HomeBMKereta Mewah Terpakai Paling Laris 2019

Kereta Mewah Terpakai Paling Laris 2019

Kebimbangan mengenai perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, pertumbuhan perlahan ekonomi global dan ketidaktentuan politik di Chili, Hong Kong, Eropah dan Asia Barat sedikit sebanyak menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Namun, disebalik pelbagai cabaran dan isu mencabar yang dihadapi, industri jualan automotif tempatan kekal kukuh dan mencatatkan prestasi memberangsangkan. Malah, jumlah jualan kenderaan baharu meningkat satu peratus kepada 604,287 unit pada 2019 berbanding 598,598 pada tahun 2018.

Kereta Mewah Baharu lwn. Kereta Mewah Terpakai?

Namun begitu, di sebalik pertumbuhan yang positif pasaran kereta baharu, kereta mewah terpakai juga tidak ketinggalan menjadi pilihan pengguna yang ingin mendapatkan pilihan kereta mewah terpakai yang berkualiti dengan tawaran harga yang lebih murah berbanding biasa. Kereta mewah terpakai boleh didapatkan di pasaran kereta terpakai dengan harga jauh lebih murah berbanding asal. CARSOME menyenaraikan 4 jenama kereta mewah terpakai paling laris pada tahun 2019 yang boleh anda pertimbangkan.

kereta mewah terpakai | luxury used car

#1 BMW – 3 Series, 5 Series, X3 dan X5

Bayerische Motoren Werke atau Bavarian Motor Works (BMW) merupakan antara jenama kereta mewah terpakai popular yang menjadi pilihan pengguna. BMW merupakan syarikat automotif Jerman yang diasaskan oleh Franz Josef Popp pada tahun 1917. Ia kini berada dalam kelasnya yang tersendiri sebagai pengeluar kereta mewah berjenama dan eksklusif. Jenama ini mendapat permintaan yang tinggi walaupun dalam pasaran industri kereta terpakai disebabkan oleh kualiti pemanduan, ciri keselamatan dan elemen kemewahan yang ditampilkan. Malah, jualan untuk kereta baharu BMW telah menyumbangkan jualan sebanyak 9,300 unit kenderaan pada tahun lalu dengan 2,514 unit adalah daripada model BMW 3 Series, BMW 330e M Sport (1,000 unit) dan BMW 5 Series (lebih 2,000 unit).

BMW X3 misalnya, menggunakan enjin 4-silinder BMW TwinPower Turbo 2.0L yang menjana 252 kuasa kuda (hp) dan tork 350 meter Newton (Nm) dengan kotak gear transmisi automatik 8 kelajuan Steptronic Sport. Kenderaan utiliti sukan (SUV) ini mudah dipandu dan mesra pengguna, dilengkapi dengan panel instrumen pelbagai fungsi 12 inci dengan teknologi BMW Black Panel yang menggantikan kluster paparan meter versi lama. Selain paparan maklumat seperti navigasi, model ini juga turut dilengkapi dengan tiga mod pemanduan: ECO PRO, COMFORT, dan SPORT.

Bahagian luaran yang trendy dan sporty serta bahagian dalaman yang moden dan ekslusif menjadikan model ini antara model yang mendapat tempat dalam kalangan pengguna kereta terpakai. Tawaran harga yang lebih murah berbanding model baharu dengan ciri yang sama semestinya menjadikan kereta BMW terpakai pilihan yang terbaik untuk menjimatkan wang.

kereta mewah terpakai | luxury used car

#2 Mercedes-Benz – C-Class, E-Class dan S-Class

Selain itu, jenama Mercedes-Benz juga berada dalam kelasnya yang tersendiri. Jenama ini popular dan mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna kereta terpakai. Jenama ini bukan sahaja melambangkan kemewahan dan kemegahan pemiliknya, ia memberi gambaran keselesaan dan kemantapan prestasi jentera dari Jerman ini. Model Mercedes-Benz C-Class generasi keempat, C250 AMG Line dengan kod nama W205 sudah memadai untuk membuktikannya. Siri baharu Mercedes-Benz C-Class 2019 ini tampil dengan reka bentuk, prestasi dan keselamatan yang dipertingkatkan. Untuk rekod, model C-Class merupakan model yang paling laris dari Mercedes-Benz Malaysia.

Model ini didatangkan dengan pelbagai penambahbaikan untuk gaya pemanduan yang lebih optimum. Mercedes-Benz C-Class C250 AMG Line merupakan model pertama yang menggunakan platform Modular Rear Architecture (MRA). C250 AMG Line tampil lebih sporty dan garang dengan gabungan kit badan AMG. Model Mercedes-Benz 2019 ini menggunakan transmisi kotak gear 9G-Tronic Automatic yang merupakan kotak gear automatik dengan sembilan nisbah gear, pertama seumpamanya di dunia bagi segmen premium.

Selain itu, model ini menggunakan enjin 2.0L atau 1,991 cc yang mampu menghasilkan tujahan terbaik. Ia turut dilengkapi LED Intelligent Light System, Adaptive Highbeam Assist dan sistem multimedia dengan paparan skrin 8.4 inci COMAND Online.

kereta mewah terpakai | luxury used car

#3 Land Rover – Freelander dan Discovery

Land Rover Discovery merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) generasi kelima yang dikuasakan dengan enjin diesel 3.0 liter V6. Ia tampil dengan kuasa 254 kuasa kuda (hp) dan tork 600 meter Newton (Nm) yang dipadankan dengan sistem transmisi automatik ZF lapan kelajuan. Ia sekali gus menawarkan proses penukaran gear yang lancar dan penggunaan bahan api yang optimum. Enjin ini juga berupaya menghasilkan prestasi lebih jitu dengan kuasa pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 8.1 saat, 3.1 saat lebih pantas berbanding generasi terdahulu.

Discovery juga dilengkapi dengan sistem infotainmen InControl Touch Pro dengan ciri akses pelbagai aplikasi, navigasi satelit dan kawalan kenderaan melalui skrin paparan sentuh 10 inci resolusi tinggi. Reka bentuk model ini juga lebih dinamik berbanding model terdahulu, tampil lebih sporty dan moden. Menariknya, model ini dilengkapi dengan sistem suspension udara empat penjuru yang meningkatkan kualiti pengendalian dalam apa jua keadaan pemanduan.

Model ini menyajikan prestasi pemanduan yang memberangsangkan, keupayaan kuasa yang mantap untuk pengalaman pemanduan yang lebih responsif dan lancar. Maka tidak hairanlah model ini juga mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan peminat kereta mewah terpakai.

kereta mewah terpakai | luxury used car

#4 Volvo – XC90

Jenama Volvo sememangnya terkenal dengan ciri keselamatan terbaik serta kemantapan pengendalian sejak awal penghasilan kereta ini 92 tahun yang lalu. Volvo merupakan antara jenama pengeluar kenderaan yang paling selamat di dunia dan mempunyai kelompok pengikutnya yang tersendiri. Elemen keselamatan, keselesaan penumpang, kualiti kenderaan menjadi teras utama penghasilan kereta terbaik selari dengan jenamanya. Maka tidak hairanlah, walaupun kereta Volvo terpakai, ia masih mendapat permintaan yang sangat tinggi dalam kalangan peminatnya. Volvo XC90 misalnya, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh kerusi premium versi hibrid plug-in (PHV).

Model ini menjanjikan keselesaan pemanduan yang optimum di atas jalan raya. Ruang dalaman dengan tempat duduk balutan kulit hitam memberi keselesaan untuk pemanduan yang lama dan jauh. Jentera ini juga turut dilengkapi dengan sistem infotainmen Sensus Connect, skrin sentuh sembilan inci serta sambungan Apple CarPlay dan Android. Volvo XC90 terkenal dengan sistem teknologi yang canggih seperti Adaptive Cruise Control, City Safety with Front Collision Warning, dan Pedestrian and Cyclist Detection with Full Auto Brake. Selain itu, model ini turut dilengkapi Lane Departure Warning, Lane Keeping Aid dan Blind Spot Information System (BLIS).

XC90 menggunakan enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 254 kuasa kuda (hp) pada 5,500 putaran per minit (rpm) dan tork maksimum 350 meter Newton (Nm) pada 1,500rpm hingga 4,800rpm. Kombinasi kuasa itu mampu menghasilkan pecutan 7.9 saat pada 100 kilometer per jam (km/j) dengan kelajuan maksimum 215km/j. Kadar penjimatan bahan api bagi model kereta ini ialah 7.9 liter per 100km, sesuai dengan saiz kenderaan yang boleh memuatkan tujuh penumpang ini.

kereta mewah terpakai | luxury used car

#5 Lexus – RX 300 dan NX 300

Lexus merupakan antara jenama kereta mewah terpakai yang mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran. Model Lexus sentiasa tampil dengan pengalaman pemanduan yang menarik, rekaan yang inovatif dan futuristik. Kenderaan utiliti sukan (SUV) seperti model Lexus RX mula memasuki pasaran pada tahun 1998. Model RX 300, contohnya, hadir dengan tiga varian iaitu Premium, Luxury dan F Sport. Pintu but bagi varian Luxury dan F Sport boleh dibuka dengan hanya meletakkan kaki di bawah bampar. Malah, ruang dalaman kereta ini dilengkapi dengan skrin paparan sentuh bersaiz 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android.

Model ini turut menampilkan pembaharuan dan penambaikan reka bentuk. Ia dilengkapi dengan gril hadapan baharu, lampu hadapan dengan bentuk lebih tajam dan lampu nyalaan siang (DRL). Reka bentuk luaran tampil dengan imej garang, sesuatu yang cukup unik bagi sebuah SUV mewah. Model RX 300 dijana oleh enjin 2.0 liter petrol dengan pengecas turbo twin-scroll Dual-VVT-iW untuk menghasilkan 235 kuasa kuda (hp) pada 4,800 hingga 5,600 rpm dan tork 350 meter Newton (Nm) pada 1,650 hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Mana satu kereta mewah terpakai pilihan anda? Jika anda sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf kereta lama kepada kereta mewah terpakai, anda boleh layari laman web CARSOME untuk info lanjut. CARSOME merupakan platform jual beli kereta mewah terpakai terbaik di Malaysia dan terbesar di Asia Tenggara.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular