HomeBMKereta Elektrik di Malaysia Ada Banyak Kos Tersembunyi, Betul Ke?

Kereta Elektrik di Malaysia Ada Banyak Kos Tersembunyi, Betul Ke?

Kereta elektrik atau electric vehicle (EV) kini menjadi tumpuan dunia kerana ia lebih baik untuk alam sekitar, lebih murah untuk digunakan, dan ada yang mempunyai reka bentuk yang unik. Para pengeluar kenderaan sudah mula mengarahkan fokus mereka terhadap teknologi kenderaan elektrik, dan tidak lama lagi, kereta elektrik akan menjadi kuasa dominan dalam pasaran automotif. International Energy Agency (IEA) meramalkan bahawa menjelang tahun 2030, 60% daripada kenderaan yang dijual di seluruh dunia bakal terdiri daripada kereta elektrik, dan permintaan untuk sistem pengecasan di rumah akan meningkat dengan ketara.

Pada ketika ini, kereta elektrik masih berada dalam peringkat permulaan dengan hanya beberapa model yang boleh didapati di Malaysia. Kos permulaan yang tinggi masih menjadi halangan bagi ramai pengguna yang berminat, tetapi dengan perkembangan berterusan teknologi bateri dan penurunan kos pemilikan, sudah tidak dapat dinafikan yang tidak lama lagi kereta elektrik akan menjadi norma baharu.

Jika anda mempunyai perancangan untuk beralih daripada kereta yang menggunakan enjin petrol (ICE) kepada elektrik, panduan ringkas ini akan membantu anda mengira kos pemilikan yang diperlukan.

Kos Permulaan

Kos permulaan yang tinggi untuk memiliki kereta elektrik ketika ini membuatkannya lebih sesuai bagi golongan T20 sahaja. Namun, untuk menggalakkan lebih ramai orang membeli kereta elektrik di Malaysia, kerajaan telah melanjutkan pengecualian duti import bagi kenderaan elektrik CBU sehingga tahun 2024 dan menawarkan rebat sehingga RM30,000 untuk kereta elektrik yang dipasang di kilang tempatan.

Walaupun begitu, anda masih boleh mendapatkan kereta elektrik di Malaysia pada harga yang berpatutan di pasaran, seperti Neta V yang dijual pada harga bermula daripada RM99,800. Jika dibandingkan dengan kereta yang menggunakan enjin petrol, anda ada pelbagai jenis kereta yang boleh didapatkan dalam julat harga tersebut. Itu belum mengambil kira pilihan kereta ekonomi yang dijual pada harga yang jauh lebih rendah daripada itu.

Namun, bagaimana pula dengan cukai jalan? Adakah kereta elektrik perlu membayar cukai jalan walaupun ia tidak menggunakan minyak?

Macam Mana Cara Nak Kira Cukai Jalan untuk Kereta Elektrik di Malaysia?

Adakah cukai jalan untuk kereta elektrik lebih murah daripada kereta enjin petrol di Malaysia? Seperti yang kita sedia maklum, cukai jalan untuk kereta enjin petrol dikira berdasarkan kapasiti enjin dalam sentimeter padu (CC). Bagi kereta elektrik pula, ia dikira berdasarkan penghasilan kuasa dalam kilowatt (kW). Berikut adalah jadual yang kami dapati menggunakan data daripada JPJ.

kereta elektrik malaysia, woman holding calculator
Gambar oleh Mikhail Nilov.

a) Untuk kereta syarikat dan milik persendirian (sedan) dengan enjin berkuasa 80 kW dan ke bawah:

Kuasa Enjin Kadar Pengecasan
50 kW dan ke bawah RM20
Melebihi 50 kW hingga 60 kW RM44
Melebihi 60 kW hingga 70 kW RM56
Melebihi 70 kW hingga 80 kW RM72

 

b) Bagi kereta dengan kuasa enjin melebihi 80 kW, kadar asas dan kadar progresif 0.05 kW daripada kadar asas akan dikenakan ke atas pengiraan cukai jalan:

Kuasa Enjin Kadar Asas Kadar Progresif
80 – 90 kW RM160 RM0.32 untuk setiap kenaikan 0.05 kW dari 80 kW
90 – 100 kW RM224 RM0.25 untuk setiap kenaikan 0.05 kW dari 90 kW
100 – 125 kW RM274 RM0.50 untuk setiap kenaikan 0.05 kW dari 100kW
125 – 150 kW RM524 RM1.00 untuk setiap kenaikan 0.05 kW dari 125 kW
150 kW ke atas RM1,024 RM1,024 dan RM1.35 untuk setiap kenaikan 0.05 kW dari 150 kW

Pengecasan Semula

Pengisian minyak dan pengecasan bateri adalah satu lagi faktor yang anda perlu ambil kira apabila mahu membeli sama ada kereta dengan enjin petrol atau kereta elektrik. Kereta dengan enjin petrol cuma memerlukan beberapa minit sahaja untuk mengisi minyak, manakala kereta elektrik pula mungkin memerlukan kira-kira 20 minit untuk mencapai cas penuh dengan pengecas pantas arus terus (direct current).

kereta elektrik malaysia, pengecasan kereta elektrik
Gambar oleh Rathaphon Nanthapreecha.

Tambahan pula, bateri kereta elektrik memerlukan penjagaan yang teliti, seperti yang akan kami jelaskan di bawah. Tetapi sebelum itu, penting untuk anda mengetahui jenis pengecas kereta elektrik yang boleh digunakan.

Pengecasan Arus Ulang-alik (AC)

Biasanya dirujuk sebagai pengecasan Tahap 1 dan Tahap 2, pengecasan AC sering digunakan untuk mengecas semula bateri kereta elektrik. Pengecasan Tahap 1 boleh dilakukan menggunakan soket elektrik biasa yang boleh didapati di rumah anda dan akan mengambil masa kira-kira lapan hingga 20 jam untuk mencapai cas penuh, bergantung kepada saiz bateri kereta anda.

Manakala pengecasan Tahap 2 pula menggunakan soket khas 240 volt dan mengambil masa antara empat hingga lapan jam untuk mencapai cas penuh. Walaupun pengecasan AC adalah cara yang paling mudah untuk mengecas kereta elektrik, tetapi ia memerlukan anda untuk memasang soket pengecasan yang khas di rumah anda.

Menurut artikel Carput ini, kos pemasangan soket pengecasan adalah sekitar RM3,000 hingga RM5,000 untuk pengecas berkuasa 7kW dan RM5,000 hingga RM7,900 untuk pengecas berkuasa 22kW. Ini tidak termasuk kos pemasangan dan pengubahsuaian sistem kabel daripada satu fasa kepada tiga fasa jika rumah anda tidak mempunyai infrastruktur yang diperlukan.

Selain daripada itu, soket pengecasan khas hanya boleh dipasang di rumah bertanah. Jika anda tinggal di apartmen di Malaysia, pemasangan soket pengecasan khas mungkin tidak dapat dilakukan kerana anda perlu memohon kebenaran daripada pihak pemaju atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) apartment. Walaupun pengecasan AC mengambil masa yang agak lama, ia adalah cara terbaik untuk memastikan jangka hayat bateri anda terjaga, berbeza dengan pengecasan DC.

Pengecasan Arus Terus (DC)

Pengecasan arus terus (DC) adalah alternatif yang lebih cepat dan berkuasa tinggi yang boleh memberi cas penuh untuk bateri kereta elektrik dalam masa hanya 30 minit. Ia juga turut dikenali sebagai pengecasan Tahap 3 atau pengecasan pantas kerana ia menggunakan arus terus untuk memberi kuasa kepada bateri. Pengecasan DC ini tidak tersedia untuk dipasang di rumah; sebaliknya, ia boleh didapati di stesen pengecasan awam yang khusus.

Stesen pengecasan DC adalah pilihan terbaik untuk perjalanan jarak jauh atau bagi mereka yang mahu menambah kuasa bateri dengan segera semasa dalam perjalanan. Walau bagaimanapun, satu kelemahan pengecasan DC adalah penggunaannya yang kerap boleh merosakkan jangka hayat bateri kereta elektrik, yang merupakan komponen yang paling mahal untuk diganti dalam kereta.

Harga Pengecasan Semula

Berikut adalah perbandingan kadar semasa untuk pengecasan semula kereta elektrik dan harga RON95:

  • RON95 – RM2.05 setiap liter, manakala bagi setiap liter petrol pula kereta anda boleh bergerak sejauh 5 hingga 20 km, bergantung kepada jenis dan kuasa enjin.
  • Elektrik – 60 sen setiap kilowatt, manakala bagi setiap kilowatt, kereta elektrik boleh bergerak sejauh 4 hingga 6.4 km, bergantung kepada kecekapan bateri kereta elektrik.

Stesen pengecasan kereta elektrik kini boleh didapati di hampir seluruh kawasan Lembah Klang. Jika anda merasakan stesen pengecasan yang memerlukan anda untuk membayar setiap kali menggunakannya agak leceh, anda boleh memilih servis daripada syarikat seperti ChargEV yang menawarkan pakej langganan pada harga RM240 setahun. Malah Shell juga turut menawarkan model langganan untuk stesen pengecasan mereka sendiri.

Jika langganan tahunan pada harga RM835 terlalu mahal, anda boleh menggunakan kaedah bayar mengikut penggunaan dengan bayaran RM4 untuk mengakses kawasan pengecasan dan kadar RM20 untuk setiap lima minit pengecasan. Ataupun gunakan sahaja stesen pengecasan pantas Gentari milik Petronas yang menawarkan kadar RM2.20 setiap minit.

Tayar & Penyelenggaraan

Tahukah anda bahawa tayar biasa tidak boleh digunakan untuk kereta elektrik? Ia memerlukan tayar yang direka khas yang lebih keras dan berat untuk memastikan ia mempunyai permukaan lebih besar yang bersentuhan dengan jalan. Biasanya, kereta elektrik menggunakan tayar berdiameter 19 hingga 21 inci dan ia juga lebih senyap.

kereta elektrik malaysia, tayar kereta elektrik
Gambar oleh Mark Chan di Unsplash

Walaupun tayar kereta elektrik mempunyai pelbagai kelebihan, tetapi ia memerlukan kos yang sangat tinggi. Untuk menggantikan tayar pada Kia EV6, anda perlu membelanjakan sekitar RM10,000! Di samping itu, tayar OEM asli untuk kereta elektrik hanya boleh didapati melalui pengedar kereta yang anda beli dan harganya agak mahal. Jadi, berhati-hatilah jika anda mahu memandu kereta elektrik berhampiran dengan kawasan pembinaan.

Pembaikan & Penyelenggaraan

Jika kereta elektrik mengalami kerosakan, adakah anda perlu menghantar kereta kepada mekanik atau juruelektrik? Percaya atau tidak, motor pada kereta elektrik hanya memerlukan penyelenggaraan yang sangat-sangat minima. Kereta dengan enjin petrol mempunyai beratus-ratus bahagian yang perlu berfungsi dengan baik, manakala motor elektrik untuk kereta elektrik mempunyai kurang daripada 20 bahagian! Semakin sedikit bahagian yang bergerak, semakin mudah penyelenggaraan yang diperlukan. Kereta elektrik juga tidak memerlukan anda untuk menukar minyak, palam pencucuh, atau tali sawat, yang sudah pasti akan membantu anda menjimatkan wang dan masa.

Kereta elektrik hanya memerlukan penyelenggaraan pada bahagian brek, tayar, dan bateri. Bahagian brek perlu diganti setiap lima tahun, manakala tayar perlu dipusingkan dari semasa ke semasa untuk mengekalkan penjajaran yang betul.

kereta elektrik malaysia, man holding ev charger
Gambar oleh Mark Chan di Unsplash

Bateri adalah bahagian paling penting untuk kereta elektrik dan ia juga merupakan bahagian yang paling mahal untuk digantikan. Walau bagaimanapun, bateri kereta elektrik dikatakan mempunyai jangka hayat selama 10 tahun atau 160,000km sebelum mengalami kemerosotan. Agaknya berapa kos yang perlu anda tanggung untuk menggantikan bateri kereta elektrik di Malaysia?

Sebagai contoh, tanpa sebarang waranti, penggantian bateri penuh bagi Tesla Model S di Amerika Utara memerlukan kos sekitar USD20,000 (RM87,101.27)! Artikel oleh DSF ini menerangkan dengan lebih terperinci tentang pembaikan dan penyelenggaraan Tesla bagi mereka yang membeli model recond di Malaysia. Untuk makluman anda, kos penggantian bateri untuk Nissan Leaf yang dijual secara rasmi pula boleh mencecah sehingga RM30,000. Dengan harga bateri yang tinggi, adakah kita bakal melihat kereta elektrik terpakai dijual pada harga yang jauh lebih murah pada masa hadapan?

Kereta elektrik mempunyai pelbagai kekurangan dan kelebihan yang unik tetapi ia boleh dikatakan sebagai alternatif yang menarik bagi pemandu di Malaysia. Walaupun terdapat beberapa cabaran seperti kos permulaan yang tinggi, keperluan infrastruktur pengecasan semula yang masih perlu diperbaiki, dan kos penyelenggaraan yang mahal, kereta elektrik masih memberikan pelbagai manfaat kepada pemandu zaman moden dan juga alam sekitar dalam jangka masa panjang.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular