HomeBMToyota Corolla Cross 2021 Dilancarkan Secara Rasmi, Harga Bermula RM124K

Toyota Corolla Cross 2021 Dilancarkan Secara Rasmi, Harga Bermula RM124K

UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan sebuah lagi model kenderaan utiliti sukan (SUV), Toyota Corolla Cross 2021 secara rasmi bermula malam tadi (25 Mac 2021) secara online. Menurut UMWT, pembelian batch pertama Corolla Cross 2021 baharu akan menerima versi pemasangan import (CBU) sepenuhnya dari Thailand dan berpeluang menikmati pengeculian cukai jualan kereta sebanyak 50 peratus seperti diumumkan kerajaan untuk model CBU. Namun begitu, bermula separuh kedua 2021, Toyota akan mengeluarkan Corolla Cross versi pemasangan tempatan (CKD) yang akan dipasang di kilang di Bukit Raja sekali gus menjadikannya model TNGA pertama yang dihasilkan secara CKD di negara ini.

Toyota Corolla Cross 2021
Kredit: Toyota Malaysa

Versi pemasangan tempatan (CKD) ini secara tidak langsung dijangka dapat menawarkan harga yang lebih rendah dan kompetitif berbanding versi CBU. Malah, ia semestinya dapat membuka lebih banyak peluang untuk kereta versi hibrid diperkenalkan di Malaysia. Pengenalan versi pemasangan tempatan (CKD) ini juga dapat memberi kelebihan kepada pengguna atau pembeli untuk memanfaatkan pengecualian cukai jualan sepenuhnya terhadap kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD).

Toyota Corolla Cross Sah Dilancarkan Secara Rasmi 25 Mac 2021

Corolla Cross merupakan SUV terbaharu keluaran Toyota selepas Toyota RAV4 yang dilancarkan pada pertengahan tahun lalu. Model segmen C baharu ini didatangkan dalam dua pilihan varian seperti berikut:

  • Corolla Cross 1.8V – Harga bermula serendah RM134,000 (tanpa pengecualian cukai jualan);
  • Corolla Cross 1.8G – Harga bermula serendah RM124,000 (dengan pengecualian cukai jalan).

Model Corolla Cross (2021) mula dilancarkan secara global buat pertama kali di Thailand pada Julai 2020 (diikuti oleh Indonesia beberapa bulan kemudian) dengan empat pilihan varian termasuk trenkuasa hibrid. Namun begitu, varian jenis ini tidak dijual untuk pasaran Malaysia. Dari segi prestasi atas kertas, SUV kompak yang menggantikan Toyota C-HR ini dijangka akan memberikan persaingan hebat terhadap model-model lain sedia ada di pasaran seperti Honda HR-V, Mazda CX-5 dan Proton X70. Model baharu Toyota ini menawarkan lima pilihan warna seperti berikut:

  • Red Mica Metallic (Merah);
  • Platinum White Pearl (Putih);
  • Metalstream Metallic (Perak);
  • Graphite Metallic (Kelabu);
  • Nebula Blue Metallic (Biru).
Corolla Cross Versi Pemasangan Tempatan (CKD)
Kredit: Toyota Malaysia

5 Perkara Tentang Corolla Cross 2021 – The Next Big Thing

Carsome menyenaraikan maklumat-maklumat penting berkaitan Corolla Cross 2021 baharu seperti prestasi dan keupayaan enjin, ukuran dimensi, bahagian dalaman (interior) dan luaran serta ciri-ciri keselamatan Toyota Safety Sensing (TSS) untuk panduan anda:

1. Prestasi Enjin

Corolla Cross 2021 baharu menggunakan platform TNGA-C (sama seperti Toyota Corolla, C-HR dan Prius) yang dikuasakan oleh enjin aspirasi biasa (NA) 1.8L petrol DOHC 4 silinder dengan Dual VVT-i. Ia sekali gus berupaya menghasilkan 139 PS pada 6,400 rpm dan 172 Nm tork pada 4,000 rpm dan boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 185 km/j. Selain itu, ia turut dipadankan dengan transmisi CVT dengan Sequential Shiftmatic 7 kelajuan dalam konfigurasi pacuan roda depan (FWD).

2. Dimensi

Model Corolla Cross 2021 berkongsi jarak roda yang sama dengan Toyota C-HR iaitu 2,640 mm. Namun begitu, Corolla Cross dikatakan 100 mm lebih panjang (4,460 mm), 30 mm lebih lebar (1,825 mm) dan 55 mm lebih tinggi (1,620 mm) berbanding C-HR. Sama seperti kebanyakan model terkini Toyota, Corolla Cross yang dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) ini memiliki pusat graviti yang lebih rendah sekali gus menjanjikan kenderaan yang lebih stabil, selesa dan selamat. Ia juga turut merangkumi kejuruteraan enjin serta suspensi yang direka untuk menawarkan imbangan dan kestabilan pemanduan tanpa mengorbankan aspek keselesaan. Corolla Cross 2021 juga turut menawarkan radius pusingan 5.2 meter yang terbaik dalam kelasnya.

interior toyota baharu 2021
Kredit: Toyota Malaysia

3. Bahagian Luaran

Meskipun merupakan sebahagian daripada keluarga Corolla, Toyota Corolla Cross baharu ini mempunyai elemen gaya yang berbeza berbanding Corolla Sedan sedia ada. Ia tampil dengan reka bentuk yang lebih sporty dan garang sesuai dengan imejnya sebagai SUV sebenar. Varian Corolla Cross 1.8G standard menampilkan lampu utama jenis projektor halogen, manakala varian Corolla Cross 1.8V pula menerima lampu Bi-LED untuk pencahayaan yang lebih baik. Lampu pencahayaan siang (DRL) pula menampilkan gaya light curtain sekali gus menyuntik rekaan yang lebih unik, moden dan memukau.

Kedua-dua varian ini dikemaskan dengan lampu kabus (hadapan dan belakang) jenis LED dan ciri yang sama turut ditampilkan untuk lampu belakang. Varian 1.8V turut diserlahkan dengan rim aloi 18 inci manakala varian 1.8G menerima kemasan rim aloi 17 inci. Kedua-dua varian juga turut menampilkan sistem brek cakera depan dan belakang serta dilengkapi dengan bukaan but belakang automatik dengan sistem pengesanan gerak kaki pengguna.

4. Bahagian Dalaman

Seperti kebiasaan, aspek keselesaan amat dititikberatkan oleh Toyota sama seperti model-model sebelum ini. Corolla Cross baharu menampilkan ciri premium dengan ruang kepala yang lebih luas berbanding pesaing-pesaing lain dalam kelas yang sama. Ruang dalaman atau interior kabin Toyota Corolla Cross menerima kemasan dalam skema tona hitam lengkap dengan balutan kulit pada tempat duduk dan tombol gear. Manakala, perincian pada papan pemuka diserlahkan dengan warna kontra kemasan cat satin berwarna perak dan piano black.

Dari aspek keselesaan dan kemudahan, tempat duduk pemandu boleh dilaras secara automatik dengan 8 tetapan pelarasan untuk keselesaan sepanjang pemanduan. Kerusi bahagian tempat duduk penumpang pula hanya boleh dilaras secara manual. Panel instrumen pula tampil dengan gaya sporty dengan panel paparan berbilang maklumat (multi-info display, MID) bersaiz 4.2 inci. Di bahagian tengah pula menampilkan unit infotainmen dengan panel skrin sentuh bersaiz 9 inci dengan ciri-ciri menarik seperti kamera undur, menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto selain slot USB Mirroring dan Bluetooth.

Ruang simpanan pula tersedia dengan kapasiti seluas 440 liter. Selain itu, kerusi tempat duduk penumpang di bahagian belakang boleh dilipat untuk memberikan ruang simpanan belakang yang lebih selesa dan luas – boleh memuatkan dua buah basikal.

Toyota Corolla Cross CKD 2021
Kredit: Toyota Malaysia

5. Toyota Safety Sensing (TSS)

Corolla Cross 1.8V dilengkapi teknologi bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Toyota Synergised Mobility (TSM). TSS 2.0 ini merangkumi ciri-ciri keselamatan seperti berikut:

  • Sistem Praperlanggaran (PCS);
  • Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng;
  • Kawalan Pemanduan Radar Dinamik (DRCC);
  • Bantuan Pengesan Lorong (LTA);
  • Lampu Tinggi Automatik (AHB).

Selain itu, ciri keselamatan standard berikut boleh didapati dalam kedua-dua varian:

  • Pemantau Titik Buta (BSM);
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA);
  • Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS);
  • Perakam Video Digital (DVR) bahagian depan (kamera belakang ditawarkan sebagai pilihan) – membolehkan pemandu merakam pergerakan kenderaan sepanjang masa, rakaman boleh digunakan sebagai bukti jika berlaku kemalangan;
  • Immobilizer enjin;
  • Sistem Telematik Kenderaan (VTS) termasuk Langganan VTS percuma selama tiga tahun – berfungsi mengesan kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM/GPS jika kenderaan dicuri atau jika impak dikesan, khidmat kecemasan akan digerakkan ke lokasi terkini;
  • Tujuh beg udara SRS (termasuk satu beg udara di bahagian lutut pemandu);
  • Cangkuk ISOFIX;
  • Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC);
  • Enam sensor parkir (2 depan, 4 belakang);
  • Kawalan Bantuan Mendaki (HAC);
  • Sistem Brek Kecemasan (EBS) dan Sistem Brek Antikunci (ABS);
  • Kawalan Cengkaman (TRC);
  • Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA).
Toyota Safety Sensing (TSS)
Kredit: Toyota Malaysia

Perbandingan antara SUV Toyota Corolla Cross, Subaru XV dan Honda HR-V

Secara amnya, Toyota menyifatkan Corolla Cross 2021 sebagai SUV Segmen C. Namun begitu, berdasarkan ukuran saiz dan dimensi, Toyota Corolla Cross dikatakan lebih besar berbanding SUV Segmen B dan lebih kecil berbanding SUV Segmen C. Corolla Cross sebenarnya lebih dekat untuk dibandingkan dengan Subaru XV berbanding Honda HR-V. Namun begitu, jualan Subaru XV di Malaysia boleh dikatakan sedikit perlahan berbanding Honda HR-V. Oleh itu, untuk memudahkan anda, Carsome menyediakan perbandingan antara ketiga-tiga model ini (Toyota Corolla Cross, Subaru XV dan Honda HR-V) berikut untuk panduan anda:

1. Harga

Varian Toyota Corolla Cross yang baharu dilancarkan merupakan versi import sepenuhnya (CBU) daripada Thailand. Oleh sebab itu, harga yang ditawarkan sedikit mahal berbanding model pesaing lain sedia ada di pasaran. Namun begitu, harga yang ditawarkan adalah setanding dengan sistem dan teknologi keselamatan yang ditawarkan berbanding varian lain di pasaran.

Toyota Corolla Cross Honda HR-V Subaru XV
Harga RM124,000-RM134,000 RM104,000-RM118,582 RM112,138 – RM133,788

2. Rupa Luaran

Reka bentuk sentiasa menjadi topik yang subjektif untuk dibincangkan. Sesetengah individu mungkin meminati reka bentuk model tertentu dan sesetengah individu yang lain mungkin meminati reka bentuk yang berlainan. Dalam erti kata lain, ketiga-tiga model kereta ini memiliki peminat dan kelebihan rekaan yang tersendiri. Namun begitu, jika diperhatikan, Toyota Corolla Cross sedikit sebanyak kelihatan seperti mini Toyota RAV4.

3. Dimensi

Toyota Corolla Cross Honda HR-V Subaru XV
Panjang (mm) 4,460 4,346 4,465
Lebar (mm) 1,825 1,790 1,800
Tinggi (mm) 1,620 1,605 1,615
Jarak roda (mm) 2,640 2,610 2,665
Berat (kg) 4,460 4,346 1,435

4. Aspek Keselamatan

Toyota Corolla Cross boleh dikatakan pilihan yang jauh lebih baik berbanding model lain. Model baharu 2021 ini dilengkapi dengan teknologi ADAS Toyota Safety Sense – meskipun harga lebih mahal, namun menjanjikan aspek keselamatan pemanduan yang lebih baik.

Toyota Corolla Cross Honda HR-V Subaru XV
Beg udara 7 6 7
Beg udara lutut Pemandu N/A Pemandu
AEB Ya N/A N/A
ACC Ya N/A Ya
Bantuan Pengekalan Lorong Amaran Sahaja N/A N/A
Bantuan Titik Buta Ya Honda Lane Watch (bahagian kiri sahaja) N/A
Kawalan Lampu Tinggi Ya N/A N/A
Kamera 360 darjah Ya N/A N/A

5. Prestasi Kuasa

Toyota Corolla Cross Honda HR-V Subaru XV
Jenis Enjin 1.8 NA 1.8 NA 1.5 Hibrid 2.0 NA
Silinder Empat (4) 4 Empat (4) 4
Kuasa (hp) 139 140 150 156
Tork (Nm) 172 172 190 196
Transmisi CVT CVT 7DCT CVT
Corolla Cross 2021
Kredit: Toyota Malaysia

Dengan setiap pembelian model ini, pelanggan berpeluang menikmati waranti lima tahun tanpa had perbatuan berserta perkhidmatan sokongan selepas jualan di seluruh negara dengan ketersediaan alat ganti tulen. Selain itu, jika anda ingin mendapatkan mana-mana model kereta Toyota terpakai, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai dengan tawaran harga yang menarik dan berpatutan.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular