Mengubah suai kereta memang seronok, tetapi janganlah sampai melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan atau JPJ. Saya yakin ramai di luar sana yang pernah hampir buta akibat terkena sinaran lampu kereta yang terlampau terang semasa memandu.
Tahukah anda bahawa ada beberapa jenis lampu kereta yang tidak dibenarkan oleh JPJ?
Jenis Lampu Kereta yang Tidak Dibenarkan oleh JPJ
1. Lampu Kereta Jenis HID
Lampu jenis High Intensity Discharge (HID) atau lampu putih kereta yang dipasang secara aksesori (retrofit) dengan kuasa yang melebihi standard dan spesifikasi yang ditetapkan adalah tidak dibenarkan.
Secara amnya, lampu HID menggunakan gas Xenon dan tidak menggunakan filamen. Ia mampu menghasilkan cahaya sehingga dua ke tiga kali ganda lebih terang berbanding lampu halogen. Apabila lampu terlalu terang, ia akan mengakibatkan silau terhadap pemandu lain di jalan raya dan ini akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Mengikut peraturan lampu kereta JPJ, kenderaan yang menggunakan lampu HID yang dipasang secara aksesori boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 94 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959. Pemilik kenderaan yang bersalah boleh didenda di bawah seksyen 119(1) APJ 1987 sehingga RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih 6 bulan.
2. Lampu Berkelip
Penggunaan aksesori lampu tambahan yang berkelip-kelip selain lampu signal kereta juga adalah tidak dibenarkan. Ia bukan sahaja akan mengelirukan pemandu lain, malah ia juga akan mengganggu fokus pengguna jalan raya yang lain kerana boleh menyebabkan silau yang meningkatkan risiko kemalangan.
Kebanyakan pengguna hari ini cenderung mengubah suai lampu brek biasa kepada lampu brek berkelip-kelip. Selain salah di sisi undang-undang, pengubahsuaian sebegini juga boleh membuatkan tekanan darah pengguna atau pemandu di belakang naik mendadak akibat terkena sinaran lampu yang membuat mata berpinar.
3. Lampu Kereta Smoked atau Lampu Digelapkan
Selain penggunaan mentol lampu kereta yang terlalu terang, lampu yang digelapkan (smoked) sehingga menjadi terlalu samar, gelap, atau kelam turut menjadi satu kesalahan. Sudah menjadi trend sejak kebelakangan ini di mana lampu belakang kereta akan digelapkan atau dimalapkan dengan menggunakan lapisan filem gelap (tinted lampu kereta) atau semburan cat.
Ini menyebabkan kadar keterlihatan lampu berkurangan dengan drastik terutamanya semasa anda menekan brek, menggunakan signal, dan sebagainya. Pengubahsuaian sebegini menyukarkan pemandu di belakang anda melihat brek atau lampu isyarat anda dengan jelas dan akan meningkatkan risiko perlanggaran terutamanya ketika hujan atau cuaca berkabus.
4. Lampu Spotlight Kereta
Secara amnya, pemasangan lampu spotlight kereta hanya dibenarkan bagi kenderaan jenis 4×4 untuk digunakan semasa aktiviti off-road sahaja. Lampu ini hendaklah ditutup apabila kenderaan digunakan di atas jalan raya.
Ia mestilah berwarna putih atau kuning jingga (amber), dan hanya boleh dipasang di bahagian hadapan kenderaan sebagai tambahan kepada lampu sedia ada. Selain itu, pemasangan lampu spotlight kereta pada bahagian atas bumbung kenderaan juga adalah tidak dibenarkan.
5. Lampu Mata Arah/Lampu Beacon
Kenderaan persendirian tidak dibenarkan sama sekali menggunakan lampu mata arah atau lampu beacon. Lampu mata arah merupakan lampu amaran pelbagai warna dan dikategorikan sebagai komponen aksesori yang dipasang pada bahagian bumbung sesebuah kenderaan.
Ia hanya boleh digunakan dalam situasi kecemasan sahaja. Jika dipasang pada kenderaan yang tidak sepatutnya, individu yang tidak bertanggung jawab mungkin akan menyalahgunakan lampu ini untuk kepentingan sendiri dan ini akan mengakibatkan kekeliruan di jalan raya.
Menurut Kaedah 24, Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Lalulintas Jalan) 1959, hanya kenderaan polis, bomba, ambulans, dan JPJ sahaja yang dibenarkan mendapat hak haluan trafik (priority over traffic). Meskipun begitu, ia tertakluk kepada pengecualian dengan kebenaran Ketua Pengarah JPJ Malaysia.
Penggunaan lampu kereta yang betul dan sesuai penting agar anda boleh dilihat dengan jelas oleh pengguna jalan raya yang lain. Selain itu, ia juga memainkan peranan penting dalam memberi amaran awal kepada pemandu lain selain menyumbang kepada persekitaran trafik yang selamat dan teratur. Jadi, sila elak daripada menggunakan lampu kereta yang tidak dibenarkan oleh JPJ.
Tak salah nak ubah suai kereta, tetapi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak JPJ haruslah dipatuhi. Jika tidak, anda berkemungkinan akan disaman atau lebih teruk lagi – dihukum penjara! Kami harap artikel ini dapat membantu anda mengenal pasti jenis-jenis lampu kereta yang anda tak sepatutnya guna pada kereta anda.