HomeBMRingkasan Bajet 2022: Mencergaskan Semula Industri Automotif

Ringkasan Bajet 2022: Mencergaskan Semula Industri Automotif

Bajet 2022 Malaysia telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 29 Oktober 2021 yang lalu, dengan bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

Bajet 2022

Bajet ini direka untuk merangsang pemulihan ekonomi Malaysia selepas kemerosotan akibat dilanda pandemik Covid-19. Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM332.1 bilion untuk Bajet 2022, jumlah yang terbesar dalam sejarah.

Selaras dengan tema pemulihan dan rangsangan, sektor automotif juga termasuk dalam jaringan inisiatif untuk memberi insentif dan mengukuhkan industri serta menggalakkan permintaan daripada pengguna.

Kereta Elektrik Kini Bebas Cukai

Dalam Bajet 2022, tumpuan utama kerajaan adalah pada kenderaan elektrik. Kerajaan memberi tumpuan kepada kenderaan elektrik sebagai satu cara untuk meminimumkan pencemaran udara dan untuk mencapai sasaran sebagai negara neutral karbon menjelang 2050, sambil menggalakkan pembangunan industri kenderaan elektrik tempatan.

Tesla Model 3

Berikut merupakan insentif yang ditujukan kepada kenderaan elektrik dalam Bajet 2022:

  • Pengecualian penuh ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan untuk kereta elektrik (import dan pemasangan tempatan).
  • Pengecualian cukai jalan sehingga 100% untuk pemilik kereta elektrik.
  • Pelepasan cukai sehingga RM2,500 untuk pembelian, pemasangan dan penyewaan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (termasuk langganan pengecasan kenderaan elektrik).

Ini bermakna, kereta elektrik yang diimport sepenuhnya seperti Tesla Model 3, Nissan Leaf, dan Porsche Taycan akan bebas dari cukai import dan cukai jalan mulai tahun depan. Ini dijangka akan membantu meningkatkan penggunaan kereta elektrik dan mendorong pengeluar kereta elektrik untuk menubuhkan operasi pembuatan di Malaysia.

Insentif bagi kereta elektrik ini akan berkuatkuasa dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2023.

Pengecualian SST ke atas Kereta Baharu Dilanjutkan

Memandangkan sektor automotif adalah antara yang terjejas teruk akibat PKP baru-baru ini, kerajaan kini berusaha untuk memperkasakan semula industri ini memandangkan ia merupakan sektor utama yang menggerakkan ekonomi Malaysia.

Untuk itu, kerajaan telah mengumumkan lanjutan tempoh bagi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi kenderaan (termasuk MPV dan SUV) sehingga 30 Jun 2022.

Tempoh pengecualian SST ini dilanjutkan di bawah terma yang sama seperti yang pertama kali diperkenalkan di bawah pakej rangsangan PENJANA dan PEMERKASA+, iaitu seperti yang berikut:

  • Pengecualian 100% untuk kereta CKD yang dipasang di Malaysia.
  • Pengecualian 50% untuk kereta CBU yang baru dan juga dibaik pulih.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah ahmad memberitahu News Straits Times bahawa pengecualian SST merupakan langkah yang sangat dialu-alukan untuk merangsang sektor itu, di samping dapat membantu meningkatkan semula Jumlah Volum Industri (TIV) kepada tahap pra-Covid, iaitu sebanyak 600,000 unit.

Namun begitu, usaha ini kini dikekang oleh kekurangan semikonduktor di seluruh dunia yang telah mengakibatkan kelewatan pengeluaran dalam pelbagai sektor.

Menaik Taraf Jalan Raya dan Infrastruktur Utama

Bagi meningkatkan mobiliti rakyat Malaysia, kerajaan telah mencadangkan langkah-langkah untuk membangunkan jalan raya khususnya di kawasan luar bandar dengan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak. Projek lebuh raya utama juga akan diberikan keutamaan.

Berikut merupakan peruntukan yang telah dikemukakan untuk infrastruktur jalan raya dalam Bajet 2022:

  • RM1.5 bilion untuk melaksanakan projek jalan raya luar bandar dan antara kampung menjangkau 519 kilometer dan bakal memanfaatkan lebih daripada 130,000 orang.
  • RM3.5 bilion untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan Central Spine Road, termasuk akses ke pusat imigresen di Lebuhraya Pan Borneo untuk mengatasi peningkatan trafik di sempadan berikutan cadangan Indonesia untuk memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan.

Tumpuan kepada jalan luar bandar akan memberi rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan ini akses yang lebih baik kepada kemudahan dan peluang komersial, di samping menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar dengan lebih baik untuk faedah ekonomi yang lebih besar.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular