7 Supercar atau Kereta Paling Mahal di Dunia 2021

Setiap daripada kita semestinya menyimpan angan-angan dan impian untuk memiliki kereta paling mahal di dunia atau paling tidak berpeluang memandu kereta mewah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Bagi sesetengah individu, pemilikan kereta mewah bukan sahaja melambangkan kekayaan dan kemewahan tetapi memberikan kepuasan yang tersendiri. Apabila membicarakan tentang kereta paling mahal, mewah, classy dan high-end, ada beberapa pengeluar kereta mewah yang terlintas di fikiran seperti Bugatti, Ferrari, Rolls-Royce dan sebagainya. Jenama-jenama besar ini mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama industri automotif yang menghasilkan kereta supercar dan hypercar yang paling mahal, unik, laju dan eksklusif di dunia.

7 Kereta Paling Mahal di Dunia 2021 yang Perlu Anda Tahu

Kereta paling mahal bukan sahaja melambangkan status dan kekayaan individu, tetapi turut mencerminkan keupayaan dan prestasi semasa teknologi automatif dunia. Berikut merupakan senarai tujuh (7) kereta paling mahal di dunia setakat hari ini untuk panduan dan rujukan anda:

7. Lamborghini Sian | RM15,211,800

Lamborghini Sian ialah kereta sport hibrid enjin pertengahan dan kenderaan pacuan semua roda keluaran pertama Lamborghini. Nama Sian berasal dari dialek Bolognese yang bermaksud kilat. Secara amnya, nama ini dipilih untuk mencerminkan identiti model ini sebagai kenderaan pertama yang memasukkan komponen superkapasitor hibrid. Reka bentuk luarannya menggabungkan bentuk baji (wedge)–ciri utama pereka kenderaan terkenal Marcello Gandini. Ia juga turut menggabungkan konsep reka bentuk Terzo Millennio yang diperkenalkan dua tahun sebelumnya.

Kereta Paling Mahal di Dunia | Lamborghini Sian
Kredit: Instagram

Lamborghini Sian berkongsi enjin yang sama dengan varian SVJ Aventador dengan penambahan motor elektrik dalam kotak gear yang menambahkan 25 kW pada output kuasa. Selain itu, model ini turut menerima pengubahsuaian lain pada enjin termasuk penambahan injap masuk titanium, ECU yang dikonfigurasi semula dan sistem ekzos baharu yang meningkatkan output kuasa kepada 577 kW. Ia sekali gus menjadikan jumlah output kuasa adalah sekitar 602 kW dan menjadikan Lamborghini Sian sebagai kereta pengeluaran paling berkuasa yang disambungkan ke transmisi manual automatik 7 kelajuan.

6. Lamborghini Veneno | RM19,014,750

Veneno ialah kereta sport edisi pengeluaran terhad berprestasi tinggi yang dihasilkan oleh pengeluar automotif Itali, Lamborghini. Ia dibina berdasarkan Lamborghini Aventador sempena meraikan ulang tahun Lamborghini yang ke-50. Lamborghini Veneno pertama kali diperkenalkan pada Pameran Motor Geneva 2013 dengan harga 4 juta USD atau sekitar RM19,014,750. Ia sekali gus menjadikannya salah satu model kereta paling mahal di dunia yang pernah dihasilkan oleh Lamborghini.

Lamborghini Veneno

Ia menampilkan enjin V12 6.5 liter Aventador yang berkuasa menghasilkan 740 kuasa kuda pada 8,400 rpm dan 690 Nm tork pada 5,500 rpm. Lamborghini Veneno merupakan prototaip perlumbaan Lamborghini yang dibina untuk jalan raya. Ia mampu mencatatkan kelajuan tertinggi 356 km/j dan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 2.9 saat.

5. Koenigsegg CCXR Trevita | RM20,282,400

CCXR Trevita merupakan model edisi terhad Koenigsegg CCXR yang menampilkan kemasan fiber karbon dan berlian. Trevita merupakan singkatan dalam bahasa Sweden yang bermaksud ‘tiga orang kulit putih’. Pembuatan fiber karbon yang digunakan oleh CCXR Trevita menggunakan kaedah baharu yang unik–kaedah ini secara tidak langsung membolehkan fiber karbon yang digunakan dilapis dengan kemasan berlian. Oleh sebab proses ini terlalu rumit dan kompleks, cadangan asal untuk menghasilkan tiga unit CCXR Trevita dihadkan kepada dua unit sahaja sekali gus menjadikannya model kenderaan paling rare yang pernah dihasilkan oleh Koenigsegg.

Koenigsegg CCXR Trevita
Kredit: Instagram

Kedua-dua unit model edisi terhad ini menampilkan corak badan Shimmering Diamond Weave, sayap belakang fiber karbon dek berkembar, sistem ekzos inconel, brek seramik karbon dengan ABS, kluster instrumen, sistem infotainmen dan banyak lagi. Kos untuk memiliki salah satu kereta paling mahal di dunia ini boleh menelan belanja sehingga 4.8 juta USD atau sekitar RM20,282,400.

4. Mercedes-Benz Maybach Exelero | RM33,804,000

Maybach Exelero merupakan salah satu kereta sport berprestasi tinggi yang dihasilkan oleh firma kereta Itali, Stoal dengan kerjasama DaimlerChrysler. Model ini mula dilancarkan di Tempodrom, Berlin pada tahun 2005 dan menjadi salah satu rangkaian kereta paling mahal di dunia yang pernah dihasilkan. Kereta mewah ini bernilai hampir 8 juta USD dan boleh mencapai kelajuan tertinggi 350 km/j. Ia juga mampu melakukan pecutan dari 0 hingga 100 km/j dalam masa dalam 4.4 saat.

Mercedes-Benz Maybach Exelero
Kredit: Instagram

Maybach Exelero menampilkan enjin turbo V12 berkembar yang berkuasa menghasilkan 690 kuasa kuda. Bahagian dalaman menampilkan elemen mewah dengan material kulit dalam rona warna merah gelap, neoprena dan fiber karbon hitam berkilat dengan kemasan aluminium. Menurut Top Gear, kenderaan itu dibeli oleh penyanyi rap Birdman pada tahun 2011–namun kini dikatakan dimiliki oleh Mechatronik.

3. Bugatti Centodieci | RM37,606,950

Bugatti Centodieci merupakan kereta sport enjin pertengahan edisi terhad yang dihasilkan oleh pengeluar automotif Perancis, Bugatti. Meskipun Bugatti Centodieci 2021 ini dijual pada harga yang tinggi, kesemua 10 unit hypercar mewah ini dikatakan telah habis terjual. Model kereta ini dihasilkan sebagai penghormatan kepada model Bugatti EB110 yang dihasilkan pada awal tahun 90-an dan sempena ulang tahun ke-110 Bugatti. Bugatti sememangnya terkenal sebagai jenama kereta popular yang menghasilkan reka bentuk badan kenderaan yang unik dengan ciri keselesaan mewah.

Kereta Paling Mahal di Dunia | Bugatti Centodieci
Kredit: Instagram

Bugatti Centodieci juga dikatakan 20 kg lebih ringan berbanding Bugatti Chiron. Model ini dilengkapi dengan enjin kuad turbo W-16 yang berupaya menghasilkan 1,577 kuasa kuda. Ia turut mencatatkan rekod pecutan dari 0 hingga 100 km/j dalam tempoh masa 2.4 saat. Kelajuan tertinggi direkodkan sebanyak 379 km/j, lebih rendah berbanding Bugatti Chiron.

Artikel Berkaitan: 7 Supercar atau Kereta Paling Laju di Dunia 2021

2. Bugatti La Voiture Noire | RM80,284,500

Model Bugatti La Voiture Noire mendapat inspirasi daripada model Type 57 lama. Buggati La Voiture Noire yang turut dikenali sebagai the Black Car atau ‘Kereta Hitam’ ini dijual pada harga sekitar 18.68 juta USD atau sekitar RM80,284,500.00. Supercar La Voiture Noire ini menampilkan enjin 1,500 kuasa kuda yang boleh mencapai kelajuan tertinggi sebanyak 420 km/j. Model eksklusif ini mencuri tumpuan peminat kenderaan mewah semasa pameran Pameran Motor Geneva 2019.

Kereta Paling Mahal di Dunia | Bugatti La Voiture Noire
Kredit: Instagram

Bugatti La Voiture Noire menampilkan bahagian luar dengan reka bentuk yang mengagumkan. Reka bentuk bahagian depan tampak lebih garang selain menampilkan empat tip ekzos serta lambang Bugati besar di bahagian belakang. Khabar angin mengatakan kereta paling mahal di dunia ini dimiliki oleh bintang bola sepak terkemuka dunia, Cristiano Ronaldo. Meskipun begitu, pihak Bugatti masih belum mengesahkan dakwaan tersebut dan sehingga kini tidak mendedahkan identiti pembeli misteri tersebut.

1. Rolls-Royce Boat-Tail | RM118,314,000

Jenama kereta mewah terkenal dunia, Rolls-Royce menampilkan kereta baharu paling mahal di dunia iaitu Boat Tail yang dikatakan bernilai lebih RM118,314,000. Harga ini turut dikatakan dua kali ganda lebih mahal berbanding kereta mewah Rolls-Royce Sweptail yang pernah dihasilkan sebelum ini. Untuk rekod, harga jualan untuk model Rolls-Royce Sweptail dikatakan bernilai lebih RM59 juta. Penghasilan kereta ini mendapat inspirasi daripada kapal layar J-Class pada awal abad ke-20 dan Rolls-Royce Boat Tail pada 1920.

Rolls-Royce Boat-Tail
Kredit: Instagram

Model Rolls-Royce Boat Tail ini direka khusus untuk golongan hartawan dan jutawan yang ingin memiliki limosin mewah yang unik. Ia menampilkan reka bentuk bahagian dek belakang kereta berinspirasikan kapal layar. Secara amnya, model ini dihasilkan bagi memenuhi citarasa pemilik yang gemar berjalan, menggembara dan mengumpul koleksi kereta yang mewah dan unik.

Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta terpakai lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai yang berkualiti, dokumentasi diuruskan sepenuhnya dan perkhidmatan penghantaran kereta secara terus ke pintu rumah anda!