HomeBMApa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Akta Sewa Beli Baharu Malaysia Pada...

Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Akta Sewa Beli Baharu Malaysia Pada 2026

Cara pembelian kereta di Malaysia kini sudah dikemas kini. Bermula 1 Jun 2026, undang-undang baharu iaitu Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 telah berkuat kuasa. Pindaan ini memperkenalkan perubahan kepada struktur pengiraan dan prosedur pinjaman kenderaan di seluruh industri. Jika anda merancang untuk membeli kereta atau sedang membayar pinjaman kereta, berikut adalah ringkasan mengenai peruntukan baharu di bawah akta tersebut. 

Peralihan Sistem: Kadar Rata kepada Baki Berkurangan

Perubahan paling besar ialah cara bank mengira faedah (interest) pinjaman anda. Sistem lama yang menggunakan “kadar rata” (flat rate) tidak lagi digunakan. Kini, bank menggunakan kaedah baki berkurangan (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif/Effective Interest Rate (EIR). 

Untuk memahami kenapa perkara ini penting, bayangkan pinjaman kereta anda seperti bongkah ais yang sedang mencair:

  • Sistem Lama (Kadar Rata / Flat Rate): Jika anda meminjam RM80,000, bank mengira faedah anda berdasarkan jumlah penuh RM80,000 itu pada setiap bulan. Walaupun anda sudah membayar separuh daripada pinjaman tersebut, anda masih membayar faedah ke atas jumlah asal yang anda pinjam pada hari pertama.
  • Sistem Baharu (Baki Berkurangan / Reducing Balance): Sekarang, anda cuma perlu membayar faedah ke atas baki hutang yang tinggal sahaja. Semakin sedikit hutang kereta anda, semakin sedikit jumlah faedah yang anda perlu bayar.
Ciri-ciri Sistem Lama Sistem Baharu (Akta 2026)

Pengiraan Faedah

Dikira daripada jumlah penuh pinjaman asal sehingga pembayaran selesai

Dikira hanya atas baki hutang yang tinggal sahaja

Ketelusan kos Dipaparkan sebagai kadar rata/flat rate berdasarkan jumlah pinjaman asal Diiklankan sebagai Kadar Faedah Efektif/Effective Interest Rate  (EIR) untuk menunjukkan kos sebenar 
Penyelesaian Awal Diskaun yang sedikit  kerana faedah telah dicaj lebih awal pada permulaan (frontloaded)

Caj faedah terus berhenti sebaik sahaja hutang dibayar habis.

3 Perkara Penting Lain Yang Anda Perlu Tahu

1. Kos Lebih Jelas dengan EIR dan Jadual Pembayaran Pinjaman
Bank kini diwajibkan untuk menunjukkan Kadar Faedah Efektif (EIR) bersama-sama jadual pembayaran pinjaman.

Apakah itu EIR?
Sebelum ini, institusi kewangan memaparkan kadar rata atau flat rate (contohnya 3%) yang dikira berdasarkan jumlah pinjaman asal. Kadar Faedah Efektif (EIR) pula merupakan kadar faedah tahunan yang dikira berdasarkan baki tertunggak semasa peminjam.

Contoh:
3% kadar rata = 5.5% EIR (untuk tempoh pembiayaan 9 tahun)
3% kadar rata = 5.64% EIR (untuk tempoh pembiayaan 5 tahun)

Penggunaan indikator EIR ini membolehkan pembeli membuat perbandingan kos pembiayaan secara terus antara institusi kewangan. 

Apakah itu Jadual Pembayaran Pinjaman?
Ini adalah jadual bayaran bulanan anda. Kalau anda bayar RM1,000 sebulan, jadual ini menunjukkan berapa banyak duit itu pergi ke hutang kereta dan berapa banyak pergi kepada keuntungan bank. Anda boleh melihat hutang sebenar anda makin susut setiap bulan.

2. Kadar Faedah Maksimum Ditetapkan
Kerajaan telah menetapkan had maksimum yang ketat mengenai berapa banyak faedah yang boleh dikenakan oleh pemberi pinjaman. Walaupun kedua-dua pilihan kini menggunakan kaedah baki berkurangan, ia berfungsi secara berbeza berdasarkan pilihan risiko anda:

  • Pinjaman Kadar Tetap: Kadar faedah kekal sama dari awal sampai habis bayar. Had paling tinggi yang bank boleh caj ialah 17% EIR setahun (untuk pinjaman sehingga 5 tahun) dan 16% EIR untuk pinjaman yang lebih panjang. Bayaran bulanan anda akan sama setiap bulan tanpa sebarang kejutan.
  • Pinjaman Kadar Boleh Ubah: Kadar faedah pinjaman ini mengikuti Kadar Rujukan (Reference Rate) yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia dan boleh berubah dari semasa ke semasa sepanjang tempoh pinjaman anda. Walau bagaimanapun, kadar ini tidak akan melebihi had maksimum 17% EIR setahun, tidak kira tempoh pinjaman. Ini bermakna bayaran bulanan anda boleh naik atau turun mengikut pergerakan Kadar Rujukan tanpa sebarang jaminan ke arah mana ia akan bergerak tetapi dilindungi daripada melebihi siling yang ditetapkan.

3. Tandatangan Digital dan Urusan Kertas Kerja yang Lebih Pantas
Bergantung kepada penyedia pembiayaan pilihan anda, perjanjian sewa beli kini mungkin boleh ditandatangani secara digital atau elektronik. Bagi institusi kewangan yang menyediakan kemudahan ini berserta pilihan penerimaan dokumen melalui e-mel, ia dapat mengurangkan penggunaan dokumen fizikal dan mempercepatkan urusan di pusat jualan kereta.

Berbaloi Tak Kalau Buat Early Settlement Sekarang?

Malaysian RM50 Ringgit

Dengan sistem sebelum ini, penjimatan daripada early settlement agak terhad kerana sebahagian besar caj faedah telah dikenakan pada tahun-tahun terawal pinjaman. Di bawah sistem baki berkurangan yang baharu, penyelesaian awal boleh memberikan faedah kewangan yang jauh lebih besar.

Kelebihan EIR Berbanding Rule 78

Rebat Faedah Lebih Saksama: Dalam kaedah EIR, faedah dikira mengikut baki pinjaman sebenar. Jika anda selesaikan awal, rebat faedah yang anda terima mencerminkan baki sebenar. Keadaan ini berbeza dengan Rule 78 yang memberi rebat lebih kecil kerana faedah diagih lebih banyak pada awal tempoh.

Kos Faedah Lebih Telus: EIR adalah kaedah pendedahan piawai yang membolehkan anda membandingkan tawaran pinjaman antara bank secara adil, berbanding kadar rata (flat rate) di bawah Rule 78 yang menyukarkan perbandingan kos sebenar.

Tiada Kesan Penalti Formula: Kerana faedah terikat terus dengan baki hutang, anda tidak akan “didenda” oleh struktur pengiraan seperti yang berlaku di bawah Rule 78 jika anda memilih untuk menyelesaikan pinjaman lebih awal.

Kekurangan EIR Berbanding Rule 78

Nombor Kadar Nampak Lebih Tinggi: Angka EIR secara matematik lebih tinggi berbanding kadar rata yang digunakan dahulu, walaupun jumlah bayaran bulanan sebenar tidak berubah. Hal ini boleh menyebabkan tanggapan salah bahawa pinjaman jadi lebih mahal.

Keperluan Memahami Kaedah Baru: Pengguna perlu membiasakan diri membandingkan tawaran menggunakan peratusan EIR, kerana ia tidak lagi boleh dibandingkan terus dengan kadar rata yang biasa digunakan di bawah Rule 78.

Bagaimana Jika Anda Sudah Mempunyai Pinjaman?

Jika anda telah menandatangani perjanjian pinjaman kereta anda sebelum 1 Jun 2026, undang-undang baharu ini tidak terpakai kepada anda secara automatik. Pinjaman sedia ada anda akan diteruskan di bawah sistem kadar rata yang lama.

Satu inisiatif oleh persatuan perbankan utama (ABM, AIBIM dan ADFIM) telah bersetuju untuk menawarkan diskaun ehsan (goodwill discounts) kepada peminjam sedia ada yang ingin menyelesaikan pinjaman lama mereka lebih awal. Pemberian diskaun ehsan ini bertujuan untuk mengimbangi baki akhir pinjaman anda supaya ia lebih selari dengan struktur pengiraan sistem baki berkurangan. Walau bagaimanapun, pemberian diskaun ehsan ini adalah tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara mutlak pihak pembiaya. Anda boleh menghubungi penyedia pembiayaan anda untuk pengesahan lanjut dan sebut harga.

Tip Mudah Untuk Pembeli Kereta pada 2026

  • Tanya tentang EIR: Jangan hanya bertanya tentang ansuran bulanan. Pastikan anda minta pengedar kereta atau bank untuk berikan peratusan EIR sebenar supaya anda tak tertipu dan boleh bandingkan dengan betul.
  • Semak Peralihan Sistem: Kerajaan menetapkan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027 untuk penyedia pembiayaan mengemas kini sistem mereka. Menjelang 1 April 2027, semua penyedia pembiayaan, termasuk institusi kewangan bank dan bukan bank, diwajibkan untuk menggunakan sistem Kadar Faedah Efektif sepenuhnya bagi sewa beli. Buat masa ini, ketersediaan sistem baharu ini bergantung kepada kesediaan pihak pembiaya masing-masing. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk menyemak sama ada penyedia pilihan anda telah membuat peralihan sistem ini sebelum menandatangani perjanjian.

Sebab Anda Perlu Memilih CARSOME Untuk Pembelian Kereta Seterusnya

Pelanggan beli kereta

Memahami terma pembiayaan baharu adalah satu langkah penting, tetapi mencari kenderaan terpakai yang berkualiti tinggi juga memerlukan ketelitian. Jika anda merancang untuk upgrade kereta, CARSOME ialah platform dipercayai yang menawarkan pengalaman membeli kereta yang lebih meyakinkan: 

  • Waranti Tanpa Risau
  • Bebas Banjir Atau Kemalangan Besar
  • Servis Seluruh Negara
  • Jaminan Pulangan Wang 14 Hari
  • Bantuan Pembiayaan Dalaman

Usha lebih 3,500 pilihan dengan yakin di carsome.my.

Tertakluk pada Terma dan Syarat.

 

Alif Yunus
Alif Yunus
Running on sweet drinks and high octane!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular