HomeBMTransaksi Tanpa Tunai, Bayaran Caj Tempat Letak Kereta di Malaysia Kini Guna...

Transaksi Tanpa Tunai, Bayaran Caj Tempat Letak Kereta di Malaysia Kini Guna E-Wallet, Aplikasi

Sistem pembayaran caj tempat letak kereta secara tunai atau menggunakan kad Touch ‘n Go di terminal tempat letak kereta adakalanya sedikit menyusahkan lebih-lebih lagi jika anda tidak mempunyai duit syiling atau baki kad yang mencukupi. Itu tidak termasuk situasi-situasi lain seperti keadaan mesin terminal yang selalu rosak dan kedudukan mesin terminal yang sedikit jauh dari lokasi kereta kerana perlu berulang-alik untuk membayar tiket pada mesin terminal dan mempamerkan slip tiket pada dashboard.

Namun begitu, pengenalan aplikasi-aplikasi yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar sememangnya memudahkan dan menyenangkan. Carsome menyenaraikan 9 aplikasi telefon pintar yang biasa digunakan untuk memudahkan anda melakukan transaksi pembayaran caj tempat letak kereta sekali gus mengelakkan anda daripada dikompaun Pegawai Penguatkuasa Majlis.

smart phone apps | aplikasi bayar parking di Malaysia

9 Aplikasi Telefon Pintar untuk Bayar Caj Tempat Letak Kereta Tanpa Tunai

Anda kini boleh mengucapkan selamat tinggal kepada cara lama – duit syiling dan kupon majlis. Penggunaan aplikasi telefon pintar semestinya dapat menjadikan perjalanan anda lebih mudah dan selesa. Berikut merupakan 9 aplikasi yang boleh anda pertimbangkan untuk membayar caj tempat letak kereta yang boleh dimuat turun ke telefon pintar anda:

1. Flexi Parking dan Wilayah Parking

Kedua-dua aplikasi Flexi Parking dan Wilayah Parking dibangunkan oleh pembangun aplikasi yang sama. Oleh itu, aplikasi telefon pintar ini mempunyai fungsi dan integrasi yang hampir sama terutamanya dari segi susun atur atau layout, lokasi aplikasi ini boleh digunakan. Malah, kedua-duanya juga boleh berkongsi akaun kredit yang sama. Akaun aplikasi Flexi Parking dan Wilayah Parking boleh ditambah nilai melalui perbankan internet dalam talian, kad kredit (Visa/Mastercard), aplikasi Boost, Touch ‘n Go eWallet dan GrabPay dengan amaun minimum serendah RM10.

    • Kawasan Liputan: Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu dan Kelantan;
    • Kebaikan: Aplikasi ini boleh dihubungkan dengan tiga (3) aplikasi lain, boleh digunakan untuk membayar saman dan pas parking kereta bulanan, antara muka mesra pengguna (user-friendly interface);
    • Keburukan: Pengesanan lokasi yang kurang tepat, fungsi carian tidak efektif;
    • Aplikasi Telefon Pintar:
        1. Wilayah Parking boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store
        2. Flexi Parking boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store 

2. MCash E-Wallet

Aplikasi MCash mula dilancarkan pada tahun 2016 dan boleh dikatakan sebagai perintis sistem pembayaran digital di Malaysia. MCash menyediakan perkhidmatan e-dompet atau e-wallet dengan lebih daripada 500,000 ahli komuniti dan lebih 10,000 rangkaian pedagang di seluruh Malaysia. Selain pembayaran caj tempat letak kereta, MCash turut menyediakan perkhidmatan lain seperti pembaharuan insurans dan cukai jalan kenderaan, pembayaran bil dan banyak lagi.

    • Kawasan Liputan: Wilayah Persekutuan, Terengganu dan Kelantan (Kota Bharu & Machang);
    • Kebaikan: Sistem pembayaran parking kereta yang senang, mudah digunakan;
    • Keburukan: Kawasan liputan yang terhad di lokasi tertentu sahaja;
    • Aplikasi Telefon Pintar: MyMCash boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store 

3. Touch ‘n Go eWallet

Selain boleh digunakan untuk pembayaran tol di lebuh raya seluruh Malaysia, Touch ‘n Go eWallet boleh digunakan untuk membayar caj tempat letak kereta melalui aplikasinya. Jika anda ingin menggunakan Touch ‘n Go eWallet untuk membayar caj parking kereta anda, tekan ikon Parking pada halaman utama aplikasi Touch ‘n Go eWallet anda. Tambah maklumat berkaitan kenderaan anda dan pilih lokasi tempat letak kereta, tempoh masa diperlukan diikuti dengan pembayaran. Aplikasi ini turut akan menghantar peringatan kepada anda apabila tempoh masa anda berbaki kurang daripada 15 minit. Anda juga boleh melanjutkan tempoh masa, jika perlu – anda tidak perlu kembali ke kereta semata-mata untuk mempamerkan tiket pada dashboard kereta anda.

    • Kawasan Liputan: Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu dan Kelantan;
    • Kebaikan: Antara muka mesra pengguna, mudah digunakan;
    • Keburukan: Kawasan liputan yang terhad di lokasi tertentu sahaja;
    • Aplikasi Telefon Pintar: Touch ‘n Go eWallet boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery

4. JomParking

Aplikasi JomParking merupakan aplikasi yang diperkenalkan untuk menjimatkan masa dan memudahkan pembayaran caj tempat letak kereta di Malaysia. Anda hanya perlu memuat turun aplikasi ini ke dalam telefon pintar anda, beli token untuk membayar yuran parking kereta anda. Token boleh dibeli pada harga RM1 setiap satu – anda boleh beli 1000 token (RM10), 3000 token (RM30), 5000 token (RM50) & 10000 token (RM100). Aplikasi ini juga menerima pembayaran secara online melalui kad kredit/debit, aplikasi Boost dan GrabPay.

    • Kawasan Liputan: Wilayah Persekutuan, Selangor dan Sabah. Senarai penuh lokasi liputan aplikasi JomParking di sini;
    • Kebaikan: Antara muka mesra pengguna, responsif dan pengesanan lokasi yang tepat;
    • Keburukan: Kawasan liputan yang terhad di lokasi tertentu sahaja;
    • Aplikasi Telefon Pintar: JomParking boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store

5. EZ KL Smart Park

Aplikasi EZ KL Smart Park merupakan salah satu aplikasi pembayaran caj tempat letak kereta terbaharu yang dilancarkan pada 29 September 2020 lalu. Seperti kebanyakan e-wallet lain, aplikasi ini boleh ditambah nilai secara online melalui perbankan internet dalam talian, kad kredit UnionPay, aplikasi Boost, Touch ‘n Go eWallet & MCash. Selain itu, anda juga boleh membeli pas parking kereta bulanan melalui aplikasi ini.

    • Kawasan Liputan: Wilayah Persekutuan (DBKL sahaja);
    • Kebaikan: Arahan penggunaan yang jelas;
    • Keburukan: Antara muka pengguna yang rumit, kawasan liputan yang terhad di lokasi tertentu sahaja;
    • Aplikasi Telefon Pintar: EZ KL Smart Park boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store

parking kereta malaysia

6. Smart Selangor Parking

Aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) merupakan salah satu inisiatif di bawah 12 Domain Projek Smart Selangor. Pelaksanaan Sistem Parkir dan Kompaun Berintegriti Negeri Selangor (Smart Selangor Parking) ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai membuat pembayaran caj tempat letak kereta dan kompaun menerusi satu akaun menggunakan satu aplikasi dalam talian meliputi semua Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor. Ia juga merupakan salah satu kaedah penambahbaikan dan pemudahcara kepada Jabatan Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan dalam melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.

    • Kawasan Liputan: Seluruh Negeri Selangor;
    • Kebaikan: Satu akaun, satu aplikasi di seluruh negeri;
    • Keburukan: Kawasan liputan yang terhad di lokasi tertentu sahaja;
    • Aplikasi Telefon Pintar: Smart Selangor Parking boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store

7. Penang Smart Parking

Aplikasi Penang Smart Parking bukan sahaja boleh digunakan untuk membayar caj tempat letak kereta, malah ia juga boleh digunakan untuk mengesan lot parking kosong di sekitar lokasi berdekatan anda. Selain itu, anda boleh mendaftarkan beberapa kenderaan di bawah satu akaun yang sama – ini bermaksud anda boleh membayar caj parking kereta untuk keluarga dan rakan-rakan. Buat masa ini, aplikasi Penang Smart Parking hanya boleh ditambah nilai melalui kad kredit/debit, perbankan internet dalam talian dan aplikasi e-wallet seperti Boost dan GrabPay dengan amaun maksimum sebanyak RM5000. Aplikasi ini juga turut menghantar peringatan kepada anda dan anda juga boleh melanjutkan tempoh masa, menyemak dan membayar kompaun tertunggak.

    • Kawasan Liputan: Seluruh Pulau Pinang;
    • Kebaikan: Satu akaun, satu aplikasi di seluruh negeri;
    • Keburukan: Kawasan liputan yang terhad di lokasi tertentu sahaja;
    • Aplikasi Telefon Pintar: Penang Smart Parking boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery

8. Park@Perak

Aplikasi Park@Perak merupakan alternatif kepada kaedah pembayaran caj tempat letak kereta sedia ada. Ini bermaksud, anda kini tidak lagi perlu menggunakan kupon letak kereta untuk membayar caj parking kereta anda meskipun penggunaan kupon letak kereta masih diterima seperti biasa. Jika sebelum ini anda perlu memiliki kupon yang berlainan untuk setiap daerah di Perak – namun sekarang, anda hanya perlu menggunakan satu aplikasi kerana aplikasi ini boleh digunakan di hampir kesemua lokasi di negeri Perak. Malah, anda juga tidak lagi perlu berulang-alik ke kereta semata-mata untuk menggores kupon baharu dan mempamerkannya pada dashboard kereta anda.

    • Kawasan Liputan: Seluruh Negeri Perak;
    • Kebaikan: Boleh digunakan di seluruh Perak, mesra pengguna;
    • Keburukan: Kawasan liputan yang terhad di lokasi tertentu sahaja;
    • Aplikasi Telefon Pintar: Park@Perak boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery

9. CityCarPark

Selain pembayaran secara tunai atau menggunakan kad Touch ‘n Go di terminal tempat letak kereta, anda juga boleh membuat pembayaran menggunakan aplikasi CityCarPark jika anda berada di Negeri Terengganu. Alternatif pembayaran ini semestinya memudahkan terutama jika tiada duit kecil atau kad Touch ‘n Go tidak mempunyai baki yang mencukupi. Selain itu, anda juga boleh menggunakan aplikasi ini untuk memohon Pas Bulanan Digital dan Petak Khas di kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu jika anda perlu menggunakan tempat letak kereta untuk jangka masa panjang.

    • Kawasan Liputan: Terengganu (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu);
    • Kebaikan: Alternatif pembayaran lain selain kaedah pembayaran sedia ada;
    • Keburukan: Kawasan liputan yang terhad di lokasi tertentu sahaja;
    • Aplikasi Telefon Pintar: CityCarPark boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store

aplikasi bayar caj tempat letak kereta | parking kereta

Aplikasi yang disenaraikan merupakan cadangan aplikasi yang disarankan untuk dimuat turun ke telefon pintar anda – anda boleh memuat turun aplikasi telefon pintar yang bersesuaian mengikut kegunaan, kekerapan penggunaan, lokasi dan faktor-faktor lain yang perlu dipertimbangkan. Selain itu, jika anda merancang untuk menjual kereta lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome menawarkan perkhidmatan jual beli kereta terpakai yang professional, telus dan pantas – dalam 1 jam pun boleh settle.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular