HomeBMIni Apa Yang Anda Kena Tahu Tentang Belanjawan 2023

Ini Apa Yang Anda Kena Tahu Tentang Belanjawan 2023

24 Februari lepas, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2023. Belanjawan yang diselaraskan sesuai dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan beliau dilihat merupakan antara belanjawan terbesar berbanding pemerintahan sebelum ini. 

Pelbagai reaksi diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap belanjawan yang dibentangkan kembali setelah kerajaan dibentuk sejak Disember 2022 lalu. 

Sumber: Astro Awani

Jadi, apa yang menariknya tentang belanjawan kali ini? Sejujurnya, tak banyak yang menarik yang boleh diperkatakan jika kita lihat daripada aspek automotif tetapi ada beberapa perkara yang boleh kita bincangkan. 

Cukai Barangan Mewah 

Bermula tahun ini, cukai barangan mewah akan diperkenalkan oleh kerajaan. Sama seperti namanya, cukai ini akan dikenakan kepada semua barangan mewah. Tetapi pelaksanaannya masih lagi tidak diketahui. 

Sebagai contoh, berapa peratuskah cukai barangan mewah yang akan dikenakan? Apakah ‘barangan mewah’ yang boleh dikenakan cukai, serta lain-lain lagi persoalan. Jika anda seperti penulis (marhaen B40), rasanya anda tak perlu risau kot tentang cukai ini. 

Satu perkara tentang cukai barangan mewah ini, adakah kereta berjenama mewah turut akan dikenakan cukai ini juga? Dan juga aksesori kereta mewah, adakah ia juga akan dikenakan cukai sebagaimana barangan mewah lain? 

Tetapi sekali lagi, jika anda merupakan golongan pertengahan atau marhaen yang tidak membeli barangan mewah atau kereta mewah, ini satu kelegaan buat anda. 

Lesen B2 (Motosikal), E-panggilan, Bas, dan Teksi Percuma

Kerajaan juga bakal menyerap kos bagi mengambil lesen B2 (motosikal), e-panggilan, bas, dan juga teksi. Kos untuk mengambil lesen ini juga agak mahal bergantung kepada jenis. Sebagai contoh, bagi lesen B2, kosnya bermula RM300 hingga RM450. Bagi lesen PSV bas bermula daripada RM1,500 dan RM70 hingga RM200 bagi lesen PSV teksi. Harga ini mungkin berbeza mengikut sekolah memandu. 

Antara rasional (mungkin) kerajaan menyerap kos bagi membuat lesen ini adalah untuk membolehkan rakyat mempunyai pendapatan terutama bagi mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi untuk mempunyai pekerjaan seperti pemandu e-pandu atau penghantar makanan. Inisiatif ini juga membolehkan mereka yang sudah mempunyai pendapatan tetap untuk menjana pendapatan sampingan. 

Membaiki Jalan Raya Rosak 

Antara bencana terbesar yang terpaksa dihadapi oleh hampir semua pengguna jalan raya di Malaysia ialah jalan raya yang rosak. Terutama sekali kepada pengguna jalan raya persekutuan untuk ke tempat kerja. 

Jalan raya yang rosak dan berlubang boleh menyebabkan kerosakan yang serius kepada kenderaan yang lalu lalang. Ia juga mencacatkan pemandangan mereka yang melalui jalan ini.

Untuk itu, kerajaan dalam belanjawan kali ini telah memperuntukkan sebanyak RM2.7 bilion untuk membaiki jalan raya persekutuan yang rosak. Selain itu, kerajaan turut menambahkan sebanyak RM1.5 bilion bagi membaiki jalan-jalan kampung dan luar bandar.

RM50 juta juga diperuntukkan bagi memasang dan membaiki lampu jalan terutama di kawasan yang berisiko tinggi serta sering terjadinya kemalangan. 

Jadi, selamat tinggal jalan berlubang? 

Subsidi Tak Jadi Potong? 

Antara perkara yang semua orang nantikan dalam belanjawan kali ini adalah pemotongan subsidi dan digantikan dengan pelaksanaan subsidi bersasar kepada golongan yang layak sahaja. 

Namun, sepanjang lebih tiga jam belanjawan dibentangkan, tiada satu pun yang menyentuh tentang subsidi yang akan dihentikan. Berkemungkinan besar ia tidak akan dilaksanakan lagi dalam masa terdekat (?). 

Artikel berkaitan: Subsidi Bersasar Minyak RON95 Akan Guna Data Kenderaan JPJ

Tetapi, ia tetap boleh dilaksanakan memandangkan ia di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. 

Bilakah subsidi bersasar ini akan dilaksanakan? Mungkin tahun ini, mungkin tahun depan. Kita tunggu saja. 

Belanjawan Madani? 

Ada yang sambut baik belanjawan yang dibentangkan. Ada juga yang mengkritik hebat belanjawan kali ini. Walau bagaimanapun, kerajaan telah berusaha sehabis baik supaya kita semua boleh menikmati hasil negara. 

Jadi, apa pendapat anda tentang belanjawan kali ini? Apa sebenarnya yang anda inginkan kerajaan laksanakan dalam belanjawan kali ini? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular