HomeBMLebuhraya PLUS Laksana Transaksi Tol RFID Malaysia Mulai Januari 2022

Lebuhraya PLUS Laksana Transaksi Tol RFID Malaysia Mulai Januari 2022

Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui satu kenyataan memaklumkan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bermula 15 Januari 2022 di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor. Susulan pelaksanaan teknologi pembayaran tol elektronik ini, platform transaksi pembayaran lain sedia ada seperti Touch ‘n Go dan SmartTAG akan dihentikan secara berperingkat.

Lorong RFID Malaysia
Kredit: Touch ‘n Go

Secara amnya, pelaksanaan sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh dengan kelajuan 30 km/j dan menikmati perjalanan yang lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID.

Apa itu MyRFID Malaysia?

RFID merupakan singkatan nama kepada Radio-Frequency Identification atau Identifikasi Frekuensi Radio. Sistem RFID menggunakan cip frekuensi radio yang terkandung pada pelekat unik yang dipasang pada kenderaan yang dihubungkan melalui akaun Touch ‘n Go eWallet. Ia sekali gus membolehkan pengguna memantau baki dengan mudah dan menambah nilai secara dalam talian melalui perbankan dalam talian, kad debit atau kredit atau melalui nombor pin.

MyRFID: Cara Daftar, Pasang RFID dan Aktifkan Touch ‘n Go eWallet

Transaksi tol menggunakan RFID ini merupakan salah satu langkah kementerian dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar. Ia sekali gus memberi perkhidmatan yang lebih mudah, selamat dan pantas kepada pengguna lebuh raya melalui pelaksanaan Sistem Tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong. Carsome menyediakan panduan lengkap cara pasang dan daftar RFID seperti berikut untuk panduan anda:

Cara Daftar RFID Touch ‘n Go

Untuk mendaftar RFID Malaysia, anda perlu mengikuti langkah-langkah berikut:

    1. Muat turun aplikasi Touch ‘n Go eWallet;
    2. Buka aplikasi Touch ‘n Go eWallet, kemudian klik pada ikon RFID;
    3. Pilih kuantiti tag RFID Malaysia yang anda inginkan;
    4. Kemudian, klik ‘Buy Now’;
    5. Tempahan tag RFID Malaysia anda akan diproses dan dihantar terus ke kediaman anda.

Cara Aktifkan RFID Touch ‘n Go

Setelah tempahan diterima, anda perlu mengaktifkan sistem ini melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet. Berikut merupakan cara aktifkan RFID Touch ‘n Go:

    1. Buka aplikasi Touch ‘n Go eWallet, kemudian klik pada ikon RFID;
    2. Klik pada butang ‘Activate’;
    3. Isikan maklumat yang diperlukan untuk mendaftar kenderaan anda;
    4. Masukkan nombor tag RFID 24 digit atau imbas kod bar pada pakej pembelian;
    5. Buat pengesahan dan verifikasi;
    6. Tag RFID akan diaktifkan dalam tempoh 24 jam.

Cara Pasang Tag RFID Malaysia

Setelah pengaktifan dilakukan, anda boleh memasang tag tersebut pada kereta anda. Berikut merupakan langkah pemasangan tag RFID pada kenderaan untuk panduan anda:

    1. Bersihkan permukaan cermin hadapan atau lampu hadapan di bahagian sebelah kiri tempat duduk penumpang;
    2. Buka pelekat dan tampalkan mengikut kesesuaian;
    3. Anda disarankan untuk tidak membasuh kereta sekurang-kurangnya dalam tempoh sehari selepas tag ini ditampal pada kereta anda.

Cara Pembelian, Harga RFID Malaysia

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan tag RFID secara dalam talian menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go, ejen pemasaran yang dilantik atau mana-mana 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung dengan harga jualan RM35. Namun begitu, pembelian melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet buat masa ini dijual pada harga RM25 sahaja.

Lokasi Pemasangan RFID Malaysia

Untuk senarai penuh lokasi pemasangan RFID Malaysia, anda boleh merujuk senarai penuh lokasi pemasangan RFID 2021. Pengguna juga boleh merujuk pautan ini untuk mengetahui senarai lokasi RFID di Malaysia.

Selain itu, jika anda ingin jual kereta lama atau beli kereta terpakai yang berbaloi, selamat dan berkualiti, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan harga yang berpatutan.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular