HomeBMPemandu Mabuk: Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 Berkuat Kuasa 23 Oktober

Pemandu Mabuk: Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 Berkuat Kuasa 23 Oktober

Kes berkaitan pemandu mabuk di negara ini dilihat semakin serius susulan terdapat trend peningkatan kes pada tahun lalu dan enam bulan pertama tahun ini. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk pada dua suku pertama tahun ini iaitu sebanyak 9 kes kematian direkodkan dari Januari hingga Mei tahun ini berbanding keseluruhan 9 kes kematian sepanjang tahun lalu.

pemandu mabuk malaysia

Walaupun data terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kadar kematian di jalan raya berpunca daripada pengambilan alkohol di Malaysia adalah antara yang terendah berbanding negara serantau lain, ia masih lagi menggusarkan banyak pihak ditambah pula dengan peningkatan beberapa kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Kemalangan Membabitkan Pemandu Mabuk di Malaysia

Berikut merupakan antara sebahagian kes kemalangan yang membabitkan pemandu mabuk yang hangat diperkatakan di media sosial Petugas barisan hadapan, Koperal Safwan Muhammad Ismail terkorban di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) selepas dirempuh oleh sebuah Toyota Hilux disyaki pemandu mabuk ketika bertugas menjaga kawalan sekatan jalan raya. Penghantar makanan, Mohamed Zaili Mohamed maut dirempuh pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur pada 1 Jun yang lalu. Dan yang terbaharu, kes kemalangan berhampiran lampu isyarat di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi membabitkan pemandu Myvi yang positif dadah dan terbabas lalu merempuh kereta jenis Honda Accord dan Proton Iswara.

https://twitter.com/TypicalMsian/status/1314896663631159296

Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020

Sidang Dewan Negara dan Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 setelah mendapat perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Ia bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya dan menjamin kebajikan serta kesejahteraan rakyat Malaysia. Pindaan akta ini sekali gus membawa hukuman yang lebih berat untuk kesalahan-kesalahan lalu lintas khususnya berkaitan Seksyen 41 hingga Sekyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

parlimen malaysia

Seksyen 41: Menyebabkan Kematian kerana Memandu dengan Melulu atau Membahayakan

Mengikut pindaan baharu ini, Sekyen 41 memperuntukkan jika sabit kesalahan, hukuman penjara akan dikenakan antara 5 hingga 10 tahun dengan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000. Malah, pesalah juga boleh hilang kelayakan lesen sehingga 5 tahun bagi sabitan kali pertama. Pesalah juga boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, denda RM50,000 hingga RM100,000 atau hilang kelayakan lesen selama 10 tahun bagi sabitan kesalahan kali kedua dan seterusnya.

Seksyen 42: Memandu Secara Melulu dan Membahayakan

Manakala pindaan pada Seksyen 42 pula membabitkan Subseksyen 42(3) yang menggantikan perkataan ‘2 tahun’ dengan perkataan ‘5 tahun’. Subseksyen 42(3) memperuntukkan individu yang disabitkan kesalahan di bawah seksyen ini hilang kelayakan memandu selama 5 tahun dari tarikh sabitan untuk kesalahan kali pertama, manakala 10 tahun dari tarikh sabitan untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya.

Seksyen 43: Memandu dengan Tidak Cermat dan Tidak Bertimbang Rasa

Hukuman denda bagi kesalahan Seksyen 43 dinaikkan kepada minimum RM5,000 atau maksimum RM10,000 dan hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan untuk kesalahan kali pertama. Untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya, pesalah akan dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM15,000 serta penjara tidak melebihi 12 bulan.

Seksyen 44: Memandu Semasa Berada di Bawah Pengaruh Minuman yang Memabukkan atau Dadah

Pindaan Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000. Selain itu, pesalah juga boleh hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun bagi sabitan kali pertama. Pesalah juga berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM150,000 selain hilang kelayakan lesen memandu selama 20 tahun bagi sabitan kali kedua dan seterusnya.

Selain itu, Subseksyen (1A) juga turut memperuntukkan mana-mana individu yang berada di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah; atau mempunyai kuantiti alkohol yang melebihi had yang dibenarkan dalam nafas, darah atau air kencing dan menyebabkan kecederaan kepada mana-mana individu lain boleh disabitkan kesalahan penjara minimum 7 tahun dan maksimum 10 tahun. Pesalah juga boleh dikenakan denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum 7 tahun bagi sabitan kali pertama. Manakala, bagi sabitan kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun.

Seksyen 45: Keadaan Menjaga Kenderaan Motor Semasa Berada di Bawah Pengaruh Minuman yang Memabukkan atau Dadah

Bagi Seksyen 45, pindaan dilakukan dalam Subseksyen (1) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun, denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan hilang kelayakan lesen tidak kurang daripada 2 tahun bagi sabitan kali pertama. Bagi sabitan kali kedua dan seterusnya, pesalah berdepan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun, denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hilang kelayakan lesen tidak kurang daripada 5 tahun.

Pindaan juga turut dilakukan pada Seksyen 45A (Memandu atau Menjaga Kenderaan Motor dengan Kepekatan Alkohol Melebihi Had yang Ditetapkan) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM30,000 (sabitan kali pertama). Pesalah juga turut berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 sekiranya disabitkan dengan kesalahan yang sama kali kedua dan seterusnya. Individu yang disabitkan di bawah seksyen ini boleh hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada 2 tahun untuk sabitan kali pertama dan tidak kurang daripada 5 tahun untuk sabitan kali kedua dan seterusnya.

Selain itu, bagi kesalahan mengikut Seksyen 45B (Ujian Nafas) dan Seksyen 45C (Pengadaan Spesimen bagi Analisis) dipinda kepada penjara tidak melebihi 2 tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM30,000. Manakala sabitan kali kedua dan seterusnya akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000. Individu yang disabitkan kesalahan di bawah seksyen ini akan hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada 2 tahun (sabitan kali pertama) dan tidak kurang daripada 5 tahun (sabitan kali kedua dan seterusnya).

Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020

Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 baharu itu diharap dapat dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai khususnya pengguna jalan raya terhadap pematuhan undang-undang. Ia sekali gus dapat memupuk sikap pengguna jalan raya yang berhemah selain memastikan jalan raya di negara ini kekal selamat.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular