HomeBMProton Saga, Ulang Tahun ke-35 Kereta Nasional Pertama Malaysia

Proton Saga, Ulang Tahun ke-35 Kereta Nasional Pertama Malaysia

Kereta nasional pertama Malaysia, Proton Saga dilancarkan secara rasmi pada 9 Julai 1985. Pelancaran ini juga secara tidak langsung menandakan permulaan industri automotif nasional di Malaysia. Proton Saga merupakan cetusan idea daripada Perdana Menteri ke-4 Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1979. Bermula dengan hanya sebuah lakaran impian pada sehelai kertas kosong, ia kini menjadi salah satu daripada kebanggaan negara. Bukan itu sahaja, ia juga turut membantu Proton menghasilkan lebih daripada 4 juta kenderaan sejak ditubuhkan.

proton saga

Proton Saga merupakan sebuah jenama kereta tempatan yang sinonim dengan rakyat Malaysia. Model paling laris keluaran Proton dan boleh dikatakan sebagai jenama tempatan paling mampu milik dibina berasaskan model Mitsubishi Lancer Fiore. Ini selepas pengeluar kereta Jepun ini bersetuju mewujudkan usaha sama dengan HICOM (Perusahaan Industri Berat Malaysia Berhad) untuk menghasilkan kereta pertama buatan Malaysia. 

Kereta Saga: Daripada Permainan Scrabble Menjadi Kereta Pertama Kebanggaan Negara

Proton Saga mendapat namanya daripada ‘Pertandingan Menamakan Kereta Nasional’ yang dianjurkan oleh Proton. Pertandingan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang awam dengan lebih daripada 100,000 penyertaan diterima. Penyertaan daripada Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Pulau Pinang telah dipilih sebagai pemenang pertandingan tersebut. Beliau menamakan kereta nasional pertama Malaysia sebagai ‘Saga’ – akronim bagi Safety (Keselamatan), Achievement (Pencapaian), Greatness (Keunggulan) dan Ability (Kebolehan).

Ilham menamakan kereta pertama Malaysia sebagai ‘Saga’ muncul ketika beliau bersama rakan-rakannya bermain permainan Scrabble. Tambah beliau, nama ‘Saga’ juga mudah untuk dituturkan dalam bahasa lain dan tidak mengandungi konotasi negatif dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sekali gus menjadikannya satu nilai tambah yang baik. Staf Sarjan Ismail Jaafar juga turut menerima model yang sama sebagai hadiah kemenangannya.

Proton Saga Edisi Ulang Tahun ke-35

Saga meraikan ulang tahun ke-35 tahun ini sekali gus menandakan dan membuktikan 35 tahun kemampuan negara dalam menghasilkan kereta buatan sendiri. Sempena Ulang Tahun Proton Saga ke-35 ini, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) memperkenalkan model Saga Edisi Ulang Tahun. Model kereta pertama yang dikeluarkan pada tahun 1985 ini terhad kepada 1,100 unit sahaja. Ia tampil secara eksklusif dalam warna hitam dan kuning pada kemasan bahagian dalaman dan luaran. Saga Edisi Ulang Tahun dijual di pasaran pada harga RM39,300.
proton saga

Selain itu, Proton turut menawarkan pilihan aksesori tambahan sempena pelancaran model Edisi Ulang Tahun seperti berikut:

  • skirting hadapan dan sisi berwarna kuning (front skirting, side skirting);
  • visor;
  • penebat pada hud (hood insulator);
  • penutup bonet belakang (trunk lid cover);
  • talam bonet belakang (boot tray).

Selama 35 tahun dalam industri automotif tempatan, pelbagai kejayaan telah dicapai dan pelbagai usaha inovatif dilakukan untuk pengguna dan pelanggan setia sehingga menjadikan model Saga pilihan utama pengguna di Malaysia selari dengan penjenamaan Proton sebagai kereta rakyat Malaysia.

Generasi Model Proton Pertama di Malaysia

Kereta Saga boleh dikatakan sebagai produk terbaik Proton yang terus menjadi siulan dan bualan ramai. Populariti yang dikecapi sejak pertama kali dilancarkan 35 tahun lalu membuktikan model ini kekal relevan dan menjadi pilihan rakyat Malaysia. Maka tidak hairanlah sejak pelancaran pertamanya, Proton Saga menyumbang sebahagian besar daripada hasil jualan Proton. Selain itu, CARSOME turut menyenaraikan generasi-generasi Saga di Malaysia untuk panduan anda seperti berikut:

proton saga

Proton Saga (1985 – 1992)

Saga generasi pertama dilancarkan pada 1983 dan diasaskan daripada model Mitsubishi Lancer Fiore. Model ini dilengkapi dengan enjin 1.3L 4G13 Orion II dan 1.5L 4G15 Orion II, masing-masing dijual pada harga RM17, 575 and RM19,000 pada ketika itu. Model Saga 1.5S pertama dimiliki oleh Tun Dr. Mahathir yang menghadiahkan kereta pertama tersebut kepada isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah.

Proton Saga Aeroback (1987 – 1992)

Model ini tampil dengan facelift baharu dan menampilkan model kereta versi hatchback pada tahun 1987. Saga versi hatchback ini dikenali dengan nama Proton Knight pada mulanya sebelum dikenali sebagai Proton Saga Aeroback.

Proton Saga Iswara (1992 – 2006)

Pada 15 Ogos 1992, model facelift baharu Saga telah dilancarkan dan dinamakan sebagai Proton Saga Iswara. Nama model ini diambil sempena nama spesis rama-rama di Sarawak. Saga Iswara dilengkapi dengan enjin Orion 1.3L dan 1.5L dan sangat popular dalam kalangan pemandu teksi di Malaysia. Malah, kebanyakan model kereta ini juga diubah suai menjadi kenderaan gas asli (natural gas vehicle, NGV).

Proton Saga LMST (2003 – 2008)

Saga LMST (Lotus Meter Saga Trim) hatchback diperkenalkan pada 2003 berasaskan platform yang sama dengan model sebelumnya. Model ini tampil dengan bahagian dalaman yang lebih moden seperti papan pemuka baharu, panel instrumen dan kluster meter dengan paparan digital yang terdiri daripada odometer, tolok bahan bakar dan tolok suhu. Selain itu, model ini juga turut menjalani pengubahsuaian dan naik taraf di bahagian luaran.

Saga LMST menampilkan enjin karburator 1.3L 4G13 Mitsubishi yang disesuaikan untuk menghasilkan 83 bhp. Pada penghujung tahun 2006 pula, Proton menaik taraf bahagian luaran model kereta ini dan hanya boleh didapati dalam dua pilihan warna hitam dan oren terhad bagi enjin 1.3L 4G13. Pada 4 Mac 2007, Proton melancarkan model facelift terakhir bagi Saga generasi pertama; Saga LMST Edisi Merdeka ke-50.

Model ini hampir sama dengan Saga LMST 2006 dan dijual dengan harga yang lebih rendah sebagai simbol penghargaan Proton kepada pelanggan mereka. Saga generasi pertama merupakan model Proton yang paling berjaya dan paling lama dalam pasaran bagi semua model Proton setakat ini iaitu selama 23 tahun.

Proton Saga BLM (2008 – 2010)

Saga generasi kedua atau turut dikenali sebagai Saga BLM (Base Line Model) telah dilancarkan pada 18 Januari 2008. Saga BLM merupakan model pertama yang menggunakan logo korporat baharu Proton dan dilancarkan dengan 3 pilihan varian: N-Line, B-Line dan M-Line dengan harga antara RM31,498 hingga RM39,998 semasa pelancarannya. Kesemua varian ini dikuasakan dengan enjin 1.3 liter CamPro IAFM.

Proton Saga FL (2010 – 2011)

Saga FL (singkatan bagi facelift) diperkenalkan pada 30 November 2010 di Thai International Motor Expo 2010. Saga FL tampil dengan luaran yang lebih menarik seperti perubahan pada bampar belakang, gril, rim dan lampu depan. Namun begitu, spesifikasi teknikal dan dalaman model ini tidak banyak berubah daripada versi facelift sebelum ini. Model ini juga turuy menampilkan sistem audio Clarion baharu yang turut disertakan port USB dan AUX.

Proton Saga FLX (2011 – 2016)

Selepas 8 bulan pelancaran Saga FL, jenama automotif tempatan ini memperkenalkan Saga FLX. Model ini dipacu oleh enjin CamPro IAFM+ dengan sokongan beg udara, sistem brek antikunci (anti-lock braking system, ABS) dan pengagihan daya brek elektronik (electronic brakeforce distribution, EBD). Saga FLX ini dikatakan lebih baik berbanding model Saga FL sebelum ini terutamanya untuk pemanduan jarak jauh dan turut dilengkapi dengan kit badan, spoiler pada penutup ruang belakang dan rim aloi enam bilah bersaiz 14 inci.

Proton Saga Generasi Ketiga (2016 hingga sekarang)

Saga generasi ketiga diperkenalkan pada 28 September 2016 sebagai pengganti rasmi Saga generasi kedua. Saga generasi ketiga ini dibina berasaskan platform Saga FLX dan berkongsi enjin VVT 1.3L yang sama dengan Iriz. Proton telah mereka semula sepenuhnya reka bentuk luaran, malah bahagian dalaman turut diperbaharui dengan reka bentuk dalaman yang lebih baik. ASEAN NCAP telah menganugerahkan penarafan keselamatan sebanyak 4 bintang untuk model Saga baharu ini

Saga, Produk Kebanggaan Buatan Malaysia

Proton Saga kini melangkah lebih jauh sejak pertama kali diperkenalkan 35 tahun yang lalu dan kini menjadi salah sebuah jenama tempatan yang dipercayai. Selain menawarkan harga yang berpatutan, kos pemilikan yang rendah juga secara tidak langsung menjadikannya model pilihan utama pembeli kereta. Malah, jika dinilai jumlah tempahan yang diterima saban tahun, model ini membuktikan ia berada dalam kelasnya yang tersendiri dan terpahat dalam sanubari rakyat Malaysia. Hari ini, model ini mengekalkan kedudukannya sebagai model terlaris dan paling popular dalam rangkaian jenama Proton.

proton saga

Penambahbaikan demi penambahbaikan dilakukan bagi meningkatkan kualiti dan prestasinya dalam usaha untuk menjadikan jenama ini bukan sahaja diterima dalam kalangan masyarakat malah kekal relevan dan menjadi buah mulut pengguna untuk sekurang-sekurangnya 35 tahun akan datang. Apakah kereta Proton pertama anda?

Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk menjual kereta Proton Saga lama dan berminat untuk mendapatkan mana-mana kereta Proton terpakai, layari laman web CARSOME untuk info lanjut. CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan tawaran harga terbaik dengan perkhidmatan yang mudah, cekap dan pantas.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular