Punca Cermin Depan Kereta Retak, Cermin Kereta Belakang Pecah

Cermin kereta pecah atau cermin retak seribu merupakan antara perkara biasa yang sering dialami oleh kebanyakan pemilik kereta. Situasi cermin tiba-tiba pecah ini boleh berlaku sama ada ketika memandu atau semasa kereta ditinggalkan di kawasan tempat letak kereta. Biasanya, cermin depan kereta retak atau cermin kereta belakang pecah disebabkan oleh batu yang melantun, keadaan cuaca yang tidak menentu dan faktor-faktor semasa yang lain. Secara amnya, cermin kereta merupakan salah satu komponen dan ciri keselamatan penting yang direka untuk kenderaan. Ia bukan sahaja berfungsi memberi perlindungan daripada hujan, angin atau habuk, tetapi turut memainkan peranan dalam mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.

punca cermin kereta retak, cermin kereta pecah

Cermin kereta menyumbang 34 peratus daripada keseluruhan integriti struktur kereta. Ia berfungsi mengelakkan bumbung kereta daripada remuk teruk dan menghempap pemandu atau penumpang semasa kemalangan. Pemasangan cermin kereta yang betul juga sangat penting dalam memastikan beg udara kereta berfungsi dengan baik selain membantu mengurangkan risiko kecederaan yang lebih serius akibat kemalangan. Cermin kereta retak, pecah dan tidak dipasang dengan betul tidak dapat berfungsi secara total dalam melindungi pemandu dan penumpang dalam kenderaan.

7 Punca Cermin Kereta Retak, Cermin Pecah yang Perlu Anda Tahu

Kebanyakan kereta moden hari ini dilengkapi dengan tiga lapisan cermin keselamatan yang dikatakan lebih kuat dan selamat berbanding cermin biasa. Secara amnya, cermin depan kereta diperbuat daripada tempered glass yang telah melalui proses pemanasan yang teliti untuk menguatkan lagi struktur kaca. Ia secara tidak langsung menjadikannya tahan lasak dan tidak mudah pecah. Meskipun begitu, rekahan atau retakan kecil pada cermin kereta masih boleh berlaku sekiranya berlaku situasi-situasi tertentu luar jangka seperti berikut:

1. Cermin Kereta Pecah Kena Batu, Objek Asing

Objek keras seperti batu, kayu, pasir dan sebagainya yang melantun daripada kenderaan berat seperti lori boleh menyebabkan cermin kereta retak atau pecah. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memperlahankan kenderaan anda dan tidak mengekori belakang lori atau kenderaan berat yang membawa bahan pembinaan seperti batu kerikil, tanah, pasir atau kayu terlalu rapat. Ini kerana, objek-objek sebegini meskipun kecil ditambah dengan faktor kelajuan tertentu boleh terjatuh ke jalan raya lalu melantun terkena cermin depan kereta anda.

Jika boleh, anda disarankan untuk memotong kenderaan berat yang membawa barangan berisiko dan elakkan memandu di belakang kenderaan berat terlalu rapat. Jaga jarak ideal dengan kenderaan di hadapan anda untuk mengurangkan risiko ini berlaku kepada anda. Selain itu, ada juga situasi cermin kereta retak yang melibatkan batu melantun daripada kerja-kerja pemotongan rumput di tepi jalan.

Cermin Kereta Pecah Kena Batu Potong Rumput

Sekiranya anda berdepan dengan situasi cermin kereta kena batu disebabkan aktiviti pemotongan rumput, berikut antara langkah-langkah yang boleh anda lakukan:

      1. Ambil gambar cermin yang retak dan simpan sebagai bukti untuk digunakan semasa proses tuntutan insurans kereta;
      2. Dapat butiran peribadi pemotong rumput seperti nama, nombor kad pengenalan dan syarikat beliau bekerja. Catatkan juga lokasi, tarikh dan masa kejadian;
      3. Hubungi syarikat kontraktor dan dapatkan nama serta lokasi bengkel panel syarikat insurans berdaftar;
      4. Buat laporan polis dalam tempoh masa 24 jam. Nyatakan dalam laporan butiran peribadi pemotong rumput termasuk nama syarikat kontraktor, lokasi, tarikh dan masa kejadian berlaku;
      5. Setelah selesai, bawa laporan polis ke bengkel panel insurans berdekatan anda untuk mendapatkan penggantian cermin kereta secara percuma.

2. Dahan Pokok Patah, Jatuh Menghempap Cermin Kereta

Ada sesetengah pemilik kereta yang memilih untuk meletakkan kereta di bawah pokok kerana lebih teduh terutamanya semasa cuaca panas. Namun begitu, perbuatan ini mungkin boleh merisikokan anda. Cuaca yang buruk seperti hujan lebat atau angin terlalu kuat boleh menyebabkan dahan pokok patah lalu jatuh menghempap cermin kereta anda. Malah, ada juga situasi seperti dahan, ranting pokok atau objek besar lain seperti atap rumah yang diterbangkan oleh angin kuat semasa cuaca ribut.

3. Cermin Kereta Pecah Sendiri Disebabkan Cuaca

Secara amnya, setiap bahagian cermin kereta mempunyai kadar pengecutan dan pengembangan yang berbeza – kadar pemanasan di bahagian tepi cermin biasanya lebih cepat berbanding bahagian tengah cermin. Oleh sebab itu, kenderaan yang dibiarkan terdedah kepada cahaya matahari yang berpanjangan boleh menjadi punca cermin kereta retak atau cermin tiba-tiba pecah. Ini kerana, bahan logam pada rangka kereta berpotensi memanaskan bahagian tepi cermin dengan lebih cepat sekali gus menyebabkan keretakan. Elakkan meletakkan kereta di bawah panas terik – anda disarankan untuk meletakkan kereta anda di kawasan tertutup atau di kawasan teduh yang selamat.

4. Cermin Tiba-tiba Pecah Disebabkan Perubahan Suhu

Selain itu, perubahan suhu secara mendadak boleh menyebabkan cermin kereta retak atau pecah sendiri tiba-tiba. Meskipun situasi sebegini amat jarang berlaku, anda disarankan untuk berhati-hati dan mengamalkan langkah pencegahan biasa. Perubahan suhu secara tiba-tiba daripada cuaca panas terik (suhu tinggi) kepada cuaca hujan (suhu rendah) boleh meningkatkan risiko keretakan cermin dan menyebabkan cermin pecah dan retak secara tiba-tiba. Berikut merupakan antara kesilapan-kesilapan biasa yang dilakukan oleh pemilik kereta yang boleh menyumbang kepada masalah cermin tiba-tiba retak:

    • meletakkan kereta di kawasan terbuka pada hari panas untuk tempoh masa yang lama;
    • menghidupkan penyaman udara sebaik sahaja menghidupkan enjin kereta semasa suhu di dalam kereta masih panas;
    • membasuh kereta atau cermin depan dengan air sejuk atau semasa cuaca panas.

Selain itu, cuaca panas juga berpotensi menyebabkan retakan kecil sedia ada menjadi retakan yang lebih besar lebih-lebih lagi jika kereta dibiarkan di kawasan terbuka. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk sentiasa berhati-hati dan peka dengan suhu persekitaran semasa untuk mengelakkan cermin kereta retak atau rosak.

5. Cermin Kereta Pecah Kerana Kelemahan, Kecacatan Struktur

Keretakan atau kerosakan cermin kereta juga boleh berlaku disebabkan oleh kelemahan atau kecacatan struktur cermin itu sendiri. Masalah kerosakan produk atau komponen tertentu kenderaan pada fasa pengeluaran merupakan masalah biasa yang sering berlaku. Umumnya, produk seperti cermin kereta akan melalui proses pembuatan dan penilaian tertentu sebelum diluluskan untuk memasuki pasaran. Namun begitu, adakalanya sesetengah produk yang diluluskan tidak mencapai standard yang ditetapkan disebabkan oleh faktor terlepas pandang atau sebagainya.

Tegasan sisa atau residual stress yang tertinggal semasa proses pembuatan misalnya boleh menjejaskan dan melemahkan struktur cermin kereta sekali gus meningkatkan potensi cermin retak. Dalam erti kata lain, proses pembuatan yang tidak dilakukan dengan teliti boleh menyebabkan struktur cermin kereta menjadi lemah dan mudah retak.

6. Pemasangan Tidak Berkualiti Meningkatkan Risiko Cermin Pecah, Cermin Retak

Selain kelemahan struktur, kerosakan cermin kereta juga boleh berlaku disebabkan oleh kualiti pemasangan yang kurang baik. Meskipun faktor cermin kereta retak disebabkan oleh kualiti pemasangan merupakan antara situasi yang jarang berlaku, anda disarankan untuk menggunakan perkhidmatan mekanik yang berpengalaman untuk mengurangkan risiko ini. Sekiranya cermin kereta tidak dipasang dengan betul dan longgar, ia boleh bergegar dan menyebabkan tekanan pada cermin.

Oleh sebab cermin kereta juga memberikan sokongan pada struktur kereta, tekanan pada struktur dalaman kereta boleh mengurangkan kekuatan cermin kereta anda. Tekanan pada cermin secara tidak langsung menyebabkan cermin kereta anda berisiko untuk pecah. Selain itu, pemasangan cermin kereta yang baik juga berpotensi mengurangkan risiko kecederaan terutamanya semasa kemalangan.

7. Cermin Retak Seribu Disebabkan Kemalangan

Sekiranya anda pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum ini, ia mungkin salah satu punca cermin kereta retak atau rosak. Cara terbaik untuk melindungi cermin kereta anda daripada keretakan dan kerosakan yang berpunca daripada kemalangan adalah dengan memandu secara berhati-hati dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling setiap masa. Selain kemalangan, cermin kereta pecah atau retak boleh berlaku disebabkan perlanggaran dengan objek lain seperti burung atau cermin kereta kena batu yang melantun daripada tayar kenderaan lain semasa memandu di lebuh raya.

Malah, terdapat situasi cermin kereta pecah disebabkan oleh terkena bola golf atau bola hoki. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk tidak meletakkan kenderaan di kawasan tempat letak kereta yang berhampiran dengan padang golf, hoki atau lokasi lain yang berpotensi mendatangkan bahaya kepada cermin kereta anda.

Artikel Berkaitan: Proses Tuntutan Insurans Kereta dan Cara Claim Insurans Kemalangan

Cermin Retak, Cermin Pecah

Cara Elakkan Cermin Retak, Cermin Pecah

Pengetahuan mengenai cara untuk mengurangkan risiko cermin kereta pecah atau retak dapat mengelakkan anda daripada menanggung kos penggantian cermin kereta yang lebih mahal. Berikut merupakan tips yang boleh anda ikuti untuk panduan dan rujukan anda:

1. Jaga Jarak Selamat

Semasa memandu di lebuh raya atau jalan raya biasa, pastikan anda menjaga jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan yang membawa muatan barangan seperti batu atau kayu. Percikan batu, pasir atau serpihan kayu yang jatuh daripada lori yang sedang bergerak boleh menyebabkan cermin kereta pecah atau retak. Amalkan peraturan 12 saat semasa mengekori kenderaan-kenderaan dengan muatan barangan seperti lori atau treler ini.

2. Pandu dengan Berhati-hati

Selain mengurangkan risiko kemalangan, memandu dengan berhati-hati mengikut had laju dan peraturan yang ditetapkan juga dapat mengurangkan risiko cermin kereta retak atau pecah akibat percikan atau serpihan objek yang terpelanting atau terbang. Pandu dengan berhati-hati dengan menjaga jarak yang selamat terutamanya semasa memandu di belakang kenderaan besar atau kawasan dalam pembinaan.

3. Elakkan Cuci Kereta di Tengah Hari

Elakkan cuci kereta pada waktu tengah hari – perubahan suhu yang mendadak boleh meningkatkan risiko cermin kereta retak atau pecah. Cermin kereta yang panas yang terkena air (suhu sejuk) lebih tinggi risiko untuk retak atau pecah. Selain itu, elakkan daripada meletakkan kenderaan anda di bawah cahaya matahari terik. Jika boleh, parking kereta anda di tempat yang teduh atau di kawasan yang berbumbung.

4. Sentiasa Periksa Cermin Kereta

Sekiranya anda mendapati cermin kereta anda mempunyai kesan serpihan, retak atau pecah, lakukan pembaikan dengan segera. Kerosakan kecil sebegini boleh dilakukan dengan melakukan proses refiling atau repairing. Jika diabaikan, kerosakan kecil ini boleh menjadi lebih teruk dan serius sekali gus memaksa anda untuk mengantikan keseluruhan cermin kereta.

Cermin Kereta Perlu Digantikan? Cara Claim Insurans Cermin Kereta dan Harga Cermin Kereta

Sekiranya cermin kereta anda rosak, retak atau pecah, anda boleh melakukan tuntutan daripada penyedia insurans dengan syarat anda mempunyai perlindungan tambahan ini. Di bawah perlindungan ini, anda akan diberi pampasan terhadap kos yang diperlukan bagi menggantikan cermin kereta yang retak atau pecah disebabkan oleh lantunan batu, dipecahkan (rompak, samun) atau sebagainya bergantung pada polisi anda. Anda hanya perlu menyediakan dokumen-dokumen (salinan, asal) seperti berikut:

  • Kad pengenalan pemilik;
  • Lesen memandu;
  • Geran kereta;
  • Salinan polisi insurans yang masih sah.

Bawa kereta anda ke pusat servis yang berdaftar untuk penggantian cermin kereta. Namun begitu, jika anda tidak mempunyai insurans tambahan untuk perlindungan cermin kereta, anda perlu mengeluarkan belanja sendiri untuk membaiki cermin kereta yang rosak.

Harga Cermin Kereta di Pasaran Malaysia

Carsome turut menyediakan senarai harga cermin kereta di pasaran Malaysia untuk rujukan anda seperti berikut:

Senarai Harga Cermin Kereta

Model Anggaran Harga Cermin Kereta
Perodua Myvi RM600-700
Proton Wira RM700-800
Toyota Vios RM1,000-1,200
Perodua Kancil RM500
Proton Waja RM800
Proton Iswara RM700
Perodua Kelisa RM500
Honda Civic FD RM1,500-2,000
Perodua Axia RM500
Perodua Bezza RM700

Honda City

RM1,000-1,200

Mengapa Perlu Pecahkan Cermin Kereta Anda?

Dalam keadaan biasa, anda mungkin tidak mahu cermin kereta anda pecah atau retak lebih-lebih jika mengambil kira kos penggantian yang mahal. Namun dalam situasi kecemasan tertentu, anda mungkin perlu memecahkan cermin kereta anda sebagai jalan terakhir untuk menyelamatkan nyawa anda, ahli keluarga atau orang lain. Berikut merupakan antara situasi kecemasan yang biasa berlaku yang mungkin memaksa anda memecahkan cermin kereta anda:

  • Anak atau haiwan peliharaan, kunci kereta anda tertinggal di dalam kereta;
  • Anda berdepan situasi kecemasan (kereta terbakar) yang memerlukan anda untuk keluar dengan segera tetapi pintu atau tingkap tidak boleh dibuka dari dalam;
  • Kereta ditenggelami air banjir atau terjunam ke dalam air.

Pecah Cermin Kereta

Pecah Cermin Kereta Sewaktu Kecemasan, Apa yang Perlu Anda Tahu?

Sekiranya anda berada dalam senario yang memerlukan anda memecahkan cermin atau tingkap kereta, berikut merupakan perkara penting yang perlu anda ketahui:

  1. Kenal pasti tingkap atau cermin kereta yang boleh anda pecahkan sekiranya berdepan situasi kecemasan. Bahagian tepi tingkap kereta anda merupakan bahagian yang paling mudah untuk dipecahkan lebih-lebih lagi jika anda menggunakan logam berat.
  2. Simpan aksesori tambahan seperti tukul cermin yang boleh membantu anda memecahkan cermin kereta ketika kecemasan.

Artikel Berkaitan: Tukul Cermin, ‘Dashcam’ serta Aksesori Kereta Lain Yang Perlu Ada dalam Kereta

Situasi 1: Kunci Kereta Tertinggal dalam Kereta, Anak Kecil atau Haiwan Peliharaan Terkunci dari dalam

Jika situasi ini berlaku kepada anda atau orang lain – berikut merupakan langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk memecahkan cermin atau tingkap kereta dari luar.

  1. Hubungi talian kecemasan untuk memaklumkan kejadian, jika perlu.
  2. Jika anda merancang untuk memecahkan tingkap atau cermin, pastikan anak atau binatang peliharaan anda tidak berada berdekatan dengan cermin. Pecahkan cermin atau tingkap yang menggunakan kaca tahan pecah atau tempered glass.
  3. Sekiranya anda mempunyai peralatan khas untuk memecahkan kaca, ketuk dengan berhati-hati di bahagian sudut cermin kereta. Bahagian ini lebih mudah untuk dipecahkan berbanding bahagian tengah cermin.
  4. Jika anda tidak mempunyai peralatan sebegitu, gunakan palam pencucuh atau spark plug dengan melemparkannya ke lantai – ia bertujuan untuk mengeluarkan kepingan tajam lapisan porselin spark plug.
  5. Kemudian, lempar ke bahagian tingkap kereta – porselin yang tajam akan menyebabkan keretakan kecil pada kaca tingkap.
  6. Pecahkan kaca tingkap untuk mengakses pemegang pintu di bahagian dalam.

Situasi 2: Anda Berada di dalam Kereta dan Berdepan Detik Cemas seperti Kebakaran atau Kereta Terjunam ke dalam Air

Berikut merupakan langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk memecahkan cermin atau tingkap kereta dari dalam sekiranya berdepan detik cemas sebegini.

  1. Kekal tenang. Jika anda masih boleh membuat panggilan kecemasan – lakukan segera.
  2. Buka tali pinggang keledar anda dan segera keluar dari kenderaan secepat mungkin.
  3. Jika pintu kereta anda tidak boleh dibuka, turunkan tingkap kereta anda dan segera keluar melalui tingkap.
  4. Sekiranya tingkap kereta tidak boleh diturunkan, gunakan tukul cermin atau headrest untuk memecahkan kaca tingkap.
  5. Jika kereta anda terjunam ke dalam air, anda boleh ikuti panduan keselamatan kereta terjunam ke dalam air seperti berikut: Perkara Yang Anda Perlu Lakukan Sekiranya Kereta Terjunam Ke Dalam Air

Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta terpakai lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai yang berkualiti, dokumentasi diuruskan sepenuhnya dan perkhidmatan penghantaran kereta secara terus ke pintu rumah anda!