HomeBMKereta Terbang: Mitos atau Realiti?

Kereta Terbang: Mitos atau Realiti?

Apabila disebut tentang kereta terbang, pasti ramai di antara kita yang merasakan ia sesuatu perkara yang mustahil untuk dicapai. Namun begitu, banyak negara-negara maju ketika ini berlumba-lumba untuk menghasilkan kereta terbang pertama di dunia. Negara Jepun misalnya, dilihat lebih selangkah lebih maju apabila ujian kereta terbangnya membuahkan hasil yang memberangsangkan. SkyDrive, sebuah syarikat di Jepun kini berpotensi menjadikan wawasan kereta terbang sebuah realiti. Hasrat kita untuk melihat kereta berlegar-legar di ruang udara Malaysia mungkin bakal menjadi kenyataan apabila model kereta ini diperkenalkan tidak lama lagi.

Malah, tweet yang dikongsikan oleh pengguna di Twitter menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sudah tidak sabar untuk menantikan kenderaan terbang!

Jepun Kuasai Teknologi Kereta Terbang?

SkyDrive merupakan salah satu daripada beberapa syarikat di Jepun yang sedang menghasilkan prototaip kereta terbang. Projek ini dilihat semakin membuahkan hasil apabila kereta ini berjaya diterbangkan beberapa kaki ke udara selama empat minit. Kenderaan ini menggunakan Evtol iaitu kaedah perlepasan dan pendaratan secara menegak untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain. Pengenalan kereta terbang ini dipercayai akan dapat mengurangkan kesesakan di lapangan terbang dan jalan raya pada masa akan datang.

Menurut Tomohiro Fukuzawa, Ketua Pegawai Eksekutif SkyDrive, hasil kejayaan ini diharap dapat menyakinkan masyarakat bahawa kereta terbang boleh menjadi sebuah mod pengangkutan yang diyakini dan selamat pada masa akan datang. Malah, beliau turut melahirkan harapan bahawa kereta tersebut akan dapat disiapkan sepenuhnya menjelang 2023 dan mula dijual dalam pasaran. Projek SkyDrive bermula pada tahun 2012 sebagai projek sukarelawan dan menerima dana daripada beberapa syarikat besar seperti Toyota, Panasonic dan firma permainan video, Bandai Namco.

Wawasan 2020 dan Kereta Terbang?

Wawasan 2020 merupakan sebuah wawasan yang telah dibentangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4 Malaysia bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan maju menjelang tahun 2020. Ia bukan sahaja meliputi bidang ekonomi, malah turut merangkumi bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi serta perpaduan nasional.

Ketika Wawasan 2020 diperkenalkan, imaginasi golongan remaja pada ketika itu membicarakan tentang kewujudan kereta terbang. Faktor ini didorong oleh kepesatan teknologi pada ketika itu dan kejayaan Malaysia menghasilkan kereta nasional pertama negara, Proton. Hari ini, imaginasi kita semasa remaja dahulu mungkin berjaya dicapai tidak lama lagi. Malaysia juga turut tidak ketinggalan dalam menghasilkan kenderaan terbang pertama buatan tempatan.

Super Dron – kereta terbang pertama Malaysia dibangunkan oleh syarikat EastCap Bhd dengan kerjasama strategik EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited. Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memasar, menjalankan operasi dan menyelenggara Super Dron di negara ini dalam jangka masa panjang. Super Dron menggunakan konfigurasi 16 bilah kipas untuk memberikan kemampuan terbang dan mendarat secara menegak. Model ini boleh membawa dua orang penumpang pada satu-satu masa.

 

Super Dron Buatan Malaysia?

Prototaip kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan. Ia dibina oleh syarikat Malaysia yang berpangkalan di Jepun yang mempunyai kepakaran dalam bidang aeroangkasa, dron, UAV dan kereta nasional. Projek yang dijangka menelan kos pelaburan sekitar RM1 juta ini dibangunkan untuk sektor pengangkutan, pertanian, perubatan dan keselamatan. Kenderaan Super Dron UAS E-Hang 216 (EH216) dijangka melakukan penerbangan pertamanya di Maldives susulan kegagalan mendapatkan kelulusan ujian penerbangan daripada pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Apa pandangan anda? Adakah Malaysia mampu menghasilkan kenderaan terbang pertama setanding negara maju lain? Namun begitu, jika anda tidak mahu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan kenderaan terbang pertama idaman anda, anda mungkin boleh mempertimbangkan kereta terpakai di CARSOME – portal jual beli kereta terpakai terbaik di Malaysia. Layari laman web CARSOME untuk info lanjut.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular