Berita baik! Anda kini dah tak perlu lagi beratur dan bersesak untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan kereta anda yang dah tamat tempoh. Semuanya boleh dilakukan secara dalam talian menggunakan aplikasi MyJPJ.
Fungsi yang sudah lama dinantikan oleh orang ramai ini baru saja dilancarkan pada awal bulan Februari 2024 yang lalu dan ia menjadikan proses pembaharuan lesen memandu menggunakan aplikasi MyJPJ sangat mudah, begitu juga dengan cukai jalan.
Nak tahu macam mana nak guna fungsi baharu ini di aplikasi MyJPJ? Kami senaraikan langkah-langkahnya di dalam artikel ini.
Artikel berkaitan: Aplikasi MyJPJ: Panduan Lengkap Cukai Jalan & Lesen Memandu Digital
Langkah-langkah Perbaharui Lesen Memandu dalam Aplikasi MyJPJ
Langkah 1 – Pergi ke Bahagian Profil
Lancarkan aplikasi MyJPJ, klik pada Profil di bahagian bawah, dan lesen memandu digital anda akan dipaparkan di sini.
Langkah 2 – Klik Pada Pembaharuan
Di sini, skrol ke bawah sehingga anda nampak butang ‘Pembaharuan’ dan tekan butang ini untuk mulakan proses tersebut. Jika ia tidak kelihatan, tekan butang ‘Jana Semula’ untuk memuatkan semula halaman ini dan butang ‘Pembaharuan’ akan muncul.
Langkah 3 – Pilih Jenis Lesen
Pastikan nama dan nombor kad pengenalan yang dipaparkan adalah tepat dan anda boleh pilih jenis lesen yang mahu diperbaharui. Kemudian, pilih tempoh pembaharuan yang anda mahu untuk lesen anda. Bergantung kepada jenis lesen, anda boleh pilih tempoh pembaharuan sehingga 10 tahun!
Selepas itu, anda perlu buat pilihan sama ada mahu mendapatkan lesen memandu baharu dalam mod digital saja atau anda juga mahukan salinan fizikal untuk lesen anda.
Langkah 4 – Buat Pembayaran
Akhir sekali, pilih cara pembayaran anda dan buat bayaran mengikut jumlah yang telah ditetapkan. Semasa artikel ini ditulis, hanya bayaran menggunakan kad kredit atau kad debit saja yang diterima. Resit akan dipaparkan pabila pembayaran anda telah berjaya.
Langkah 5 – Terima Lesen Memandu Baharu Anda!
Setelah semuanya selesai, lesen memandu baharu anda akan dipaparkan dalam aplikasi MyJPJ. Jika tidak, anda cuma perlu tekan butang ‘Jana Semula’ untuk paparkan lesen memandu anda yang baharu.
Langkah-langkah Perbaharui Cukai Jalan Kereta dalam Aplikasi MyJPJ
Langkah 1 – Pilih Nombor Kenderaan
Di bahagian Profil, klik pada ‘Lesen Kenderaan Motor’ untuk memaparkan semua rekod cukai jalan yang anda miliki. Kemudian, pilih nombor kenderaan yang memerlukan pembaharuan cukai jalan.
Langkah 2 – Klik Pada Pembaharuan
Di sini, cukai jalan anda akan dipaparkan. Skrol ke bawah sehingga anda nampak butang ‘Pembaharuan’ dan tekan butang ini untuk mulakan proses tersebut. Jika ia tidak kelihatan, tekan butang ‘Jana Semula’ untuk memuatkan semula halaman ini dan butang ‘Pembaharuan’ akan muncul.
Sila ambil perhatian yang hanya cukai jalan yang akan tamat tempoh dalam masa dua bulan sahaja yang boleh diperbaharui.
Langkah 3 – Pilih Jenis Cukai Jalan
Pastikan butiran yang dipaparkan adalah tepat dan anda boleh pilih tempoh pembaharuan yang anda mahu untuk cukai jalan kereta anda.
Selepas itu, anda perlu buat pilihan sama ada mahu mendapatkan cukai jalan baharu dalam mod digital saja atau anda juga mahukan salinan fizikal untuk cukai jalan anda.
Langkah 4 – Buat Pembayaran
Akhir sekali, pilih cara pembayaran anda dan buat bayaran mengikut jumlah yang telah ditetapkan. Semasa artikel ini ditulis, hanya bayaran menggunakan kad kredit atau kad debit saja yang diterima. Resit akan dipaparkan pabila pembayaran anda telah berjaya.
Langkah 5 – Terima Cukai Jalan Baharu Anda!
Setelah semuanya selesai, cukai jalan baharu anda akan dipaparkan dalam aplikasi MyJPJ. Jika tidak, anda cuma perlu tekan butang ‘Jana Semula’ untuk paparkan cukai jalan kereta anda yang baharu.
Anda boleh rujuk dokumen ini untuk dapatkan maklumat lanjut mengenai fungsi pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan dalam aplikasi MyJPJ. Jika anda mengalami sebarang masalah dengan aplikasi MyJPJ anda, sila hubungi saluran berikut untuk dapatkan bantuan daripada pihak JPJ:
- 03-8000 8000;
- 03-2724 2522;
- infodigital@jpj.gov.my.
Kami harap artikel ini dapat membantu anda memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan anda secara dalam talian menggunakan aplikasi MyJPJ.
Artikel berkaitan: Macam Mana Nak Guna MySikap JPJ Online?
Ada kekurangan tenta.ng alat bayaran. Cuma boleh kad krdit atau debit. Wajar dibanyakkn kemudahan membayar. Bukan semua org ada kad kredir. Ada kad debit x menepati kehendak aplikasi.