HomeBMTabiat Pemandu Yang Paling Dibenci Oleh CARSOMErs

Tabiat Pemandu Yang Paling Dibenci Oleh CARSOMErs

Apa tabiat pemandu yang anda paling sakit hati kalau terjumpa semasa memandu? Mesti banyak kan? Kadang-kadang memandu tu tak jauh pun tapi sepanjang pemanduan tu, macam-macam perangai pemandu yang kita boleh jumpa atas jalan. Ada kalanya, boleh membuatkan kita terfikir, “Macam manalah pemandu ni boleh dapat lesen memandu?”

Untuk tahu dengan lebih lanjut, rasanya lebih baik kalau ditanya kepada pengguna jalan raya sendiri, apakah perangai dan tabiat pemandu yang mereka cukup benci. Jadi, satu tinjauan telah dibuat dalam kalangan kakitangan CARSOME (CARSOMErs). Kita nak tengok, apa perangai dan tabiat pemandu Malaysia yang mereka paling benci. 

Tinjauan ini melibatkan lebih 200 orang CARSOMErs daripada seluruh Malaysia – daripada pekerja di Pusat Pengalaman dan Pusat Pemeriksaan CARSOME hinggalah ke eksekutif, pengurus, dan pengurusan tertinggi CARSOME. 

Tinjauan ini dibuat di ruang maya. Beberapa tabiat dan perangai telah disenaraikan dalam satu hantaran tinjauan, dan para CARSOMErs akan mengundi perangai pemandu Malaysia yang mana mereka benci dan tak suka. 

Ini tabiat pemandu Malaysia yang diberikan dalam tinjauan yang dijawab oleh CARSOMErs: 

  • Tak pasang isyarat sebelum membelok atau tukar laluan
  • Memandu perlahan di lorong kanan
  • Tak tambah nilai Touch n’ Go & sebabkan sesak di pintu tol
  • Parkir berganda & tak tinggalkan nombor
  • Potong barisan ketika masuk susur keluar atau masuk simpang
  • Buang sampah keluar kereta
  • Memandu melulu
  • Guna telefon semasa memandu
  • Pasang lampu kecemasan sesuka hati
  • Memandu di lorong yang salah di bulatan jalan
  • Ambil masa untuk bergerak lepas lampu isyarat bertukar hijau
  • Tak bagi laluan untuk memotong
  • Tak reti guna lampu kabus

Jadi apa keputusan tinjauan ini? Ini adalah apa yang kami boleh simpulkan daripada tinjauan yang dibuat. 

Tabiat Undian
Tak pasang isyarat sebelum membelok atau tukar laluan 122
Memandu perlahan di lorong kanan 81
Tak tambah nilai Touch n’ Go & sebabkan kesesakan di get tol 61
Parkir berganda & tak tinggalkan nombor 60
Potong barisan ketika masuk susur keluar atau masuk simpang 54
Buang sampah keluar kereta 46
Memandu melulu 32
Guna telefon semasa memandu 31
Pasang lampu kecemasan sesuka hati 22
Memandu di lorong yang salah di bulatan jalan 15
Ambil masa untuk bergerak lepas lampu isyarat bertukar hijau 15
Tak bagi laluan untuk memotong 11
Tak reti guna lampu kabus 6

Untuk memudahkan anda nampak peratusannya, kami persembahkan dalam bentuk graf yang lebih mudah dibaca seperti ini: 

Daripada tiga belas tabiat dan perangai yang disenaraikan, tak pasang lampu isyarat (signal) merupakan tabiat yang paling dibenci dan tak disukai oleh CARSOMErs. Diikuti memandu perlahan di lorong kanan dan tak tambah nilai Touch n’ Go dan menyebabkan kesesakan di pintu tol. Tak reti menggunakan lampu kabus merupakan tabiat yang mendapat paling sedikit undian daripada para CARSOMErs. 

Pentingnya Lampu Signal 

Dalam kereta anda ada satu alat ajaib yang boleh menyelamatkan nyawa dan mengelakkan orang benci kepada anda. Alat apa itu? Itulah lampu isyarat kereta atau lampu signal. Lampu isyarat kereta ini disertakan sekali dengan kereta anda, tak perlu beli asing. 

Kalau anda lupa macam mana rupanya dalam kereta anda, anda boleh tengok di bawah: 

Lampu isyarat kereta bertujuan memberi isyarat awal kepada pengguna jalan raya yang lain tentang arah yang anda akan tukar. Sama ada ke kiri atau kanan. Tapi ramai terlupa atau ‘buat-buat lupa’ tak pasang lampu ini sebelum menukar laluan kereta. 

Memasang lampu isyarat kereta boleh mengurangkan kemalangan kerana pemandu sekeliling boleh memperlahankan kenderaan dan memberikan laluan kepada anda sebelum menukar laluan. Jadi, manfaatkan lampu isyarat kereta yang dah sudah siap dipasang semasa anda membeli kereta anda. 

Jangan Silap Lorong Semasa Memandu 

Semasa di sekolah memandu, cikgu memandu mesti dah ajar lorong-lorong yang ada di lebuh raya dan jalan raya. Ada tiga lorong semuanya. Lorong kiri, lorong tengah, dan lorong kanan. Lorong paling kiri ialah lorong perlahan yang kebiasaannya untuk kenderaan berat. Lorong tengah pula ialah lorong laju dan lorong paling kanan pula lorong untuk memotong. 

Tetapi ada segelintir pengguna jalan raya terutama pemandu kereta dan penunggang motosikal yang suka memandu perlahan di lorong paling kanan. Tabiat ini sangat berbahaya kerana di lorong paling kananlah pemandu kenderaan akan memecut kenderaan mereka selaju mungkin. 

Jadi, jangan tersilap dan keliru. Pastikan anda berada di lorong yang betul sesuai dengan cara pemanduan anda. Kalau nak santai-santai, silalah ke lorong yang paling kiri. Lorong paling kanan pula adalah lorong memotong untuk mereka yang memandu laju. 

Jangan Cari Maut Semasa Memandu! 

Selain daripada tabiat yang mendapat undian tertinggi, tabiat-tabiat lain yang disenaraikan pun sepatutnya tidak dibuat langsung oleh semua pemandu. Tak kisahlah di mana anda memandu. Di lebuh raya utama ataupun di jalan kampung. 

Tabiat ini sekalipun nampak kecil dan tak berbahaya, tetapi ia boleh menjadi punca kemalangan dan juga kecelakaan lain. 

Membuang Sampah Keluar Kenderaan

Kita ambil contoh membuang sampah daripada kenderaan. Anda kena ingat, namanya pun ‘JALAN RAYA’ dan bukannya ‘TONG SAMPAH’. Jadi, jangan sesuka hati membuang sampah daripada kenderaan anda. 

Sumber: The Star

Sampah yang dibuang mungkin boleh terkena pada penunggang motosikal. Penunggang motosikal yang jatuh di tengah jalan raya yang sibuk adalah resipi yang paling sempurna untuk kemalangan dengan kecederaan dan kerosakan kenderaan yang banyak. 

Memotong Barisan 

Antara dosa besar yang dibuat oleh sebahagia pemandu Malaysia adalah memotong barisan ketika memasuki susur atau di lampu isyarat. Akan ada seorang dua pemandu yang sesuka hati memotong barisan. 

Bayangkan seandainya ada ambulans atau kenderaan penguat kuasa yang perlu melalui jalan dan ada kenderaan yang menghalang laluan kerana ia ingin memotong barisan. Ia merupakan antara bencana terburuk! 

Memandu Melulu 

Kita semua nak cepat. Sampaikan ada yang lupakan undang-undang jalan raya dan terus memandu melulu. Tanpa disedari pemanduan melulu itu boleh meragut nyawa. Hanya kerana ingin cepat, ada nyawa yang terpaksa dikorbankan. 

Dah terlalu banyak berita kemalangan yang terjadi akibat pemandu kenderaan secara melulu. Seperti kes kemalangan di yang melibatkan 11 kenderaan kerana pemanduan melulu di Johor Bahru

 

Kerana itulah parlimen telah meluluskan rang undang-undang baharu yang memberikan hukuman yang lebih berat kepada pemandu yang memandu secara berbahaya ini.  

Parkir Berganda 

Antara yang paling menyakitkan hati sebagai seorang pengguna jalan raya di Malaysia ialah parkir berganda atau ‘double parking’. Kadang-kadang keadaan ini membuat kita terfikir, di manakah otak pemandu yang parkir berganda ini? 

Cars in a parking lot

Dahlah parkir berganda, tak tinggalkan nombor telefon di papan pemuka lagi. Kita pun jadi berganda-ganda marahnya. Selain daripada boleh mengakibatkan kesesakan pada jalan, ia juga menyusahkan orang jika kereta yang diparkir dengan betul itu ingin keluar. 

Lagi teruk? Jika ada kecemasan tetapi kereta yang diparkir berganda itu tak dapat dihubungi! Jangan buat begini. Jauhi parkir berganda! 

Tak Tambah Nilai Touch n’ Go Dan Sebabkan Kesesakan Di Pintu Tol 

Untuk perjalanan yang memerlukan anda untuk melalui tol, sebaiknya anda periksa dahulu baki kad Touch n’ Go sebelum memulakan perjalanan. Kalau dah sampai di pintu tol tapi tiba-tiba baki dalam kad tak mencukupi, itu akan jadi masalah besar! 

Ada yang akan cuba untuk mengundur kembali dan pandu terus ke laluan tambah nilai. Maka, di sinilah masalah boleh berlaku. Anda sedang mengundur ke jalan yang sibuk dan penuh dengan kenderaan. 

Ada macam-macam benda boleh terjadi –- menghalang laluan, kesesakan dalam kesesakan, dan kemalangan kalau keadaan dah jadi teruk. Oleh itu, periksa duludullu baki Touch n’ Go sebelum memulakan apa-apa perjalanan. 

Punca Kemalangan Di Malaysia Adalah… 

Kebanyakan kemalangan maut yang berlaku di Malaysia adalah disebabkan kecuaian pemandu di atas jalan raya. Tak kisahlah secanggih mana pun kereta yang digunakan atau sebagus mana jalan raya yang dibina, kesilapan manusia adalah sesuatu yang tidak boleh diubah walaupun dengan teknologi yang paling canggih sekalipun. 

Sebenarnya apa saja jenis kecuaian yang melanggar peraturan boleh menyebabkan kemalangan. Bukan akan melibatkan anda sahaja tetapi juga pengguna jalan raya lain yang berada di sekitar kenderaan anda. 

Anda kena ingat, anda sedang berkongsi jalan raya dengan ratusan dan ribuan lagi pengguna jalan raya yang lain. Bagaimana cara anda memandu boleh memberi kesan kepada diri anda dan juga pengguna jalan raya yang lain. 

Jadi, jangan degil dan patuhilah undang-undang jalan raya. Ingatlah orang tersayang.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular