Trade In Kereta Lama atau Jual, Beli Kereta Secara Berasingan?

Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum menaik taraf kereta lama kepada kereta baharu. Meskipun membeli kereta baharu merupakan suatu perkara yang menyeronokkan, proses untuk menjual kereta lama boleh memeningkan anda sekiranya tidak diperhalusi dengan betul. Sama ada anda perlu menjual kereta lama untuk memberi ruang kepada kereta baharu yang lebih baik atau menjual kereta lama anda kerana anda tidak lagi memerlukannya, pilihan seperti trade in kereta lama secara terus kepada pengedar atau jual dan beli kereta anda secara berasingan mungkin antara pilihan yang boleh dipertimbangkan.

Secara amnya, pilihan untuk trade in kereta lama secara terus kepada pengedar atau jual dan beli kereta anda secara berasingan merupakan pilihan yang bijak. Apa yang penting, kenal pasti faktor-faktor penting sebelum jual, beli secara berasingan atau trade in kereta lama anda – adakah proses jual beli lebih senang diuruskan sendiri atau lebih mudah menyerahkan keseluruhan proses kepada pengedar bagi pihak anda? Dan sudah semestinya, pilihan-pilihan ini bergantung sepenuhnya pada kekangan masa, kewangan, keperluan, kehendak dan penilaian risiko yang perlu ditanggung oleh anda.

trade in kereta atau jual beli secara berasingan

Jual, Beli Kereta Berasingan atau Trade-in Kereta:

Pilihan Manakah yang Terbaik untuk Anda?

Di Malaysia misalnya, banyak cara yang boleh anda lakukan untuk menjual kereta lama anda. Anda boleh mempertimbangkan pilihan-pilihan semasa yang ada seperti trade in kereta lama anda, dan beli kereta baharu secara terus daripada pengedar kereta yang sama atau menjual kepada pengedar atau pembeli secara berasingan. Sudah semestinya, pilihan-pilihan ini tertakluk pada kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Oleh sebab itu, Carsome menyenaraikan kebaikan dan keburukan bagi kedua-dua pilihan ini untuk panduan dan rujukan anda:

Pilihan #1 Jual, Beli Kereta Berasingan

Proses membeli kereta baharu semestinya suatu proses yang menyeronokkan. Namun begitu, urusan untuk ‘melupuskan’ kereta lama anda mungkin sedikit memeningkan lebih-lebih lagi jika anda tidak pasti pilihan mana yang tepat dan sesuai untuk anda. Apa yang penting, kenal pasti keperluan anda. Jika nilai jualan yang tinggi menjadi keutamaan anda, pilihan untuk jual dan beli kereta secara berasingan mungkin pilihan yang tepat untuk anda.

Kebaikan – Margin Keuntungan Mengikut Keperluan Anda, Pilihan Kereta yang Lebih Luas

Jika dibandingkan dengan pilihan trade in kereta, jual atau beli kereta secara berasingan berpotensi untuk menerima kadar harga yang lebih tinggi setanding dengan harga pasaran semasa. Ini kerana, pemilik mempunyai kawalan penuh terhadap kereta yang dimiliki dan boleh menentukan margin keutungan yang sesuai untuk kereta yang ingin dijual. Dalam erti kata lain, pemilik boleh memilih tawaran harga terbaik yang diterima untuk kereta yang ingin dijual.

Selain itu, sekiranya anda memilih untuk jual atau beli kereta secara berasingan, anda tidak terikat dengan inventori kereta yang tersedia di pusat jualan pilihan sahaja. Ini bermaksud, anda boleh mencari kereta idaman yang sesuai dan berbaloi bergantung pada bajet anda dan tidak terhad kepada satu lokasi sahaja. Berbanding proses trade in kereta lama, pembeli terikat dengan inventori sedia ada dan pilihan yang terhad di pusat jualan pilihan. Oleh itu, ia mungkin menyukarkan pembeli untuk mendapatkan tawaran kereta yang terbaik dan berbaloi.

Keburukan – Dokumen, Proses Persediaan Perlu Disediakan oleh Anda

Secara keseluruhannya, proses jual dan beli kereta bukanlah suatu proses yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, komitmen, kerja keras, ilmu, masa, tenaga dan wang ringgit. Proses mendapatkan pembeli dan pengedar yang sesuai yang menawarkan tawaran harga yang berbaloi semestinya memenatkan emosi, fizikal dan memakan masa. Dalam sesetengah kes, proses jual dan beli kereta boleh memakan masa sehingga berbulan-bulan untuk diselesaikan.

Bukan itu sahaja, faktor-faktor ini juga perlu dipertimbangkan sekiranya anda mengambil keputusan untuk menguruskan sendiri dan jual dan beli kereta secara berasingan:

      1. Membersihkan dan membaik pulih kerosakan kecil atau besar pada kereta;
      2. Menentukan nilai pasaran semasa kereta;
      3. Menentukan margin keuntungan;
      4. Mengiklankan;
      5. Menguruskan pertanyaan daripada bakal pembeli;
      6. Menguruskan pemeriksaan kereta dan pandu uji oleh bakal pembeli;
      7. Merundingkan harga jualan;
      8. Menguruskan proses pindahan hak milikan kenderaan dan penyerahan kunci;
      9. Menguruskan aduan (jika ada).

Selain itu, anda juga perlu mengambil kira faktor-faktor lain sebelum menjual atau membeli kereta anda seperti proses rundingan, terma dan syarat yang perlu dipatuhi serta banyak lagi untuk mengelakkan kerugian atau penipuan. Malah, anda juga terikat dengan urusan dokumentasi yang mungkin memeningkan anda sekiranya anda menjual kereta anda sendiri tanpa melalui mana-mana platform jual beli kereta terpakai.

kereta terpakai vs kereta baharu

Pilihan #2 Trade in Kereta Lama, Beli Kereta Baharu

Selain jual dan beli kereta anda secara berasingan, anda juga boleh mempertimbangkan pilihan trade in kereta lama melalui pengedar yang sama yang menjual kereta baharu kepada anda. Berikut merupakan kelebihan dan keburukan trade in kereta lama, beli kereta baharu secara terus daripada pengedar untuk panduan anda:

Kebaikan – Proses Jual Kereta Lebih Mudah, Dokumen dan Persediaan Diuruskan

Kebanyakan pengedar kereta membolehkan anda untuk trade in kereta lama apabila anda membeli kereta baharu daripada mereka. Pilihan ini menjadikan proses jual beli kereta anda lebih mudah dan cepat berbanding urusan jual dan beli kereta secara berasingan yang mungkin memakan masa sehingga berminggu-minggu untuk diselesaikan. Malah, anda juga boleh menggunakan nilai trade in kereta lama anda ini untuk ofset nilai belian kereta baharu anda. Ia secara tidak langsung menjadikan bayaran pendahuluan kereta baharu anda lebih rendah.

Selain itu, urusan trade in kereta juga biasanya tidak memerlukan anda untuk menguruskan urusan berkaitan dokumentasi kerana ia biasanya diuruskan oleh pihak pengedar. Pihak pengedar biasanya akan menguruskan segala kertas kerja berkaitan tukar nama, hak milik kenderaan, pemeriksaan puspakom dan sebagainya sehinggalah urusan membaiki kerosakan kecil pada kereta lama anda. Ia secara tidak langsung memudahkan dan menjimatkan masa anda.

Keburukan – Harga Lebih Rendah Berbanding Harga Pasaran

Dari segi keburukan pula, nilai keseluruhan harga jualan kereta trade in biasanya ditawarkan pada harga yang lebih rendah. Malah, harga yang ditawarkan dikatakan lebih murah berbanding nilai pasaran semasa kereta anda. Ia juga dikatakan lebih berbaloi sekiranya anda jual sendiri kereta lama anda melalui platform jual beli kereta terpakai dalam talian yang tersedia.

Kebiasaannya, pengedar kereta yang menerima trade in ini bukanlah pengedar kereta terpakai. Mereka perlu menjual semula kereta lama yang dibeli daripada anda kepada pihak ketiga. Oleh sebab itu, pihak pengedar biasanya menawarkan tawaran harga yang lebih murah untuk mempertimbangkan kos lain yang perlu ditanggung sebelum kereta anda dijual kepada pihak ketiga. Selain itu, proses trade in kereta juga terikat dengan bayaran broker sekali gus menyebabkan nilai jualan lebih murah berbanding nilai semasa kereta.

Apakah Pilihan Terbaik untuk Anda?

Kedua-dua pilihan ini semestinya bergantung pada penilaian dan keperluan semasa anda. Bagi sesetengah individu, pulangan wang yang berbaloi adalah perkara yang dititikberatkan semasa menjual kereta lama. Dalam erti kata lain, semakin tinggi nilai yang diperoleh daripada jualan kereta anda, semakin murah kos yang perlu ditanggung untuk mendapatkan kereta baharu.

Namun begitu, aspek-aspek lain seperti mudah dan cekap merupakan perkara yang tidak boleh dipandang remeh. Oleh sebab itu, ramai yang memilih untuk trade in kereta lama untuk mengelakkan kerumitan dokumentasi, pembaziran masa dan kos yang perlu dihadapi meskipun ditawarkan nilai jualan pada harga yang lebih rendah.

Perbezaan Antara Trade In Kereta atau Jual, Beli Kereta Berasingan

Bandingkan kedua-dua pilihan yang ada, kemudian buat keputusan yang terbaik untuk anda. Tidak kira sama ada pilihan anda adalah untuk trade in atau jual, beli kereta secara berasingan, pastikan anda mengetahui nilai pasaran semasa kereta anda. Ia adalah penting untuk mengetahui harga jualan yang sesuai untuk kereta anda.

Trade-In Kereta Jual Beli, Kereta Secara Berasingan
Pulangan daripada Jualan Lebih rendah berbanding menguruskan sendiri jualan;

Margin keuntungan bergantung pada pengedar.

Margin keuntungan bergantung pada pemilik kenderaan.
Masa Diambil untuk Dijual Jualan boleh dimuktamadkan dalam tempoh seminggu atau kurang. Jualan boleh dimuktamadkan dalam tempoh seminggu atau lebih bergantung pada keadaan.
Aspek Persediaan Dilakukan oleh penjual dan pengedar. Dilakukan oleh penjual.
Pengiklanan: Kos dan Tanggungjawab Ditanggung oleh pengedar. Ditanggung oleh penjual.
Pertanyaan Dikendalikan oleh pengedar. Dikendalikan oleh penjual.
Liabiliti Selepas Jualan Ditanggung oleh pengedar. Ditanggung oleh penjual.
Kesesuaian Sesuai untuk individu yang ingin menjual atau membeli kereta dengan cepat;

Individu yang tiada masa untuk menguruskan pertanyaan, pemeriksaan kereta dan pandu uji untuk pembeli berpotensi.

Individu yang ingin mendapatkan harga jualan yang tinggi, setanding harga pasaran semasa;

Sesuai untuk individu yang berkelapangan untuk menguruskan pertanyaan, pemeriksaan kereta dan pandu uji untuk pembeli berpotensi;

Individu yang tidak memerlukan kereta baharu untuk menggantikan kereta yang dijual.

Nilai pasaran kereta biasanya tertakluk pada jarak tempuh atau had perbatuan, keadaan kereta dan faktor-faktor lain yang mempengaruhi nilai pasaran. Tetapi secara amnya, kereta susut nilai lebih kurang 60 peratus daripada harga belian setelah lima tahun.

Carsome, platform jual beli, trade in kereta terpakai

Jual, Beli atau Trade In Kereta Lama di Carsome

Selain itu, jika anda ingin mengetahui nilai pasaran semasa kereta lama anda, layari laman web Carsome untuk menempah slot pemeriksaan kereta secara percuma. Carsome merupakan platform jual beli dan trade in kereta terpakai dalam talian yang menawarkan perkhidmatan yang selamat, mudah dan pantas.

  • Transaksi selamat, mudah dan pantas dalam tempoh 24 jam
  • Hanya 30 minit diperlukan untuk menjalani pemeriksaan kereta secara percuma
  • Terima bayaran dalam tempoh 1 jam*
  • Tanpa masalah dan tanpa kertas kerja

Malah, platform ini juga membolehkan anda melihat pelbagai inventori kereta terpakai sedia ada seperti seperti sedan, MPV, SUV dan banyak lagi dengan pelbagai tawaran harga yang menarik mengikut bajet anda.