Besar, gagah, dan berkuasa. Itulah tanggapan pertama anda apabila melihat lori pikap Isuzu D-Max X Terrain 2023 yang baru sahaja dilancarkan pada bulan Februari lalu. Ia dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri moden dan kelihatan lebih garang berbanding model sebelumnya.
Tapi untuk seorang gadis kecil molek seperti Nadia yang dah biasa memandu kereta sedan, adakah mungkin untuk dia berubah arah kepada sebuah lori pikap – kenderaan yang sinonim dengan kemaskulinan?
Jom kita ikuti pengalaman Nadia memandu Isuzu D-Max X-Terrain 2023 buat kali pertama.
Warna Kelabu yang Bergaya & Kemasan Dalaman yang Mewah
Pada pandangan pertama, lori pikap gergasi ini kelihatan sangat kukuh, kuat, dan mungkin hanya sesuai untuk orang yang lasak, tetapi ia tidaklah terlalu menakutkan seperti yang Nadia jangkakan.
Warna baharu Islay Gray Mica yang ditawarkan oleh Isuzu menyuntik imej bergaya kepada lori pikap D-Max ini, ditambah pula dengan tayar serba rupa bumi (all-terrain wheels) yang dipasang pada rim aloi 18 inci berwarna kelabu gelap, ia pasti akan menarik perhatian orang ramai apabila dipandu di jalan raya.
Bukan itu sahaja, kemasan dalaman dengan warna unik Café Brown yang menawan juga membuat Nadia terasa seperti berada dalam kereta sedan mewah, bukannya dalam sebuah lori pikap. Isuzu D-Max baharu ini juga dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri mesra pengguna seperti pencahayaan ambien, skrin infohibur dengan paparan sembilan inci yang mempunyai sokongan Apple Car Play dan Android Auto, pengecasan tanpa wayar, port USB-C, dan banyak lagi.
Bagi Nadia, pengalaman memandu Isuzu D-Max ini sangat mengujakan dan tak ubah seperti memandu kereta sedan – ia dilengkapi dengan enjin diesel turbo 3.0 liter yang menawarkan daya pecutan dan kuasa yang tinggi sehingga dia terlupa bahawa dia sebenarnya sedang memandu sebuah lori pikap!
Pemanduan yang Sangat Selesa
Biasanya, keselesaan bukanlah ciri utama yang dikehendaki oleh penggemar lori pikap. Tetapi bagi Nadia, Isuzu D-Max X-Terrain ini sebenarnya sangat selesa! Rekaan tempat duduknya telah diperbaharui agar lebih ergonomik dan ia dibalut dengan kulit berwarna hitam yang berkualiti tinggi.
Jadi, memang tiada masalah kalau anda mahu memandu D-Max ini di atas lebuh raya untuk jarak jauh seperti nak pergi melancong atau balik ke kampung halaman. Namun, bagaimana pula prestasinya kalau ia dipandu di atas jalan yang tidak berturap?
Walaupun ini adalah kali pertama Nadia cuba memandu di atas jalan yang tidak berturap, tetapi dia mampu melakukannya dengan mudah dan tenang hasil bantuan sistem arahan rupa bumi pintar 4×4 (Intelligent Terrain Command 4×4 System) dan kunci pembezaan belakang (rear differential lock) yang ada pada Isuzu D-Max X-Terrain.
Nama pun kenderaan 4×4, jadi tak hairanlah jika Nadia mampu mengendalikan lori pikap tersebut dengan lincah dan bersahaja tanpa sebarang kerisauan memandangkan Isuzu D-Max ini mampu menakluki apa saja jenis muka bumi yang anda mahu tempuhi.
Nak Parkir Pun Mudah Walaupun Saiz Besar
Satu sebab yang membuatkan ramai teragak-agak untuk dapatkan lori pikap adalah saiznya yang sangat besar. Lebih-lebih lagi apabila mengambil kira keluasan petak parkir di Malaysia yang hanya cukup-cukup makan sahaja.
Nadia berjaya memarkir Isuzu D-Max X-Terrain tersebut pada cubaan pertama tanpa perlu bersusah payah hasil bantuan kamera pandangan belakang, sensor parkir kereta, dan monitor pandangan keliling 360 darjah (Around View Monitor) yang ada pada lori pikap tersebut.
Apa pula pandangan Nadia mengenai ruang kargo Isuzu D-Max? Pada mulanya dia merasakan yang ianya satu ruang besar yang disia-siakan dan pintu belakangnya juga tidak menarik perhatian. Walau bagaimanapun, Nadia berpendapat yang ruang tersebut sangat berguna untuk perjalanan jarak jauh dan trip membeli-belah ke IKEA.
Kesimpulannya, Nadia telah berjaya membuktikan yang lori pikap Isuzu D-Max X-Terrain adalah sebuah kenderaan yang sangat sesuai untuk digunakan oleh para wanita di luar sana walaupun ia nampak menggerunkan dan sering dikaitkan dengan sifat maskulin.
Perlu diingat, perkara paling penting yang perlu diambil kira semasa anda memilih kereta adalah jika ia memenuhi keperluan harian anda. Tak kiralah jika pendapat umum mengatakan yang sesebuah kereta hanya sesuai untuk golongan atau jantina tertentu, jika ia sesuai dengan bajet anda dan ia mempunyai ciri-ciri yang anda perlukan, teruskan sahaja dengan pilihan anda. Ia mungkin akan jadi keputusan terbaik yang anda pernah buat!
Jika anda sedang mencari lori pikap pramilik berkualiti, layari carsome.my atau muat turun aplikasi kami untuk dapatkan lori pikap idaman anda hari ini!
Artikel ini ditulis berdasarkan video “How the 2023 Isuzu D-Max Changed My Mind About Pick Up Trucks (First Timer Impressions)” yang diterbitkan di laman Youtube Wapcar.