Skip to content
Carsome Malaysia
  • About
    • About Us
    • Career with Us
  • Articles
    • All Articles
    • BM
    • News
    • Car Reviews
    • Electric Cars
    • Lifestyle
    • Car Tips
    • Promotions
    • Press Release
    • Reports
  • Contact Us
  • Buy Car
  • Sell Car
  • Sign In
    • Dealer
    • Seller
  • 1 December 2020

Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Memilih ‘Tinted’ Kereta Sesuai Untuk Kereta Anda

Penggunaan cermin gelap atau tinted kereta bukan lagi dilihat sebagai aksesori tambahan untuk menaikkan nilai estetika sesebuah kereta semata-mata. Ia merupakan satu keperluan apatah lagi dalam menghadapi cuaca panas terik di Malaysia. Dengan suhu purata sekitar 28˚C hingga 35˚C hampir sepanjang tahun, ia sedikit sebanyak mendorong pengguna kereta untuk memasang cermin gelap untuk keselesaan dan keselamatan sepanjang pemanduan. Untuk anda yang mungkin tidak biasa dengan proses pemasangan tinted kereta ini, istilah-istilah seperti VLT, IR, TSER dan UV mungkin kedengaran agak janggal di telinga anda.

Carsome membantu anda memahami kesemua istilah berkaitan tinted kereta sebagai rujukan anda. Malah, kami turut menyenaraikan tip pemilihan tinted kereta dan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih tinted kereta yang terbaik untuk kereta anda.

Apakah yang Dimaksudkan dengan VLT, IR dan IV pada Tinted Kereta

1. Peratusan Ketelusan Cahaya atau Visible Light Transmission (VLT)

Peratusan Ketelusan Cahaya atau Visible Light Transmission (VLT) merujuk pada kadar peratusan cahaya yang dapat menembusi tingkap sesebuah kenderaan. Jika anda menggunakan filem cermin kereta dengan tahap ketelusan cahaya (VLT) sebanyak 5%, tingkap kenderaan anda akan berwarna gelap berbanding penggunaan filem cermin kereta dengan tahap ketelusan cahaya (VLT) sebanyak 80%. Kadar peratusan ini menunjukkan amaun cahaya yang dibenarkan untuk melaluinya. Semakin rendah nilai VLT, semakin sedikit amaun cahaya yang dapat menembusinya dan semakin gelap tingkap cermin kereta anda.

2. Sinaran Inframerah atau Infrared (IR)

Sinaran inframerah atau Infrared (IR) pula merujuk pada jumlah haba yang dapat menembus masuk ke dalam kenderaan anda. Tahap kepanasan atau haba di bahagian dalaman kereta anda apabila dibiarkan di bawah terik matahari bergantung pada nilai IR yang digunakan. Semakin tinggi nilai IR, semakin kurang tahap kepanasan di dalam ruang kabin kenderaan. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa nilai IR yang tinggi akan mempengaruhi harga filem cermin kereta anda.

3. Sinaran Ultraungu atau Ultraviolet (UV)

Sinaran ultraungu atau ultraviolet (UV) merujuk pada bahagian spektrum gelombang elektromagnet yang dipancarkan oleh matahari. Sinar UV yang berlebihan boleh memberi kesan negatif terutamanya pada bahagian kulit atau mata anda. Sama seperti kandungan nilai SPF pada produk kecantikan wanita, nilai UV pada filem cermin kereta menunjukkan peratusan UV yang boleh menembusi cermin kereta anda.  Semakin tinggi peratusan UV dicatatkan, semakin berkualiti filem cermin kereta anda. Kebanyakan pengusaha pusat aksesori dan pusat tinted kereta menawarkan tinted kereta dengan kadar peratusan UV sebanyak 99%.

tinted kereta

Faktor Yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Memilih Tinted Kereta

1. Perlindungan Asas

Kenal pasti sama ada tinted kereta yang dipilih yang mempunyai ciri perlindungan asas seperti perlindungan UV dan penangkis haba. Pengeluar atau pengedar produk filem cermin kereta biasanya mengiklankan pelbagai retorik menarik untuk melariskan produk mereka. Buat kajian lanjut di internet untuk mendapatkan kepastian. Terdapat pelbagai jenis tinted kereta dijual di pasaran dengan pelbagai perlindungan asas dan dijual pada harga antara RM100-RM1000 bergantung pada jenis tinted, model atau saiz kereta anda. Jenis tinted yang dipilih biasanya bergantung pada keperluan anda – sputter, metallized, carbon, seramic dll.

2. Penggunaan Bahan Api

Selain itu, tinted yang berkualiti dan baik dapat meminimumkan sinaran cahaya matahari daripada menembusi cermin kereta anda sekali gus dapat mengurangkan penggunaan bahan api untuk menyejukkan ruang kabin kereta anda. Filem cermin kereta bergred tinggi dapat menangkis haba daripada diserap masuk ke dalam ruang kabin kenderaan mengikut kadar Total Solar Energy Rejected (TSER – merujuk pada jumlah haba yang dapat dihalang oleh filem cermin kereta). Semakin tinggi nilai TSER, semakin banyak jumlah haba dapat dihalang daripada memasuki ruang kabin.

3. Keselamatan

Sesetengah filem cermin kereta yang dijual di pasaran dilengkapi dengan ciri keselamatan yang dapat menahan serpihan cermin tingkap yang retak atau pecah daripada berkecai semasa kemalangan. Malah, filem cermin kereta jenis ini juga dapat mengurangkan risiko jenayah dan meningkatkan masa yang diperlukan oleh penjenayah untuk memecah masuk kereta anda. Namun begitu, filem cermin kereta jenis ini tidak semestinya tidak akan pecah. Ia masih boleh dipecahkan terutamanya apabila mengambil kira akses semasa situasi kecemasan seperti kemalangan dan sebagainya oleh pasukan keselamatan.

4. Jaminan dan Waranti

Kebanyakan filem cermin kereta bergred tinggi didatangkan dengan jaminan dan waranti daripada pihak pengeluar. Sekiranya filem cermin kereta anda rosak dalam tempoh jaminan yang ditetapkan, anda boleh membuat tuntutan daripada pengedar yang sah. Anda juga disarankan untuk membandingkan tempoh dan perlindungan waranti yang ditawarkan kerana setiap jenama filem cermin kereta menawarkan jaminan perlindungan yang berbeza. Kenal pasti produk yang berkualiti dengan perkhidmatan selepas jualan yang baik.

Bagaimana Cara Memilih Tinted Kereta yang Baik?

Secara asasnya, faktor harga bukanlah perkara pertama yang perlu diberi perhatian semasa memilih filem cermin kereta yang baik atau berkualiti. Pemilihan tinted kereta merupakan perkara yang subjektif kerana setiap individu mempunyai pilihan, bajet dan keperluan yang berbeza. Namun kebiasaannya, filem cermin kereta yang dijual pada harga murah di pasaran biasanya berisiko untuk menggelembung dan berubah warna. Berbeza dengan filem cermin kereta yang dijual pada harga lebih mahal di pasaran. Filem ini biasanya mempunyai kualiti, jangka hayat, perlindungan dan jaminan keselamatan yang lebih baik. Namun begitu, anda masih boleh mempertimbangkan perkara di bawah sebelum membuat keputusan:

  • Tinggi peratusan IR – semakin kurang haba dalam kenderaan, kenderaan semakin sejuk, jimat penggunaan bahan api;
  • Tinggi peratusan UV – semakin kurang sinaran UV dalam kenderaan, kurang risiko kepada kesihatan kulit, kenderaan semakin sejuk;
  • Rendah peratusan VLT – semakin kurang sinaran cahaya menembusi cermin kenderaan, cermin kereta semakin gelap, tidak silau, pemanduan lebih selesa.

Peraturan Baharu Cermin Gelap untuk Kenderaan Motor di Malaysia?

Pengguna jalan raya di Malaysia tertakluk pada peraturan kenderaan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Peraturan ini termasuk peratusan kadar ketelusan cahaya kenderaan motor. Berikut merupakan peratusan kadar ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan motor bermula Mei 2019 sebagai panduan serta rujukan anda:

peratusan penggunaan cermin gelap
Kredit: Facebook

Pindaan baharu ini membolehkan cermin gelap di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan cermin utama belakang kenderaan tanpa penetapan kadar peratusan VLT dengan syarat kenderaan tersebut dilengkapi dengan cermin sisi pandang belakang di kedua-dua bahagian. Kadar peratusan VLT untuk cermin utama hadapan dan cermin sisi tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan pula ditetapkan sama seperti peratusan sedia ada – VLT 70% untuk cermin utama hadapan, VLT 50% untuk cermin sisi tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

Namun begitu, peraturan baharu ini tidak terpakai untuk kenderaan motor yang didaftarkan sebagai kenderaan awam dan kenderaan perdagangan. Kenderaan ini hanya dibenarkan untuk memiliki kadar ketelusan cahaya tidak kurang dari 70%.

Penggunaan Cermin Gelap Kenderaan Motor
Kredit: Ministry of Transport Malaysia

Permohonan Kelulusan Penggunaan Cermin Gelap

Pemasangan cermin gelap dibenarkan kepada individu tertentu di bawah subkaedah 11(1)(a) dan 11(1)(b), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Penggunaan Kaca atau Bahan Lutsinar Lain)(Pindaan) 2019. Pengguna yang ingin menggunakan cermin gelap untuk kenderaan mereka atas faktor keselamatan atau kesihatan boleh memohon kelulusan penggunaan cermin gelap daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.

Prosedur Permohonan Pengecualian Penggunaan Cermin Gelap

Anda boleh layari laman web rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terperinci mengenai proses permohonan penggunaan cermin gelap kenderaan anda.

  1. Pemohon hendaklah mengemukakan Permohonan kepada Urusetia Bahagian Penguatkuasa JPJ & Cawangan.
  2. Pemohon perlu mengisi Borang CG1 dengan lengkap. Borang ini perlu dilampirkan bersama-sama;
      • salinan kad pengenalan;
      • salinan kad perakuan pendaftaran kenderaan (geran).
  3. Permohonan hendaklah dibuat secara berasingan bagi setiap kenderaan dan ditandatangani oleh pemohon.
  4. Setiap permohonan yang dibuat (keselamatan atau kesihatan) mestilah dikemukakan bersama-sama dengan dokumen sokongan untuk pertimbangan;
    • Permohonan berasaskan kesihatan – Kenderaan milikan persendirian individu/persendirian syarikat
        1. Pemohon dan pemilik kenderaan mestilah tidak mempunyai apa-apa kes tertunggak dengan JPJ dan PDRM berhubung dengan apa-apa pelanggaran Akta APJ, ALPKP dan APAD;
        2. Laporan Perubatan asal oleh Pakar Perubatan dari Hospital Kerajaan atau Pakar Perubatan Hospital Swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menyatakan jenis atau nama penyakit secara spesifik;
        3. Permohonan penggunaan cermin gelap hanya dibenarkan untuk kenderaan yang didaftarkan atas nama pesakit sahaja. Anda perlu mengemukakan surat hubungan (sijil lahir/sijil perkahwinan dan dokumen lain yang berkaitan) dengan pemilik kenderaan jika kenderaan bukan hak milik pemohon;
        4. Fi Permohonan dan Fi Kelulusan tidak dikenakan ke atas permohonan kesihatan.
    • Permohonan berasaskan keselamatan – Kenderaan milikan persendirian individu/persendirian syarikat
        1. Pemohon dan pemilik kenderaan mestilah tidak mempunyai apa-apa kes tertunggak dengan JPJ dan PDRM berhubung dengan apa-apa pelanggaran Akta APJ, ALPKP dan APAD;
        2. Mengemukakan Borang Pendaftaran Syarikat (Borang 24) dan Borang 49 atau Form 49 (bagi Syarikat) yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat yang berdaftar;
        3. Permohonan penggunaan cermin gelap hanya dibenarkan untuk kenderaan yang didaftarkan atas nama pesakit sahaja. Anda perlu mengemukakan surat hubungan (sijil lahir/sijil perkahwinan dan dokumen lain yang berkaitan) dengan pemilik kenderaan jika kenderaan bukan hak milik pemohon;
        4. Fi Permohonan sebanyak RM 50.00 akan dikenakan bagi setiap permohonan (tidak akan dikembalikan sekiranya pemohon membuat pembatalan permohonan @ tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan);
        5. Fi Perakuan Kelulusan dikenakan sebanyak RM 5,000.00 dan pembayaran dibuat setelah mendapat surat makluman keputusan permohonan kelulusan penggunaan cermin gelap daripada Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat (tidak akan dikembalikan sekiranya pemohon membuat pembatalan permohonan @ tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan).
    • Permohonan berasaskan keselamatan – Kenderaan milikan Kerajaan/sewaan Kerajaan
        1. Mestilah mengemukakan surat permohonan daripada Ketua Setiausaha Kementerian/Ketua Pengarah Jabatan;
        2. Fi Permohonan sebanyak RM 50.00 akan dikenakan bagi setiap permohonan (tidak akan dikembalikan sekiranya pemohon membuat pembatalan permohonan @ tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan);
        3. Fi Perakuan tidak dikenakan ke atas permohonan kenderaan milikan kerajaan/sewaan kerajaan.

Tempoh kelulusan ini hanya sah untuk tempoh dua (2) tahun sahaja. Kelulusan yang telah tamat tempoh perlu membuat permohonan baharu dalam tempoh dua (2) bulan sebelum tempoh kelulusan tamat dan pemohon akan dikenakan jumlah fi yang sama.

tinted kereta

Proses Permohonan Cermin Gelap

  1.  Bayaran Fi Permohonan (RM 50.00) boleh dibuat di JPJ Negeri & Cawangan.
  2. Jawatankuasa Khas akan meneliti dan menyemak setiap permohonan yang diterima sebelum diserahkan kepada YB Menteri untuk kelulusan.
  3. Permohonan yang telah mendapat keluluskan akan diberikan satu surat makluman pembayaran Fi Perakuan (RM 5,000.00) daripada Urusetia Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JPJ. Setelah pembayaran dibuat, satu perakuan kelulusan cermin gelap akan diserahkan kepada pemohon secara pos berdaftar atau persendirian.
  4. Permohonan yang tidak diluluskan akan diberikan satu Surat Penolakan yang akan diserahkan kepada pemohon secara pos berdaftar.

Kami berharap perkongsian ini dapat membantu anda untuk memilih filem cermin kereta yang bersesuaian dengan keperluan anda. Selain itu, jika anda sedang mencari kereta terpakai atau ingin menjual kereta terpakai anda dan sedang mempertimbangkan platform terbaik, anda boleh layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai terbaik dengan tawaran harga yang lebih tinggi berbanding harga pasaran semasa. Confirm berbaloi!

Trending Now

  • Tips on cleaning and disinfecting your car’s cabin
    • Learning Centre
  • Delay your car loan payments for 6 months from 1 April 2020
    • News
  • Cars in Malaysia that hold the Highest Resale Value after 5 years
    • Learning Centre
  • The 2019 Perodua Axia is here – New Style, Better Safety
    • News
  • vios 2019
    Here’s why the latest 2019 Toyota Vios is the Best It’s Ever Been
    • News
Facebook
Instagram
  • About
  • FAQ
  • Contact
  • Terms of Use
  • Privacy Policy

© 2015-2018 Carsome Sdn. Bhd. All right reserved.