HomeBMVolvo Lancarkan Kereta Elektrik Penuh Baharu, 2021 Volvo C40 Recharge

Volvo Lancarkan Kereta Elektrik Penuh Baharu, 2021 Volvo C40 Recharge

Pengeluar automotif Sweden, Volvo Cars hari ini melancarkan model kereta elektrik terbaharunya, C40 Recharge menerusi laman web rasmi Volvo. Tidak seperti model SUV Volvo lain, C40 Recharge dibina berdasarkan platform CMA, tampil dengan reka bentuk yang lebih rendah, moden. Meskipun berada dalam platform CMA yang sama dengan model XC40 Recharge sebelum ini, crossover coupe baharu ini hanya tersedia sebagai kereta elektrik penuh sekali gus menjadikan ia model kereta elektik penuh Volvo yang pertama dalam sejarah.

Kereta Elektrik Penuh Baharu, 2021 Volvo C40 Recharge

Reka Bentuk C40 Recharge

Bahagian belakang C40 Recharge menampilkan reka bentuk belakang yang menyerlah dengan roof line yang lebih rendah. Manakala, reka bentuk hadapan pula menampilkan wajah baharu Volvo elektrik dengan lampu hadapan dengan teknologi piksel yang canggih. C40 juga merupakan model pertama yang menggunakan wajah baharu Volvo yang merupakan rekaan eksklusif untuk pengeluar kereta elektrik.

Berdasarkan profilnya, C40 mempunyai banyak persamaan dengan XC40 – bahagian cermin sisi, moulding sisi dan bahagian belakang kereta yang hampir sama. Selain itu, C40 Recharge juga turut dilengkapi dengan spoiler jet-style, sayap integrasi pada pintu belakang dan lampu belakang LED penuh.

spoiler belakang kereta elektrik Volvo

Bahagian Dalaman C40 Recharge

Bahagian dalaman C40 Recharge pula mengoptimumkan pengalaman pemanduan dan keselesaan pengguna. Ia menampilkan high seating position yang menjadi pilihan kebanyakan pengguna Volvo. C40 juga turut tersedia dalam pelbagai pilihan warna dan interior khusus untuk model ini. Selain itu, C40 juga merupakan model Volvo pertama yang tidak menggunakan sebarang material kulit dalam rekaannya. Sistem infotainmen kereta elektrik ini juga dilengkapi dengan unit kepala berasaskan Android yang sama seperti XC40 Recharge.

C40 Recharge hadir dengan pilihan infotainmen terbaik dalam pasaran, dikembangkan bersama Google berdasarkan sistem operasi Android. Ia sekali gus memberikan pengguna akses penuh terhadap aplikasi dan perkhidmatan Google seperti Google Maps, Google Assistant dan Google Play Store. Malah, setiap pembelian C40 Recharge turut termasuk akses data tanpa had yang membolehkan kemas kini perisian dilakukan secara mudah.

bahagian dalaman Volvo C40 Recharge

Kuasa Enjin C40 Recharge

Model ini dilengkapi dengan powertrain elektrik yang sama dengan XC40 Recharge. Ia terdiri daripada motor elektrik berkembar – satu motor di bahagian gandar hadapan dan satu motor di bahagian gandar belakang. Selain itu, ia turut dikuasakan oleh bateri yang sama dengan XC40 Recharge iaitu bateri lithium-ion 78kWh. Pengecasan boleh dilakukan menggunakan sambungan Jenis 2 yang memakan masa kira-kira 7.5 jam jika dipasang pada outlet tiga fasa 11 kW. Pengecasan pantas pula boleh dilakukan menggunakan outlet DC 150 kW (menggunakan sambungan CCS) yang hanya memakan masa kira-kira 40 minit untuk pengecasan sehingga 80 peratus.

Namun begitu, masa pengecasan ini adalah bergantung pada suhu luar, suhu semasa bateri, peralatan pengecasan, keadaan bateri, kereta dan lain-lain. Selain itu, ia turut menawarkan jarak perjalanan dengan pengecasan penuh sekitar 420km (dijangka akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui kemas kini perisian dalam talian) dengan kelajuan tertinggi terhad kepada 180km/j.

grill hadapan volvo elektrik

Pembelian C40 Secara Online 

Seperti yang diumumkan awal hari ini, kereta elektrik penuh C40 Recharge ini hanya tersedia dan boleh dibeli secara online atau dalam talian sahaja. Ia selari dengan matlamat Volvo untuk mengurangkan kerumitan dalam penawaran modelnya dan memfokuskan penawaran varian prapilihan menarik. Selain itu, pelanggan juga turut akan dilengkapi dengan pakej penjagaan mudah termasuk item seperti servis, waranti, bantuan di tepi jalan serta pilihan insurans dan pengecasan di rumah dengan pembelian C40 baharu ini.

C40 Recharge dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini yang akan dibina bersama dengan XC40 Recharge di kilang pembuatan Volvo Cars di Ghent, Belgium. Berikutan pengenalan model XC40 dan C40, Volvo Cars juga turut merancang untuk melancarkan beberapa model elektrik lain, sejajar dengan hasrat untuk menjadikan 50% daripada jumlah penjualan globalnya terdiri daripada kereta elektrik sepenuhnya menjelang 2025. Apa pendapat anda mengenai C40 Recharge baharu ini? Nyatakan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah.

kereta elektrik volvo pembelian secara online

Selain itu, jika anda berminat untuk mendapatkan mana-mana model kereta Volvo terpakai, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai dengan pelbagai pilihan kereta terpakai terbaik, berkualiti pada harga yang berbaloi.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular