempoh setahun pemilikan insurans. Diskaun insurans ini akan diberikan secara automatik semasa pemilik kenderaan memperbaharui polisi insurans kereta. Biasanya, pemilik kenderaan yang tidak membuat sebarang tuntutan insurans dalam tempoh lima tahun pertama boleh menikmati kadar pengurangan diskaun sehingga maksimum 55 peratus. Selain menikmati kadar pengurangan harga, pemilik kenderaan juga boleh transfer NCD kereta lama ke kereta baru dengan syarat kereta baru atau kereta terpakai yang dibeli didaftarkan di bawah nama dan nombor kad pengenalan pemilik yang sama. Ia sekali gus membolehkan pemilik kenderaan menikmati kadar insurans untuk kereta baru pada harga yang lebih rendah berbanding harga sedia ada.

Cara Transfer NCD Kereta Lama ke Kereta Baru

NCD Kereta: Perkara Mengenai NCD Kereta yang Pemilik Insurans Kenderaan Perlu Tahu

Apa itu NCD kereta? Secara amnya, No Claim Discount atau Diskaun Tanpa Tuntutan (atau lebih dikenali sebagai NCD kereta) merupakan satu bentuk pengurangan bayaran insurans yang ditawarkan oleh syarikat insurans kepada pemilik kenderaan. Ia berperanan mengurangkan kadar premium insurans kereta setiap tahun sekiranya tiada sebarang tuntutan insurans dilakukan dalam tempoh setahun pemilikan insurans.

Dengan NCD kereta, pemilik kenderaan boleh menikmati perlindungan insurans pada harga yang lebih rendah semasa memperbaharui insurans kereta atau motosikal setiap tahun. Ia sekali gus menggalakkan pemilik kenderaan untuk lebih berhati-hati semasa memandu di jalan raya untuk mengelakkan pengurangan ini ditolak. Pada asasnya, pemilik kenderaan boleh menikmati potongan diskaun sehingga maksimum 55 peratus sekiranya tiada sebarang proses tuntutan insurans kemalangan dilakukan.

Selain menikmati diskaun harga untuk insurans kenderaan, pemilik kenderaan juga boleh transfer NCD kereta lama ke kereta baru bergantung pada syarat-syarat transfer NCD kereta seperti berikut:

  • Tiada sebarang tuntutan dilakukan dalam jangka masa 12 bulan daripada tarikh pembelian atau pembaharuan insurans kereta/motosikal;
  • Tiada sebarang tuntutan insurans kemalangan dilakukan oleh pihak ketiga ke atas polisi insurans sedia ada.

Adakah Kemalangan Mempengaruhi Kadar NCD Kereta?

Sekiranya pemilik kenderaan terlibat dalam kemalangan dan merupakan punca kemalangan berlaku, ia semestinya akan menjejaskan kadar NCD kereta anda. Kadar NCD kereta sedia ada mungkin kembali kepada kosong peratus (0%) sama seperti tahun pertama pemilikan insurans. Ini bermaksud, anda mungkin perlu membayar kadar insurans yang lebih tinggi semasa pembaharuan insurans dilakukan. Meskipun begitu, perkara ini bergantung pada situasi dan keadaan semasa – ada sesetengah situasi kemalangan yang tidak memberi kesan pada NCD kereta sedia ada.

  • Biasanya, dalam situasi kos pembaikan kereta lebih murah atau tidak melebihi jumlah pengurangan diskaun NCD kereta, pemilik kenderaan memilih untuk tidak membuat sebarang tuntutan dan mengeluarkan belanja sendiri untuk membaiki kerosakan disebabkan kemalangan. Jika mengambil kira faktor-faktor lain, kemungkinan kos pembaharuan insurans lebih tinggi pada masa akan datang jika NCD kereta kembali kepada kosong peratus (0%) .
  • Jika pihak ketiga memilih untuk menanggung kos membaiki kerosakan tanpa melibatkan tuntutan insuran kereta anda, ia juga tidak akan menjejaskan NCD kereta anda. Situasi ini biasa berlaku sekiranya ia melibatkan kemalangan kecil yang tidak melibatkan kos yang besar.
  • Sekiranya kemalangan bukan berpunca daripada kecuaian anda dan perkara ini telah disahkan sendiri oleh pihak polis, besar kemungkinan NCD kereta anda tidak akan terjejas. Syarikat insurans biasanya akan membantu membuat tuntutan No-Fault Own Damage (NFOC) daripada syarikat insurans pihak ketiga sekiranya pihak ketiga tidak ingin bertanggungjawab ke atas kemalangan yang berlaku.
  • Jika anda memiliki perlindungan tambahan seperti windscreen cover, NCD kereta anda tidak terjejas sekiranya tuntutan kerosakan cermin dilakukan. Namun jika anda tidak memiliki perlindungan tambahan sebegini, ia mungkin memberi kesan pada NCD kereta anda sekiranya tuntutan dilakukan.

Artikel Berkaitan: Proses Tuntutan Insurans Kereta dan Cara Claim Insurans Kemalangan

Kiraan NCD Kereta

Kiraan NCD Kereta: Cara Kira NCD Insuran Kereta

Secara amnya, kadar diskaun tanpa tuntutan (kadar NCD kereta) adalah berbeza mengikut jenis dan kelas kenderaan. Berdasarkan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), kiraan NCD kereta dibahagikan kepada dua kategori seperti berikut:

  • kenderaan persendirian dan syarikat;
  • kenderaan komersial (motosikal, teksi, lori dan kenderaan khas).

Bagi kenderaan persendirian, kadar NCD kereta adalah antara 25 peratus hingga 55 peratus. Pemilik kenderaan layak menerima diskaun sehingga 25 peratus pada tahun kedua jika tiada sebarang tuntutan dibuat dalam tempoh 12 bulan pertama. Ia diikuti dengan diskaun 30 peratus untuk tahun kedua dan 38.33 peratus (untuk tahun ketiga). Untuk tahun keempat dan kelima, pemilik kenderaan akan menerima diskaun sebanyak 44 peratus dan 55 peratus masing-masing. Kadar diskaun ini dihadkan (capped) pada 55 peratus tanpa sebarang kenaikan diskaun untuk tahun keenam dan seterusnya. Anda boleh merujuk jadual NCD kereta berikut untuk maklumat lanjut:

Tempoh No Claim Pemilik Kenderaan (Tahun) Kenderaan Persendirian (%) Kenderaan Komersial (%)
Pertama 0 0
Kedua 25 15
Ketiga 30 20
Keempat 38.33 25
Kelima 45 25
Keenam dan seterusnya 55 25

Jadual NCD Kereta: Kiraan NCD Kereta (No Claim Discount) di Malaysia

Transfer NCD Kereta Lama ke Kereta Baru: Bayaran Insurans Kereta Tahunan Lebih Jimat?

Anda disarankan untuk transfer NCD kereta lama ke kereta baru. Dengan cara ini, anda boleh berjimat dan tertakluk pada kos perlindungan insurans baharu pada kadar harga yang jauh lebih rendah berbanding kos asal. Sekiranya anda tidak pindah NCD kereta lama ke kereta baru, anda perlu membayar premium perlindungan insurans baharu yang lebih tinggi.

Anda boleh merujuk jadual perbezaan kiraan NCD di bawah dengan andaian anda membeli Honda City baru bagi menggantikan Perodua Myvi lama yang kini berusia lima tahun dengan anggaran kos perlindungan insurans kereta seperti berikut:

Tanpa Transfer NCD Kereta Transfer NCD Kereta

Insurans Kereta Lama (Perodua Myvi): RM800

Insurans Kereta Baru (Honda City): RM4,000

Perodua Myvi: RM360 (NCD 55% daripada RM800)

Honda City: RM4,000 (0%)

Perodua Myvi: RM800 (0%)

Honda City: RM1,800 (NCD 55% daripada RM4,000)

Jumlah Premium Keseluruhan: RM4,360 Jumlah Premium Keseluruhan: RM2,600

Berdasarkan jadual di atas, anda boleh menikmati kadar perlindungan insurans kereta baru pada harga yang lebih rendah sekiranya anda tukar NCD kereta lama ke kereta baru. Malah, anda juga boleh menikmati penjimatan sebanyak RM1,760 berbanding harga premium insurans asal RM4,360. Dalam erti kata lain, anda boleh menikmati kadar diskaun dan kadar penjimatan yang lebih tinggi sekiranya anda transfer NCD kereta lama ke kereta baru.

Artikel Berkaitan: Jenis, Harga dan Perbandingan Polisi Insurans Kereta di Malaysia

NCD Insurans Kereta

4 Cara Transfer NCD Kereta Lama ke Kereta Baru

Biasanya, pembeli kereta baru akan memilih untuk transfer NCD kereta lama ke kereta baru. Dengan cara ini, ia membolehkan pemilik kenderaan membayar premium insurans kereta baru pada kadar harga yang lebih rendah berbanding harga asal. Carsome menyenaraikan panduan transfer NCD kereta untuk panduan dan rujukan anda seperti berikut:

1. Sediakan Dokumen, Butiran Peribadi Lengkap

Bagi memudahkan proses, pemilik yang ingin pindahkan NCD kereta lama ke kereta baru disarankan untuk menyediakan dokumen-dokumen penting berkaitan seperti salinan kad pengenalan dan maklumat bank. Selain itu, pemilik juga perlu menjelaskan sebarang baki premium insurans kereta lama (jika ada) bagi membolehkan pihak insurans memproses permohonan pindah NCD kereta ini.

Baki premium yang perlu dijelaskan biasanya bergantung pada tempoh sah polisi insurans kereta lama. Bagi urusan penjelasan baki ini, pemilik disarankan untuk menyediakan wang tunai yang mencukupi. Namun biasanya, sesetengah pihak insurans membenarkan online transfer dilakukan.

2. Hadir ke Cawangan Insurans, Isi Borang Pindah NCD Kereta

Kemudian, pemilik kenderaan perlu hadir sendiri ke mana-mana cawangan insurans atau berurusan dengan ejen insurans kereta lama. Sebagai contoh, jika urusan insurans kereta lama dilakukan dengan syarikat insurans A sebelum ini, pemilik perlu melakukan proses transfer NCD kereta lama ke kereta baru dengan syarikat insurans A. Pemilik perlu mengisi maklumat yang diperlukan dan tandatangan borang pindah NCD kereta. Pemilik biasanya akan menerima satu salinan borang setelah proses pemindahan selesai. Borang ini diperlukan semasa proses pembaharuan insurans kereta untuk kereta baru dilakukan.

3. Insurans Kereta Tamat Tempoh, Bawa Cover Note 

Namun sekiranya perlindungan insurans kereta lama pemilik sudah tamat tempoh, pemilik hanya perlu sediakan cover note insurance kereta lama yang memaparkan kadar NCD kereta paling tinggi. Bawa bersama cover note insurance ini semasa proses renew insurans kereta baru dilakukan. Oleh sebab itu, pemilik disarankan untuk sentiasa menyimpan salinan cover note insurance dengan kadar NCD paling tinggi untuk memudahkan urusan sekiranya perlu tukar NCD kereta pada masa akan datang.

4. Periksa NCD Kereta untuk Kepastian

Setelah selesai, periksa kadar NCD kereta baru. Pastikan segala maklumat dan butiran yang tercatat adalah betul dan semua maklumat penting dikemas kini dengan tepat.

3 Punca Proses Pindah NCD Kereta Lama Tidak Berjaya

Meskipun secara amnya NCD kereta lama boleh dipindahkan ke kereta baru, ia tidak bermaksud ia boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Proses transfer NCD kereta ini perlu dilakukan dengan mematuhi prosedur-prosedur tertentu dan tertakluk pada syarat-syarat lain seperti berikut:

1. Proses Transfer NCD Dilakukan Pihak Ketiga

Selain itu, proses tukar NCD kereta yang dilakukan oleh individu selain penama asal insurans kenderaan boleh menyebabkan proses pertukaran ini ditolak. Proses transfer NCD kereta hanya boleh dilakukan oleh penama asal insurans kenderaan yang sah dan tidak boleh dilakukan oleh ejen, dealer atau individu-individu lain.

Proses transfer NCD hanya boleh dilakukan antara dua kereta yang didaftarkan di bawah nama dan nombor kad pengenalan pemilik yang sama. NCD insuran kereta tidak boleh dipindah milik kepada individu lain.

2. Tukar NCD Kereta Lama ke Pemilik Baru

Secara asasnya, proses pindah NCD kereta lama ke kereta baru tidak boleh dilakukan jika kereta baru didaftarkan atas nama pihak ketiga yang berbeza dengan nama pemilik NCD kereta lama. Ini kerana, NCD insurans kereta pada dasarnya terikat pada individu, bukan pada kereta. Dalam erti kata lain, anda tidak boleh tukar NCD kereta yang didaftarkan atas nama anda kepada pihak ketiga atau selain daripada nama anda. Kadar NCD kereta hanya boleh dipindahkan kepada kenderaan baru yang didaftarkan di bawah nama dan nombor kad pengenalan pemilik yang sama.

3. Pindah NCD Motosikal ke Kereta

Secara amnya, kadar NCD kereta lama hanya boleh dipindahkan kepada kenderaan dalam kelas, jenis dan kategori yang sama sahaja. Ini bermaksud, anda tidak dibenarkan untuk pindah NCD motosikal kepada kereta atau sebaliknya.

Semoga perkongsian artikel ini dapat sedikit sebanyak membantu memudahkan proses pindah NCD kereta lama ke kereta baru anda. Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta terpakai lama, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan rangkaian pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan harga yang berpatutan.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular