HomeAutomotiveIni Model Kereta Bajet Yang Paling Boleh Diharapkan Tahun 2022

Ini Model Kereta Bajet Yang Paling Boleh Diharapkan Tahun 2022

Ketika nak buat keputusan untuk membeli kereta, apa yang anda cari pada kereta tersebut? Rekaan yang sporty? Atau hiasan dalaman yang premium? Tak salah untuk memilih kereta yang sporty dengan kemasan dalaman premium. 

Tetapi adalah lebih baik untuk anda pandang lebih jauh ke depan dan mempertimbangkan untuk membeli kereta dengan ciri yang lebih praktikal serta bermanfaat kepada anda. 

Untuk anda yang bercadang nak membeli kereta, ini dia senarai kereta bajet 2022 yang paling boleh diharapkan. Anda boleh lihat dan buat perbandingan sendiri sebelum membeli! 

*Senarai ini tidak mengikut turutan. 

1. Perodua Bezza 

Semenjak ia diperkenalkan pada tahun 2016, kereta keluaran Perodua ini terus menjadi pilihan rakyat Malaysia. Sehingga Januari 2022, sebanyak 190,291 buah Perodua Bezza telah dijual di Malaysia! 

Populariti Perodua Bezza ini bukan hanya di Malaysia tetapi juga menular sehingga Sri Lanka. Di Sri Lanka, model Bezza ini merupakan model sedan yang paling laku di sana! 

Kenapa Perodua Bezza ini menjadi pilihan rakyat Malaysia? Antara ciri utama yang selalu diperkatakan oleh orang ramai adalah penjimatan minyak. Bayangkan, dengan hanya seliter minyak anda boleh mendapat perjalanan sejauh minimum 22km ataupun 4.5liter/100km. 

Selain itu, Perodua juga tidak ketinggalan meletakkan pelbagai fungsi keselamatan dalam Perodua Bezza bagi menjamin keselamatan penumpang dan pemandu seperti: 

  • Pre-Collision Warning (PCW) – memberi amaran kepada pemandu jika ia mengesan halangan di hadapan.
  • Pre-Collision Brake (PCB) – jika PCW tidak disedari oleh pemandu, brek utama akan diaktifkan bagi memberhentikan kereta. 
  • Forward Movement Warning (FDA) – memberitahu pemandu jika kenderaan di hadapan sudah bergerak. 
  • Pedal Misoperation Control (PMC) – mengawal enjin kereta sekiranya pedal minyak ditekan secara tiba-tiba. Kamera stereo akan menggeser objek di hadapan kereta kira-kira empat meter daripada kereta dan sistem ini akan menahan enjin dan kereta agar tidak boleh bergerak ke hadapan
  • Anti-lock Braking System (ABS) – membolehkan pemandu mengawal kenderaan dengan lebih baik semasa brek ditekan. 
  • Electronic Brake Force Distribution (EBD) – sistem yang membolehkan brek ditekan pada kadar yang sama untuk keempat-empat tayar supaya kereta boleh dikawal dengan lebih selamat. 
  • Traction Control (TRC) – sistem ini boleh membantu kereta tidak tergelincir semasa membelok terutama di atas jalan licin.
  • U.S. Security System 2.0
  • Hill Climb Assistance (HSA)

Selain daripada ciri keselamatan dan jimat minyak, antara sebab lain mengapa Bezza ini menjadi antara model kereta yang boleh dipercayai ialah ruang butnya yang sangat luas. Berapa luas? 508 liter. Anda nak pindah rumah pun boleh dengan Bezza ini!

Paling penting, semua ini anda boleh dapat pada harga bermula RM34,580 sehingga RM49,980. Harga sedan yang paling murah dalam pasaran Malaysia! 

Nak beli Perodua Bezza? Anda boleh beli Bezza pramilik DI SINI. 

*Kesemua ciri di atas adalah berdasarkan Perodua Bezza 2020

2. Perodua Myvi 

Model kereta ini telah memenangi hati rakyat Malaysia untuk sekian lama. Punyalah hebat model ini sampaikan ia telah menjadi antara model kereta paling laris untuk 15 tahun (2006-2020) berturut-turut! 

Model apakah ini? Dah tentulah Myvi! Raja Jalanan atau ‘King of the Road’. Apabila sesuatu model kereta itu dah berjaya rangkul anugerah kereta paling laris, dah tentulah ciri kereta tersebut yang menjadikan ia menjadi antara model yang paling boleh diharapkan. 

Antara sebab mengapa model ini masih menjadi pilihan ramai ialah ia sangat tahan lama. Anda mungkin boleh menemukan model pertama yang masih lagi boleh dipandu dan masih lagi dalam keadaan yang bagus walaupun telah berusia lebih satu dekad! 

Bagi model 2022, ia berkongsi beberapa ciri keselamatan yang hampir sama dengan Perodua Bezza seperti Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Brake (PCB), dan lain-lain. Selain itu, Myvi 2022 turut dilengkapi dengan ciri lain seperti Lane Keep Control (LKC), Blind Spot Monitor (BSM), dan Rear Cross-Traffic Alert (RCTA). 

Untuk mereka yang baru bekerja, Myvi adalah pilihan terbaik. Ciri keselamatan yang terbaik di samping ruang dalaman yang luas berbaloi dengan harga yang dibayar. Bermula pada harga RM46,500 hinggalah RM59,900. Cukup berbaloi dengan segala ciri yang ditawarkan. 

3. PROTON Saga 

Saga merupakan kereta nasional pertama dilancarkan pada tahun 1985. Ia merupakan antara kereta ikonik yang menjadi identiti Malaysia, menandakan Malaysia antara negara yang terkehadapan dalam industri permotoran di wilayah Asia. 

Setelah lebih 30 tahun berada dalam pasaran, ia masih lagi dijual dengan beberapa naik taraf dibuat untuk membolehkan kereta ini menjadi lebih selamat dan boleh diharapkan untuk semua pemandu di Malaysia. 

Antara sebab mengapa kereta Saga ini tetap menjadi pilihan pemandu Malaysia adalah kerana alat ganti model ini sangat mudah untuk dijumpai dan dibeli. Ianya juga murah dan tidak berlu ditempah khas. 

Semenjak dilancar pada tahun 1985, model ini terus berevolusi dan banyak ciri terkini telah ditambah termasuklah ciri-ciri keselamatan seperti: 

    • Beg udara berkembar hadapan
    • Anti-lock Braking System (ABS)
    • Electronic Brake Force Distribution (EBD) 
    • Sistem penggera 
    • Pelumpuh Enjin (Immobilizer) 
    • Brake Assist 
    • Jangkar ISOFIX – untuk memudahkan pemasangan tempat duduk kanak-kanak. 

*berdasarkan Saga model 2022

Sebagai sedan dengan harga yang sangat berpatutan, PROTON Saga sangatlah sesuai sebagai kereta keluarga. Pada harga bermula RM34,800 sehinggalah RM44,800, harga ini sangat berpatutan berbanding ciri yang ditawarkan oleh kereta sedan ini. 

4. Perodua Alza 

Kalau anda sedang mencari kereta dengan tujuh tempat duduk yang anda boleh harapkan, mungkin Perodua Alza anda boleh pertimbangkan. 

Perodua Alza bukanlah kereta yang baharu dalam pasaran. Ia telah dilancarkan pada tahun 2009. Perodua Alza ini merupakan model MPV pertama keluaran Perodua. Pada tahun 2022, model terkini dilancarkan semula dengan pelbagai ciri beserta rekaan baharu. 

Kalau nak cakap soal harga, ia agak berpatutan bagi sebuah kereta MPV tujuh tempat duduk. Bagi model terkini, ia bermula pada harga RM62,500 hinggalah RM75,500. Dengan harga ini, ia boleh dijadikan alternatif kepada kereta MPV import dan premium yang jauh lebih mahal. 

Model baharu Perodua Alza tahun 2022, ini ciri keselamatan yang telah disediakan: 

  • Enam beg udara 
  • Pedal Misoperation Control (PMC) 
  • Fungsi Follow Me Home lampu kereta akan terus menyala sekalipun kenderaan telah dimatikan. Ia akan kekal hidup untuk 10 hingga 15 saat untuk membolehkan pemandu berjalan ke rumah jika keadaan sekeliling gelap. 
  • Lane Keep Control sistem ini akan membolehkan anda untuk kekal dalam laluan. Jika kenderaan anda terkeluar sedikitpun daripada laluan, stereng kereta akan bergegar untuk mengingatkan pemandu. 
  • Blind Spot Monitoring fungsi yang membolehkan anda melihat dengan lebih jelas ke arah titik buta kereta. 

Perodua Alza boleh menjadi satu pelaburan yang menguntungkan lagi-lagi jika anda merancang untuk membina keluarga yang besar atau jika anda mempunyai keluarga yang besar. Ruangnya yang sangat luas sangat selesa terutama bagi anak kecil. 

5. PROTON Persona 

Kalau anda nak cari sedan, jenama terbaik dan paling boleh diharap ialah PROTON. Selain daripada PROTON Saga, PROTON Persona juga merupakan antara model kereta yang boleh dijamin terbaik untuk anda. 

PROTON Persona juga bukanlah model baharu. Ia telah dilancarkan pada tahun 2007 dan telah berada di dalam pasaran lebih 13 tahun dan ia masih lagi menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk kereta sedan yang berpatutan. 

PROTON telah melancarkan model terbaharu model Persona 2022 dan kereta ini telah mendapat pelbagai penambahbaikan yang lebih baik daripada model sebelum ini iaitu model 2019. 

Kalau bercakap soal keselamatan, PROTON memang tak ambil mudah tentang ini dan telah menaik taraf model Persona terkini ini. Antara ciri-ciri keselamatan yang ada termasuklah: 

  • Enam beg udara 
  • Anti-lock Braking System (ABS)
  • Electronic Brake Force Distribution (EBD) 
  • Traction Control (TRC) 
  • Kawalan keseimbangan 
  • Hill Start Assist

Model Persona ini masih lagi menjadi pilihan bagi kereta jenis sedan. Memandangkan harganya yang sangat berpatutan bagi model asas. Anda boleh dapatkan model Persona ini bermula pada harga RM45,800 untuk model asas sehingga RM55,800 bagi model premium. 

Kereta ‘Lejen’ Yang Masih Pujaan Ramai 

Kesemua kereta yang disenaraikan merupakan kereta yang telah berada dalam pasaran lebih daripada 10 tahun. Untuk sesebuah model kereta untuk berada dalam pasaran selama itu bukanlah perkara yang mudah. Kerana itulah model ini merupakan kereta bajet 2022 yang paling boleh diharapkan! 

Model-model ini merupakan bukti bahawa tak semestinya kereta model luar negara saja yang boleh diharap. Kereta berjenama tempatan juga ada kelebihannya malah ada yang setaraf dengan model luar negara. 

Artikel berkaitan: OPR & Pinjaman Kereta: Cara Tangani Kenaikan Pinjaman

Diharapkan bacaan ini boleh membantu anda membuat pilihan kereta yang terbaik untuk diri anda. Kerana membeli kereta merupakan komitmen jangka masa panjang jadi pilihan kereta yang terbaik yang boleh memberikan nilai terbaik dengan harga yang anda bayar. 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular