HomeBMApa Itu Sindrom Lupa Anak (Forgotten Baby Syndrome) & Cara Untuk Mencegahnya

Apa Itu Sindrom Lupa Anak (Forgotten Baby Syndrome) & Cara Untuk Mencegahnya

“Seorang bayi perempuan meninggal dunia selepas ibunya membiarkannya selama 8 jam di dalam kereta…” 

Kebelakangan ini, semakin banyak kes anak kecil meninggal dunia di dalam kereta. Puncanya? Ibu bapa sendiri yang terlupa yang anak mereka yang masih berada di dalam kereta. Otak mereka hanya terfikir tentang kerja yang ingin disambung semula sejurus sampai ke tempat kerja. 

Fokus yang berlebihan terhadap kerja menyebabkan mereka terlupa perkara lain termasuklah anak mereka yang masih berada di dalam kereta. 

Ada juga kes yang si ibu menyangkakan si bapa telah menghantarkan anak mereka ke tempat pengasuh walhal anak masih lagi berada di dalam kereta, ditinggalkan oleh ibunya sendiri. 

Sumber: Harian Metro

Kejadian anak yang tertinggal di dalam kereta ini kita gelarkan sebagai forgotten baby syndrome atau sindrom lupa anak. 

Punca Forgotten Baby Syndrome 

Punca utama kenapa forgotten baby syndrome ini terjadi masih tidak diketahui secara tepat tetapi ini merupakan antara punca yang telah dikenalpasti : 

1. Ibu Bapa yang Letih & Lesu 

Zaman sekarang, tak pelik kalau kedua-dua ibu dan juga bapa bekerja mencari rezeki untuk menampung keperluan hidup. Lagi-lagi dengan adanya anak kecil, keperluan kewangan itu makin bertambah. Ada yang sampai terpaksa melakukan sehingga lebih daripada dua kerja! 

Keletihan bekerja boleh menyebabkan badan menjadi lesu. Badan yang lesu pula adalah antara punca minda manusia boleh kehilangan fokus terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Inilah yang menjadi punca ibu bapa menjadi lupa yang anak mereka masih berada di dalam kereta. 

2. Perubahan Rutin 

Setiap keluarga kebiasaannya mempunyai rutin harian yang tetap. Bermula daripada bangun pagi, bersiap, hinggalah anak dihantar ke tempat pengasuh. Biasanya, sama ada ibu atau bapa yang akan menghantarkan anak mereka ke tempat pengasuh. 

Katakanlah si bapa yang biasanya menghantarkan anak ke tempat pengasuh. Tetapi tiba-tiba si bapa ada urusan lain yang menyebabkan si ibu yang terpaksa menghantarkan anak mereka. 

Walau bagaimanapun, si ibu terlupa yang dia sepatutnya menghantar anak ke tempat pengasuh. 

Si ibu pula terus masuk ke dalam tempat kerja tanpa memeriksa dalam kereta kerana sudah menjadi rutinnya. Badan si ibu berada dalam mod ‘autopilot’ menyebabkan dia lupa yang anaknya masih lagi berada di dalam kereta. 

Perubahan kecil dalam rutin harian menyebabkan ibu bapa terlupa untuk menghantarkan anak mereka ke tempat jagaan harian kerana ia bukanlah benda yang biasa mereka lakukan. 

Kesan Sindrom Terlupa Anak 

Bayangkan kalau anda dikunci dalam kereta yang diparkir di tengah panas, berapa lama anda boleh tahan? Dengan panas, pengap, dan kekurangan udara lagi. Anda tidak akan menunggu lama sebelum anda cuba untuk pecahkan cermin kereta. Itu pun kalau berjaya pecahkan. 

Bayangkan kalau anak kecil yang terkunci di dalam kereta. Sedangkan anda pun tak boleh nak pecahkan cermin kereta, apatah lagi mereka? 

Ini kesan jika ada anak kecil dan bayi yang ditinggalkan dalam kereta yang berkunci: 

  1. Kerosakan otak 
  2. Sawan 
  3. Tak sedarkan diri dan koma
  4. Kematian 

Sekalipun jika anak kecil atau bayi berjaya diselamatkan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sekalipun, mereka berkemungkinan besar akan menghadapi kesan jangka panjang seperti berikut: 

  1. Hilang upaya intelektual (lembam)
  2. Palsi serebrum 
  3. Hilang deria penglihatan 
  4. Hilang deria pendengaran 

Kesan ini bukan hanya pada anak yang menjadi mangsa tetapi juga kepada ibu bapa. Kemalangan ini boleh memberi kesan kepada ibu bapa melalui: 

1. Hubungan Keluarga Yang Renggang 

Tidak kiralah sama ada si ibu atau si bapa yang yang meninggalkan anak, dialah yang akan dipersalahkan dan diherdik. Pergaduhan akan menular hingga boleh menyebabkan hubungan menjadi dingin dan mengambil masa yang lama untuk surut. 

2. Ibu Bapa Hilang Keyakinan Diri 

Antara kesannya ialah ibu bapa boleh terkena penyakit mental seperti Major Depressive Disorder (MDD), Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD), dan juga serangan gemuruh. Penyakit mental seperti ini boleh menjejaskan ibu bapa itu sendiri dan meragut keyakinan ibu bapa untuk menjaga anak mereka sendiri. 

3. Kewangan Keluarga Terjejas 

Jika anak mengalami kesan kesihatan jangka panjang akibat sindrom terlupa anak ini seperti palsi serebrum, sudah semestinya ia akan memerlukan pemeriksaan kesihatan berkala dan ubat-ubatan serta makanan khas yang harganya tidak murah. 

Disebabkan ini, komitmen keluarga akan makin bertambah dan ini boleh menjejaskan keadaan kewangan keluarga. 

Cara untuk Elakkan Sindrom Terlupa Anak Terjadi pada Diri Anda 

Menjaga dan membesarkan anak bukanlah tugas yang mudah terutama sekali bagi ibu bapa baharu yang tidak mempunyai banyak pengalaman. Disebabkan itu, ibu bapa yang bakal melalui fasa ini perlulah mendapatkan sebanyak mana ilmu dan kemahiran keibubapaan terutama sekali bagi mengelakkan insiden terlupa anak ini berlaku terhadap diri mereka. 

Artikel berkaitan: Tip Keselamatan Kanak-Kanak: Jangan Tinggalkan Mereka Dalam Kereta!

Daripada kami, ini apa yang kami boleh kongsikan kepada ibu bapa baharu bagi mengelakkan insiden terlupa anak ini terjadi: 

1. Mulakan Tabiat Periksa Tempat Duduk Belakang 

Anda boleh memulakan tabiat memeriksa tempat duduk belakang sebelum keluar dari kereta. Walaupun anda memandu berseorangan tanpa anak, tetaplah anda periksa tempat duduk belakang sebelum keluar dari kereta. 

Tak susah pun, cuma perlu pusingkan badan dan periksa bahagian belakang. Apabila anda sudah terbiasa dengan tabiat ini, anda sendiri akan buat tanpa sedar. Nampak macam remeh tapi sebenarnya ini boleh menyelamatkan nyawa anak anda. 

2. Letakkan Beg Anak di Kerusi Hadapan 

Sebagai peringatan tambahan yang anda sedang membawa anak anda sekali, letakkan barangan anak anda seperti beg bayi di kerusi hadapan. Jika beg anak anda masih ada di kerusi hadapan, ini bermakna anak anda masih lagi bersama anda dalam kereta dan belum dihantar ke tempat pengasuh. 

Sumber: The Baby Store

Untuk kesan yang lebih efektif, letakkan sekali beg kerja anda bersekali dengan beg anak anda. Barulah anda tidak akan terlepas pandang lagi selepas ini. Selain daripada beg keperluan anak, anda juga boleh letakkan patung atau mainan anak. 

Selain itu, anda juga boleh meletakkan beg kerja anda di bahagian kerusi belakang berdekatan dengan kerusi anak anda. 

Artikel berkaitan: Jangan Pergi Road Trip Untuk Healing Kalau Tak Lakukan 6 Perkara Ini!

3. Jangan Main Phone

Selain daripada membahayakan nyawa, menggunakan telefon semasa memandu juga boleh menyebabkan anda hilang fokus terhadap anak yang berada di dalam kereta bersama anda. Anda akan ralit dengan membalas mesej hingga terlupa yang anda perlu hantar anak anda ke tempat pengasuh. 

Tahan diri daripada menggunakan telefon bimbit seketika sehinggalah anak anda selamat dihantar ke tempat pengasuh. 

4. Minta Tolong Pengasuh 

Anda juga boleh meminta pertolongan pengasuh untuk hubungi anda sekiranya anak anda belum sampai di sana. Jika bukan giliran anda untuk menghantar anak ke pengasuh, mungkin pasangan anda yang terlupa. Jika anda yang terlupa, cepat-cepat pergi ke kereta! 

Sumber: Xtra

Sesuailah dengan peribahasa Afrika, ‘it takes a village to raise a child’. Semua pertolongan yang ada diperlukan bagi memastikan anak anda kekal selamat. 

5. Letakkan Kerusi Anak di Tengah Tempat Duduk Belakang 

Untuk memudahkan anda melihat anak anda di tempat duduk belakang, anda boleh letakkan kerusi anak di tengah-tengah kerusi belakang. Ini bagi memastikan anda boleh memantau dan mengetahui bahawa anda sedang membawa anak anda. 

Selain itu, ia akan terletak lebih dekat dengan anda dan anda pula tidak akan lupa akan anak anda yang turut bersama anda dalam perjalanan pagi itu. 

6. Gajet untuk Pantau Anak 

Kalau anda ada sedikit wang untuk dilaburkan, anda boleh membeli beberapa gajet yang boleh membantu anda untuk mengatasi masalah terlupa anak ini. Gajet-gajet ini boleh dipasangkan di dalam kereta dan diaktifkan apabila anda dan anak berada di dalam kereta. 

a. Kamera Bayi

Gajet ini boleh bantu anda melihat bayi anda menggunakan kamera pada setiap masa. Anda boleh pasangkan kamera pada kerusi bayi dan hidupkan kamera apabila anda memulakan perjalanan. Anda boleh beli kamera bayi di sini.

b. Sistem Peringatan Tempat Duduk Belakang (Backseat Reminder System)

Dengan adanya gajet ini, anda tidak akan lupa lagi tentang keberadaan anak anda dalam kereta. Gajet ini berfungsi dengan memberi peringatan terus kepada anda melalui amaran bunyi apabila anda bergerak jauh dari kereta. Antara model yang didapati adalah SEPERTI INI

Artikel berkaitan: Ada Aksesori Kereta Ni, Travel Dengan Anak Kecil Jadi Mudah!

c. Cermin Pandang Tempat Duduk Belakang

Aksesori ini memang sangat membantu jika anda mahu mengingatkan diri anda tentang bayi anda yang berada di tempat duduk belakang semasa anda memandu. Ia boleh dipasang pada cermin hadapan dan anda boleh sesuaikan sudut pandangan cermin agar anak anda kelihatan pada cermin sepanjang perjalanan. Dapatkan cermin pandang tempat duduk belakang ini di sini.

Kalau Anda Sayangkan Anak, Ini Apa yang Anda Kena Buat Sekarang! 

Malang tidak berbau. Kemalangan yang meragut nyawa boleh berlaku walaupun di dalam kereta yang tidak bergerak. Forgotten baby Syndrome atau Sindrom Terlupa Anak ini boleh menyebabkan banyak kesan buruk kepada ibu bapa dan anak itu sendiri. 

Langkah terbaik untuk mengelakkan kemalangan akibat sindrom ini adalah dengan ibu bapa mendidik diri mereka dan cuba mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan diri mereka terlibat dalam kemalangan sebegini. 

Diharapkan apa yang kami kongsikan ini boleh memberi manfaat kepada anda terutamanya kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil ataupun yang sedang menanti cahaya mata. 

Anda ada tips lagi untuk dikongsikan? Cuba kongsikan di ruangan komen!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular