Jenama Toyota merupakan sebuah jenama yang tidak asing lagi dalam pasaran di Malaysia. Baru-baru ini, Toyota Malaysia telah melancarkan ‘facelift’ Vios 2019 serba lengkap, serba baharu. Model ini tampil lebih elegan berbanding model sebelumnya yang kini sudah memasuki generasi ketiga. Ia bukan sahaja menerima perubahan baharu pada reka bentuknya, malah ciri keselamatan untuk pemanduan juga turut dipertingkatkan. Model Toyota baharu ini tampil dengan reka bentuk yang lebih ‘sporty’ dan sangat sesuai untuk golongan muda.
Prestasi dan Enjin
Model Toyota Vios baharu ialah hadir dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter empat silinder Dual VVT-i yang menggantikan enjin 1NZ-FE VVT-i yang digunakan dalam model-model sebelumnya. Ia sekali gus menjadikan pemanduan dan pecutan lebih lancar, cekap bahan bakar dan mampu menghasilkan kuasa 107PS dan tork 140Nm. Selain itu, enjin ini juga turut dilengkapi sistem pemasaan injap bervariasi pada injap kemasukan dan injap ekzos.
Walaupun enjin ini dikatakan memiliki kuasa yang lebih kurang berbanding model enjin sebelum ini, enjin ini sesuai untuk model ini kerana ia dipadankan kotak gear CVT (Continuously Variable Transmission, CVT) tujuh kelajuan dengan mod Sport Sequential Shiftmatic yang menggantikan kotak gear automatik empat kelajuan model sebelumnya. Gabungan enjin baharu dan kotak gear CVT ini menawarkan penjimatan bahan api sehingga 18 peratus berbanding model sebelumnya. Ia selari dengan pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicles, EEV) yang diterimanya.
Spesifikasi dan Ciri Keselamatan
Ciri keselamatan bagi model Toyota Vios 2019 ini turut dipertingkatkan. Kesemua varian dilengkapi Kawalan Kestabilan Kenderaan (Vehicle Stability Control, VSC), Kawalan Cengkaman (Traction Control, TRC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (Hill-start Assist Control, HAC), Sistem Brek Antikunci (Anti-lock Braking System, ABS), Pengagihan Brek Elektronik (Electronic Brake-force Distribution, EBD), Lampu Nyalaan Siang (Daytime Running Lights) dan turut menerima tujuh beg udara SRS.
Varian 1.5G pula menerima penambahan spesifikasi iaitu Paparan Titik Buta (Blind Spot Monitor, BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (Rear Cross Traffic Alert, RCTA). Selain itu, varian 1.5E dan 1.5G turut dilengkapi dengan Paparan Pandangan Panoramik (Panoramic View Monitor, PVM) dan Perakam Video Digital Hadapan (Front Digital Video Recorder, DVR).
Model Vios generasi ketiga ini ditawarkan dalam tiga varian – Vios 1.5J, Vios 1.5E dan Vios 1.5G. Varian 1.5J ditawarkan pada harga RM77,200, manakala varian pertengahan 1.5E pula dijual pada harga RM81,200. Varian tertinggi 1.5G pula dijual pada harga RM87,300. Kesemuanya adalah harga atas jalan dan tanpa insurans, didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan. Kesemua varian ini hadir dengan lima pilihan warna iaitu biru metalik, merah metalik, hitam, perak dan putih.
Bahagian Dalaman dan Luaran
Rekaan dalaman Vios 2019 baharu tampil dengan rekaan yang lebih elegan dan trendy. Papan pemuka dan kawalan pendingin hawa direka semua dengan penggunaan kawalan pendingin hawa digital dan automatik. Selain itu, terdapat tambahan pengecas USB pada bahagian konsol tengah untuk penumpang belakang, enam pembesar suara dan pedal penukar gear. Varian 1.5G turut dilengkapi dengan meter jenis skrin paparan pelbagai maklumat jenis Optitron dan sistem infotainmen DVD-AVX. Kamera undur, lampu belakang LED, lampu kabus, sensor parkir dan cermin sisi auto-lipat menambahkan lagi kesempurnaan model ini.
Selain itu, ia turut dilengkapi Cermin Pandang Belakang Elektrokromik (Electrochromic Rear View Mirror), lampu utama projektor dan rim aloi 16 inci. Bahagian kabin tempat duduk pula dibaluti kulit, kecuali varian 1.5E dan 1.5J yang menggunakan balutan fabrik. Secara keseluruhannya, Vios 2019 boleh dikatakan sebagai pemilikan yang berbaloi bagi kategori sedan bersaiz sederhana. Toyota Vios masih mengekalkan ciri-ciri terbaik yang ada pada model Vios sebelum ini dan menambah baik beberapa aspek lain, sekali gus menjanjikan nilai wang yang lebih baik untuk penggunanya.
Jika anda mempertimbangkan untuk memiliki kereta Vios terpakai sebagai pilihan anda, mulakan carian anda di CARSOME. CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai terbaik di Malaysia!