HomeBM7 Model Kereta Paling Dinantikan Tahun 2021

7 Model Kereta Paling Dinantikan Tahun 2021

Walaupun tahun 2020 tidak seperti yang dirancang (kehilangan pekerjaan, pertumbuhan ekonomi perlahan, dsb), pengumuman insentif dalam Pelan Jana Semula Negara (Penjana) termasuk pengecualian cukai kepada sektor automotif telah menyaksikan pemulihan dan berjaya merangsang semula ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Selain memberikan pengalaman dan amalan norma baharu yang lebih mencabar, tidak banyak yang dapat dikecapi pada tahun ini. Justeru itu, diharap tahun 2021 menjanjikan pertumbuhan ekonomi dan pengalaman baharu yang lebih baik.

Tahun 2020 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Carsome menyenaraikan 7 model kereta yang akan membuat kemunculan pada tahun 2021 yang sekali gus akan membantu merancakkan lagi industri automotif tempatan.

7 Model Kereta Paling Dinantikan Tahun 2021

1. Perodua D55L 2021

Harga Perodua D55L 2021
Kredit: paultan.com

SUV kompak baharu Perodua ini bukan lagi rahsia. Perodua D55L (bukan nama rasmi) dijangka akan menjadi produk jenama kereta nasional tempatan yang akan menarik jumlah jualan yang positif berdasarkan populariti model SUV semasa hari ini. Model kereta yang sepatutnya membuat kemunculan pada tahun ini ditangguhkan kepada tahun 2021 ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan di Malaysia bermula Mac lalu. Perodua mendedahkan model ini akan dibina berdasarkan Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang menjadi asas kepada model Rocky (Perodua D55L dijangka akan menggunakan platform yang sama dengan Rocky) dan Toyota Raize baharu.

Tarikh pengumuman model ini masih lagi menjadi tanya tanya. Malah, jangkaan harga model Perodua D55L ini dipasaran masih lagi misteri. Namun begitu, ia dijangka dijual pada harga sekitar RM50,000 – lebih kurang sama dengan harga Perodua Myvi. Ia secara tidak langsung memberi kepelbagaian pilihan model kepada pengguna dan peminat jenama Perodua ini.

Artikel Berkaitan: SUV Perodua Ativa Dilancarkan – Harga Bermula RM61,500, Lebih Murah daripada Harga Tentatif

2. Honda City Hatchback 2021

Model paling dinantikan 2021: Honda City Hatchback
Kredit: paultan.com

Honda City Hatchback telah membuat kemunculan di pasaran Thailand baru-baru ini. Model ini tampil dalam tiga varian iaitu varian S+, SV dan RS. Model ini dijangka dijual di pasaran Thailand pada harga 599,000 baht hingga 749,000 baht (kira-kira RM80,536 hingga RM100,703). Honda City Hatchback ini dikuasakan oleh enjin 1.0 liter (998 cc) VTEC Turbo 3 silinder yang dapat menjana 122 PS pada 5,500 rpm dan 173 Nm tork dari 2,000 hingga 4,500 rpm.

Selain itu, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Honda Jazz generasi keempat tidak lagi akan memasuki pasaran Malaysia dan model Honda Jazz akan digantikan dengan Honda City Hatchback ini. Jika benar, Honda City di Malaysia boleh didapati dalam dua segmen – hatchback dan sedan sama seperti model Mazda 2. Dengan mengambil kira harga jualan semasa model Honda City Hatchback di Thailand, ia mungkin dijual pada harga bermula RM80,000 hingga RM100,000 bergantung pada jenis varian.

3. Proton Persona 2021

Kehadiran Proton X50 dalam keluarga baharu Proton semestinya suatu pencapaian yang boleh dibanggakan. Selepas perlancaran Proton X50 baru-baru ini, Proton kini bersedia untuk menampilkan Proton Persona 2021 kepada rakyat Malaysia. Berdasarkan kemunculan versi camouflage Proton Persona 2021 baru-baru ini, Proton Persona baharu dijangka akan melalui perubahan pada rupa kosmetik dengan rekaan bampar dan lampu belakang baharu. Manakala, dari aspek teknikal pula, Proton Persona 2021 akan menggantikan transmisi CVT dengan transmisi automatik 4 kelajuan jenis torque converter sekali gus menjadikan model ini model kedua yang melalui perubahan transmisi selepas model Saga 2019.

Buat masa ini, kami masih belum dapat mengesahkan harga model ini akan dijual. Namun begitu, jika mengambil kira harga model Proton Persona sedia ada di pasaran, Proton Persona 2021 mungkin dijual dalam lingkungan harga antara RM40,000 hingga RM60,000.

4. Volkswagen Golf GTi 2021

Volkswagen Golf GTi 2021
Kredit: paultan.com

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengesahkan bahawa Volkswagen Golf generasi kelapan baharu akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Perancangan model VW Golf Mk 8 untuk memasuki Malaysia tertunda disebabkan oleh pandemik Covid-19 selain Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dikenakan di sesetengah kawasan di Malaysia ketika ini. Berbanding model Golf biasa, Mk8 GTi dijangka akan tampil lebih garang dan agresif – paip ekzos bulat berkembar di setiap sisi, lebih sporty dengan lampu kabus berbentuk X, spoiler atap yang lebih panjang dan bampar belakang. Volkswagen Golf GTi 2021 secara rasmi dilancarkan di UK dengan harga bermula RM203K – semestinya harga yang sangat berbaloi untuk memiliki model ini.

Model Golf baharu ini juga menjadi model Volkswagen pertama yang akan menggunakan logo Volkswagen yang dikemas kini. Logo Volkswagen baharu tampil dengan 2 dimensi berkontra tinggi yang tampil lebih elegan bersesuaian dengan era digital kini. Ia membolehkan logo ini tampil lebih baik di semua platform digital atau fizikal.

5. Toyota Corolla Cross 2021

model paling dinantikan 2021: Toyota Corolla Cross 2021
Kredit: toyota.co.th

Tidak sampai sebulan selepas pelancaran Toyota Corolla Cross di Thailand, SUV segmen C ini kini dilancarkan di Indonesia. Model ini tampil dalam dua varian iaitu petrol dan hibrid dengan spesifikasi yang hampir sama untuk kedua-dua model. Model petrol tampil dengan enjin empat silinder 2ZR-FE Dual VVT-i  yang berkuasa menghasilkan 140 PS pada 6,400 rpm dan tork 172 Nm pada 4,000 rpm. Enjin ini digabungkan dengan transmisi CVT. Manakala, model hibrid pula menggunakan versi enjin kitaran Atkinson, 2ZR-FXE . Ia mampu menghasilkan 98 PS pada 5.200 rpm dan 142 Nm pada 3.600 rpm. Enjin ini dipadankan dengan motor elektrik yang menghasilkan 72 PS dan 163 sekali gus menghasilkan jumlah output sistem sebanyak 122 PS.

Toyota Corolla Cross 2021 merupakan varian SUV pertama bagi jenama ini.  Dengan pertumbuhan berterusan pasaran SUV di Malaysia, Corolla Cross merupakan antara pilihan terbaik untuk anda yang ingin memiliki model segmen popular ini. Dengan mengambil kira harga Toyota Corolla Cross 2021 yang ditawarkan di Thailand dan Indonesia, ia dijangka dijual di Malaysia pada harga bermula dari RM131,000 hingga RM142,700.

6. Proton Iriz 2021

Selain Proton Persona, Proton Iriz juga turut dijangka akan merancakkan lagi industri automotif tahun 2021. Menurut sumber, Proton tidak akan memperkenalkan sebarang model baharu tahun hadapan. Namun sebaliknya, Proton hanya akan memfokuskan pada kemas kini barisan model sedia ada. Proton Iriz 2021 dijangka tampil dengan ‘rupa’ dan transmisi baharu – Proton akan menggantikan transmisi CVT bagi model Iriz sama seperti Proton Persona.

Dalam kebanyakan spyshot yang dijalankan, Proton Persona 2021 dijangka akan menampilkan head unit terapung yang lebih besar berbanding head unit model sebelumnya. Ia mungkin akan menggunakan Geely Key User Interface (GKUI) terbaharu seperti yang diguna pakai pada model Proton X50 2020. Maka, tidak mustahil Proton Iriz 2021 juga akan menerima kemas kini yang sama seperti Proton Persona 2021. Harga Proton Iriz 2021 dianggarkan akan dijual di pasaran Malaysia dengan harga bermula RM35,000 hingga RM50,000 bergantung pada jenis varian.

7. Toyota Harrier 2021

harga Toyota Harrier 2021 di Malaysia
Kredit: global.toyota

Toyota akan melancarkan model Toyota Harrier 2021 baharu yang dijangka akan tiba di Malaysia tidak lama lagi. Setakat hari ini, Toyota Harrier merupakan model SUV paling popular di Malaysia dan merupakan model SUV terpakai paling laris mengalahkan model SUV daripada Mercedes-Benz dan BMW. Toyota Harrier 2021 dijangka tampil lebih kemas dengan ciri yang diperbaik dan sistem keselamatan Toyota terkini. Model di bawah UMW Toyota ini dijangka akan memberi saingan yang hebat terutamanya dalam kategori SUV di Malaysia tahun hadapan.

Toyota Harrier 2021 baharu ini akan dilengkapi dengan Toyota Safety Sense – sistem keselamatan prapelanggaran yang dapat mengesan pejalan kaki pada waktu siang dan malam, penunggang basikal pada waktu siang. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan Intelligent Clearance Sonar dengan Parking Support Brakes yang membantu mengurangkan kerosakan akibat perlanggaran semasa memandu dalam kelajuan rendah di tempat letak kereta. Harga Toyota Harrier terkini yang dijual di Malaysia adalah antara RM256,396 hingga RM234,510. Justeru, anda boleh menjangkakan sedikit peningkatan harga bagi model Toyota Harrier 2021 ini di pasaran Malaysia.

Senarai Model Kereta Paling Dinantikan Mengikut Jenama

Carsome turut menyenaraikan model kereta lain yang turut dijangka akan mewarnai pasaran automatif tempatan tahun 2021 mengikut jenama.

model kereta 2021

Jenama

Model

BMW 5 Series 2021
6 Series GT 2021
Honda City Hatchback 2021
Civic 2021
Lexus Lexus LS 2021
Mazda BT-50 2021
CX-9 2021
MX-30 2021
Mercedes-Benz C-Class 2021
S-Class 2021
E-Class 2021
GLA 2021
MG HS 2021
ZS EV 2021
Nissan Grand Livina 2021
Kicks 2021
Navara 2021
Serena 2021
Perodua Perodua D55L 2021
Proton Iriz 2021
Persona 2021
Subaru Subaru XV 2021
Toyota Camry 2021
Corolla Cross 2021
Fortuner 2021
Harrier 2021
Volkswagen Arteon 2021
Golf GTi Mk8 2021
Polo 2021
Volvo Volvo S90 2021
Audi A3 2021
Q7 2021
Ferrari Ferrari Roma 2021
Jaguar Jaguar F-Type 2021
Land Rover Land Rover Defender 2021
Porsche Porsche 911 Turbo 2021

Kami di Carsome akan terus mengemas kini senarai ini dengan lebih banyak maklumat dari semasa ke semasa. Anda boleh ikuti kami untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai harga, spesifikasi model-model kereta yang dijangka akan memasuki Malaysia tahun 2021 ini. Selain itu, jika anda ingin menjual kereta lama anda untuk memberi ruang kepada kereta baharu 2021 anda, anda boleh layari laman web Carsome untuk info lanjut.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular