HomeBMBaju Untuk Memandu Pun Nak Kena Ikut JPJ?

Baju Untuk Memandu Pun Nak Kena Ikut JPJ?

Kalau nak berpakaian cantik-cantik, mungkin sesuai untuk ‘dating’ atau temu duga kerja tetapi kalau untuk memandu, ia sangat tak sesuai. Maknanya, kalau nak rasa selamat dan selesa semasa memandu, anda kena periksa balik apa baju dan kasut apa yang dipakai. 

Kalau tak tahu lagi tentang kepentingan memakai pakaian yang betul ketika memandu, ingat kembali tatacara pemakaian ketika sedang belajar memandu dan melaksanakan ujian memandu yang anda lalui untuk memperoleh lesen P anda. 

Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) bukannya sengaja nak menyusahkan anda. Tatacara pemakaian yang dikuatkuasa oleh JPJ ketika sesi pembelajaran dan amali ujian memandu sebenarnya merupakan amalan memandu yang selamat. 

woman in car wearing high-heeled shoes

Macam Mana Selipar Boleh Ganggu Pemanduan Anda

Jom lihat contoh mudah bagaimana pemakaian boleh menjejaskan pemanduan anda, lihat kasut yang anda pakai, terutama selipar atau sandal yang dilarang ketika anda menjalani ujian amali dan teori untuk kelas memandu. 

Sebenarnya, lagi selamat untuk memijak pedal dengan kaki yang berkasut kerana kedudukan kaki atas pedal sepatutnya ialah tumit kaki di atas lantai kereta dan tapak kaki anda yang mengawal tekanan pada pedal dengan buku lali kaki sebagai pangsi. 

Kalau anda pakai selipar atau sandal, ia boleh tergelincir dan boleh tersangkut di bawah pedal menyebabkan anda sukar untuk memijak pedal. 

Sama juga dengan kasut tumit tinggi. Memandu sambil memakai kasut tumit tinggi berbahaya dan boleh menyebabkan kemalangan. Jika anda memakai kasut tumit tinggi, tumit kaki anda akan terangkat daripada lantai dan anda tak boleh nak mengagak berapa banyak tekanan untuk pijak pedal kereta anda. 

Disebabkan itulah, saudari-saudari sekalian, sangat-sangat digalakkan untuk anda menyimpan sepasang kasut sarung di dalam kereta untuk dipakai semasa memandu jika anda ada memakai kasut tumit tinggi ketika keluar. 

Memandu Berkaki Ayam Satu Kesalahan?

Jadi, adakah memandu dengan memakai selipar/sandal atau memandu dengan berkaki ayam merupakan satu kesalahan? Sebenarnya, ya dan juga tidak. Tidak ada jawapan ringkas yang sebenar jadi mari kita bincang dengan lebih lanjut. 

Kalau anda memandu kenderaan anda sendiri, anda tidak akan disaman jika anda memandu sambil memakai selipar/kasut atau berkaki ayam. Tetapi, pemandu kenderaan komersial dan juga pemandu e-panggil bukan sahaja diwajibkan memakai kasut bertutup tetapi juga diwajibkan untuk memakai seluar panjang. 

Pemandu kenderaan komersial (teksi, bas, lori, van) yang ditangkap memakai selipar/sandal atau memakai seluar pendek boleh disaman. Pemandu kenderaan ini dikategorikan di bawah lesen Kenderaan Barangan (GDL) dan juga lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV). 

Samannya agak mahal, sebanyak RM150 untuk kesalahan tidak memakai pakaian yang ditetapkan. 

Kalau anda nak tahu, undang-undang berkaitan kasut bertutup untuk pemandu PSV jatuh di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Pelesenan dan Kelakuan Pemandu, Konduktor dan Penumpang) pindaan 1991.

family posing in front of car

Jadi, Kasut Apa Yang Sesuai Untuk Pemanduan Yang Lebih Selamat? 

Ini membawa kita ke persoalan utama iaitu ‘berbahayakah memandu dengan kaki ayam?’.

Kembali kepada kenyataan nak ‘rasa’ pedal untuk tekan minyak dengan betul, sebenarnya agak logik jika memandu berkaki ayam merupakan cara yang bagus kerana kaki anda akan terasa lebih peka memandangkan tiada sebarang lapisan tambahan pada tapak kaki anda. 

Walau bagaimanapun, kalau dilihat kembali, sebenarnya lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Selain daripada rasa sentuhan pada pedal, memandu berkaki ayam ini sebenarnya tiada manfaat langsung. 

Sebenarnya, mengapa JPJ mencadangkan untuk tidak berkaki ayam adalah kerana semasa kecemasan, anda nak memastikan kaki anda sentiasa terlindung andai kata ruang kaki pemandu hancur remuk atau jika anda perlu untuk keluar segera selepas kemalangan berlaku. Andai katalah terjadi kemalangan, takkanlah anda nak keluar ke jalan yang penuh dengan serpihan besi dan kaca tajam dengan berkaki ayam, betul tak? 

Kalau anda memakai kasut semasa memandu, kaki anda akan dilindungi andai kata jika ruang kaki hancur atau anda perlu keluar daripada kereta. Lagipun, tiada siapa yang ada masa nak meraba-raba mencari dan memakai kasut selepas terjadinya kemalangan. 

Lagipun, pedal yang basah disebabkan peluh daripada kaki boleh menyebabkan kaki anda terlepas daripada pedal ataupun terpijak pedal secara tiba-tiba. Ini memang betul boleh menyebabkan kemalangan. 

Walau bagaimanapun, harus diingatkan juga yang bukan semua kasut sesuai untuk memandu. Kasut dengan tapak yang tebal dan keras boleh menyukarkan pemandu untuk menekan pedal atau untuk merasai respon pedal. 

Kasut yang terbaik untuk memandu sepatutnya mempunyai tapak yang tak terlalu tebal atau terlalu nipis, boleh mencengkam dan cukup fleksibel untuk menekan pedal. 

Tapak kasut yang terlalu tebal akan menyebabkan anda tak rasa sentuhan pada pedal, kalau terlalu nipis pula, tapak kaki akan jadi sakit apabila menekan brek kecemasan jika anda terpaksa pijak pedal dengan melulu dan kuat. Kalau tiada cengkaman daripada tapak kasut, kaki anda mungkin boleh terlepas daripada pedal, sama seperti memandu memakai selipar/sandal atau berkaki ayam. Jika tapak terlalu keras pula, sukar untuk anda pangsikan buku lali untuk menekan pedal. 

Pakaian Lain Untuk Pemanduan Selamat

Walaupun nampak remeh, ada sebabnya mengapa JPJ menggalakkan pemakaian yang betul semasa memandu. 

Sama seperti pemakaian kasut, logik yang sama boleh digunakan bagi pemakaian seluar panjang. Ia akan melindungi betis daripada calar semasa kemalangan. 

Di bahagian tengah badan, baju berkolar boleh menghalang tali pinggang keledar daripada menyebabkan lecet pada bahagian leher semasa kemalangan. 

Keseluruhannya, anda nak badan anda ditutup tetapi kekal selesa sepanjang pemanduan. Kenapa kena selesa? Ini untuk mengelakkan pergerakan lengan atau kaki anda terhalang andai kata anda terpaksa membetulkan kedudukan kereta anda. 

Juga, jeans ketat tanpa regang juga boleh menghalang pergerakan kaki. Seluar boleh regang lebih mudah untuk pergerakan kaki, terutama sekali jika anda terpaksa keluar daripada kereta selepas kemalangan. 

Disebabkan itulah, melecet boleh dihalang dengan lapisan pakaian pada kaki dan lengan tetapi pakaian seperti jaket kulit keras sangat tidak sesuai. Ia menghalang pergerakan siku ketika memusingkan stereng. Oleh itu, sesuatu yang ringan dan memudahkan pergerakan badan adalah lebih digalakkan.

Kesedaran sekeliling juga sesuatu yang patut anda ambil kira. Kawasan titik buta pada bahagian sisi anda boleh dikurangkan dengan menoleh sekali sebelum menukar laluan atau membelok. Tambahan lagi, semasa memandu terutamanya, penting untuk anda sedar akan kenderaan atau ruang di bahagian sisi anda. Dengan menoleh, anda boleh tahu apa yang ada di sekeliling anda. 

Kerana itu, selendang tebal boleh menghalang pergerakan leher anda untuk menoleh. Ia seolah-olah pendakap leher yang menghalang pergerakan. Kalau anda perlu untuk pakai selendang, pilih yang nipis dan ringan yang tidak menghalang pergerakan leher. Tambahan, ia boleh melindungi kulit di bawah leher andai kata kemalangan terjadi dan tali pinggang keledar menjerut leher anda. 

Kesemua undang-undang yang dikuat kuasa ini bukan hanya untuk menjamin keselamatan anda, tetapi juga untuk pengguna jalan raya yang lain juga. Jangan risau, JPJ bukannya nak menyusahkan anda.

Disebabkan itu, kalau nak memandu, sentiasa pilih pakaian yang selesa dan selamat daripada mengutamakan fesyen dan gaya. 

Di CARSOME, kami mengenakan pemeriksaan 175-titik dan baik pulih secara profesional kepada semua kereta kami untuk memastikan keselamatan dan keselesaan. 

Jadi, jika anda sedang mencari kereta yang terjamin selamat dan berkualiti, lawati CARSOME hari ini atau muat turun aplikasi kami di Google Play Store atau Apple App Store. 

*Artikel ini merupakan terjemahan daripada artikel asal yang ditulis oleh Dinesh Appavu.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular