Kereta Pandu Sendiri: Adakah Malaysia Sudah Bersedia?

Bermula dengan Fords dan Chevy sebagai pengeluar kereta pertama di dunia, industri automotif sudah melalui banyak revolusi sejak awal kemunculannya. Malah jika dilihat pada hari ini, kereta generasi moden ternyata lebih maju dan hebat dengan pelbagai penambahan spesifikasi dan lain berbanding kereta generasi pertama dahulu. Daripada penggunaan tenaga stim sehinggalah tenaga elektrik, hari ini kita melangkah setapak lebih jauh dengan pengenalan kereta pandu sendiri. Namun persoalan yang timbul, adakah kereta pandu sendiri hanyalah sebuah fantasi yang diangankan atau sebuah realiti yang boleh dibanggakan?

Kereta Pandu Sendiri: Adakah Ia Selamat?

Kenderaan pandu sendiri kini giat dibangunkan oleh syarikat-syarikat besar dunia seperti Tesla, Google dan Uber. Ia merupakan sesuatu yang sememangnya dinanti-nantikan untuk menembusi pasaran tempatan tidak lama lagi. Namun begitu, masih ramai yang meragui keupayaan teknologi kenderaan pandu sendiri ini. Adakah pengenalan teknologi baharu ini selamat untuk digunakan di Malaysia? CARSOME menyenaraikan 5 sebab teknologi kereta pandu sendiri ini masih belum bersedia untuk digunakan di Malaysia.

#1 Sistem Sensor (Sensor System)

Kereta pandu sendiri dilengkapi dengan pelbagai jenis sensor untuk membantu kenderaan melihat dan mengesan objek-objek lain di jalan raya. Kereta pandu sendiri dilengkapi kamera untuk membantu mengenal pasti objek dan radar yang mengesan objek, menjejaki kelajuan dan arah kenderaan lain. Selain itu, ia turut dilengkapi lidar yang menggunakan laser untuk mengukur jarak antara objek dan kenderaan. Sensor ini akan menghantar maklumat ke sistem kawalan kereta sebelum membuat keputusan sama ada perlu memecut atau menekan brek.

Kenderaan pandu sendiri memerlukan sensor yang tepat yang boleh mengesan objek, jarak, kelajuan dan sebagainya dalam pelbagai keadaan dan cuaca tanpa penglibatan manusia. Di Malaysia contohnya, cuaca dan keadaan trafik yang tidak menentu, budaya vandalisme pada papan tanda boleh mempengaruhi ketepatan bacaan sensor. Kemalangan maut yang berlaku melibatkan Tesla menunjukkan masih terdapat jurang besar yang perlu diperbaiki sebelum dapat menghasilkan sebuah kenderaan pandu sendiri yang selamat.

kereta pandu sendiri

#2 Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence)

Kereta pandu sendiri menggunakan kecerdasan buatan untuk memproses data daripada sensor. Data yang diterima akan diproses oleh sistem komputer yang akan membantu membuat keputusan. Algoritma ini membantu mengenal pasti objek yang dikesan oleh sensor dan mengelaskan objek mengikut kategori tertentu – pejalan kaki, papan tanda dan sebagainya. Sistem kawalan kereta ini kemudiannya akan menggunakan maklumat ini untuk menentukan tindakan susulan yang perlu diambil seperti menekan brek atau melencong untuk mengelakkan daripada melanggar objek yang dikesan.

Dengan penambahbaikan yang berterusan, teknologi ini mungkin berkesan dan boleh berfungsi dengan baik pada masa akan datang. Kenderaan mungkin tidak lagi memerlukan pemandu untuk mengerakkannya. Namun buat masa ini, algoritma yang digunakan tidak dijamin keberkesanan dan keselamatannya. Malah, tiada penstandardan khusus tentang cara kecerdasan buatan ini perlu dilatih, diuji atau disahkan.

#3 Sistem Jalan Terbuka (Open Road)

Di kawasan sekitar Lembah Klang misalnya, lebuh raya dan jalan raya baharu bertambah setiap masa ekoran penambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya saban tahun. Kereta tanpa pemandu ini berkemungkinan akan melalui jalan baharu dan berhadapan dengan objek yang belum pernah ditemui dalam mana-mana sesi latihan sebelum ini. Ia sekali gus akan menyukarkan proses pengecaman objek yang boleh menjejaskan keberkesanan sistemnya.

Justeru itu, kereta pandu sendiri tertakluk pada kemas kini dan naik taraf perisian yang berterusan setiap masa. Tanpa kemas kini yang berterusan, versi perisian sedia ada tidak lagi akan disokong oleh versi perisian terkini. Malah, sikap pemandu di Malaysia juga menjadi salah satu faktor yang perlu dititikberatkan:

  1. Adakah teknologi ini dapat mengesan pemandu yang gemar ‘mencilok’ dalam trafik sesak?
  2. Adakah ia berupaya mengesan kereta yang membelok secara tiba-tiba tanpa memberi signal?

Sikap pengguna jalan raya di Malaysia sendiri telah menunjukkan tahap kebersediaan kita terhadap teknologi baharu. Jika sikap pengguna jalan raya masih berada di tahap sama, kereta terbang pun tidak akan mampu membantu mengurangkan risiko kemalangan.

kereta pandu sendiri

#4 Peraturan (Regulation)

Peraturan dan standard yang mencukupi untuk sistem kenderaan pandu sendiri tidak lagi wujud dalam mana-mana industri buat masa ini. Standard keselamatan semasa untuk kenderaan sedia ada mengandaikan kehadiran manusia dalam kenderaan yang akan mengambil alih kenderaan sekiranya berpotensi berlaku kemalangan. Terdapat standard antarabangsa untuk sistem kenderaan pandu sendiri yang menetapkan keperluan yang relevan namun masih tidak menyelesaikan masalah sensor, kecerdasan buatan dan operasi-operasi lain yang dinyatakan di atas. Dengan undang-undang sedia ada, terdapat beberapa persoalan yang timbul:

  1. Siapakah yang bertanggungjawab jika berlaku nahas jalan raya yang melibatkan kenderaan tanpa pemandu?
  2. Adakah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan lesen memandu percubaan ke atas kenderaan tanpa pemandu?
  3. Adakah terdapat prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi sebelum kerajaan membenarkan kenderaan ini berada di atas jalan raya?

Tanpa peraturan dan standard yang diperakui, tiada kenderaan tanpa pemandu (sama ada selamat atau tidak) dibenarkan berada atau menggunakan jalan raya terbuka.

#5 Penerimaan Sosial (Social Acceptability)

Banyak kemalangan berprofil tinggi yang melibatkan kereta tanpa pemandu semasa pandu uji dijalankan. Baru-baru ini, terdapat kemalangan yang melibatkan jenama Tesla dan beberapa jenama model kereta lain. Penerimaan sosial bukan sahaja melibatkan isu pemilik kereta pandu sendiri semata-mata, tetapi turut melibatkan individu lain yang berkongsi jalan yang sama. Masyarakat awam perlu terlibat dalam keputusan berkaitan pengenalan dan penerimaan kenderaan pandu sendiri. Tanpa penerimaan ini, risiko penolakan masyarakat terhadap teknologi ini amatlah tinggi.

Malah, tanpa kerjasama yang menyeluruh yang menjadikan kereta ini selamat untuk dinaiki, ramai yang akan mempersoalkan aspek keselamatan walaupun ia dikatakan mampu membantu mengurangkan risiko kemalangan akibat kecuaian.

kereta pandu sendiri

Apakah model kenderaan tanpa pemandu yang anda nanti-nantikan? Adakah anda merasakan Malaysia sudah bersedia untuk mengaplikasi teknologi kenderaan tanpa pemandu ini? Jika anda sedang mencari kereta terpakai idaman anda (bukan kenderaan tanpa pemandu), mulakan carian anda di CARSOME, platform jual beli kereta terpakai terbaik di Malaysia! Anda boleh dapatkan pelbagai jenis model kereta berkualiti pilihan anda dengan tawaran harga yang semestinya berbaloi.