HomeBMJual atau Beli Kereta Sambung Bayar? Ini Risiko yang Mungkin Anda Hadapi

Jual atau Beli Kereta Sambung Bayar? Ini Risiko yang Mungkin Anda Hadapi

Kereta sambung bayar merujuk proses penjualan kereta dengan hutang pinjaman yang masih belum dijelaskan kepada pihak ketiga oleh pemilik asal kereta tanpa melibatkan pertukaran hak milik. Pemilik baharu hanya perlu meneruskan bayaran ansuran bulanan yang dipersetujui kepada pihak bank bagi pihak pemilik asal. Selain penjual kereta, skim kereta sambung bayar ini juga menguntungkan pihak pembeli. Ini kerana, pihak pembeli kereta sambung bayar hanya perlu membayar kos keseluruhan dan amaun deposit yang lebih rendah berbanding pembelian kereta baharu atau terpakai.

Secara amnya, pembiayaan pinjaman kenderaan oleh institusi kewangan memudahkan pembeli kereta untuk memiliki kenderaan. Kenderaan yang masih dalam pembiayaan tidak boleh dipindah milik atau diberikan kepada pihak ketiga tanpa persetujuan pihak institusi kewangan. Pertukaran hak milik hanya boleh dilakukan setelah menjelaskan baki keseluruhan pinjaman. Skim kereta sambung bayar biasanya dilakukan untuk mengelakkan proses jual beli kereta yang rumit atau pemilik asal memerlukan wang tunai segera.

kereta sambung bayar

5 Sebab Perlu Elakkan Jual Beli Kereta Sambung Bayar

Pembelian kereta baharu atau terpakai memakan kos yang tinggi apatah lagi jika mengambil kira faktor-faktor lain seperti kos penyelenggaraan, insurans kereta, cukai jalan serta kos minyak petrol yang semakin meningkat. Meskipun terdapat pilihan pengangkutan awam untuk digunakan, ia bukanlah suatu alternatif yang praktikal jika mempertimbangkan aspek lokasi, masa dan sebagainya. Selain kereta baharu dan terpakai, ramai dalam kalangan pembeli kereta yang memilih untuk membeli kereta sambung bayar.

Skim kereta sambung bayar tidak membebankan poket, lebih mudah dan tidak memeningkan kepala lebih-lebih jika pembeli mempunyai rekod pinjaman yang tidak melayakkannya untuk mendapatkan pinjaman bank.

Risiko kepada Penjual

Urusan jual atau beli kereta sambung bayar terdedah kepada pelbagai risiko. Berikut merupakan risiko-risiko yang mungkin anda hadapi jika anda menjual kereta sambung bayar kepada pihak ketiga:

1. Pemilik Baharu Tidak Menjelaskan Bayaran Ansuran Bulanan

Kebiasaannya, pembeli yang memilih untuk membeli kereta sambung bayar memiliki rekod kewangan yang teruk dan telah disenaraihitamkan oleh institusi kewangan. Oleh itu, mereka berpotensi untuk tidak membayar ansuran bulanan kepada pihak bank seperti yang dijanjikan. Jika bayaran bulanan tidak diterima oleh pihak bank (pemilik baharu tidak menjelaskan bayaran ansuran bulanan seperti dijanjikan), pihak institusi kewangan akan meminta pemilik asal untuk menjelaskan amaun bayaran yang tertunggak.

Seperti pembiayaan pinjaman berdaftar yang lain, kegagalan menjelaskan bayaran bulanan seperti dijanjikan boleh menjejaskan skor kredit CCRIS dan CTOS peminjam. Kedua-dua laporan kredit CCRIS dan CTOS akan menunjukkan kemampuan peminjam untuk membuat bayaran semula komitmen kewangan sedia ada. Jika laporan kredit menunjukkan peminjam gagal membuat bayaran balik tepat pada masa, ia berpotensi menjejaskan peluang dan boleh menyukarkan proses permohonan pinjaman daripada institusi kewangan pada masa akan datang.

Selain itu, kegagalan membayar balik ansuran bulanan juga boleh menyebabkan pihak bank memulakan prosedur tarik kereta anda. Jika ini berlaku, pemilik asal perlu menanggung kos-kos yang terlibat. Malah, kereta yang ditarik hanya boleh diambil semula selepas semua bayaran yang tertunggak dijelaskan. Kegagalan pemilik asal menjelaskan tunggakan boleh menyebabkan kenderaan dilelong dan pemilik asal perlu menanggung dan menjelaskan baki hutang yang kurang kepada pihak bank. Sekiranya kereta gagal dikesan, pihak bank juga akan mengemukakan Notis Saman Tuntutan kepada pemilik asal dan jika masih gagal, pihak bank berhak untuk menfailkan Notis Kebankrapan ke atas pemilik asal.

Dalam sesetengah kes, ada pembeli kereta sambung bayar yang menjual semula kereta yang dibeli kepada pihak ketiga untuk mengaut keuntungan atas angin. Cara ini secara tidak langsung boleh memberi masalah kepada pemilik asal sekiranya pihak ketiga tidak melakukan pembayaran seperti dijanjikan. Jika pembayaran tidak dibuat kepada pihak bank, ia mungkin menyukarkan pihak pemilik asal untuk membuat untutan daripada pembeli.

Pemilik Baharu Tidak Menjelaskan Bayaran Ansuran Bulanan

2. Saman Atas Kenderaan oleh Pemilik Baharu

Kereta yang dipersetujui untuk sambung bayar masih dianggap sebagai hak milik pemilik asal. Meskipun terdapat penjanjian sambung bayar telah dibuat antara pemilik asal dan pembeli baharu, perjanjian yang dilakukan adalah tidak sah kerana kenderaan masih dimiliki oleh pemilik asal secara sah. Oleh itu, pemilik asal bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kereta yang dijual selagi nama pemilik asal tidak ditukar. Jika terdapat saman yang dikeluarkan kepada pembeli semasa menggunakan kereta tersebut, segala saman dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemilik asal sahaja.

    • Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967 – Sesiapa yang menjual barang-barang yang dibeli secara perjanjian sewa beli tanpa kebenaran daripada pemunya adalah melakukan kesalahan di bawah Akta ini dan jika didapati bersalah boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM10000 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
    • Seksyen 46 Akta Sewa Beli 1967 – Sesiapa yang melanggar peruntukan-peruntukan di bawah Akta ini dan jika didapati bersalah boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3000 atau dipenjarakan tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Akta yang diperuntukkan bertujuan untuk melindungi dan mengatasi masalah serta risiko yang bakal dihadapi oleh penjual atau pembeli kereta sambung bayar. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan penganiayaan terhadap pembeli oleh pihak penjual kereta.

Artikel Berkaitan: Cara ‘Check’ Saman Trafik, JPJ dan AES Secara Online

3. Kenderaan Terlibat Kes Jenayah, Kemalangan

Skim kereta sambung bayar bukanlah satu pilihan yang bijak dan boleh memakan diri. Sekiranya pihak ketiga menyalahgunakan kenderaan untuk kegiatan jenayah, pemilik asal perlu bertanggungjawab dan menanggung segala risiko yang mungkin timbul. Pemilik asal berpotensi untuk disiasat oleh pihak berkuasa atau dipanggil untuk memberi keterangan. Malah, dalam kes-kes tertentu, pemilik asal mungkin dituduh bersubahat dan boleh didakwa di mahkamah.

Selain itu, skim kereta sambung bayar tidak membolehkan pemilikan kereta dipindahkan kepada nama pembeli baharu. Oleh itu, jika berlaku kemalangan total lost, pembeli baharu tidak dilindungi oleh polisi insuran kenderaan tersebut. Kos ganti rugi akan diberikan secara terus kepada pemilik asal kenderaan yang sah. Ia sedikit sebanyak akan merugikan pihak pembeli lebih-lebih lagi setelah mengeluarkan belanja setiap bulan untuk membayar ansuran kereta. Walaupun nama pembeli baharu boleh ditambah sebagai pemandu kedua dalam polisi insurans, masalah lain boleh timbul jika pemilik asal meninggal dunia.

kemalangan kereta

Risiko kepada Pembeli

Selain itu, berikut merupakan risiko-risiko yang mungkin anda hadapi jika anda membeli kereta sambung bayar:

4. Pemilik Asal Meninggal

Sekiranya pemilik asal meninggal dunia, kereta tersebut biasanya akan dipindah milik kepada waris secara automatik. Pihak waris berhak untuk tidak meneruskan urusan dan menuntut kembali kereta yang dijual oleh pemilik asal. Meskipun anda mempunyai surat perjanjian atau laporan polis, urusan jual beli kereta sambung bayar ini adalah salah di sisi undang-undang. Pihak waris boleh menuntut kembali kereta yang telah dijual tanpa mengira kos yang telah dikeluarkan untuk membayar ansuran bulanan setiap bulan.

Pembeli tidak disarankan untuk membeli kereta selagi nama pemilik asal tidak ditukarkan kepada nama pembeli. Proses pertukaran nama memerlukan pemilik asal untuk hadir sendiri ke Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Namun begitu, pemilik asal perlu melakukan pemeriksaan kereta di PUSPAKOM sebelum proses pertukaran hak milik boleh dilakukan di mana-mana cawangan JPJ.

5. Pemilik Asal Menuntut Semula Kenderaan

Dari aspek undang-undang, pemilik asal memiliki kuasa mutlak terhadap kereta yang dijual selagi nama pemilik tidak ditukar. Walaupun ada perjanjian antara pemilik asal dan pemilik baharu, pemilik asal boleh meminta balik kenderaan pada bila-bila masa. Malah, pemilik baharu juga tidak mempunyai hak untuk menuntut kenderaan berkenaan sekiranya pemilik asal ingin menuntut kembali kereta yang dijual. Meskipun pembeli sudah melangsaikan hutang ansuran seperti dijanjikan, ia juga tidak bermakna pemilik asal akan menukar nama pemilikan kereta kepada nama pembeli.

Ada sesetengah kes pemilik asal menuntut kembali kereta, melarikan diri dan melaporkan kecurian kereta setelah habis dibayar oleh pembeli. Ia sekali gus memaksa pembeli untuk menyerahkan kembali kereta yang telah dibayar untuk mengelakkan tindakan undang-undang. Secara amnya, pemilik asal kenderaan juga bukanlah pemilik sah kenderaan. Kenderaan yang dibeli menggunakan kemudahan pembiayaan kewangan tidak menjadi milik pembeli selagi belum dilunaskan secara total.

Dalam konteks pembiayaan kewangan, pembeli hanyalah penyewa atau pemilik sementara, manakala pihak bank merupakan pemilik sebenar kenderaan. Oleh itu, pemilik sementara tidak berhak untuk menjual kereta kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dan pengetahuan pihak bank.

risiko kereta sambung bayar

Oleh itu, elakkan membeli atau menjual kereta sambung bayar meskipun anda mempunyai hubungan yang rapat dengan pembeli atau penjual. Untuk mengelakkan risiko yang mungkin anda perlu tanggung, anda boleh pertimbangkan untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta lama anda di Carsome. Dengan lebih 175 titik pemeriksaan, kereta yang dijual di Carsome adalah berkualiti, dipercayai dan mampu milik. Layari laman web Carsome untuk info lanjut.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular